Isnin, 30 September 2013

Redah Indonesia: Surabaya - Mount Bromo

Teks: Rozida Ismail

Antara kenangan yang tidak mungkin dilupakan dalam misi meredah Indonesia pastinya destinasi Surabaya. Sebenarnya ketika menempah tiket penerbangan, kami langsung tidak ada idea tentang apa yang ada di Surabaya. Dengan RM350, kami dapat membeli dua tiket pergi balik ke destinasi sejauh itu yang memakan masa selama 3 jam tempoh penerbangan. Selepas menempah tiket, barulah kami mencari maklumat tentang Surabaya dan menempah pula ejen pelancongan. Oleh sebab tidak tahu menahu tentang selok belok di Surabaya, berjalan menggunakan ejen adalah lebih mudah dan selamat. Semuanya teratur dan tersedia.

Antara yang menarik di sini ialah Gunung Bromo dan Ladang Epal. Bagaimana pun kami tidak pergi ke ladang epal kerana ladangnya sedikit menyimpang dari laluan kami. Dari Surabaya untuk ke Bromo memakan masa 6 jam. Turun sahaja kapal terbang kami terus dibawa ke sana kerana laluannya menggunakan jalan kampung yang tidak mempunyai lampu jalan. Memang tidak terjangka bahawa kami akan sampai ke kawasan gunung berapi yang masih hidup! Kami bangun seawal jam 4 pagi dan berkuda menaiki gunung. Memang tidak pernah dibuat menunggang kuda sendirian, tetapi mujurlah setiap kuda ada pengiringnya. Pemandu pelancong menasihatkan membawa sekali selimut kerana cuaca sungguh sejuk. Oleh sebab tidak ada kelengkapan pakaian sejuk, malam itu kami terpaksa membeli topi dan sarung tangan. Terasa pula seperti berada di pekan koboi.

Cubaan mendaki kawah gunung berapi buat kali pertama ternyata gagal kerana tiba-tiba angin menerbangkan partikel belerang panas. Keadaan berkabus mengehadkan jarak penglihatan. Kami terpaksa menutup hidung kerana bimbang sesak nafas pula dengan baunya yang menyesakkan. Jika anda ada penyakit lelah, tak perlulah ke sini. Ada sebanyak lebih 200 mata tangga yang perlu didaki untuk meninjau ke dalam kawah gunung berapi. Apabila tiupan asap belerang telah berhenti, kami terus cuba mendaki. Alhamdulillah berjaya sampai dan menjengah ke dalam kawah. Terdapat juga beberapa orang pekerja yang masuk ke dalam kawah. Mereka benar-benar berani menyabung nyawa! Jika tergelincir, pastilah terus menjadi mayat. Saya lihat tidak ada langkah keselamatan yang digunapakai. Pemandangan di sekitar amat indah. Subhanallah, begitu agungnya ciptaan Ilahi. Sebaik turun sahaja dari gunung tersebut, kami diserbu oleh penjaja yang menjual pelbagai cenderamata, termasuklah bunga-bungaan yang digunakan oleh orang Hindu untuk bersembahyang. Sememangnya ramai penduduk Indonesia di Jawa Timur beragama Hindu. Bromo pula bermaksud Brahma, salah satu tuhan agama Hindu.
Pemandangan berlatar belakangkan kawah gunung berapi. Gambar asal sebenarnya jauh lebih cantik.
Selepas satu malam di sini, kami ke Taman Safari. Di sini, haiwan buas dilepaskan dan kami memasuki kawasan safari menggunakan pengangkutan yang sama untuk kami ke mana-mana. Dalam perjalanan pulang ke Surabaya kami melalui kawasan banjir lumpur Sidoarjo. Pemandangan di sini sungguh menyedihkan. Sebanyak 16 buah kampung ditenggelami banjir lumpur yang beracun. Dikatakan puncanya ialah penggalian telaga minyak oleh sebuah syarikat cari gali. Penyemburan banjir lumpur ini memakan masa bertahun-tahun menyebabkan penduduk kehilangan mata pencarian. Ketika kami berhenti seketika untuk melawat kawasan ini, beberapa anak muda menawarkan perkhidmatan membawa pelancong menaiki motosikal dengan bayaran RM3 ke kawasan tersebut. Masih terdapat semburan banjir setinggi 5 meter di kawasan berhampiran. Anak-anak muda ini nyata mengeluh kerana sukarnya mencari rezeki. Bantuan yang diharapkan tidak kesampaian. Selain perkhidmatan membawa pelancong, mereka juga menjual CD tentang bencana ini. Sungguh menyayat hati kerana paparan bencana dalam CD tersebut diiringi dengan lagu nyanyian Ebiet G. Ade bertajuk 'Berita Kepada Kawan'. Saya paparkan di sini sedikit bait-baitnya:

Barangkali di sana
ada jawabnya
Mengapa di tanahku terjadi bencana
Mungkin Tuhan mulai bosan
Melihat tingkah kita
Yang selalu kalah dan bangga
dengan dosa-dosa
atau alam mulai enggan
Bersahabat dengan kita
Cuba kita bertanya pada
Rumput yang bergoyang
Semburan banjir lumpur di hadapan mata.
Bersyukurlah kerana  negara kita bebas daripada bencana alam. Betul juga kata Ebiet, lihatlah apa yang kita sumbangkan pada alam, jika merosakkan, maka rosaklah alam ini.



Redah Indonesia: Padang - Bukit Tinggi

Teks: Rozida Ismail

Penghujung dekad 2000 saya rajin meredah Indonesia. Ketika itu AirAsia selalu menawarkan tambang murah. Tambang pergi balik amat murah dan untuk saya serta pasangan selalunya kami menghabiskan dalam RM1000 - RM1500 untuk pakej percutian ke Indonesia selama 4 hari 3 malam. Saya sering memilih pakej 4 hari kerana lebih puas berjalan dan masa pun tidak terlalu suntuk. Saya sudah beberapa kali ke Padang - Bukit Tinggi kerana saya suka pemandangannya yang cantik dan sejuk mata memandang. Lagipun boleh dikatakan hampir 98% penduduknya Islam, makan dan solat tidak menjadi masalah. Ada orang yang banyak duit, tetapi tidak suka berjalan. Saya lebih suka meneroka negara orang dan melihat sisi lain mereka. Banyak yang boleh kita pelajari daripada orang lain. Setidak-tidaknya kita belajar erti kesusahan orang lain dan lihat bagaimana mereka berkreatif untuk mengatasi masalah hidup.

Oleh sebab percutian itu sudah lama, jadi saya tidak berapa ingat itinerari penuhnya. Saya cuma mahu kongsikan gambar-gambar menarik dan keunikan di Padang dan Bukit Tinggi. Ini juga akan menjadi jurnal percutian saya kerana selama ini saya tidak pernah menulis di mana-mana tentang bab bercuti ini. Hanya gambar sahaja menjadi perakam pengalaman. Waktu muda-muda dahulu saya memang suka mengambil gambar. Asal berjalan sahaja, saya akan pastikan saya ada kamera. Tidak shopping pun tidak apa, tetapi gambar mesti diambil sebagai kenangan. Pernah suatu ketika, saya tidak membawa kamera (saya sudah lupa sebabnya), jadi sebagai alternatif saya membeli kamera pakai buang. Setiap kali selepas mengambil gambar, perlu dipulas dan bunyinya "krek, krek .." Apabila anak-anak sudah besar, mereka pula ditugaskan mengambil gambar, saya lebih suka menikmati pemandangan itu sendiri secara langsung. Untunglah sekarang kamera di handphone juga sudah bagus kualiti gambarnya. Itupun sudah memadai.

Malin Kundang,  Si Tanggang Indonesia
Mendarat sahaja di Bandara (Bandar Udara Minangkabau, Padang), kami mendesak pemandu pelancong membawa kami ke pantai Malin Kundang. Pada percutian sebelum ini kami tidak sempat singgah di sana. Rupa-rupanya pemandu pelancong itu keberatan untuk membawa kami kerana keadaan jalan yang sangat curam dan bahaya. Dia tidak berjanji, tetapi katanya bergantung kepada keadaan cuaca. Jika cuaca elok maka kami akan dibawa ke sana. Alhamdulillah, hari itu sangat cerah dan hajat kami hendak ke pantai Malin Kundang termakbul. Berdasarkan pembentukan batuan di pantai itu, memang kelihatan seperti kapal pecah. Ada batu yang betul-betul menyerupai  badan manusia yang terlangkup dan peralatan dalam kapal. Tetapi ada juga peralatan tambahan yang sengaja dibuat-buat untuk menunjukkan keadaan tersebut. Semuanya sudah tidak asli lagi akibat kegatalan tangan manusia.
Tali ini adalah replika yang dibina semula.
Selain pantai Malin Kundang, tempat mesti tuju di Bukit Tinggi ialah Tasik Maninjau. Di sini letaknya rumah Buya Hamka, seorang penulis dan ulama terkenal di Indonesia dan nusantara. Karya agungnya ialah 'Tenggelamnya Kapal Van Der Vick'. Laluan ke sana juga adalah sangat curam. Terdapat 42 keluk tajam yang perlu dilalui. Jika anda tidak tahan melaluinya, mintalah pemandu berhenti seketika untuk berehat dan mengambil gambar pemandangan yang menakjubkan dari atas bukit.
Pemandangan Tasik Maninjau.
Sebelum ke sini saya tidak pernah membaca karya allahyarham. Di sini ada dijual bukunya tetapi kualiti cetaknya tidak bagus (seperti fotostat) dan jilidannya bercerai selepas dibuka. Saya tidak jadi membelinya. Sebaliknya saya beli di Gramedia, Padang. Memang karyanya sangat bagus, hidup dan mengesankan. Saya terbayang-bayang kehidupan di Bukit Tinggi seperti yang digambarkannya dalam buku tersebut.

