Selasa, 21 Januari 2014

Checklist untuk masuk asrama

Teks: Rozida Ismail

Anak ketiga saya terpaksa dikeluarkan dari asrama kerana tidak dapat menyesuaikan dirinya dengan kehidupan baru. Baru dua hari ditinggalkan, dia asyik menangis sahaja. Alasannya, pening. Mungkin stres akibat orientasi. Selepas dia kembali ke rumah, abangnya pula dipanggil menjalani latihan khidmat negara. Abang yang baru menamatkan peperiksaan SPM terpaksa 'kembali' semula dengan kehidupan asrama tetapi dalam tempoh tiga bulan sahaja. Kalau ada rezeki Abang untuk ke universiti selepas itu,  Abang akan kembali berkampung di asrama. Bezanya asrama universiti lebih bebas daripada asrama sekolah. Hari ini, anak kedua saya yang dipanggil Kakak pula akan berpindah ke asrama pada tarikh yang belum ditetapkan lagi. Makluman tawaran sudah diterima.

Berikutan dengan tawaran silih berganti, saya juga terpaksa menyediakan pelbagai kelengkapan untuk digunakan di asrama nanti. Kebanyakan sekolah ada menyediakan senarai semak, tetapi berkaitan dengan pakaian sekolah dan perkara asas seperti cadar dan selimut yang ada dijual di koperasi sekolah. Jadi, kelengkapan lain terpaksa difikirkan sendiri. Saya pasti, ibu-ibu akan sibuk menyediakan kelengkapan sebegini dan pastinya ia terbeban di bahu ibu. Kaum bapa pula agak jarang memikirkan kelengkapan anak-anak kerana mungkin redho (maaf ... saya lebih suka ejaan begini) dengan sifat perempuan itu memang agak teliti dan ... cerewet (?). Jadi di sini saya ingin kongsikan perkara yang perlu disediakan sebelum anak-anak berangkat ke asrama. Bilangan yang dinyatakan ialah bilangan minimum. Jika anda rasakan ada keperluan lain yang perlu ditambah, saya amat mengalu-alukannya. Silalah tambah di ruangan komen. Semoga ia menjadi satu checklist yang lengkap untuk kita.

Pakaian:
1. Pakaian sekolah (3 pasang)
2. Pakaian harian (3 pasang)
3. Pakaian sukan (3 pasang)
4. Pakaian tidur (3 pasang)
5. Telekung / baju Melayu / baju kurung (2 pasang)
6. Kasut sekolah (2 pasang)
7. Kasut sukan (1 pasang)
8. Stoking untuk kasut sekolah dan stoking untuk harian (3 pasang)
9. Pakaian dalam (5 pasang)
10. Tudung sekolah/ tudung ke bilik air/ tudung bersukan/ tudung harian
11. Songkok (1)
12. Kain pelikat/ kain batik (2)
13. Selipar jepun (1)
14. Sandal (1)

Peralatan peribadi:
1. Baldi basuh pakaian - 1
2. Baldi kecil untuk mengisi toiletries (elok gunakan baldi kecil supaya senang dijadikan pencebok jika perlu) - 1
3. Berus pakaian (1), penyepit kain (1 set), hanger (2 dozen)
4. Sabun basuh (1), sabun mandi (1), pencuci muka (1)
5. Berus gigi (1) dan ubat gigi (1)
6. Sikat, syampu, getah ikat rambut, sepit, cekak, tweezers, shaver, bedak, deoderan dan minyak rambut
7. Cotton bud, kapas muka (jika perlu), tuala wanita (+ surat khabar lama) dan pengetip kuku
8. Jam loceng
9. Lampu suluh
10. Tisu
11. Tuala mandi dan tuala kecil
12. Cermin muka
13. Beg kelas tambahan (selain beg sekolah)
14. Beg outing (pilihan)
15. Purse atau wallet
16. Mangga kunci (padlock)
17. Cadar, selimut dan sarung bantal (biasanya ada dijual di sekolah)
18. Ubat-ubatan, suplemen dan makanan berkhasiat yang tidak mudah basi seperti kismis

Kelengkapan lain:
1. Al-Quran
2. Surah Yasin
3. Beg untuk mengisi telekung

Yang pasti, buku-buku sekolah, peralatan menulis dan kalkulator jangan dilupa kerana itulah tujuan masuk asrama, untuk memberi tumpuan lebih kepada pelajaran!



