Ahad, 28 Julai 2013

Shopping Raya

Pagi ini saya hendak berkongsi pengalaman tentang perjalanan saya ke Jalan Tuanku Abdul Rahman. Tujuan ke sana bukanlah untuk shopping sakan, tetapi hanyalah mencari tudung untuk dipadankan dengan baju raya yang sudah dan akan siap dijahit nanti. Tempat ini merupakan lokasi tumpuan ramai kerana banyak pilihan. Harga pun agak murah. Mengikut 'waze' jarak dari rumah ke Kompleks Sogo hanya 13 km. Jika kaki jogging, boleh saja berjalan kaki atau berbasikal ke sana. Tetapi tidaklah tergamak hendak berjalan kaki dalam bulan puasa ini. Lagipun kami akan tawaf di sekitar deretan kedai di Jalan TAR, itupun sudah dikira jogging. Bagi menjimatkan masa dan fokus pada tujuan, hanya kami bertiga yang perempuan sahaja pergi.

Kami keluar seawal jam 9 pagi bagi mengelakkan kesesakan dan mudah untuk mendapat parking. Selain memandu, boleh juga menaiki LRT sebagai alternatif. Tetapi memikirkan jarak agak dekat dan lebih ekonomik serta mudah, saya memutuskan untuk memandu sahaja. Ditolak setengah jam untuk mengisi minyak dan mengeluarkan duit di mesin ATM terlebih dahulu, maka kami memasuki Jalan Loke Yew lebih kurang jam 9.30 pagi. Di sini jalannya agak sesak. Kebetulan hari itu cuti umum untuk Selangor, hanya orang KL sahaja yang bekerja.



Tidaklah dapat dipastikan mengapa kesesakan berlaku. Mungkin ramai orang yang berfikiran seperti saya, keluar awal untuk mudah mendapatkan parking. Di pertengahan jalan DJ radio mengumumkan beberapa jalan ditutup kerana ada raptai sambutan hari pahlawan di Dataran Merdeka. Alamak, saya perlu melalui jalan itu! Nasib baik saya tidak mengubah laluan untuk memasuki Jalan Kuching dan seterusnya ke Jalan Sultan Ismail dan kemudian susur ke Jalan Tuanku Abdul Rahman. Alhamdulillah, jalan di Dataran Merdeka boleh  dilalui. Memudahkan laluan saya. Tetapi agak sesak di susur masuk ke kawasan parking berhadapan DBKL. Saya teruskan ke susur masuk sebelum bangunan KWSP. Syukur kerana jalan di sini lengang dan saya dengan mudah mendapat parking di belakang bangunan KWSP. Itupun parking sudah hampir penuh. Kami tiba dalam pukul 10 pagi. Kedai pun sudah banyak yang dibuka.

Saya jarang membeli belah di kawasan ini kecuali menjelang hari raya. Memang kami dapat apa yang dikehendaki dan harga pun berpatutan. Tidak begitu mahal. Walaupun mencari tudung dengan merujuk pada gambar di handphone sahaja tetapi bila balik, memang ternyata sangat kena. Selain tudung, kami membeli jubah dan brooch. Sedar tak sedar budget yang diperuntukkan hampir susut kerana semuanya dalam terma tunai. Hujan pula turun lebat. Kami terpaksa menyusur dalam kedai sahaja. Di Lorong TAR banyak juga gerai dibuka tetapi kerana hujan lebat, tidaklah sempat hendak membuat lawatan.

Ramai sungguh pengunjung hari itu, tetapi saya jangkakan akan lebih ramai lagi hujung minggu ini. Jalan TAR memang pusat tumpuan orang ramai untuk membeli belah terutamanya Melayu. Seronok melihat ramai peniaga Melayu dan pembelinya Melayu. Harap-harap pemilik kedai juga Melayu. Cuma, nampaknya semakin ramai Bangla yang menjadi jurujual.

Pemandangan di hadapan Sogo.