Jika ke Bukit Tinggi, jangan lupa juga singgah di Sulaman Rosmah. Di belakang rumahnya, Hajah Rosmah menyediakan kelas untuk gadis-gadis belajar menyulam. Hasilnya dipamer dan dijual di situ. Sulamannya sangat halus. Saya tidak pasti sama ada di Malaysia masih ada atau tidak kelas mengajar sulaman seperti ini. Jika ada yang masih arif tentang sulaman tradisional ini, eloklah diturunkan ilmu itu pada gadis-gadis yang minat belajar menjahit seni sulaman. Jika tidak ia akan pupus dan kita akan bergantung sepenuhnya pada sulaman dari Bukit Tinggi, Indonesia. Semasa mudanya, emak saya juga mengikuti kelas seperti ini. Tetapi apabila sulaman ini tidak popular lagi, aktiviti itu terhenti sendiri. Rasanya ia patut diteruskan sebagai warisan budaya orang-orang kita kerana motif yang diketengahkan juga menonjolkan budaya orang kita.
Kelas menjahit sulam di Sulaman Hajah Rosmah.
Pada sebelah malam, oleh sebab tidak berbuat apa-apa kami ditawarkan oleh pemandu pelancong untuk menonton persembahan tradisional. Ini merupakan aktiviti tambahan, tidak termasuk dalam itinerari. Kelainan tarian selain tarian endang ialah penari wanita yang menari atas pecahan kaca tanpa menunjukkan riak sakit atau luka kakinya.
Beranikah anda menari atas pecahan kaca ini? Don't try this at home ..
Banyak lagi sebenarnya keunikan yang ada di negara orang. Di Bukit Tinggi juga saya pertama kali mendengar tentang kerepek kulit sapi dan kulit kerbau. Tetapi saya tidak berani hendak mencubanya.



Ahad, 29 September 2013

Bagaimana membuang angin dalam badan

Teks: Rozida Ismail

Assalamualaikum,
Saya sebenarnya tiada masalah dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Tetapi, di hospital pantangnya terlalu banyak, sehingga saya tidak lalu makan kerana pagi petang siang malam disogokkan dengan menu yang sama. Sehingga terbau sahaja makanan itu, tekak saya terasa mual dan hendak muntah. Terpaksalah menyuap buah sahaja (itu pun setiap hari hanya tembikai sahaja dihidangkan!) bagi mengisi perut yang lapar. Dugaan ... Tetapi saya menerimanya dengan reda. Segala yang diberi Allah SWT pasti bersebab. Nasib baik juga kita sebagai umat Islam telah diajar berpuasa dan kita baharu sahaja selesai menjalani ibadah puasa. Perut sudah biasa bertoleransi dengan kelaparan. Namun ada satu lagi masalah, badan saya masuk angin sehingga menjadikan saya lemah. Pulang ke rumah, saya cuba bersenam tetapi hendak bersenam pun tidak berdaya kerana sakit-sakit badan. Saya menggoogle, mencari petua untuk menghilangkan angin di badan. Antara petua yang saya jumpa ialah petua Saidina Ali. Katanya cium epal dan makanlah epal itu. Saya belum berkesempatan lagi melakukannya.

Akhirnya saya ternampak teh herba 4life yang belum sempat saya cuba. Maklum sahaja, ketika membeli pakej supplemen 4life, saya mesti berpantang daripada mengambil makanan herba. Jadi saya tangguhkan dahulu pengambilannya. Semalam  saya sudah tidak keruan, saya mesti membuang angin dalam badan kerana badan saya semakin lemah. Akhirnya saya mengambil seuncang teh herba itu, dicelup ke dalam air panas selama 4 - 6 minit dan minum selepas makan malam. Awal pagi perut sudah memulas, minta dikeluarkan segala isinya. Alhamdulillah, apabila semuanya telah dikeluarkan badan terasa segar semula.
Teh herba 4life, banyak khasiatnya.

Sebenarnya antara fungsi utama teh ini ialah menyahtoksin dan mencuci sistem pencernaan kita. Saya dapat merasakan kelegaan sistem pencernaan saya. Semua gas yang meresahkan keluar (maaf ya ..). Teh ini juga boleh mengawal berat badan kerana ia mampu membantu menyerap nutrien dengan baik. Lebih penting daripada itu, ia juga memperbaik sistem imunisasi diri kita. Seperti saya, rawatan yang dijalani merosakkan segala yang buruk dan baik pada badan. Jadi, saya memang memerlukan supplemen untuk memperbaiki mana yang telah dirosakkan. Insyaa Allah, berusaha, berikhtiar dan bertawakallah untuk mengembalikan kesihatan. Setiap penyakit ada ubatnya.

Teh ini juga mengandungi epal hijau. Seperti petua Saidina Ali, cium dulu dan kemudian makan epal untuk membuang angin, saya fikir petua itu memang tepat. Mari kita cuba sama-sama dan kongsikan hasilnya. Barulah anak-anak tidak menjadi mangsa angin satu badan!

Jika anda ingin mencuba teh herba 4life ini, bolehlah hubungi saya menggunakan kotak Order Form di sebelah entri ini.

Jumpa lagi!

Sabtu, 28 September 2013

Ulasan Novel Dari Milan ke Maran

Pengulas: Rozida Ismail
Judul: Dari Milan ke Maran
Penulis: Norhayati Berahim
Bil Hal: 1040 ms
Harga: RM32.90 (S) RM35.90 (S&S)
Penerbit: NB Kara Sdn Bhd

Akhirnya saya berjaya menyudahkan bacaan 'Dari Milan ke Maran'! Rasanya inilah novel yang paling tebal pernah saya baca setakat ini. Sebenarnya saya suka membaca karya Norhayati Berahim kerana beliau suka membawa tema dari luar negara. Banyak yang dapat dipelajari daripada novel ini, hal agama, politik, alam sekitar dan sebagainya. Banyak juga diceritakan pasal makanan, hingga tatkala saya berpantang di hospital, nama Bukit Terung pun boleh membuatkan saya terliur. Sesungguhnya penulis ini banyak membuat kajian ketika menghasilkan karyanya. Syabas atas kesungguhan itu. Mungkin juga ia terhasil daripada pengalaman sebenar penulis berada di luar negara kerana apa yang diceritakannya sangat hidup.

Bagi yang belum membaca novel ini, saya ceritakan sedikit sinopsisnya. Cerita berkisar pada seorang lelaki lembut yang memang gemar memakai pakaian wanita sehingga sanggup memakai kasut tumit tinggi berwarna pink ketika bercuti di Milan. Di sini beliau bertemu dengan seorang wanita sehingga membawa ke jinjang pelamin. Bagaimana mereka boleh disatukan? Bacalah buku ini sendiri, tidak adil kalau saya mendedahkan kesemuanya. Kadang-kadang saya tersenyum membaca tingkah Moon yang cerewet melampau tatkala menjadi suami. Saya terbayang, jika buku ini dijadikan tele-novela, pastinya lucu melihat tingkah Moon dan Sharmin di rumah sebagai suami isteri. Rasanya itulah episod yang dinanti-nanti oleh peminat untuk melihat kekecohan Moon. Siapa agaknya aktor yang sesuai menjadi Moon ya .. Mungkin watak itu boleh diberi pada Fahrin Ahmad atau Farid Kamil kerana mereka belum pernah memegang watak seperti itu. Tetapi di akhir cerita, Moon memang benar-benar menjadi lelaki sejati.


Keseluruhan novel ini disampaikan dengan baik maklum sahaja daripada penulis yang prolifik. Ceritanya lancar, tetapi ada sedikit keraguan kerana watak-watak dalam cerita ini semuanya bijak-bijak belaka walaupun Pak Mahad, bapa tiri Sharmin yang hanyalah petani. Beliau boleh bercakap tentang satu dapatan berdasarkan peratus. Selalunya seorang petani tidak mahu ambil kisah tentang peratusan. Mungkin itu petani bayangan penulis, mahu semua orang mengambil berat tentang apa sahaja yang berlaku, bukan sahaja di lingkungan kehidupannya. Kadang-kadang saya rasa, semua watak dalam novel ini adalah sama tahap pemikirannya. Kedua, watak Johan seperti tidak ada kesudahan. Apa yang berlaku padanya? Mungkin setelah melihat kegagahan Ismail mempertahankan Sharmin, dia mengundurkan diri tetapi dinyatakan dendamnya masih membara. Ketiga, bagaimana Chong Heng boleh memeluk Islam dan kemudian bertemu jodoh pula dengan adik Moon. Keempat, Muin pula boleh bertemu jodoh dengan June. Nampaknya, mudah sahaja jodoh mereka diatur, dalam lingkungan watak-watak utama sahaja. Kalau dalam drama atau filem, saya selalu membayangkan begini, "ooh .. nak save budget, ambil sahaja pelakon yang sama untuk menamatkan cerita." Saya harap jika novel ini dijadikan tele-novela nanti, sub-plot ini bolehlah diwujudkan bagi memperkemaskan cerita. Akhir sekali, suntingan atau pembacaan pruf yang tidak teliti sedikit mencacatkan bacaan. Banyak kesilapan ejaan dan ada ayat tergantung di penghujung bab. Ini sebenarnya kerja pre-press. Agaknya sudah terlalu tebal menjadikan mereka tidak perasan lagi akan kesilapan ejaan dan kehilangan ayat pada baris terakhir itu. Memang bukan mudah untuk menyunting dan membaca pruf karya yang tebal jika tidak penuh dengan kesabaran dan ketekunan. Apatah lagi jika mengejar deadline! Entah berapa lama mereka mengerjakan novel ini, baik penulis, penyunting, mahupun pre-pressnya. 