Selasa, 14 Januari 2014

Bagaimana Mengangkat Karya Seni ke Peringkat Antarabangsa - Tips oleh Pak Yusof Gajah

Teks: Rozida Ismail

Dalam sesi perkongsian oleh AJK MBBY tempoh hari, Pak Yusof Gajah tampil memberi tips bagaimana karyanya diterima di peringkat antarabangsa. Beliau juga berkongsi pengalamannya menjadi juri di The Nami Island International Illustration Concours (NiiC), satu pertandingan ilustrasi bertaraf antarabangsa yang diadakan di Nami Island, Korea.
Gaya seorang ilustrator, Pak Yusof Gajah. Nama Yusof Gajah diperoleh kerana
beliau sangat gemar mengetengahkan subjek gajah dalam ilustrasinya.

Kata Pak Yusof, yang dipentingkan di peringkat antarabangsa ialah bukan cantiknya lukisan itu, tetapi jati diri yang diterapkan dalam lukisan. Misalnya lukislah orang Melayu yang betul-betul Melayu dan menggambarkan situasi sebenar dalam kehidupan harian. Seseorang pelukis perlulah bersungguh-sungguh menghasilkan karyanya. Pak Yusof juga berpesan agar tidak lokek untuk membeli bahan untuk dijadikan rujukan dan banyakkan membuat latihan. Kebanyakan pelukis kurang membuat kajian dan kurang bersungguh-sungguh dalam penghasilan karya.

Pak Yusof juga berkongsi cerita bahawa ketika beliau memasuki pertandingan ini satu masa dahulu, beliau menghasilkan lukisan ala keanak-anakan. Isterinya mahukan dia menghantar lukisan yang dilukis sempurna. Sehingga ketika mendapat surat memaklumkan tentang kemenangannya, isterinya melihat senarai nama yang terkebawah kerana tidak menjangkakan bahawa dia akan menjadi pemenang utama. Beliau juga memaklumkan bahawa beliau pernah berbelanja sebanyak RM3,000 untuk menghasilkan sebuah lukisan sedangkan hadiah kemenangan tidak sampai sebanyak itu. Segala pengalaman Pak Yusof ini sebenarnya membuktikan bahawa betapa seorang ilustrator ini perlu bersungguh-sungguh dalam menghasilkan karya dan tidak melakukan kerja ala kadar sahaja.

Memang benar, saya juga melihat ada antara pelukis buku kanak-kanak yang hendak menyiapkan karya dengan cepat. Mereka tidak sabar hendak melihat hasil lukisan mereka dibukukan. Walhal banyak perkara yang perlu diberi penekanan dan jika fasilitator mengkritik karya, perlulah diterima dengan hati terbuka bagi mendapatkan hasil terbaik. Banyak sebenarnya yang perlu dipelajari dan diambil iktibar daripada orang yang berjaya. Sesungguhnya kejayaan itu tidak akan datang dengan mudah. Orang yang berjaya selalunya membuat pengorbanan yang besar dari segi masa, tenaga dan wang ringgit. Barulah hasilnya juga setimpal dengan usaha.

Pada akhir bicaranya, Pak Yusof memberi sedikit tip bagaimana  karya mudah menarik perhatian juri. Pertama, lukislah subjek dengan besar supaya jelas kelihatan di mata juri. Kedua, pastikan karya ada unsur tempatan. Antara pertandingan lukisan buku kanak-kanak di peringkat antarabangsa yang boleh disertai selain NiiC ialah The Biennial of Illustration Bratislava (BIB) dan Hans Christian Anderson Award. Jika anda ingin menguji sejauh mana minat anda dalam bidang seni boleh diketengahkan, maka cubalah sertai pertandingan tersebut. Ingat, aplikasikan segala pesanan Pak Yusof. Sebaik-baiknya, pergilah berguru dengan orang yang telah berjaya. Insya-Allah, dengan ilmu, mentor dan kesungguhan, semua orang pun boleh berjaya.

Ahad, 12 Januari 2014

Majlis Buku Kanak-kanak dan Remaja Malaysia (MBBY)

Teks: Rozida Ismail

11.1.14. Tarikh ini bukanlah tarikh istimewa atau tarikh yang unik. Hari ini berlakunya beberapa peristiwa yang perlu dikongsi bersama. Sabtu kedua dalam tahun 2014 ini dihabiskan dalam majlis perkongsian MBBY - sebuah badan NGO yang memperjuangkan sastera kanak-kanak dan remaja di Malaysia.

