Sabtu, 26 September 2015

Vista Homestay Kuala Lumpur - homestay untuk keluarga

Teks: Rozida Ismail
Gambar: Koleksi Peribadi

Sempena cuti Hari Raya Aidiladha, kami sekeluarga berkesempatan bertamu di Vista Homestay, Cheras. Sememangnya ia rumah lama kami dan kali ini apabila semua keluarga berkumpul, kami ingin mengembalikan nostalgia tinggal di sini. Anak-anak membesar dan memulakan alam persekolahan di sini. Banyak memori yang disimpan di dalamnya. Meskipun telah setahun ditinggalkan, Vista Homestay tidak banyak berubah berbanding dahulu. Namun, kedatangan kali ini bukanlah saja-saja untuk bercuti, tetapi lebih kepada audit keselesaan. Sejak beroperasi sebagai sebuah homestay, kali inilah kami sempat menginap di sini. Jadi, dengan bermalam di sini kami dapat mengetahui sendiri kekurangan yang ada.
Iklan Vista Homestay boleh ditemui di mudah.my, iBilik,  dan homestay.com


Sebenarnya mengikut harga pasaran, nilai rumah ini sudah meningkat tiga kali ganda dan saya boleh sahaja menjualnya untuk mendapatkan laba. Namun  tujuan utama saya mengekalkan rumah ini dan menjadikannya sebagai sebuah homestay adalah kerana ingin membantu keluarga sebangsa dan seagama khususnya untuk mendapatkan tempat tinggal sementara di tengah-tengah ibu kota dengan kadar dan kemudahan yang berbaloi. Yang penting, semua peralatan adalah suci dan tidak dicemari bahan yang tidak halal. Insyaa Allah, setakat ini saya memastikan semua pelanggan adalah dalam kalangan orang-orang Islam dan kesucian peralatan memasak tidak perlu diragui.

Bercerita tentang homestay, apabila pergi bercuti secara beramai-ramai, homestay adalah penginapan yang amat sesuai untuk keluarga yang besar dengan kos yang murah. Dari pengalaman sendiri, jika bercuti dalam negara saya selalu membawa ibu dan bapa sama-sama bercuti. Kadang-kadang anak-anak saudara juga mengikut sama. Kerana itu homestay sering menjadi pilihan kerana kami suka berkumpul beramai-ramai dan berada dalam kelompok sendiri. Itu lebih meriah dan nilai kekeluargaannya lebih tinggi. Dengan kos rata-ratanya RM200 satu malam, semua ahli keluarga dapat tidur dengan selesa dalam bilik sendiri. Jika memilih hotel, tentulah kosnya berkali-kali ganda kerana perlu menempah lebih daripada satu bilik. Bayangkan jika menempah tiga bilik, tentulah kosnya RM600 satu malam. Tidak dinafikan tinggal di hotel juga ada kelebihannya tetapi bagi keluarga Melayu dengan taraf hidup sederhana, homestay sering menjadi pilihan untuk bercuti.

Namun, tinggal di homestay bukan sahaja menjadi pilihan keluarga untuk bercuti. Malah andai terpaksa berkursus atau bekerja dalam jangkamasa yang lama di Kuala Lumpur, homestay juga menjadi pilihan. Saya pernah menerima tempahan daripada pelanggan yang telah tinggal di hotel dalam waktu yang lama. Beliau berasa rimas dengan situasi 'terperangkap' dalam bilik hotel. Maka, dengan bajet yang diberikan oleh majikannya dia beralih tinggal di homestay saya. Vista Homestay menyediakan kemudahan untuk memasak. Semua peralatan memasak disediakan dari periuk nasi elektrik, pinggan mangkuk, periuk, kuali sehinggalah blender. Jadi ketika hujung minggu, pelanggan saya menjemput ibu bapanya tinggal bersama. Ada juga pelanggan yang terpaksa tinggal di hostel ketika berkursus, tetapi dengan adanya Vista Homestay, dia boleh membawa keluarga sekali. Vista Homestay sememangnya tempat tinggal untuk keluarga kerana kelengkapan asas di sebuah rumah seperti mesin basuh, peti sejuk, seterika, astro ada disediakan. Tetapi homestay ini tidak mempunyai penyaman udara kerana udara di sini memang sudah sejuk dan nyaman. Sekian lama tinggal di sini, saya dan keluarga tidak merasakan penyaman udara adalah satu keperluan.  Setakat ini, pelanggan tidak pernah merungut tentang keperluan penyaman udara. Kerana itu saya meletakkan harga sewa yang berpatutan dengan kemudahan yang ada.

Selain daripada penjimatan sewa, tinggal di homestay juga menjimatkan kos untuk makan. Ketika berada di Vista Homestay, tetamu boleh memasak sendiri hidangan untuk keluarga. Kedai runcit ada berdekatan, memudahkan untuk membeli bahan mentah untuk memasak. Bahan  asas seperti garam dan gula juga ada disediakan di rumah. Sesekali jika ingin makan di luar, kedai makan banyak terdapat di sekitarnya.

Selalunya jika berpergian, pakaian kotor menjadi satu masalah kerana perlu dihimpunkan dan dicuci sebaik pulang ke rumah. Pakaian juga boleh dicuci menggunakan mesin basuh yang disediakan dan dikeringkan dengan cepat. Ini kerana balkoni menghadap matahari naik dan angin agak kuat bertiup. Di Vista Homestay, anda boleh terus mencuci dan memakainya kembali jika tinggal di sini lebih dari sehari. Walau bagaimanapun, ia bergantung juga kepada keadaan cuaca.