Mohon maaf jika ulasan saya menyentuh hati mana-mana pihak. Tetapi niat saya ikhlas, ingin membantu memperkemaskan karya. Jika novel ini diulang cetak, bolehlah dibetulkan dulu kesemua kesilapan pre-press itu. Mungkin orang lain tidak kisah, tetapi sebagai penerbit saya amat kisah.

Rabu, 25 September 2013

Bekerja atau Menjadi Suri Rumah?

Teks: Rozida Ismail

Sebaik lulus daripada universiti, kolej atau lepasan sekolah menengah sekali pun, ramai yang sudah bersedia untuk memasuki pasaran kerja. (Dalam entri ini saya khususkan pandangan pada kaum wanita sahaja kerana tajuknya demikian rupa. ) Tidak ramai orang kita yang mahu memulakan perniagaan sendiri walhal itulah yang paling mudah dilakukan pada masa kini. Statistik pengangguran terkini menunjukkan negara menghadapi 3% pengangguran. Sepatutnya tidak berlaku demikian kerana peluang pekerjaan begitu banyak di negara kita. Hanya, jangan terlalu memilih kerja. Saya tidak pasti, 3% itu dari kategori mana, lepasan sekolah atau kolej/universiti. Dek kerana terlalu banyak kerja dan kurang pekerja tempatan, kita terpaksa mengangkut pekerja luar bagi memenuhi sektor buruh. Ini bermakna tahap pendidikan orang kita semakin tinggi. Tetapi seharusnya kitalah yang menjadi tuan di negara sendiri. Jangan ada pula penduduk tempatan yang terpaksa bekerja dengan kaum pendatang pula. Manalah tahu, takut terbalik pula kerana selalunya pendatang sangat kreatif dan berdaya saing yang tinggi akibat tekanan hidup. Berapa banyak saya lihat kedai-kedai runcit di sekitar tempat tinggal saya dimiliki oleh orang Indonesia. Mereka pandai berniaga. Malahan pernah juga tapak kedai tersebut diusahakan oleh orang Cina, tetapi gagal.

Berbalik pada topik hari ini, memang ramai siswazah dan lepasan sekolah hari ini yang keluar mencari kerja untuk mendapatkan pengalaman. Itu tidak salah. Apabila bekerja, anda nampak situasi sebenar dalam dunia perniagaan. Malahan, lebih mudah bekerja makan gaji kerana cukup bulan, kita menerima gaji. Jika hendak lebih, buatlah kerja lebih masa. Usia masih muda, tubuh masih kuat dan yang penting ketika itu tiada komitmen lain selain kepada diri sendiri. Tetapi apabila berumah tangga, kita terpaksa memikirkan hal rumah tangga pula. Masa bekerja lebih masa terpaksa dikurangkan untuk urusan rumah tangga dan melayan suami. Kemudian, kita ada anak kecil pula. Komitmen sudah terbahagi empat, untuk pejabat, diri sendiri, rumah tangga, serta anak dan suami. Keluarga juga semakin berkembang, kenduri kendara, sakit pening perlu dilawati sama ada di sebelah kita atau di pihak suami. Pada masa beginilah kaum wanita menjadi stres kerana terlalu banyak cabang yang perlu diberi perhatian. Untuk mengambil pembantu rumah memang terlalu mahal, down payment RM8,500 dan gaji bulanan RM800 bagi yang ada empat anak. Rata-rata orang memerlukan pembantu rumah apabila anak sudah bertambah. Setakat dua orang anak, masih boleh dihantar kepada pengasuh. Jika sudah ramai, lebih berbaloi mengambil pembantu rumah.

Jika pendapatan masih kecil, eloklah berhenti kerja dan menguruskan rumah tangga sendiri. Banyak kelebihannya. Yang penting anak-anak membesar di hadapan mata dan mereka boleh dipupuk untuk berdikari bagi meringankan beban kita. Misalnya, minta mereka mengemas permainan sendiri. Sebagai upah, layan sahajalah selera mereka. Di samping itu, gunakan hobi untuk menambah pendapatan. Kadang-kadang skil yang ada di tempat kerja boleh digunakan untuk membuat kerja secara 'freelance' seperti sebagai designer, translator atau penyunting. Jadi anda sebenarnya bukanlah 'unemployed' tetapi 'self employed'. Bezanya, pendapatan tidak tetap dan tidak ada caruman EPF atau Socso. Tetapi itu lebih baik daripada tiada pendapatan langsung. Jika tiada kemahiran seperti itu, bolehlah menjadi agen dropship atau berblogging. Dapat juga hasil iklan. Mungkin kerana fenomena inilah maka statistik pengangguran berkurangan di negara ini.

Saya sebenarnya sangat seronok melihat ramai wanita sekarang memilih menjadi suri rumah tangga walaupun berkelulusan tinggi. Malah, sepatutnya kerajaan menggalakkan wanita tidak bekerja bagi menjaga anak-anak. Mungkin dengan cara ini kita akan ada masyarakat yang lebih bijak, sihat, bersopan-santun dan kurang budaya negatif kerana mendapat perhatian ibu 100%. Bijak kerana minum susu ibu, sihat kerana makan air tangan ibu dan mendapat didikan daripada ibu sendiri.

Salam dari Bilik 306

Teks: Rozida Ismail

Assalamualaikum

Sudah menjadi satu rutin pula sejak lapan tahun lepas saya perlu menjalani rawatan di hospital dan akan bermalam di sini sekurang-kurangnya dua malam. Mujurlah ada peralatan canggih yang boleh menemani ketika kebosanan. Awal-awal dulu saya selalu membawa laptop untuk menyiapkan penulisan novel pertama. Juga, banyak kerja ofis yang turut dibawa kerana bimbang tiada apa yang hendak dibuat nanti. Selalunya saya akan membawa beg bersaiz 20 untuk  mengangkut barang-barang keperluan. Seolah-olah bermalam di hotel. Sekarang saya cuba meminimumkan barangan, hanya membawa handphone sahaja kerana di handphone juga sudah boleh menaip apa sahaja, termasuk dokumen. Oleh itu, satu 'shopping bag' sahaja sudah memadai. Matlamat saya selama 3 hari 2 malam ini ialah menyudahkan bacaan novel Norhayati Berahim 'Dari Milan ke Maran' setebal 1029 muka surat (tidak termasuk muka surat iklan) dan juga mengemas kini blog. Selain itu, jika agak jemu dengan dua perkara ini, mungkin saya menonton drama Melayu di youtube (semalam sudah menonton 'Jujur Saya Dayus' ~ lebih kurang begitulah tajuknya). Maklum sahaja, selalunya saya tidak berkesempatan menonton TV (atau mungkin terlalu banyak saluran sehingga drama ini tertinggal). Lagipun menonton di youtube bebas iklan. Jika di TV terpaksa bersekang mata sehingga jam 12 malam untuk mengetahui kesudahannya. Di bilik ini bukan tidak ada TV, tetapi skrin terlalu kecil dan diletakkan tinggi, jadi memang tidak puas untuk menonton.
Novel ini baru dibaca separuh.
Selain itu saya juga berhasrat untuk merakam segala pahit manis hidup saya dengan menulis autobiografi sendiri untuk tatapan anak saya nanti. Ini memang projek khas.
Tetapi bukan untuk dijual, sekadar suka-suka. Kebetulan memang menulis adalah minat saya, jadi tidak salah berbuat demikian walau pun saya bukan orang ternama yang biografinya ditulis oleh orang lain. Sebenarnya memang saya suka membaca genre biografi kerana pengalaman sebenar itulah lebih berkesan daripada fiksyen yang selalunya hanya berkisar pada bayangan penulis sahaja. Harapnya apa yang dicita-citakan menjadi kenyataan.

Kesimpulan daripada catatan saya hari ini, dalam apa sahaja keadaan, kita mesti menetapkan satu matlamat. Barulah kita tahu apa hala tuju dan perkara yang patut dicapai. Bukankah mudah jika ada matlamat yang jelas dalam hidup daripada menetapkan satu matlamat yang kabur seperti saya ingin berjaya dalam hidup. Berjaya yang bagaimana? Setakat ini, dalam bidang penulisan saya mahu menerbitkan satu novel (sudah terbit) dan satu biografi (dalam proses). Jika kedua-duanya tercapai, maka ia memberi kepuasan bagi saya kerana dalam kekangan waktu untuk turut mencapai matlamat yang lain, saya harus sedikit selektif dan tidak terlalu ambitious (maaf, terpaksa guna B. Inggeris).