Bagi penggiat sastera kanak-kanak, nama badan ini bukanlah asing. MBBY (Malaysia Board on Books for Young People) atau Majlis Buku Kanak-kanak dan Remaja Malaysia merupakan cawangan negara bagi IBBY (International Board on Books for Young People). IBBY dianggotai oleh 76 buah negara termasuk Malaysia. IBBY beribu pejabat di Basil, Switzerland. Menariknya, Presiden IBBY kini ialah orang Malaysia, Encik Ahmad Redza Ahmad Khairuddin. Beliau juga adalah Presiden MBBY. Maklumat lanjut tentang MBBY boleh didapati di sini.

Banyak kegiatan yang dilakukan oleh MBBY bagi merancakkan industri buku kanak-kanak di Malaysia. Antara aktiviti yang dijalankan tahun lepas ialah Festival Sastera Kanak-kanak dan Bengkel Bercerita Melalui Teknik Kamishibai. Selain itu ada juga perkongsian ilmu dengan tokoh luar negara seperti Bicara Bersama Mr Woo-hyon Kang, CEO Nami Island. Untuk makluman, selain terkenal dengan Winter Sonata, di Nami Island juga berlangsungnya Nami Island International Children's Book Festival setiap dua tahun sekali.

MBBY juga menganjurkan bengkel ilustrasi dan penulisan buku cerita kanak-kanak bagi mengangkat martabat karya kanak-kanak kita ke peringkat antarabangsa. Bengkel ini dikendalikan oleh ilustrator terkenal, Mohd Yusof Ismail atau lebih dikenali sebagai Pak Yusof Gajah. Karya Pak Yusof Gajah sudah diterima di peringkat antarabangsa. Beliau juga tidak lokek ilmu membimbing pengkarya yang berminat untuk mengikut jejak beliau secara percuma. Selain bengkel yang dianjurkan oleh MBBY, Pak Yusof juga mengadakan bengkel di rumahnya pada setiap Sabtu dan Ahad.

Mr Kang (CEO Nami Island) paling kiri dan Yusof Gajah, kelima dari kiri. Yusof terpilih sebagai salah seorang juri Nami Concours, iaitu pertandingan ilustrasi. Gambar dipetik dari NamBook.
Pada 11.1.14 yang lalu AJK MBBY berkongsi pengalaman mereka dalam bidang sastera kanak-kanak. Puan Mahaya Yassin, seorang penggiat sastera kanak-kanak berkongsi rahsia bagaimana menulis karya kanak-kanak manakala Pak Yusof pula berkongsi rahsia bagaimana menghasilkan ilustrasi dan mengangkat karya ke peringkat antarabangsa. Sepanjang 3 jam berada dalam majlis Perkongsian Bestari bersama Ahli MBBY Sabtu lalu, banyak ilmu yang dapat diperoleh. Saya akan kongsikan dalam entri yang berikutnya. Harap bersabar ...

Ahad, 5 Januari 2014

Bahayanya Wanita

Teks: Rozida Ismail

Betulkah wanita berbahaya? Hmm ... seperti perumpamaan, air yang tenang jangan disangka tak ada buaya, begitulah juga seorang wanita. Setenang-tenang seorang wanita, tidak semestinya jiwanya tidak berkocak. Dan bila jiwanya berkocak, pastilah kocakannya memberi tempias pada orang keliling. Manakala wanita yang kepoh pula bukanlah sentiasa kepoh. Pasti akan ada saatnya dia menjadi tenang disebabkan pengaruh persekitarannya. 


Tirai 2013 saya tutup dengan membawa seisi keluarga menonton persembahan teater Bahayanya Wanita di Istana Budaya. Sudah beberapa hari sebelum itu saya cuba untuk membeli tiket, malangnya tidak berkesempatan. Anak-anak sudah merengek hendak menonton kerana pelakon-pelakonnya hebat terutamanya Zizan Razak, Erra Fazira, Johan As'ari, Nora Danish, Lana Nordin. Itu yang anak-anak kenal. Selain itu pendokong utamanya juga ialah Umie Aida, Erma Fatima dan Ziela Jalil. Tidak disangka-sangka Erma Fatima memegang watak penting sebagai Suti Lambung, seorang janda dari Indonesia yang akhirnya menjadi isteri keempat Syed Maadon Al-Attas. Melihat pelakon dan sinopsis ceritanya  memang pastilah kisah ini penuh dengan kelucuannya. Jika berdasarkan tajuk, teater ini macam sebuah drama berat.