Apabila sudah terlebih budget, terpaksalah melintas ke Sogo untuk mendapatkan talian hayat! Tengoklah betapa ramainya orang yang memerlukan talian hayat...

Sesekali berbelanja memang seronok. Apatah lagi mendapat semua yang dihajati. Selepas menghabiskan 4 jam di sini, kami pun berangkat pulang. Mungkin minggu depan orang semakin ramai kerana sudah hujung bulan. Orang Kerajaan pula dapat bonus. Maka, tersenyun lebarlah para peniaga.

Jumaat, 26 Julai 2013

Projek Raya 2013 aka Syawal 1434

Salam,
Sekejap sahaja kita sudah memasuki hari ke-17 berpuasa. Projek fasa 1 saya sudah siap, empat pasang baju kurung untuk kami anak beranak yang perempuan untuk dipakai pada hari raya pertama. Tahun ini pencapaian saya lebih baik daripada tahun lepas. Tahun ini saya berjaya menjahit tulang belut di leher semua baju. Projek fasa kedua ialah menjahit baju kurung juga untuk dipakai pada hari raya kedua. Kali ini hanya 3 pasang yang perlu dijahit. Saya tidak menambah baju kurung lagi pada si kecil kerana dia sedikit lasak dan seluar panjang lebih sesuai untuknya. Walaupun begitu, masih ada lebihan kain dari fasa 1. Apabila saya ukur, cukup untuk membuat sehelai blaus. Jadi saya hadiahkan blaus ini untuk pembantu rumah saya yang telah bersama kami selama hampir 11 tahun. Dia sangat gembira kerana tahun ini dapat memakai baju hasil jahitan majikannya. Projek Raya 2013 Fasa 2 akan bermula hari ini dan dijangka siap menjelang raya. Saya kira 2 minggu adalah tempoh yang realistik. Lagipun saya akan bercuti awal 2 hari untuk menyambut hari raya.
Silalah pilih, dari saiz XXS, S, M, L. 
Siap menjahit, perlu memikirkan tudung pula untuk dipadankan dengan baju. Jadi, selepas ini kami akan ke Jalan Tuanku Abdul Rahman pula untuk memilih tudung mengikut cita rasa masing-masing.

Rabu, 24 Julai 2013

Tip menjalani temuduga

Sekarang musim pelajar yang meninggalkan kolej/ universiti mencari pekerjaan. Di sini saya ingin memberi sedikit tip bagaimana menghadapi temuduga. Saya merupakan panel penemuduga dan membuat pemilihan untuk menentukan calon yang paling layak diambil bekerja. Pertama, apabila melihat senarai calon, saya akan menapis dahulu mengikut pengalaman yang berkaitan dan gaji yang dipohon. Benar, calon yang ada pengalaman pasti akan disenarai pendek. Jika anda tidak ada pengalaman langsung, seeloknya carilah kerja sambilan ketika cuti semester. Kerja sebagai pelayan restoran misalnya memerlukan kesabaran ketika melayan pelanggan. Sekurang-kurangnya semasa ditemuduga anda boleh berkongsi pengalaman ketika menyelesaikan masalah bersama pelanggan. Ketengahkan pencapaian anda semasa menangani masalah pelanggan. Dari situ panel penemuduga akan dapat menilai keyakinan dan kematangan seseorang. Kedua, saya suka memilih pelajar yang cemerlang dalam pelajaran. Bagi saya, mereka yang rajin belajar juga akan rajin bekerja. Ini menunjukkan kesungguhan seseorang. Sesetengah orang berfikiran, tidak semestinya orang yang bijak belajar juga akan pandai bekerja. Untuk menjawab persoalan ini, bolehlah pula dirujuk pada aktiviti atau persatuan yang disertai ketika belajar.  Selalunya calon yang pasif sesuai untuk jawatan tertentu yang menuntut ketekunan. Ketiga, jika tidak mempunyai pengalaman kerja, usahlah meletak gaji yang begitu tinggi. Sebaiknya hubungi dahulu jabatan sumber manusia atau perjawatan sesebuah syarikat untuk mengetahui gaji yang ditawarkan kepada calon yang tiada pengalaman. Kadar gaji pasaran juga boleh dirujuk pada syarikat pencari kerja atau Jabatan Tenaga Kerja. Selain itu, anda juga berhak untuk bertanya skop kerja bagi jawatan yang dipohon. Kadang-kadang nama jawatan adalah sama di dua syarikat yang berbeza tetapi skop kerjanya berlainan. Maka di situ juga wujud sebab mengapa Syarikat A menawarkan gaji lebih tinggi dari Syarikat B. Jika panel penemuduga mengizinkan anda bertanya soalan, tanyalah faedah-faedah lain yang ditawarkan selain gaji pokok seperti cuti tahunan, kemudahan perubatan, tingkat kenaikan pangkat, dan seumpamanya. Anda juga seharusnya bersedia dengan soalan cepu emas panel penemuduga, iaitu apa yang anda boleh sumbangkan untuk kami? Jumpa lagi ...