Jumpa lagi, doakan saya cepat sihat ya...

Selasa, 24 September 2013

Tip untuk memulakan perniagaan

Teks: Rozida Ismail

Dalam entri yang lepas, saya tekankan bahawa untuk memulakan perniagaan kita perlu ada mentor. Namun, sebaik-baik perniagaan yang dijalankan ialah perkara yang dekat dengan kita dan apa yang kita suka buat. Ini bermaksud menjadikan hobi sebagai satu daripada punca pendapatan. Sekiranya anda masih bekerja dan masih seronok bekerja, apa kata teruskan hobi anda sambil menjadikan ia satu punca pendapatan 'main-main'.  Dalam erti kata lainnya, pendapatan dari hobi itu bukanlah segala-galanya sehingga anda tidak tidur dan makan kerana menyiapkan kerja. Pendapatan dari hobi ini umpama menerima tempahan dan pelanggan membayar masa dan bahan yang terpaksa ditanggung untuk menyiapkan tempahan tersebut. Selain cukup untuk menampung masa, bahan dan sedikit upah, anda juga akan mendapat lebih daripada itu, iaitu membina kemahiran berdasarkan hobi, menepati deadline, dan kemahiran berunding.

Lebih mudah jika saya mengambil contoh. Saya sangat suka melukis potret hitam putih ketika masih bersekolah dahulu. Kawan-kawan sering memuji hasil kerja saya. Apabila ada masa terluang, saya akan melukis potret artis. Akhirnya mereka menempah lukisan dari saya dengan bayaran RM10 untuk satu potret bersaiz 'drawing block'. Modal saya hanya drawing block dan pensel 2B hingga 6B.  Pada tahun 80an, nilai itu sebenarnya sudah cukup besar. Dibandingkan sekarang, satu karikatur hitam putih sebesar itu dikenakan upah RM20 sahaja. Tetapi harga potret pada masa sekarang mungkin sekurang-kurangnya RM100 sebab lukisan potret lebih halus dari karikatur. Dalam pada menyiapkan tempahan itu, saya belajar erti deadline dan membina kemahiran melukis. Kemahiran berunding pula didapati ketika menerima tempahan. Kita seharusnya berunding tentang masa, kerana asasnya adalah hobi dan berunding tentang harga. Masukkan elemen 'masa kecederaan' ketika berunding. Manalah tahu, lukisan yang biasa boleh disiapkan dalam tempoh seminggu tidak dapat disiapkan pula atas sebab-sebab terlalu banyak kerja rumah yang diberi guru, kerja persatuan atau assignment istimewa yang diberi oleh ibu bapa. Jika pelanggan boleh bertolak ansur dengan masa maka bolehlah diterima tempahan tersebut. Jika tidak, janganlah menjerat leher pula. Ingat, kita melukis kerana hobi yang sepatutnya dilakukan ketika masa terluang sahaja. Tugas utama yang patut didahulukan ialah sebagai pelajar.
Sudah berpuluh tahun tidak mengasah skil. Bila dicuba-cuba semakin seronok pula.
Sketch ini mengembalikan nostalgia ketika zaman persekolahan saya.
Sekiranya hobi ingin dijadikan aset, tidak salah jika menggilap lagi bakat dengan menyertai kelas secara profesional. Keluarkan sedikit belanja untuk mendapatkan ilmu secara formal. Dengan itu kita akan pelajari pelbagai teknik dan peralatan yang dapat membantu meningkatkan lagi kehalusan seni yang dimiliki. Mungkin suatu hari nanti bakat itulah yang akan membantu apabila kita tiba-tiba kehilangan kerja. Siapa tahu... Kita tidak pernah terlewat untuk mempelajari apa pun ilmu. Usahlah khuatir jika menjadi pelajar 'senior' di mana- mana kelas. Kerana saya juga adalah pelajar paling senior di kelas yang saya ikuti sekarang yang murid-muridnya kebanyakannya adalah pelajar sekolah. Tiada istilah malu apabila menuntut ilmu. 

Isnin, 23 September 2013

Seminar Jutawan dan Kisah Si Tanggang

Teks: Rozida Ismail

Jika bercakap pasal wang, siapa yang tidak mahukan wang yang banyak. Apatah lagi menjadi jutawan. Ramai orang ingin kaya dan berjaya. Semua orang mahu bebas daripada belenggu hutang. Saya juga tidak terkecuali. Sememangnya itu fitrah manusia. Tidak pernah kita mendengar orang yang tidak mahu menjadi kaya. Sikap bersederhana memang patut dipuji tetapi kita mesti menjadi kaya. Dengan itu kita mampu membantu orang lain. Menjadi kaya tidak salah, tetapi menjadi papa asal bergaya itu tidak kena.

Dua minggu sudah saya menghadiri seminar marketing yang dikendalikan oleh seorang profesional dari USA. Percuma sahaja. Minggu ini pula saya menghadiri seminar yang hampir sama yang dikendalikan oleh profesional tempatan. Kaedahnya hampir sama dan mesejnya amat jelas. Jika ingin kaya dan berjaya, perlu ada mentor. Kata-kata itu memang tepat. Pepatah Inggeris mengatakan, do not reinvent the wheel. Benda sudah ada di hadapan mata, kenapa mesti mencari lagi. Ikut sahaja cara mentor yang sudah kaya dan berjaya. Bukankah lebih mudah. Mereka sudah melalui susah senang dan selok belok liku-liku perniagaan. Kita hanya perlu belajar dan aplikasikan ilmu tersebut dalam perniagaan kita pula.

InsyaAllah saya akan menyertai kelas mentoring yang akan diadakan tidak lama lagi. Saya memang suka belajar dan mengutip pengalaman kisah benar orang-orang yang berjaya. Dari pengamatan saya, orang-orang yang berjaya ini sebenarnya melalui satu 'turning point' setelah mengalami kegagalan. Jika belum gagal, mereka tidak akan bersemangat untuk membetulkan keadaan. Kegagalan umpama 'hantukan' kuat untuk menyedarkan kealpaan sendiri. Apabila gagal, barulah seseorang mahu muhasabah diri. Selalu lihat diri sendiri dahulu sebelum menyalahkan orang lain. Kegagalan itu pula datangnya dalam pelbagai bentuk. Tidak semestinya gagal dalam perniagaan sahaja. Saya sendiri menghadapi satu 'turning point' apabila ditimpa penyakit. Saya merasakan hidup ini amat singkat dan perlu melakukan sesuatu seberapa cepat yang boleh. Jika masih sihat, pastinya saya masih berlengah-lengah kerana kealpaan sendiri. Sedar tak sedar, hampir lapan tahun berlalu. Banyak yang saya perolehi dan saya sangat bersyukur ke hadrat Ilahi kerana memberikan nur kepada saya awal-awal lagi. Lain orang, lain pula 'turning point'nya. Kadang-kadang kita tidak sedar, musibah yang diturunkan kepada kita itu adalah 'turning point' untuk kita berubah menjadi hamba Allah yang lebih baik, lebih salih, lebih penyayang atau lebih kaya dan berjaya. Lihat sahaja kisah Si Tanggang. Jika tidak diculik atau cintanya tidak direstui pasti dia masih berkepit di bawah ketiak ibunya. Kerana rajuknya akibat pinangannya ditolak, dia melarikan diri, diculik oleh lanun dan akhirnya menjadi kaya dan berjaya. Cuma, kesilapan Si Tanggang kerana terlalu mempunyai ego tinggi yang tidak bertempat.

Mari kita menjadi Si Tanggang yang ada 'turning point' kedua. Kita jangan perlekehkan ibu bapa dan berdendam pada orang-orang kampung yang dahulunya memandang hina pada kita. Berterima kasih dan bersedekahlah kepada mereka kerana tanpa mereka kita tidak ada 'turning point' yang pertama.
Pasti ramai yang belum lupa kisah Si Tanggang. 

Sabtu, 21 September 2013

KB Sentral, KT Sentral, JB Sentral, AS Sentral, Ipoh Sentral?