Selain aktiviti snorkeling di Pulau Pangkor dan mencuba ice-skating di Sunway Pyramid, menonton teater ini adalah pengalaman baru bagi anak-anak saya pada cuti sekolah kali ini. Sebelum ini mereka pernah menonton teater Gamat lakonan Amy Mastura dan kemudian teater Upin Ipin. Bertitik-tolak daripada pengalaman itu, mereka sudah jatuh cinta pada teater. Mujurlah mereka semakin membesar, jadi bolehlah kesemuanya dibawa menonton kerana had umur untuk ke Istana Budaya ialah 6 tahun ke atas. Seperkara yang perlu diingatkan sekiranya membawa anak-anak menonton teater, pakaian mestilah kemas dan berkasut. Tidak dibenarkan memakai selipar dan t-shirt tidak berkolar. Anak-anak bertanya, mengapa begitu? Saya hanya menjawab, untuk menjaga prestij sebuah 'istana' maka perlulah mengenakan pakaian yang kemas. Lagipun susunan tempat duduk di Istana Budaya (jika membeli tiket di upper circle yang paling murah) agak curam. Jadi memang tidak sesuai untuk memakai selipar, bimbang akan tergelincir.

Persembahan bermula jam 8.30 malam. Di sini disediakan surau yang selesa. Tempat parkir pun banyak, jadi kami tidaklah tiba terlalu awal. Sebaik sampai di situ, saya bergegas ke kaunter tiket. Mujurlah tiket masih ada untuk persembahan malam itu. Saya sudah berniat, jika tiket sudah habis saya akan membeli untuk persembahan malam esoknya. Mungkin sudah rezeki anak-anak dapat menonton malam itu. Usai solat maghrib di surau Istana Budaya (IB), kami mengalas perut dengan sandwic yang ada dijual di ruang legar IB. Harganya sama seperti yang dijual di stesen minyak Petronas, cuma RM2.50 untuk satu pek. Jika datang lebih awal, bolehlah makan malam dengan sempurna di cafe IB. Saya tidak pernah mencubanya, jadi tidak dapatlah hendak mengesyorkan sama ada harga di situ berpatutan atau sebaliknya.

Beza menonton wayang dengan teater, pelakon boleh bertindak balas dengan penonton secara spontan. Ada kalanya mikrofon Zizan tidak berfungsi dengan baik, jadi dia terpaksa berkongsi dengan Johan As'ari. Gelagatnya menimbulkan ketawa penonton. Pastinya babak ini timbul secara tiba-tiba. Pandangan saya tentang cerita ini ~ walaupun pengakhiran cerita menyalahkan keempat-empat isteri Syed Maadon tetapi bagi saya Syed Maadonlah yang bersalah. Dia gagal menjadi suami yang tegas terhadap isteri-isterinya. Memang cerita bermadu seperti ini agak klise. Selalunya wanitalah yang dipersalahkan.  Ada juga babak yang agak bosan sehingga si kecil saya bertanya, bila nak habis? Mujurlah sepanjang 4 jam teater ini berlangsung terdapat waktu rehat. Bolehlah mengendurkan urat-urat belikat yang tegang walaupun hanya 15 minit.
Zizan sebagai Syed Maadon.

Setelah tamat, penonton diberi peluang untuk mendapatkan autograf pelakon tetapi hanya dalam tempoh 30 minit sahaja. Barisan peminat yang menunggu agak panjang, saya memang jangkakan tidak akan sempat untuk mendapatkan autograf mereka jika anak-anak beratur. Tetapi saya memberi mereka peluang untuk melihat pelakon tersebut secara dekat. Sedar tak sedar abang sudah berada  paling hadapan berdekatan dengan tali penghadang untuk mengambil gambar pelakon-pelakon itu. Sementara si adik pula berdiri berdekatan dengan pintu keluar. Dapatlah mereka melihat gelagat artis pujaan mereka secara langsung. Dalam pada itu, muncul juga artis yang turut menonton teater seperti Acong dari kumpulan Sweetchild, jadi abang tidak melepaskan peluang untuk bergambar dengannya. Jadilah, tak dapat hendak bergambar dengan Zizan dengan Acong pun cukuplah.
Abang dengan Acong Sweetchild


Bergambar dengan Syanie, yang turut berlakon sebagai isteri Ustaz Jon (Johan As'ari)

Erra, sempat bawa anak yang tidak berenggang dengan botol susunya.

