Isnin, 29 Disember 2014

Annyeonghasayo Korea! (Part 2: Tempat-tempat Menarik)


Teks: Rozida Ismail
Gambar: Koleksi peribadi dan carian google

Setelah beberapa minggu berlalu, barulah kini saya dapat menyambung kisah percutian di Korea. Semoga itinerari yang saya paparkan di sini dapat memberi panduan kepada sesiapa yang ingin bercuti sendiri ke Korea tanpa menggunakan khidmat pemandu pelancong. Untungnya masyarakat di Korea ramai yang tahu berbahasa Inggeris. Jika ingin bertanya, sapalah orang-orang muda atau yang nampak berpakaian seperti eksekutif, Insya-Allah mereka tahu berbahasa Inggeris.

Hari Pertama
Setelah check in kami membersihkan diri dahulu. Maklum sahaja, sepanjang malam tidur di dalam kapal terbang dan tiba awal pagi di Seoul, maka perlulah cuci-cuci mana yang patut. Nasib baik cuaca sejuk jadi tak mandi pun tak apa (pecah rahsia!). Kami dibawa ke Hanok Village yang berdekatan dengan tempat penginapan. Walaupun dekat, tetapi masih perlu menaiki bas.

Apa yang menarik di Hanok Village?
Hanok Village ialah petempatan tradisional Korea. Di kampung ini kita dapat menyaksikan istana lama dan rumah-rumah tradisional masyarakat Korea. Di sinilah kita dapat mengenali cara hidup orang Korea zaman dahulu kala. Jangan lupa mengenakan pakaian tradisional Korea yang dipanggil hanbok dan juga teh tradisional yang diberikan secara percuma sahaja.
Pemandangan di Hanok Village. Di belakangnya kelihatan Namsan Tower.
Hanok Village berada di pusat bandar Seoul.
Sesekali bergaya seperti ibu-ibu Korea.. setiap kali shot, tour guide saya akan melaungkan,
"Ladylike pose please..", maklumlah model ni kaku saja (ha.. ha..)

Setelah bersiar-siar di Hanok Village, kami dibawa pula ke syurga shopping Korea, Namdaemun Market. Inilah pasar beli-belah terbesar di Korea dan banyak souvenir boleh didapati di sini dengan harga yang amat murah berbanding tempat-tempat lain. Tip untuk mencari souvenir yang murah ialah dengan naik ke tingkat atas kedai. Jangan beli di sebelah bawah atau di jalanan. Selain key chain dan fridge magnet yang selalu dibeli sebagai souvenir, saya membeli pengetip kuku kerana ia kecil dan melambangkan Korea, ladies purse, dan souvenir kecil lain yang muat dimasukkan dalam beg. Di sini juga saya mendapatkan brooch kerana ramai orang kata brooch di Korea murah-murah (betul ke?). Menjelang malam, akan lebih banyak booth menjual t-shirt I Love Korea dan seumpamanya dibuka dan t-shirt boleh dibeli dengan harga W10,000 untuk 3 helai. Berbaloilah juga. Pakaian musim sejuk juga dilelong dengan harga yang sama.

Akibat sibuk membeli-belah, terlupa pula mengambil gambar kawasan ini.
Ini pemandangan Namdaemun Market yang dipetik daripada website Tourism Korea.
Dari Namdaemun, kami bergerak pula ke Myeongdong. Kawasan ini menjual alat mekap dan juga branded item. Di sini juga terdapatnya mall terbesar di Korea iaitu Lotte dan Shinsegae. Mungkin kerana sudah letih berjalan seharian, kami tidak singgah di mana-mana kecuali memasuki sebuah stationery Korea Artbox dan kedai buku tempatan yang terkenal iaitu YP Books.

Hari Kedua
Perjalanan pagi kami bermula dengan Kwang Jang Han Book Market. Ini bukan pasar buku, tetapi dieja sebegitu rupa untuk memastikan sebutannya betul. Han book (atau hanbok) ialah pakaian tradisional Korea. Di pasar ini kita boleh lihat pelbagai pakaian tradisional, kain sutera, dan kain cotton Korea dijual dengan harga yang murah. Jangan terkejut kerana sudah namanya pasar, bahan-bahan makanan basah juga ada dijual di sini. Pasarnya memang bersih dan tidak begitu basah. Mungkin tiba agak awal maka orang tidaklah terlalu ramai, jadi bolehlah kami membeli-belah dengan selesa.
Mengabadikan kenangan di pintu masuk Kwang Jang Han Book Market.
Hanya sehelai sutera untuk diri sendiri dan sepasang Korean cotton buat emak sebagai buah tangan.
Jadi tangan masih kosong..
Selepas puas di sini, kami bergerak ke Gyeongbokgung Palace dengan berjalan kaki melalui Cheonggyecheon Stream. Gyeongbokgung Palace merupakan yang tercantik daripada 5 istana yang terdapat di Korea, jadi jika ke Korea mesti jejakkan kaki ke sini. Sebelum saya tunjukkan gambar pemandangan yang cantik di sini, kita lihat dulu apa yang menarik di Cheonggyecheon Stream. Dalam perjalanan kami ke sana, kami singgah di pejabat Tourism Korea kerana di sini ada surau dan kami mengerjakan solat zuhur dan asar di sini.

Cheonggyecheon Stream adalah sebuah sungai yang telah dibaik pulih pada tahun 2005. Ia menjadi satu tarikan pelancongan dan ramai yang berhenti rehat di sini sama ada untuk bersiar-siar atau berkelah bersama keluarga.
Sepanjang perjalanan dari han book market ke Gyeongbokgung Palace kami banyak berhenti untuk mengambil gambar di sekitar Sungai Cheonggyecheong. Jaraknya agak jauh juga, mungkin dalam 2 km. Tetapi oleh kerana cuaca sejuk dan banyak tempat menarik  maka perjalanan jauh itu tidak begitu terasa.
Sebenarnya banyak aktiviti sosial yang dilakukan oleh penduduk tempatan di sekitar Cheonggyecheong Stream. Di penghujung perjalanan, ada dua aktiviti yang sedang berlangsung. Pertama kempen kesedaran tentang keselamatan. Ini adalah berkaitan dengan feri yang tenggelam di Jeju Island. Kedua, kempen kesedaran atau tunjuk perasaan tentang perebutan Pulau Dokdo (yang dinamakan oleh Korea Selatan) atau Pulau Takeshima (yang dinamakan oleh Jepun) antara Korea dan Jepun. Jika ingin mengetahui tentang kisah pulau 2 nama ini, carilah di google.

Orang dewasa dan kanak-kanak mengekspresi perasaan melalui lukisan tentang tenggelamnya feri di Pulau Jeju yang mengorbankan lebih 200 nyawa.
Selain menyaksikan kempen tersebut, saya tertarik dengan alur di sepanjang perjalanan ke Gyeongbokgung Palace. Alur ini alirannya sangat jernih dan cetek. Apa yang menarik, di setiap petak tertulis nombor yang pada mulanya saya sangkakan kiraan jarak ke istana tersebut. Namun sangkaan saya itu meleset apabila dimaklumkan oleh pemandu pelancong bahawa angka tersebut ialah tahun-tahun pemerintahan dan nama raja-raja mereka. Lihatlah sendiri ...
Saya namakan alur ini sebagai "Longkang Sejarah".  Tidak mungkin raja akan bertukar saban tahun,
tetapi pastinya ada cerita pada setiap tahun-tahun tersebut. 

(Bersambung lagi...)