Isnin, 22 Julai 2013

Tip Menjalankan Kerja Lapangan

Sering kali sesebuah institusi pendidikan akan meminta pelajar mereka menjalankan kerja lapangan dan kemudian melaporkan dapatan mereka untuk salah satu subjek yang ditawarkan. Organisasi yang saya uruskan sering mendapat perhatian pelajar untuk menjalankan kerja projek mereka. Selalunya pelajar akan datang secara berkumpulan. Saya bersikap positif dalam hal ini. Demi melihat pelajar kita terdedah kepada perjalanan sebuah syarikat penerbitan sebenar, saya izinkan mereka datang dan melihat sendiri. Saya juga membenarkan sesi temu bual dijalankan untuk mereka memahami dengan lebih jelas tentang prosedur dan fungsi sesebuah jabatan dalam syarikat penerbitan. Namun, rata-rata saya dapati pelajar ini datang dalam keadaan mendesak. Kadang-kadang meminta kami menerima mereka dalam dalam tempoh yang singkat. Hari ini telefon, besok sudah mahu datang. Wahai pelajar, pohon dimengerti bahawa jadual seorang pekerja sangat padat. Fahamilah bahawa syarikat sedang dalam urusan perniagaan. Masa sangatlah penting dan sesuatu 'deadline' tidak boleh dianjak sesuka hati. Ada kalanya kami terpaksa menolak permohonan pelajar. Bukan tidak mahu memberi kerjasama, tetapi masa yang tidak sesuai. Seperkara lagi, sebaiknya panggilan telefon perlu disertai dengan permohonan secara formal. Tulislah surat rasmi dengan bahasa standard supaya anda dilihat benar-benar serius. Ada juga yang menggunakan bahasa 'sms' untuk membuat permohonan (merujuk pada email). Sungguh menjengkelkan. Anda memohon, tetapi menganggap kami seperti kawan. Selalunya saya tidak melayan permohonan sebegini. Perlu diingat bahawa anda mahu menceburkan diri dalam bidang penerbitan, tetapi gagal menjaga bahasa persuratan. Keadaan ini dilihat seperti sesuatu yang sangat bertentangan. Selain itu, sertakan juga senarai soalan yang ingin ditanya supaya organisasi yang ingin dikaji maklum tentang skop kajian yang hendak dijalankan. Dengan cara itu, lebih mempercepat proses temu bual dan bahan sokongan seperti flyers atau seumpamanya dapat disediakan terlebih dahulu.

Ahad, 21 Julai 2013

Apa tugas Editor?

