Ahad, 20 Mac 2016

Salmah Ismail aka Saloma

Catatan: Rozida Ismail
Gambar: Carian google

Wah, sudah hampir 4 bulan tidak menitip apa-apa di blog ini! Bukan tiada cerita, tetapi ada sahaja perkara yang menghalang. Selalunya hujung minggu begini dipenuhi dengan aktiviti keluarga dan memenuhi undangan pelbagai majlis. Hujung minggu jugalah harinya untuk mengemas rumah dan mengerjakan aktiviti harian yang tertunda sejak seminggu yang lalu.

Alhamdulillah, minggu ini ada banyak masa untuk bersantai di rumah. Cuaca pula begitu panas akibat fenomina el Nino. Jika hendak sejukkan diri dan cuci-cuci mata, boleh saja berjalan ke shopping complex. Tetapi bila difikir, sekarang bukan masa yang sesuai untuk window shopping, kerana bimbang juga terbeli apa-apa yang tak patut. Sekarang adalah masa untuk berjimat-cermat. Jadi lebih baik duduk sahaja di rumah sambil berhibur dengan entertainment di rumah. Bukan selalu dapat begini...

Terlalu banyak rancangan di TV. Dari channel 101 hinggalah 995. Tidak cukup Astro, HyppTV pun ada. Skrol punya skrol, saya terhenti pada cerita Saloma. Cerita ini memang telah banyak kali disiarkan tetapi saya tidak berpeluang untuk menonton. Hari ini dapatlah juga menghabiskan tayangan selama 2 jam terus menerus. Nampaknya hanya saya seorang yang menonton kerana yang lain-lain tidak begitu berminat dengan cerita ala 50-an bahasanya.  Saya memang sukakan cerita biografi. Ia lebih menarik kerana berdasarkan kisah benar. Permulaan yang tidak disangka-sangka, tetapi pengakhirannya telah dapat dibaca. Itulah uniknya biografi. Dan saya juga sangat sukakan cerita orang dulu-dulu, bagaimana mereka survive dalam hidup. Masa dulu-dulu begitu banyak cabarannya.
Saloma & Mariani. Gambar yang diambil dari carian google.

Kisah awal Saloma agak tragis. Saya respect kerana Mariam, kakak Saloma yang kita kenali sebagai Seniwati Mariani (Allahyarham) sanggup melarikan diri bersama-sama adiknya dari Teluk Intan ke Singapura dalam usia yang masih kecil. Mereka memang berani. Semangat ini dibawa dek perasaan terlalu rindu pada ibu mereka. Dan kekentalan jiwa mereka itulah menyebabkan mereka berjaya sebagai anak seni. Dikatakan menjadi anak seni itu banyak onak dan durinya. Itu kata orang senilah.

Itulah part yang paling saya suka dalam cerita ini. Pelakon kanak-kanak yang membawa watak Saloma iaitu Puteri Balkis juga pandai berlakon. Pembawa watak A.R Tompel juga pandai membawakan wataknya, memang menjadi betul! Bahagian kedua cerita Saloma memaparkan kisah hidupnya bersama P. Ramlee pula. Tetapi kisah ini saya pernah juga menonton sebahagiannya. Jika ada peluang lagi, saya akan menonton sepenuhnya.

Banyak lagi kisah biografi yang ingin saya tonton atau baca ..