Khamis, 17 April 2014

Door Gift

Teks: Rozida Ismail

Menjelang cuti sekolah tidak lama lagi, akan banyaklah jemputan kahwin di sana-sini. Berkisah tentang jemputan kahwin ini, memanglah seronok kerana di majlis-majlis kahwinlah selalunya kita berpeluang bersua muka dengan saudara-mara dan sahabat handai yang sudah lama tidak ketemu. Sebaik-baiknya bawalah semua ahli keluarga  bagi meraikan pengantin dan memperkenalkan anak-anak dengan saudara mereka atau kenalan kita. Jika anak-anak tidak dibawa bersama, sukar untuk mereka mengenali saudara-mara dan sahabat handai terdekat. Saya lebih suka jika satu keluarga datang bertandang daripada dijemput hanya pasangan suami isteri sahaja. Bertandang ke majlis kahwin bukan bermakna hendak makan percuma, tetapi yang lebih penting daripada itu ialah mengeratkan silaturahim antara sesama kita. Apatah lagi keluarga pengantin sedang bergembira menerima ahli keluarga baharu. Raikanlah kegembiraan mereka bersama-sama. Jika tidak dapat membantu, hulur-hulurkanlah sumbangan sedaya mampu untuk meringankan beban kewangan mereka.

Sudah menjadi kebiasaan di majlis kahwin, keluarga pengantin akan menyediakan buah tangan kepada tetamu. Selalunya tetamu tidak akan pulang dengan tangan kosong, setidak-tidaknya dibekalkan sebutir telur rebus atau gula-gula. Dahulu, telur rebus itu diletakkan dalam kotak kecil atau dibungkus dengan kertas yang direkabentuk dengan cantiknya. Sekarang, istilah bunga telur itu telah menjadi 'door gift' kerana dari kotak kecil ia telah berevolusi menjadi sebuah beg kecil yang dimuatkan berbagai-bagai barangan. Ada yang mengisi beg kecil itu dengan kerepek, kek, minuman, gula-gula, kipas tangan, kotak barangan kemas, sapu tangan dan sebagainya. Kadang-kadang dek kerana keseronokan, mereka berbelanja berlebih-lebihan. Semuanya atas alasan, 'kahwin hanya sekali, apa salahnya berbelanja besar'. Kealpaan dan alasan sebeginilah membuatkan pengantin atau keluarganya mula pening kepala apabila bajet sudah 'lari'. Kadang-kadang bakal pengantin membuat persiapan ala kadar sahaja berdasarkan kesediaan ekonomi mereka, tetapi desakan keluarga untuk menambah 'itu-ini' yang membuatkan bajet mereka 'lari'. Mungkin anda pernah dengar kata-kata sebegini, "sunyilah majlis kahwin kau kalau tak ada kompang." Maka pengantin pun terpaksa memanggil kumpulan kompang. Kos mungkin mencecah RM300- 400. "Takkan kau bagi bunga telur aje, orang sekarang beri door gift. Letak kipas tangan, senang diorang nak berkipas kalau panas. Tambah sikit air kotak, kalau dahaga boleh minum. Semua tu murah aje kalau beli kat Nilai 3." Sememangnya kos membeli satu barang mungkin kurang daripada RM1. Tetapi jika sudah 2,000 jemputan? Ingat ... bukan hanya satu barang untuk satu beg ya ...

Minta maaf, saya anggap door gift seperti ini membazir sahaja. Saya tidak kisah jika door gift itu berupa makanan ringan kerana ia boleh dimakan. Malangnya jika door gift itu berupa mangkuk kaca, kipas tangan, kotak barangan kemas, sapu tangan, saya kira ia agak membazir. Selama manalah tetamu akan menyimpan door gift tersebut.  Jika tidak silap, semua barangan ini didapati dengan murah kerana diimport dari China, Vietnam atau Indonesia. Ada juga door gift buatan Malaysia seperti bekas dari tanah liat.
Pelbagai bentuk bekas bunga telur dari majlis perkahwinan. Selagi boleh disimpan,
saya akan simpan kerana tidak mahu membazir. Membuangnya seperti membuang duit.