Ketika saya mula masuk kerja dahulu, yang saya tahu tugas editor ialah  mengesan kesilapan typo dan membetulkan ayat dalam buku. Apabila sudah memasuki alam pekerjaan sebagai editor, rupa-rupanya tugas editor lebih daripada menyunting. Suntingan menjadikan sesuatu bahan lebih sedap dan lancar dibaca. Yang penting, bahan yang disediakan oleh penulis perlu disunting untuk memudahkan pemahaman. Sesetengah penulis pandai dalam ilmunya, tetapi tidak tahu hendak menyampaikan idea dengan lancar. Kadang-kadang ayat yang disampaikan seperti ayat 'bercakap' yakni menggunakan bahasa pertuturan. Menjadi tugas editorlah untuk menyedapkan ayat dan memastikan ilmu yang hendak diberikan dapat disampaikan dengan jelas dan lancar. Ayat pula tidak boleh berjela-jela. Sesetengah buku, point hanya satu tetapi dikembangkan dengan penjelasan ayat yang panjang. Pusing-pusing, balik-balik sebenarnya point yang sama juga. Saya tidak faham kenapa semestinya demikian. Mungkin tujuannya hendak memperbanyak kandungan buku supaya buku lebih tebal. Atau mungkin juga untuk meningkatkan pemahaman pembaca. Jadi, editor sebenarnya ialah 'gatekeeper' sesebuah buku. Sebelum orang lain baca, editor baca dulu. Sekiranya anda ingin menerbitkan buku, sebelum menghantar ke mana-mana syarikat penerbitan, eloklah meminta seorang rakan membaca dulu karya anda. Mungkin dia akan perasan bahawa karya itu tidak lancar atau ayat anda sukar difahami.

Jumaat, 19 Julai 2013

Salam Perkenalan

Setelah berminggu-minggu memulakan blog baharu, maka hari ini barulah tergerak hendak memperkenalkan diri sendiri. Mohon maaf saudara-saudari, saya sebenarnya amat pemalu orangnya. Saya akur bahawa langkah ini merupakan cara terbaik untuk memastikan pembaca mempercayai apa yang kita tulis. Oleh itu, hari ini saya mengucapkan salam perkenalan buat semua.

Saya mulakan dengan latar belakang kerjaya saya. Tamat belajar di universiti, saya bekerja sebagai editor. Kerjaya saya makin meningkat sehinggalah kini saya memegang jawatan pengurusan peringkat tertinggi di sebuah syarikat penerbitan (kerana saya juga melanjutkan pelajaran yang lebih tinggi dalam bidang ini). Walau bagaimanapun, tidak lama lagi saya akan menamatkan kerjaya ini dan berehat buat seketika. Memang berat hendak meninggalkan kerjaya yang saya sayangi, tetapi saya perlu memikirkan dan memberi  peluang kepada diri sendiri untuk mengerjakan apa yang saya minat dan juga memberi masa untuk diri sendiri. Banyak skil dan hobi saya terpaksa dilupakan kerana kesibukan bekerja.

Syukur alhamdulillah, Tuhan telah menetapkan jalan yang mudah buat saya. Saya memang tidak tersilap memilih kerjaya. Kerana itu saya tidak pernah bertukar bidang sejak memulakan kerjaya ini. Minat yang mendalam dalam bidang penulisan telah dibuktikan dengan kelahiran sebuah novel, 'Rela Kupujuk'. Bertahun-tahun saya mencuri masa untuk menulis dan seingat saya telah tiga buah laptop dan satu PC digunakan untuk menyiapkan novel tersebut. Selepas tujuh tahun, barulah saya berjaya menyiapkannya dan menerbitkannya sendiri. Itupun kerana ada sebab tertentu. Jika anda hendak tahu mengapa saya menerbitkan novel ini, bolehlah layari newsletter saya yang dipelajari daripada Saudara Irfan Khairi di sini.

Selain menulis, hobi saya juga ialah melukis dan menjahit. InsyaAllah saya akan paparkan hasil lukisan saya di blog ini nanti. Mungkin saya perlu membuat label Lukisan pula. Jika berminat, bolehlah membuat tempahan ;). Hobi menjahit pula boleh dilihat bawah label Dunia Jahitan. Saya juga suka melancong dan melaporkan apa yang saya lihat dalam perjalanan. InsyaAllah, jika ada rezeki saya berjalan-jalan lagi, akan saya kongsikan tip dan pengalaman saya untuk semua pembaca.