Nora Danish, juga membawa anaknya (tetapi tidak kelihatan dalam gambar ini). Nora berlakon sebagai Farhana, isteri ketiga  Syed Maadon yang sentiasa mengugut  untuk membunuh diri. 




Khamis, 2 Januari 2014

Selamat belajar Nisa!

Teks: Rozida Ismail

Hari ini jika ayahku masih hidup pastilah dia orang yang paling gembira menyaksikan Nisa, anak ketigaku mendaftar di Maahad Hamidiah Kajang. Sememangnya itulah yang menjadi cita-citanya selama ini, ingin melanjutkan pelajaran ke maahad. Ayahku pula sangat menyokong hasrat Nisa itu.  Seperti remaja seusianya yang lain, Nisa memang meminati K-pop. Tetapi kecenderungannya dalam bidang keagamaan juga agak mendalam. Aku telah dapat mengesan hal ini sejak dia kecil lagi. Pernah aku katakan padanya, jika minat sangat pada K-pop, belajarlah bersungguh-sungguh hingga berjaya melanjutkan pelajaran ke Korea. Dia pula bertanya padaku, di Korea ada maahad ke?

Hari ini seisi keluarga menghantar Nisa mendaftar di sekolah baru. Semuanya baru bagi dirinya termasuk melalui kehidupan di asrama. Tetapi aku tidak berasa begitu runsing kerana Nisa selalu menyertai kem perkhemahan anjuran sekolah. Dia biasa tinggal di 'asrama' walaupun sekejap. Bezanya kali ini dengan rakan-rakan yang baru dikenali. Nisa memang pendiam orangnya dan tidak pandai mencari kawan. Oleh itu aku terpaksa memastikan dia mempunyai kawan sebelum aku meninggalkannya di asrama. Mujurlah di dormnya ada seorang pelajar yang sama sekelas. Jadi aku harap mereka akan menjadi sahabat baik.
Mendengar taklimat daripada Puan Pengetua.

Seisi keluarga membantu Nisa mengemas kelengkapan asramanya. Semua ahli keluarga diwajibkan hadir oleh big boss untuk memberi sokongan pada Nisa. 

Pertama kali menjejakkan kaki ke sekolah ini aku merasakan aura yang selesa. Pendek kata, pelajar yang hadir ke Sekolah ini pasti akan seronok di sini. Bab makan usah cerita. Kantin di sekolah ini persis seperti restoran. Banyak menu disediakan. Harganya amat berpatutan. Bilik juga disediakan dengan lokar baharu. Alhamdulillah, mudah untuk pelajar menyimpan barang-barang peribadi dengan selamat. Dimaklumkan sekolah ini juga tidak mempunyai rekod jenayah dalam kalangan pelajarnya.  Pencapaian sekolah ini adalah antara yang terbaik di Selangor. Dalam taklimat yang diberikan oleh guru ketika pendaftaran, beliau menyebut seramai 10,000 pelajar telah memohon untuk memasuki sekolah ini sahaja tetapi yang terpilih hanya 181 orang. Memang sudah rezeki Nisa untuk mendapat tempat di sini.

Sebenarnya Nisa masih menunggu tawaran daripada MRSM. Jika berjaya mendapat tawaran, Nisa akan memilih MRSM. Sekiranya apa yang dihajati dimakbulkan Allah SWT, maka merasalah Nisa bersekolah di kedua-dua tempat. Pesan YDP PIBG sekolah, fikir semula untuk menghantar anak ke MRSM kerana sekolah ini sangat bagus. Ya, sememangnya sekolah ini sangat bagus tetapi biarlah Nisa membuat pilihan. Aku akan menyokong apa yang dipilihnya asalkan baik.

Semoga Nisa dapat belajar dengan tenang dan bahagia di sekolah ini dan mengutip semua ilmu dari ustaz dan ustazahnya. Amin