Teks: Rozida Ismail

Isnin, cuti sempena Hari Malaysia yang lalu saya ada temujanji dengan rakan niaga dari Jepun. Kebetulan yang menjadi introducer juga seorang Jepun, tetapi boleh bercakap Melayu dengan agak fasih walaupun kadang-kadang puas juga cuba memahaminya. Dia meminta saya bertemu di KL Sentral. KL Sentral? Hmm .. saya memang tidak pernah menjejakkan kaki ke situ. Tiada sebab untuk saya ke situ sehingga hari itu. Tetapi demi suatu temujanji, saya terpaksa menurut. Jika orang Jepun tahu KL Sentral, takkan saya orang tempatan tidak tahu. Sebenarnya dari rumah saya ke KL Sentral tidaklah jauh sangat. Lebih cepat berkereta jika jalan tidak sesak. Saya dihantar suami ketika pergi ke sana. Balik pula terpaksa menaiki ERL kerana saya perlu turun di Terminal Bersepadu Selatan. Saya memilih ERL kerana dari KL Sentral ke TBS hanya ada satu laluan sahaja. Tidak perlu saya menukar tren. Boleh juga menaiki komuter, tetapi keadaannya amat sesak dan berhenti di banyak stesen. Jadi, lambat sampai. Dengan menaiki ERL, kelajuannya 160 km sejam. Bayangkan, tidak sampai 10 minit saya sudah tiba di TBS. Cuma, harga tiket pastilah lebih sedikit dari tiket komuter.
Pemandangan Stesen KL Sentral (gambar dari carian google)
Buat pertama kalinya saya tiba di KL Sentral, memang keadaan di situ amat sibuk. Mungkin disebabkan cuti hujung minggu. Orang berpusu-pusu. Dapat saya bayangkan kesibukan di situ umpama Hentian Pudu Raya ketika saya masih belajar dahulu. Sudah lama juga saya tidak berkunjung ke sana. Itu juga kerana tiada sebab untuk berbuat demikian. Jika hendak digambarkan perasaan saya ketika itu, saya sangat gembira kerana akhirnya Malaysia mempunyai jaringan pengangkutan yang sangat efisien. Jika boleh, biarlah lebih banyak lagi pusat sehenti pengangkutan seperti KL Sentral wujud. Ada KB Sentral, KT Sentral, JB Sentral, AS Sentral, Ipoh Sentral dan sebagainya. Sudah sampai masanya sistem pengangkutan di pantai timur menggunakan ERL atau komuter terutama dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu. Jaraknya tidaklah jauh mana, tetapi disebabkan menggunakan Jalan Persekutuan sahaja, jadi perjalanan amat memakan masa. Agaknya jika pengangkutan seumpama itu diwujudkan di sana, pasti ekonomi orang kita di sebelah sana menjadi lebih rancak lagi. Satu hal lagi, jaringan dari KL ke Bentong juga perlu diperbaiki. Bukan setakat ada lebuh raya, tetapi buatlah juga komuter atau ERL kerana jaraknya tidaklah jauh sangat. Ramai orang Bentong berulang-alik ke KL setiap hari. Keadaan berbukit tidak menjadi masalah kerana di Itali, entah berapa banyak terowong digali untuk memudahkan laluan keretapi laju mereka. Ini juga salah satu cara untuk menjimatkan minyak.
Harapnya suatu hari nanti, keretapi laju ini membuat laluan KL - Bentong pula (gambar dari carian google)
Memang seronok berangan-angan, tetapi segalanya tidak mustahil jika negara kita kaya raya dan mempunyai 70 juta penduduk satu hari nanti.

Recycle! Save the environment.

Teks: Rozida Ismail

Pemanasan suhu global, penipisan lapisan ozon, penebangan hutan, pembakaran terbuka.. semuanya berkait rapat menyumbang pada persekitaran pada masa hadapan. Sudah terlalu banyak kita pelajari dan kita didedahkan supaya menanam sikap jangan membazir dan amalkan kitar semula dalam kehidupan seharian. Kita mungkin tidak sedar bahawa kadang-kadang sikap 'tidak apa' atau 'sikit saja' itu akan membawa petaka besar pada anak cucu kita nanti. Mungkin hidup kita tidak panjang untuk menyaksikan apa yang bakal berlaku. Tetapi kesedaran hari ini dapat mengubah keadaan hari esok.

Bagaimana kita dapat menyumbang sedikit kepada penjagaan alam sekitar? Save and recycle. Mudah sahaja, bukan? Kadang-kadang orang melabel seseorang yang banyak menyimpan dan mengitar semula barang-barang terpakai ini dengan istilah kedekut. Kedekutkah kita jika menggunakan semula diari 2009 yang tidak habis ditulis (sebab kadang-kadang kita bersemangat awal tahun sahaja, masuk bulan ketiga, dah malas nak tulis ... biasa buat?) atau yang langsung tidak bertulis (kerana mempunyai lebih daripada satu diari yang didapati percuma). Jika ada buku latihan anak-anak yang tidak habis dipakai tahun lepas, jangan dibuang. Koyakkan bahagian terpakai, jual pada tauke 'surat khabar lama ...' (baca berlagu!). Bahagian yang masih boleh digunakan itu diberi semula pada anak untuk dia buat langkah kerja matematik yang tentunya menggunapakai banyak kertas. Usah belikan writing pad atau kertas kajang baru untuk sekadar membuat latihan. Jika ada handphone atau peranti mudah alih, gunakan sahaja untuk mencatat nota. Nota sekadar untuk mengingat. Apabila sudah digunakan, padam dan masukkan pula entri lain.

Saya masih ingat, semasa kecil arwah moyang saya selalu menyimpan barang lama yang masih boleh dipakai. Beliau akan menggunakannya sehingga masuk kategori tidak boleh digunakan langsung. Kami memang menganggapnya kedekut. Arwah moyang orang kampung. Tiada siapa pun kisah apa yang beliau gunakan. Kerana itu jika seliparnya rosak sebelah, dia akan menyimpan yang sebelah lagi. Seliparnya memang selalu tidak berpasangan yang sama. Betul juga, siapa kisah jika memakai selipar lain sebelah sekadar untuk menyapu halaman rumah?
Malukah anda memakai selipar lain sebelah di kamar mandi sahaja?
Jika minda kita diasuh dengan rasa 'kedekut bertempat', saya rasa banyak yang boleh kita kitar dan guna semula di rumah. Jika suka sangat membuang, kadang-kadang barang yang masih baik pun kita buang. Mungkin niat asal untuk mengemaskan ruang rumah. Tetapi lama-kelamaan kita tidak sedar kita sebenarnya membazir. Apa-apa pun, kenalah kreatif. Bak kata slogan kitar semula, fikir dulu sebelum buang.


Isnin, 16 September 2013

Strok dan Transfer Factor

Teks: Rozida Ismail

Semalam saya pergi melawat seorang kenalan yang diserang mild stroke. Penyakit kalau nak datang, tiba-tiba sahaja. Usianya masih muda, baru masuk 40 tahun. Kenalan ini tidak menyangka bahawa apa yang dialaminya ialah simptom strok. Pada mulanya dia terasa sebelah badannya begitu berat walaupun dia tidak membawa apa-apa barang. Lantas dia pergi menemui doktor di sebuah hospital pakar swasta. Alangkah terkejutnya apabila dimaklumkan oleh doktor bahawa dia sudah mengalami strok! Alhamdulillah, dia tidak rebah di mana-mana. Maksudnya dia masih aktif berjalan sendiri.

Punca strok rupanya pelbagai, bukan setakat akibat tekanan darah tinggi sahaja. Dalam bahasa mudah, jika darah tidak sampai ke otak, maka strok mungkin terjadi dan keadaan ini selalunya disebabkan kerana arteri (pembuluh darah) tersekat di mana-mana oleh protein tinggi atau kolesterol. Perkara ini mengambil masa untuk berlaku, bertahun-tahun lamanya. Faktor yang biasa menyebabkan strok selain tekanan darah tinggi ialah kencing manis, kolesterol tinggi, diet tidak seimbang dan stress. Hmm ... kita tidak tahu, rupa-rupanya aktiviti dalam badan ini begitu aktif. Sedar tak sedar, sudah terkena penyakit. Kerana itu kita sering dinasihatkan menjaga pemakanan. Betullah bak kata pepatah, kita adalah apa yang kita makan. Kita yang pilih. Jika terlalu mengikut nafsu makan, maka tidak hairanlah pelbagai penyakit menyinggahi tubuh kita kerana kegagalan fungsi salah satu sistem dalam badan. Sebenarnya kita boleh makan apa sahaja asalkan halal, tetapi mestilah seimbang.

Saya lantas teringat tentang Transfer Factor dan minta dia mencubanya. Dari apa yang saya dengar, hospital tersebut juga menjual supplemen yang sama (cuma harganya berkali ganda mahalnya). Rupa-rupanya adik ipar beliau juga menyarankan supplemen tersebut kerana anaknya yang menghidap leukemia telah mengambil Transfer Factor. Anak itu ada dibawa bersamanya ketika melawat kenalan saya tadi. Saya lihat kanak-kanak itu begitu aktif, badannya sihat dan semangat. Kata si bapa, dua tahun lepas anaknya terpaksa menjalani kemoterapi tetapi kini selepas mengambil Transer Factor, alhamdulillah anak itu tidak perlu lagi menjalani rawatan tersebut. Saya kagum dengan kenyataan ini. Ini benar-benar testimoni secara 'live' dan bukan momokan iklan. Tambah si ibu pula, seorang doktor yang menyarankan beliau memberi Transfer Factor kepada anaknya itu.
Pelbagai produk Transfer Factor, ada yang dibuat khusus mengikut citarasa kanak-kanak.
Produk Transfer Factor ini mungkin agak mahal bagi sesetengah orang, tetapi apa pun penyakit pasti memerlukan perbelanjaan yang besar untuk memulihkannya. Lebih baik kita berbelanja sedikit supaya penyakit yang dideritai tidak melarat. Jika sudah melarat, banyak masa, tenaga dan perbelanjaan untuk rawatan diperlukan.

Berbalik pada strok, jika seseorang mengalami tanda-tanda seperti di atas, sebenarnya ada 3 cara mudah untuk mengesan sama ada dia mendapat serangan strok (simptom strok):
1. Minta dia senyum dengan menampakkan giginya. Jika mukanya herot, itu tanda-tanda awal. Kaedah ini 74% berkesan.
2. Minta dia pejamkan mata dan angkat kedua-dua tangan ke paras dada selari. Kira sampai 10. Tangannya akan jatuh dengan cepat jika dia diserang strok. Kaedah ini 97% berkesan.
3. Ungkapkan satu ayat dan minta dia ikut kata-kata anda. Jika dia payah menyebutnya, suaranya bertukar atau lupa perkataan mudah, bermakna ada simptom strok. Kaedah ini 96% berkesan.

