Sabtu, 17 Januari 2015

Annyeonghasayo Korea! (Part 3: Tempat-tempat Menarik)

Teks & Gambar: Rozida Ismail

Berjumpa lagi kali ini! Kita sambung cerita tentang percutian di Korea. Perjalanan kami selama lebih kurang sejam (jalan, berhenti, jalan, berhenti.. bergambar & berselfie 😉) akhirnya sampai ke destinasi Gyeongbokgung Palace. Inilah istana yang paling besar dan cantik di Seoul. Terletak di sebelah utara Seoul kerana itulah dinamakan Gyeongbokgung Palace (Istana Utara).  Jadi bolehlah kita belajar bahasa Korea dengan menghafal nama istana sahaja 😀:
               gyeongbok - utara
               changdeok - timur
               gyeonghee - barat
               (sebab 'gung' adalah istana)

Tidak dapat dinafikan tempat ini memang sangat cantik. Namun kami tidak boleh berlama-lama di sini kerana hari sudah petang dan kami pun agak letih. Selepas mengabadikan kenangan di sini, kami bertolak pulang menaiki bas dan berhenti di Insadong. Di sini terdapat restoran India muslim yang halal. Selepas mengisi perut, kami mengambil peluang untuk membeli-belah cenderamata Korea dan kemudian berjalan kaki sahaja pulang ke hotel.

Jika dibandingkan dengan Malaysia, Insadong Street samalah seperti Petaling Street. Di sini banyak terdapat kedai cenderamata. Masuk mana-mana kedai pun sama sahaja barangannya. Namun selepas dibandingkan dengan pengalaman membeli di Namdaemun, Namdaemun menawarkan harga yang lebih murah. Jadi kami bercita-cita akan 'menyerang' Namdaemun sekali lagi nanti 😚


Di penghujung simpang dalam perjalanan pulang ke hotel, kami lihat ramai orang berkumpul. Kami tidak melepaskan peluang untuk sama-sama menyibuk di celahan orang ramai. Rupa-rupanya ada pertunjukan silap mata, seorang ahli silap mata yang berpakaian ala pendeta terapung di udara sambil memegang sebatang tongkat. Jika ingin mengambil gambar dengannya, perlu membayar sejumlah wang yang tidak saya ketahui nilainya. Mungkin dalam W10,000. Sambil curi-curi mengambil gambar, kami mengintai-intai juga kedai beg yang melelong setiap beg W10,000 sahaja. Murah bagi masyarakat sana tetapi jika ditukar dalam RM jadi 3.4 kali ganda 😅


Hari Ketiga: Nami Island

Inilah hari yang ditunggu-tunggu kerana Nami Island menjadi tarikan ramai orang untuk ke Korea. Di sini dijalankan penggambaran drama terkenal Korea iaitu Winter Sonata. Walaupun drama bersiri ini sangat terkenal tetapi saya masih tidak pernah menontonnya (pelik kan?). Jadi, saya hanya dapat menikmati pemandangannya yang cantik sahaja. Dikatakan pemandangan di sini paling cantik ketika musim luruh (autumn) dan sejuk (winter). Memang betul! Dari Seoul kami menaiki bas dan kemudian perlu menaiki feri untuk ke pulau tersebut. Melihat kesesakan hari minggu itu, seram sejuk juga rasanya kerana teringatkan peristiwa feri tenggelam di Pulau Jeju. Alhamdulillah, perjalanan pergi balik kami selamat. Cuma kesesakan hari itu membuatkan keretapi yang kami naiki penuh dan kami terpaksa duduk atas lantai sahaja.

Hari ke-4: Namsan Tower, 3D Trick Museum
Hari ini kami berjalan tanpa menggunakan khidmat pemandu pelancong. Malam di hotel kami study tentang laluan subway supaya perjalanan lancar dan tidak sesat. Destinasi pertama hari ini ialah Seoul Tower. Namsan Tower atau N Seoul Tower samalah dengan KL Tower kita.

Selepas itu kami bergerak ke Myeongdong, mencari 3D Trick Museum. Berdasarkan google search, tempat tersebut berjaya dicari. Tetapi ia sudah bertukar menjadi Horror Museum. Saya memang tidak ada hati hendak masuk ke muzium seumpamanya. Mujurlah gadis penjual tiket di Horror Museum itu sangat membantu. Dia menelefon kakitangan 3D Trick Museum dan meminta ditunjukkan jalan ke sana. Di samping itu dia turut mencari laluan melalui google map dan menunjukkan pada kami. Tempatnya tidak jauh dan hanya perlu berjalan kaki sahaja. Kami enjoy di sini kerana tidak ramai pelancong yang tiba. Jadi kakitangan 3D Trick Museum itu mempunyai banyak masa untuk melayan kami dan mengambilkan gambar.


Hari ke-5 dan 6: Dongdaemun dan Itaewon
Sebelum bertolak ke Seoul, saya google dan mencari tempat-tempat menarik untuk dilawati. Salah satunya ialah Dongdaemun Market. Jadi, untuk tidak terkilan kerana sudah sampai ke sini,  kami tidak melepaskan peluang untuk berkunjung ke Dongdaemun Market. Ini ialah pasar borong besar di Seoul. Dikatakan terdapat 20 mall yang mengkhusus dalam jualan pakaian, kasut, dan macam-macam lagi. Pasar borong ini terlalu besar. 

Selepas melihat-lihat keadaan di sini, kami terus ke Itaewon untuk makan dan solat di masjid Itaewon, sebuah masjid terbesar di Seoul. Ia terletak di atas bukit dan tidaklah begitu besar berbanding masjid di Malaysia. Ibarat sebuah surau yang besar sahaja. Di sekitarnya terdapat tempat makan muslim baik dari India mahu pun Indonesia.


Perjalanan kami tamat di situ. Walaupun hajat hati mahu ke mall terbesar di Seoul namun tidak kesampaian kerana masa tidak mengizinkan.