Bagi memastikan keselesaan penghuni lain, Vista Homestay mengehadkan bilangan tetamu kepada 10 orang sahaja. Hal ini penting kerana jika terlalu ramai, dikhuatiri boleh mengganggu jiran tetangga. Seperkara lagi, tetamu diberikan satu unit parking jadi anda tidak perlu bersusah-susah mencari parking. Jika lebih dari satu kenderaan, tetamu perlu parkir di ruang visitor atau di luar kawasan kondominium. Ruang parking di luar bersifat 'siapa cepat dia dapat'.

Petikan iklan di mudah.my

Jika dimurahkan rezeki, saya ingin menaiktaraf kemudahan dan dekorasi Vista Homestay bagi menambah keselesaan tetamu. Sudah tentu keselesaan anda adalah kepuasan kami. Jika ke Kuala Lumpur, bertamulah ke sini dan kami sedia menerima kedatangan anda dengan hati yang lapang dan gembira.





Ahad, 6 September 2015

Projek Raya 2015

Teks: Rozida Ismail
Gambar: Koleksi Rozida Ismail



Aidilfitri 2015 memang telah lebih sebulan berlalu. Dalam kesibukan, saya tidak sempat merakam catatan tentang projek raya tahun ini. Nampaknya raya tahun ini saya masih menjalankan projek seperti dua tahun lepas ~ menjahit baju kurung untuk seisi keluarga.  Setelah hampir setahun tinggal di lokasi baru, saya masih tidak menemui tukang jahit yang serasi. Jika boleh, biarlah tukang jahit itu berdekatan rumah,  jadi mudahlah untuk menghantar dan mengambil tempahan. Semua tukang jahit yang biasa menerima tempahan dari saya sudah tidak menang tangan. Ada juga yang terpaksa menolak tempahan disebabkan masalah kesihatan. Mahu tidak mahu, terpaksalah  saya menjalankan Projek Raya 2015 pula!

Maka bermulalah projek raya tahun ini, dua minggu sebelum berpuasa. Saya memang terpaksa meletakkan deadline untuk diri sendiri. Maklum sahaja, ada empat pasang baju kurung yang mesti disiapkan untuk digayakan sedondon pada hari raya pertama. Tambahan lagi, empat helai jubah juga mesti disiapkan untuk dipakai pada hari raya kedua!  Memang mencabar juga projek raya kali ini.

Minggu pertama, semua baju mestilah siap dipotong supaya mudah untuk dihantar jahit tepi sekali gus. Cabaran kali ini, anak-anak dara saya sudah pandai menetapkan fesyen pilihan masing-masing. Bukan lagi baju kurung tradisional teluk belanga. Fesyen anak gadis pertama, baju kurung moden kembang, lengan kedut di hujung dan kain peplum! Inilah yang paling mencabar kerana tidak pernah selama ini saya menjahit kain peplum. Potongan peplum atau gunting payung memerlukan kain yang banyak. Jika tidak menjadi, habislah kain yang boleh dikatakan agak mahal juga. Saya memang memilih kain yang materialnya berat, tidak mudah renyuk dan sejuk untuk dipakai beraya. Barulah selesa kerana selalunya jika keluar beraya, sehari suntuk dihabiskan untuk melawat sanak saudara. Kain ini pula saya beli di Terengganu kerana ketika itu sahaja saya mempunyai masa untuk memilih design dan material yang berkenan di hati. Jika tidak cukup kain, kenalah berkreatif untuk mencari gantinya. Fesyen yang dimahukan oleh anak gadis kedua pula ialah lengan yang bercekak di hujungnya. Ini tidak susah sebenarnya, cuma perlukan masa yang lebih untuk menyiapkannya. Alhamdulillah, kini untuk mencari tutor membuat potongan peplum tidak sukar. Google sahaja, saya sudah dapat cara-caranya.

Cabaran kedua pula, mencari kedai yang menerima jahitan tepi. Ada lapan pasang baju yang perlu dijahit tepi dan di samping itu saya perlu mencari alat-alat jahitan seperti benang, renda, getah dan sebagainya. Saya google lagi untuk mencari kedai peralatan jahitan berdekatan rumah. Memang ada dan saya terus menuju ke situ dengan bantuan waze. Seminggu sebelum puasa saya perlu menghantar semua baju tersebut untuk dijahit tepi kerana setiap hujung minggu bolehlah saya fokus menjahit untuk menyiapkan sepasang demi sepasang. Kedai yang dituju rupa-rupanya penuh dengan pelanggan. Saya berkunjung pada hari Sabtu, tetapi dimaklumkan jahitan tepi hanya dapat disiapkan pada hari Selasa. Waduh.. habislah masa hujung minggu saya terbuang begitu sahaja kerana projek menjahit terpaksa ditunda. Setelah habis berfikir, saya membuat keputusan untuk mencari kedai lain. Alhamdulillah, saya terjumpa kedai tersebut berhampiran rumah. Syukur kerana semua jahitan tepi dapat disiapkan dalam tempoh 2 jam sahaja. Dapatlah saya memulakan projek jahitan serta-merta.

Inilah hasilnya...
Jubah ala-ala Frozen.

Kain peplum berjaya disiapkan tanpa perlu alteration.