Peringatan ini buat diri saya dan anda semua yang saya sayangi, jaga kesihatan. Buat pemeriksaan kesihatan berkala. Cuma, dalam berjaga-jaga itu kita juga masih terkena. Allah Maha Mengetahui, setiap yang diturunkanNya pada kita pasti ada sebab-sebab tertentu. Wallahua'lam.

Sabtu, 14 September 2013

Bengkel Penulisan Buku Bergambar

Teks: Rozida Ismail

Hari ini berlangsung dua bengkel penulisan buku bergambar serentak di dua lokasi yang berbeza. Saya terlibat dalam kedua-duanya secara langsung dan tidak langsung. Secara langsung bermakna saya antara yang mengendalikan bengkel tersebut. Secara tidak langsung bermaksud saya hanya menjadi panel penilai dan editor buku tersebut.

Tujuan kedua-dua bengkel adalah untuk mengasah bakat yang terpendam dalam individu sama ada dalam bidang penulisan mahupun bidang ilustrasi. Daripada bengkel tersebut saya dapat lihat ada dua keadaan. Semua peserta sangat bersemangat hendak menghasilkan karya masing-masing. Semangat dilihat dari sudut membina karya dan juga membuat ilustrasi. Mula-mula pening untuk memerah idea. Bila sudah dapat idea, kenalah membina skrip. Dari skrip disusun pula mengikut muka surat. Kemudian membina storyboard. Beberapa kali berbengkel dan berjumpa dengan pembimbing akhirnya nampak keghairahan itu semakin menurun. Mungkin kerana terpaksa membetulkan karya beberapa kali. Memang bukan mudah sebenarnya menulis buku kanak-kanak. Kita terpaksa berfikir cara kanak-kanak. Jangan berfikir secara orang dewasa. Apa yang kita fikir kanak-kanak suka tidak semestinya tepat. Selalunya kita melihat dari sudut bahasa dan ilustrasi. Tetapi kanak-kanak melihat cerita dan karektor dalam buku yang dibacanya. Kanak-kanak juga sering bertanya, kenapa itu, kenapa ini. Jadi, watak dan karektor mestilah selari dan konsisten dari mula sampai akhir. Jangan dari awalnya watak kelihatan gemuk tetapi di penghujung cerita sudah menjadi kecil dan kurus (kecuali ada sebab-sebab tertentu yang membuatkan dia berubah).

Nasihat saya, jika hendak menulis buku kanak-kanak, bergaullah dengan kanak-kanak. Lihat cara mereka bermain, berfikir dan bertanya. Itulah sebenarnya menjadi kegemaran mereka. Jangan menjadi orang dewasa dalam dunia kanak-kanak. Jika menulis, tulislah ikut gaya bahasa kanak-kanak, iaitu ayat tidak terlalu panjang. Bahasa yang digunakan biarlah yang mudah kerana tujuan awal membuat buku bergambar kanak-kanak ialah untuk menarik minat mereka membaca. Apabila mereka sudah lancar membaca, berilah buku yang lebih banyak teks. Barulah bacaan menjadi seronok. Untuk permulaan, tema yang dibawa janganlah terlalu berat. Jika tema yang diketengahkan membuatkan kanak-kanak terpaksa berfikir, mungkin mereka cepat jemu dengan buku itu. Yalah, baru hendak belajar membaca sudah diasak dengan tema yang berat. Pada peringkat awal, berikan tema yang ringan, lucu, dan gembira supaya mereka seronok membaca. Sebaiknya buatlah sedikit 'pilot study'. Beri buku yang telah ditulis dan diilustrasikan itu kepada kanak-kanak yang sesuai dengan umurnya. Jika kategori buku bawah 7 tahun, mintalah anak atau adik di sekolah tadika membacanya. Jika dia suka, teruskan mewarna buku itu. Jika tidak, pasti ada yang tidak kena dengan karya kita.

Sekian, selamat berkarya.

Jumaat, 13 September 2013

Tazkirah pagi Jumaat

Teks: Rozida Ismail

Salam Jumaat,
Hari ini berkesempatan menghadiri majlis solat hajat di sekolah anak sempena minggu peperiksaan yang bakal bermula tidak lama lagi. Selesai bacaan Yaasin, kami melakukan solat sunat dhuha, kemudian solat sunat taubat dan diakhiri dengan solat sunat hajat. Sebelum bersurai, ada pula majlis tazkirah atau lebih tepat dinamakan sebagai kata-kata motivasi daripada seorang penceramah yang khabarnya sahabat Ustaz Don Daniyal. Yalah, tak dapat Ustaz Don, sahabatnya pun jadilah ... asalkan ilmu yang dimiliki adalah sama.

Tazkirahnya disulami gelak ketawa para pelajar. Pandai ustaz ini mengawal audiensnya supaya tidak tertidur. Memang bukan mudah hendak membuat pelajar duduk mendengar ceramah agama selama 1 jam tidak berganjak ke mana-mana. Apatah lagi semua pelajar ini 'dipaksa' mendengar ceramah. Jika mereka diberi pilihan, saya percaya ruang solat di sekolah itu tidak akan penuh. Bila ustaz buat lawak, teringat pula saya pada pelawak Nabil. Lawaknya tidak dapat dibaca atau lebih senang cakap, tidak stereotype.

Mari saya kongsikan sedikit apa yang saya dapat hari ini secara ringkas. Anggaplah saya hadiahkan ilmu kepada anda sambil-sambil anda membaca. Sekurang-kurangnya saya memanjangkan pahala untuk ustaz dan juga para guru dan PIBG yang berusaha untuk menyampaikan ilmu ini kepada anak-anak kita.

Ustaz mengingatkan bahawa dalam usaha seharian, kita hendaklah menjaga hubungan kita dengan Allah SWT dan baginda Nabi SAW. Bagaimana menjaga hubungan itu? Dengan Allah, kita jagalah solat lima waktu. Jangan pula solat lima waktu tetapi wuduknya 3 kali sahaja sehari. Bermakna seperti 'menjamakkan' solat zuhur dengan asar dan solat maghrib dengan isyak. Yang sebenarnya kita melengah-lengahkan waktu solat sehingga mengambil satu wuduk untuk dua solat yang berlainan. Bohonglah jika selama hidup ini solat kita sentiasa perfect pada waktunya. Saya sendiri kadang-kadang terlajak juga apabila terperangkap dalam kesesakan jalan raya dan terpaksa bersolat di penghujung waktu. Maka, buatlah solat sunat taubat. Ustaz kata, kita selalu berdoa minta macam-macam daripada Allah tetapi dengan Allah selalu pula kita berkira. Kata ustaz lagi, hendak mengingati baginda Nabi SAW pun mudah. Cukup sekurang-kurangnya kita berselawat dan hadiahkan baginda al-Fatihah selepas solat. Nabi SAW sentiasa mengingati umatnya sehingga ke akhir hayat baginda tidak lekang di bibirnya, "ummati, ummati, ummati ..."

Selain itu, ustaz juga mengingatkan supaya menjaga hubungan dengan ibu bapa, guru-guru, kawan-kawan dan alam sekitar. Untuk ibu bapa, selalulah doakan mereka dan sedekahkan al-Fatihah. Memang sebenarnya ibu bapa tidak pernah tidak mendoakan yang baik-baik untuk anak mereka. Guru juga perlu dihormati. Ustaz bagi contoh, Imam al-Ghazali juga pernah mengangkat seorang penyamun sebagai guru. Ini kerana penyamun itu mengingatkan dia tentang dosa berbohong (ketika hendak disamun). Setelah digoogle, saya terjumpa cerita penuh tentang hal ini di wikipedia:

"Setelah tamat belajar di Jurjān, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī pun pulang ke Ţūs pada tahun 470 Hijrah. Dia telah mengikat nota-nota pelajarannya itu di dalam sebuah bungkusan dan kemudian telah bertolak bersama sebuah kafilah. Di tengah-tengah perjalanan, kafilah itu telah ditahan oleh sekumpulan penyamun yang telah merampas harta setiap anggota kafilah itu.
Ketika sampai giliran al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī pula, setiap barang kepunyaannya telah digeledah dan dirampas oleh kumpulan penyamun itu. Ketika penyamun-penyamun itu menyentuh bungkusan nota-notanya, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah berkata, "Ambillah semua yang engkau mahu, tetapi jangan engkau ambil bungkusan ini."
Penyamun-penyamun itu pula telah menyangka yang bungkusan itu mungkin mengandungi harta-harta yang amat berharga. Mereka pun membuka bungkusan itu. Tetapi mereka hanya menjumpai beberapa helai kertas yang sudah bertulis. Mereka pun bertanya, "Apa ini?"
Al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah menjawab, "Ini adalah hasil titik peluhku. Kerananya, aku telah meninggalkan kampung halamanku agar aku dapat mendengar, menulis dan memperolehi ilmunya."
Seorang anggota kumpulan penyamun itu telah ketawa dan telah berkata, "Bagaimanakah engkau boleh mendakwa yang engkau telah memperolehi ilmunya? Andaikata kami rampas bungkusan ini, engkau akan kehilangan ilmunya. Ilmu yang tersimpan di dalam beberapa helai kertas bukanlah ilmu yang sebenar!"
Bungkusan nota-nota itu pun dikembalikan kepada al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī. Kata-kata daripada si penyamun itu telah menyebabkan al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī tersedar dan mengubah cara dia berfikir.
Beberapa tahun kemudian, ketika dia mengingati kembali peristiwa ini, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah berkata, "Kata-kata daripada lelaki itu sebenarnya adalah kata-kata yang telah digerakkan (yakni diilhamkan). Allah telah menggerakkannya untuk berkata dengan kata-katanya itu, agar aku dapat menerima petunjuk. Apabila aku sampai semula di Ţūs, aku telah bekerja keras selama tiga tahun, sehingga aku telah berjaya menghapal segala yang telah aku tulis."
Al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī juga telah berkata, "Sebaik-baik nasihat dan teguran yang telah menyebabkan aku mengubah cara aku berfikir, telah datang daripada seorang penyamun jalanan!"

