Ahad, 10 April 2016

Mega Festival 2016



Teks: Rozida Ismail
Gambar: Koleksi sendiri dan carian google

Malam minggu ini, kami sekeluarga sempat berjalan-jalan ke Mega Festival di MAEPS, Serdang. Kalau ikutkan promosi, saya memang tak ternampak pun promosinya di mana-mana. Tetapi kata anak gadis saya, promosinya ada di Instagram. Mega Festival ini khas untuk segmen makanan dan pakaian. Kerana itu hatinya melonjak tak tertahan untuk mengajak kami ke situ. Nasib baik MAEPS berdekatan dengan rumah, jadi lepas maghrib masih boleh ke sana untuk menghabiskan masa dalam tempoh 2 jam sahaja.

Sampai sahaja di parking, feeder bus sudah menunggu. Tapi kami memilih untuk berjalan kaki sahaja ke dewan kerana tempat parking tidak begitu jauh dari dewan. Kereta  pun tidak begitu banyak bermakna pengunjungnya tidaklah ramai. Kami melintasi dewan fesyen tetapi memilih untuk ke gerai makanan terlebih dahulu kerana tekak sudah kehausan. Ada 2 kelompok gerai makanan, tetapi saya lihat barang yang dijual hampir sama. Suasana kelihatan seperti pasar malam, cuma lebih kepada makanan segera seperti kambing panggang, nasi arab, minuman dan makanan segera yang lain. Banyak juga gerai yang telah kehabisan stok dan mula berkemas untuk pulang. Festival ini sepatutnya berakhir jam 10 malam.

Kami mencari-cari kelainan makanan yang disediakan di sini. Ternampak pula gerai yang menjual aiskrim Korea ~ jipangi.  Sebatang aiskrim bersaiz junior dijual RM5. Di Korea harga sebatang yang 2 kali ganda saiznya dijual dengan harga 8 - 12 Won, kalau tak silap. Jipangi ini dikatakan baharu sahaja memasuki pasaran Malaysia. Malam itu, hanya perasa vanila sahaja yang tinggal.

Suasana gerai makanan di Mega Festival


Mencuba jipangi, ais krim yang popular dari Korea.
Kami meneruskan penerokaan mencari kelainan makanan yang dijual, dan kemudian ternampak beberapa makanan antarabangsa seperti berikut:

Gerai takoyaki ~ makanan dari Jepun

Cuba teka .. apakah makanan ini?

Gambar di atas adalah nachos, makanan popular Mexico Selatan.

Dari segi cita rasa, orang Malaysia sudah international. Bukan sahaja makanan Indonesia dan nasi Arab yang memasuki pasaran, malah makanan Korea, Jepun, Mexico pun sudah menjadi pilihan selera orang kita. Nama makanan juga telah dipelbagaikan dengan nama-nama yang boleh 'jual' walaupun asasnya adalah makanan atau minuman yang sama. Pelbagai cara marketing digunakan bagi mencipta kelainan. Salah satunya...

Jenama ini memang nama asli Malaysia .. 

Cikedut .. yoghurt yang dibotolkan. 

Now u see it, now u don't .. yoghurt 3 perisa ini memang sedap. Cuma sedut sahaja dengan straw.

Selepas berjalan-jalan di gerai makanan, baharulah kami singgah di Dewan B yang menempatkan gerai menjual pakaian seperti baju, tudung, jubah, dan minyak wangi. Khabarnya, festival ini mengumpul pelbagai jenama pakaian terkenal di Malaysia di bawah satu bumbung. Anak-anak berkenan pada jubah pelbagai tone yang dijual dengan harga offer RM140 sepasang, tetapi kelihatannya seperti terlalu labuh dan perlu diubah suai. Jadi, hasrat untuk memilikinya terpaksa di KIV dahulu. Kami meneruskan perjalanan, melihat-lihat fesyen terbaru di pasaran. Akhirnya terhenti di gerai jubah yang sedang mengadakan promosi "Happy Hour". Jubah pelbagai tone dijual dengan harga RM100 sahaja sepasang. Kebetulan saiz yang dikehendaki menepati ukuran, apa lagi RM200 melayang untuk dua pasang jubah yang sudah di'pin' di hati seawal tadi. 

Focus group Mega Festival adalah masyarakat Melayu dan kerana itulah hampir 99% pengunjungnya adalah orang-orang Melayu. Kebanyakan pempamer adalah penjual yang aktif di Instagram. Saya tidak pasti sambutan di sebelah siang, sama ada dikunjungi ramai orang atau sebaliknya. Besok adalah hari terakhir, harapannya biarlah ramai orang yang datang membeli-belah supaya pempamer dapat tersenyum lega.

Jom ramai-ramai ke sana!













Tiada ulasan:

Catat Ulasan