Pemberian door gift ini tidak hanya berlaku di majlis kahwin sahaja. Malah juga ketika majlis makan malam, mesyuarat agung persatuan atau seminar. Sudah menjadi lumrah orang kita yang suka memberi. Niat untuk memberi memang baik tetapi bimbang di akhirnya ia menjadi suatu pembaziran pula jika tidak digunakan. Ketika Mesyuarat Agung Tahunan persatuan Mabopa minggu lepas, Presiden Persatuan, Dato' Husamuddin menegaskan beliau tidak membenarkan door gift diberi kepada ahli. Hal ini dianggap membazir. Saya sangat menyokong pendirian beliau tentang door gift kerana memang sudah lama saya perhatikan pembaziran pada door gift yang kadang-kadang tidak memberi manfaat. Jika hendak memberi sesuatu, berilah yang ada kualitinya dan memang digunakan oleh penerima (bukan merujuk pada door gift Mabopa ya ...). Fikir-fikirkanlah ...

Ahad, 13 April 2014

Persatuan Berkaitan Buku di Malaysia

Teks: Rozida Ismail

Sejak dari sekolah lagi kita telah diperkenalkan dengan persatuan. Sekarang, semua murid diwajibkan berpersatuan. Cuma, ada persatuan yang aktif dan ada juga yang tidak. Mungkin kerana ahli-ahlinya tidak nampak apa kepentingan berpersatuan tersebut. Aktif atau tidaknya persatuan banyak bergantung kepada ahli jawatankuasa (AJK) persatuan yang dilantik. Jika AJK aktif memikirkan aktiviti untuk ahli, maka aktiflah juga persatuan tersebut. Kadang-kadang jika ada isu berkaitan industri yang diceburi, persatuanlah merupakan medan terbaik untuk memperjuangkan hak dan kebajikan ahlinya. Semuanya berjemaah, anda tidak mungkin 'dilihat' jika tidak dalam satu kumpulan yang kuat.

Setiap hujung tahun kewangan, persatuan yang berdaftar mesti membuat Mesyuarat Agung Tahunan (AGM). Hal ini diwajibkan dalam Akta Pertubuhan1966 (lihat di sini untuk maklumat lanjut). Biasanya persatuan akan mengadakan AGM pada bulan April.

Ini adalah sebahagian ahli yang hadir ketika AGM Mabopa di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur pada 12 April 2014. Kebanyakannya orang penting dalam industri buku negara.

Saya juga terlibat aktif dalam Persatuan Penerbit Buku Malaysia atau MABOPA , Persatuan Penerbit dan Pengedar Buku Bumiputera Malaysia (PPPBBM) selain Majlis Buku Kanak-kanak dan Remaja Malaysia (MBBY). Kesemua persatuan ini melibatkan orang-orang buku dan aktiviti pebukuan. Banyak ilmu yang boleh didapati dengan melibatkan diri dalam persatuan seperti ini. Tetapi untuk memasuki Mabopa dan PPPBBM anda perlulah mendaftar syarikat penerbitan buku, bukannya individu. Antara syaratnya ialah menghantar 2 buah buku sebagai bukti bahawa syarikat anda benar-benar sebuah penerbit buku. Berlainan dengan MBBY, anda boleh mendaftar sebagai ahli individu.

Menyentuh tentang aktiviti, aktiviti terbesar yang sama-sama dianjurkan oleh Mabopa ialah Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIBF) dan Kuala Lumpur Trade and Copyright Center (KLTCC). Pesta ini akan berlangsung selama 11 hari dari 24 April 2014 hingga 4 Mei 2014. Memang banyak masa untuk memilih buku-buku yang dihajati. Pesta buku memang telah lama diadakan, semenjak 33 tahun yang lalu. Mungkin ada antara anda yang masih belum lahir lagi ketika pesta buku yang pertama berlangsung. KLTCC pula merupakan platform perdagangan hak cipta. Anda boleh menjual dan membeli hak cipta di sini. Ini merupakan satu-satunya medan perdagangan hak cipta yang paling berjaya di Asia Tenggara. Tahun ini merupakan tahun keempat. Cuma, untuk memasuki ruang KLTCC anda perlu membayar RM50 untuk 3 hari, tetapi manfaatnya anda boleh masuk mini seminar yang diadakan. Manakala MBBY merupakan penganjur bersama untuk Festival Sastera Kanak-kanak dan Remaja. Saya pernah bercerita tentang aktiviti MBBY sedikit masa dulu. Bolehlah jenguk-jenguk ke entri sebelumnya.