Betapa hebatnya cara berfikir seorang yang positif! Ingin baca cerita penuh, di sini. Berbalik tentang tazkirah yang saya dengar pagi tadi, ustaz juga mengingatkan supaya menjaga hubungan dengan kawan-kawan dan alam sekitar. Jangan dizalimi haiwan dan tumbuh-tumbuhan kerana jika kita berbuat baik kepada mereka, mereka akan berzikir dan mendoakan mereka. Bayangkan jika dedaunan di pokok, burung-burung di udara mendoakan kesejahteraan kita. Ustaz akhirnya merumuskan tazkirahnya seperti berikut:
D - doa, doa adalah senjata orang mukmin
U - usaha, usaha dengan istiqomah
I - ikhtiar, berusahalah dengan mengharapkan bantuan daripada Allah
T - tawakal, berserahlah segala-galanya pada Allah Taala.

Alhamdulillah, hari ini Allah melapangkan waktu saya untuk mengikuti tazkirah ini. Terima kasih Allah. Saya mohon maaf seandainya ilmu yang saya kongsi hari ini longgar di sana sini. Wassalam.

Ahad, 8 September 2013

Masa itu emas

Teks: Rozida Ismail

Masa bagi sesetengah orang terlalu banyak. Dalam sehari, begitu banyak masa terluang untuk melakukan pelbagai hobi. Dan hobi paling mudah dan memakan banyak masa ialah tidur. Beruntunglah sesiapa yang mempunyai banyak masa untuk melakukan hobi seperti itu. Tetapi bagi kebanyakan orang pula, masa terlalu sedikit. Walaupun satu hari diperuntukkan 24 jam, namun mereka terkejar-kejar untuk melakukan banyak tugasan seharian. Tugasan rumah, pejabat, sosial, kemasyarakatan dan sebagainya.

Tidak kira sama ada masa untuk kita habiskan sedikit atau banyak, kita perlu pandai membahagikan dan mengadakan masa. Inilah yang sering menjadi kemusykilan pada semua orang. Mana satu tugas yang patut didahulukan dan yang mana pula patut dikemudiankan. Sebenarnya hanya diri sendirilah yang tahu mana satu tugasan yang penting dan perlu disegerakan berbanding tugasan penting yang boleh ditangguhkan (urgent vs. important). Kerana itu pepatah orang dulu-dulu mengatakan masa itu emas. Pepatah  Arab mengatakan ‘Masa adalah ibarat pedang, jika kita tidak memotongnya, maka ia akan memotong kita'. Pepatah Inggeris pula mengatakan 'time is money'. Semua masyarakat menghargai masa sebagai sesuatu yang sangat berharga kerana ia tidak boleh diputar kembali. Masa yang sudah berlalu takkan dapat diganti walau menangisinya dengan air mata darah sekali pun.



Hargai masa, jangan biarkan ia terbuang begitu sahaja.
Sekiranya kita mempunyai banyak kerja dan perlu dilakukan dalam tempoh masa yang terhad, eloklah kita merancang masa terlebih dahulu. Susun aktiviti mengikut keutamaan dan kepentingan. Seringkali kita terperangkap dalam sesuatu aktiviti yang melekakan menyebabkan perkara yang lebih penting terpaksa dikorbankan. Contohnya, jika anda seorang pelajar dan anda tahu peperiksaan akan menjelang tidak lama lagi, masa yang ada memang sedikit untuk mengulang kaji kerana peperiksaan sudah hampir. Semua subjek penting kerana perlu diulang kaji. Jadi, manakah yang patut didahulukan atau dikemudiankan? Susunlah masa  mengulang kaji mengikut keutamaan. Jika anda lemah dalam subjek Matematik dan Sains, berilah lebih masa untuk subjek tersebut. Matematik perlukan banyak praktis, gunakan masa di sebelah petang. Kemudian, berehatlah seketika. Gunakan masa di sebelah malam pula untuk mengulang kaji subjek Sains. Beri tumpuan kepada topik yang lemah. Buatlah analisis, topik mana yang popular dan sering ditanya dalam peperiksaan. Selalunya buku-buku ulang kaji yang terdapat di pasaran pasti memberi tip tentang hal ini. Jangan belajar semberono kerana anda sudah tidak mempunyai cukup masa lagi! 

Satu hal lagi yang penting, adakan masa untuk tidur yang cukup. Jangan berjaga keterlaluan kerana ingin mengulang kaji. Anda tidak dapat apa-apa faedahnya. Saya pernah bersekang mata mengulang kaji sehingga jam 3 pagi. Tetapi apa yang saya dapat besoknya, saya terasa benar-benar kosong. Kertas soalan yang dipandang nampak berbalam-balam. Soalan yang senang juga berasa susah kerana saya sudah 'blank'. Tetapi mujurlah nasib menyebelahi saya, saya lulus kertas itu walaupun 'hanya cukup-cukup makan'. Peristiwa itu memberi pengajaran kepada saya. 

Entri ini khusus buat anak-anak yang bakal menduduki peperiksaan bermula minggu hadapan. Selamat maju jaya dan semoga usaha yang telah dilakukan selama ini membuahkan hasil. Amin.



Khamis, 5 September 2013

Harta Intelek - paten, trademark atau hak cipta?

Teks oleh: Rozida Ismail

Jika bercakap tentang harta intelek, mungkin ramai yang tidak dapat menggambarkan bagaimana sebenarnya dikatakan harta intelek atau selalu disebut sebagai IP (intellectual property) sahaja. Tetapi pastinya kita pernah mendengar tentang hak cipta, trademark, dan paten. Apakah beza ketiga-tiganya?


Hak Cipta


Hak cipta melindungi pengkarya ke atas pengkaryaan asal. Karya ini termasuklah karya sastera, drama, muzik, seni dan kerja-kerja intelektual lain sama ada yang telah diterbitkan atau belum. Akta Hak Cipta 1987 pindaan 2012 melindungi pengkarya dan memberi hak eksklusif untuk menerbitkan semula karya, melakukan kerja-kerja penerbitan dan mengedarkannya, serta menyiarkannya kepada awam. Hak cipta melindungi sesuatu karya dalam bentuk ekspresi. Contohnya, hak cipta sebuah novel hanya melindungi kandungan novel tersebut. Tetapi hak ini tidak menghalang orang lain untuk membuat ulasan tentang novel tersebut atau membacanya.
Hak cipta penulisan buku ini dipegang oleh Margaret, manakala
hak cipta ilustrasi adalah kepunyaan anaknya, Su Jen.

Trademark (cap dagangan)
Trademark ialah satu perkataan, nama, simbol atau alat yang digunakan dalam perniagaan untuk menunjukkan sumber barangan tersebut dan membezakannya daripada barangan lain. Hak trademark menghalang seseorang untuk menggunakannya untuk tujuan mengelirukan pengguna. Bagaimanapun ia tidak menghalang orang lain untuk menjual barangan atau perkhidmatan yang sama bawah trademark lain.
Logo ini adalah cap dagangan perniagaan saya. Tetapi masih belum didaftarkan sebagai trademark.

Paten 
Paten ialah hak eksklusif untuk sesebuah ciptaan baru sama ada berbentuk barangan atau proses yang memberi cara terbaru untuk menghasilkan sesuatu barangan atau menyelesaikan sesuatu masalah. Paten memberi hak kepada pencipta untuk menghalang orang lain daripada membuat, menggunakan, menjual ciptaan tersebut. Contohnya jika anda berjaya membuat inovasi baru dalam teknik penyelesaian masalah matematik dengan cepat dan tepat, anda boleh mempatenkan kaedah anda itu supaya tidak ditiru oleh orang lain.   Walau bagaimana pun hak paten hanya terhad kepada 20 tahun sahaja.

Selasa, 3 September 2013

Kelas Asas Blog dan Fanpage

Teks: Rozida Ismail

Assalamualaikum,
Mungkin ramai yang sudah tahu bagaimana hendak membuat blog sendiri kerana ia tidaklah sesusah mana. Template sudah tersedia dan anda hanya ikut sahaja apa yang dinyatakan. Hanya dua tiga klik, terhasillah blog anda. Jadi, mengapa perlu lagi untuk mengikuti kelas asas blog dan fanpage?

Tetapi ramai antara yang menghasilkan blog itu hanya ghairah menulis ketika baru menghasilkan blog sahaja. Kemudian, tinggallah blog itu tanpa 'berusik' sekian lama. Umpama rumah yang sudah siap tetapi dibiarkan kosong tanpa penghuni. Kadang-kadang ada yang mempunyai banyak blog, tetapi hanya mengemas kini blog tertentu sahaja. Ini kerana mereka sudah kekeringan idea untuk menulis.

Sebelum mengikuti kelas asas penulisan blog, saya sendiri telah mempunyai blog. Tetapi blog saya kurang dikunjungi. Ini membuatkan saya berasa rendah diri. Orang tidak mahu membaca tulisan saya. Lama kelamaan saya tidak lagi rajin mengemas kini blog tersebut.
Tetapi apabila ternampak promosi tentang kelas asas blog dan fanpage dengan harga yang sangat murah di facebook, saya terasa ingin mencuba. Yuran kelas ini sebenarnya sangat murah dibandingkan kelas pembinaan blog yang pernah saya hadiri. Sekiranya anda tidak ada budget yang besar atau masa yang banyak untuk menghadiri kelas atau seminar berblog, saya nasihatkan anda sertai kelas ini sahaja. Memanglah setiap kelas mempunyai cara dan ilmu yang berlainan. Tetapi sesuai dengan namanya 'Kelas Asas' maka semua yang asas anda boleh dapat di sini. Yang paling penting, guru anda 'hadir' di rumah atau di mana-mana sahaja pada masa-masa senggang anda. Anda yang pilih dan tetapkan masanya.

Saya merasakan pengetahuan dan pengalaman yang saya dapat daripada Kelas Asas Blog dan Fanpage yang dikendalikan oleh sifu Masayu Ahmad dan Anys Idayu Zakaria sangat praktikal dan membantu. Apa lagi yang anda mahu, Puan Masayu Ahmad merupakan blogger terkenal. Hasil kerjanya mendapat liputan di akhbar-akhbar tempatan. Manakala, Anys Idayu Zakaria (anysidayu.blogspot.com) merupakan anak didik beliau yang membantu sebagai tenaga pengajar yang bertauliah.
Petikan dari akhbar Utusan Malaysia  14.2.2013. Sumber: belajarasasblog.blogspot.com

Liputan di Harian Metro 11.1.2013. Sumber: http://naufalsayang.blogspot.com
Tip dan panduan yang diberikan oleh guru-guru Kelas Asas Blog ini memang menjadi. Jangan risau, jika anda tidak mahir IT, mereka akan beri tunjuk ajar. Yang penting anda perlu buat sendiri. Selain mendapat panduan secara 'live', anda juga akan dimasukkan dalam komuniti blogger yang besar dan mereka akan membantu menaikkan bilangan pengunjung ke blog anda. Inilah perkara yang paling penting, saling bekerjasama untuk mempromosi blog. Masing-masing ada kelebihan dan keistimewaan.  Anda tidak perlu berasa rendah diri jika anda masih baru  dalam dunia blogging. Mungkin cerita yang biasa bagi anda adalah cerita luar biasa bagi orang lain. Nasihat saya, jangan dengar kata-kata saya, tetapi cuba sendiri dan nilai keberkesanannya.

Isnin, 2 September 2013

Susahnya tak ada air!

Teks oleh: Rozida Ismail

Sehari sebelum Merdeka, penduduk di Lembah Klang dikejutkan dengan berita bahawa bekalan air akan terganggu disebabkan berlakunya tumpahan minyak diesel di salah sebuah sungai di Selangor. Tumpahan diesel itu mencemarkan loji simpanan air di Kuala Selangor. Dikhabarkan bahawa usaha untuk membersihkan pencemaran sungai tersebut memakan masa selama seminggu! Pastinya semua orang akan mengeluh kerana sekarang musim perayaan. Banyak rumah mengadakan majlis rumah terbuka. Walaupun kebanyakan rumah menggunakan pinggan dan cawan polisterin tetapi tempat yang paling kritikal ialah tandas! Tentulah tetamu yang berkunjung memerlukan tandas. Dua hari selepas berita tentang gangguan bekalan air diumumkan, saya berhenti di dua buah stesen minyak di lokasi berbeza untuk solat. Malangnya belum sempat masuk, sudah dimaklumkan bahawa air tiada. Bergegas-gegas pula orang membeli air mineral untuk berwuduk. Dalam keadaan begini, eloklah terus sahaja ke masjid atau surau kerana kedua-dua tempat ini selalunya mempunyai kolah. Air memang sentiasa ada untuk berwuduk.

Keadaan sungai tercemar oleh tumpahan diesel.

Sekiranya masalah bekalan air berlarutan, apakah yang harus dibuat? Kalau rumah kita berdekatan sungai, bolehlah juga mengambil air untuk mencuci, dengan syarat sungai tersebut tidak tercemar.  Air minuman pula boleh didapati dari air mineral. Masa inilah tauke air mineral sibuk melipatgandakan bekalan kerana permintaan yang tinggi. Lebih kurang beberapa bulan lepas, kawasan tempat tinggal saya juga mengalami masalah bekalan air yang agak lama. Ada beberapa kedai terpaksa menutup perniagaan buat sementara. Pelajar pula tidak ke sekolah kerana tidak ada air untuk mandi. Apabila air tidak ada, semua orang menghadapi masalah. Jika keadaan ini berterusan dan kita tidak dapat bertoleransi lagi dengan keadaan tersebut, eloklah pergi bercuti buat beberapa hari di kawasan yang ada air, seperti balik ke kampung. Selain menyelesaikan masalah ketiadaan air, boleh juga menjenguk orang tua di kampung. Jika kampung terlalu jauh, bolehlah bercuti ke taman tema air untuk melepaskan geram. Setidak-tidaknya, carilah kawasan air terjun. Alihkan masalah ketiadaan air itu kepada sesuatu yang positif. Barulah hati tidak merasakan satu bebanan besar perlu dilalui. Memanglah perlu mengeluarkan sedikit belanja, tetapi jika menghadapi masalah ketiadaan air di rumah juga perlu mengeluarkan belanja tambahan. Kadang-kadang terpaksa juga mengambil cuti untuk menunggu lori air datang ke rumah.


Ahad, 1 September 2013

Persidangan atau konferens?

Teks: Rozida Ismail

Assalamualaikum,
Pagi ini kita berbincang masalah penggunaan bahasa pula. Mungkin bukan masalah bagi anda, tetapi kadang-kadang saya terkeliru perkataan mana yang lebih tepat untuk digunakan. Saya telah menyusun perkataan yang menggambarkan aktiviti hampir sama dan mencari maknanya dengan merujuk Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) Dewan Bahasa dan Pustaka. Berikut adalah perkara yang telah saya usahakan:

Bil
Perkataan
Makna
1.
Mesyuarat
rundingan utk membincangkan sesuatu atau utk mencari sesuatu ketetapan
2.
Bengkel
mesyuarat (perbincangan dsb) secara berkelompok utk mengkaji sesuatu atau bertukar-tukar pendapat (idea dsb) tentang sesuatu
3.
Seminar
perjumpaan utk menyelidik dan membahaskan sesuatu masalah di bawah pimpinan orang-orang yg ahli dlm hal itu.
4.
Persidangan/konferens
perjumpaan utk membincangkan sesuatu
5.
Kongres
mesyuarat besar antara wakil-wakil pertubuhan (politik, sosial, budaya, dsb) utk membincangkan sesuatu isu dsb
6.
Muzakarah (Arab)
perbincangan atau pertukaran pendapat ttg sesuatu masalah, kemusykilan dsb.
7.
Muktamar (Arab)
persidangan besar; kongres
8.
Nadwah (Arab)
mesyuarat, perhimpunan, majlis
9.
Syura (Arab)
mesyuarat (utk mencapai keputusan menurut suara terbanyak)
10.
Konvensyen
1. persidangan ahli-ahli pertubuhan politik (perniagaan dll) utk membincangkan sesuatu perkara
2. perjanjian antarabangsa (antara negara, pemerintah, dsb)
11.
Simposium
pertemuan antara para cendekiawan, pakar, dsb utk membincangkan sesuatu persoalan, perkara, dsb
12.
Kolokium
perjumpaan, seminar atau persidangan utk membincangkan perkara yg bersifat ilmiah.
13.
(Majlis) dialog
pertukaran pendapat dan soal jawab mengenai sesuatu
14.
Ceramah
ucapan ttg sesuatu perkara, ilmu pengetahuan dll
15.
Tazkirah
Ceramah ringkas
16.
Pidato
ucapan atau syarahan yg diberikan di hadapan orang ramai
17.
Syarahan
ucapan yg diberikan
18.
Kuliah
1. pelajaran yg disampaikan secara bersyarah (berpidato) oleh mahaguru atau pensyarah di universiti atau maktab, syarahan;
2. ceramah agama

Persidangan atau konferens adalah dua perkara yang sama. PRPM menggunakan perkataan persidangan kerana konferens diambil daripada perkataan bahasa Inggeris, Conference. Dalam PRPM tidak ada istilah konferens. Mungkin istilah ini diambil daripada bahasa Indonesia.

Jadi sekarang, sekiranya anda menulis, pilihlah penggunaan istilah yang tepat untuk menggambarkan suatu perbincangan sama ada yang berskala besar atau kecil.