Jumpa lagi dalam entri lain!

Selasa, 16 Julai 2013

Projek Raya 2013

Tahun ni beli baju raya last minute, macam tahun lepas jugak. Seminggu sebelum puasa barulah boleh mengadakan masa untuk cari kain pasang di Jln Tunku Abdul Rahman. Itupun masih dalam suasana jerebu yang tebal. Memakai baju yang sama dan sedondon dalam kalangan ahli keluarga sudah menjadi trend kami. Entahlah, tak seronok pulak kalau satu famili tidak menggayakan warna dan corak yang sama. Tahun lepas warna kelabu menjadi pilihan anak-anak. Tahun ini pula, masuk saja kedai kain, Mr Hubby terus jatuh cinta pandang pertama pada baju Melayu coklat pada patung. Terus dia tetapkan tema tahun ni coklat. Lagipun warna ni memang dah lama tidak dipakai, hampir 10 tahun lepas. Jadi terpaksalah saya memilih warna coklat bercorak untuk pihak perempuan pula.

Bila dah last minute, susah jugak hendak mencari tukang jahit. Nampaknya peristiwa tahun lepas berulang kembali. Jadi terpaksalah saya menjahit untuk kami anak beranak. Tak apalah, menggilap skil menjahit setahun sekali. Projek raya tahun ni saya nak buat kelainan sikit pada baju kurung. Walaupun masih mengekalkan ciri kurung pesak, tapi saya menggugurkan penggunaan kekek pada lengan. Saya lihat baju yang saya tempah pada tukang jahit dah beralih pada stail ini. Lebih mudah, ringkas dan yang penting selesa.

Hujung minggu lepas, sempat membuat pola dan menggunting 4 pasang baju kurung. Selalunya saya tak membuat pola, terus ukur kain, tandakan dengan kapur dan  gunting (confident level memang tinggi! Hehe ..). Lepas tu, ikat2 semua yang telah digunting mengikut pasangan masing-masing dan hantar jahit tepi. Kos jahit tepi untuk 4 pasang, benang, pengeras tali pinggang, cangkuk, butang, zip, getah hanyalah RM19.80.


Gulung/lipat baju sepasang. Ikat untuk pastikan potongan kain tidak bercampur-campur sebab semuanya kelihatan sama saja.



 Aksesori wajib untuk sepasang baju kurung.


Ini baju kurung Puteri yang dah dihantar jahit tepi. Perhatikan pada pesak, tiada kekek.
Untuk membuat kain lebih mudah kerana kain hanya dipotong 4 segi. Kemahiran hanya diperlukan ketika menyusun lipatan tepi dan gosok untuk mengekalkan lipatan. 

Bahagian kain. Potong ikut ukuran panjang kain.

 Pelapik leher. Saya akan jahit tulang belut (tinggi cita-cita!), kerana itu tidak digosok
 pada pelapik dan dijahit tepi.

Temukan pelapik leher pada badan baju dan jahit pada belah hadapan.

Jahitan tulang belut yang hampir siap. Baru 1 baju hampir siap. 
Ada 3 pasang lagi (huh !!)

Insya Allah, Projek Raya 2013 ini akan siap mengikut tarikh. Kebanyakan baju sudah siap dijahit. Hanya perlukan kemasan di hujung lengan, hujung baju, leher dan menjahit pinggang kain sahaja. Sebenarnya part inilah yang paling mencabar kerana perlukan jahitan tangan.  Tetapi, menjahit sendiri memberikan satu kepuasan. 





Isnin, 15 Julai 2013

Jahit suka-suka

Salam,
Ini entri pertama saya sebagai tukang jahit. Sebenarnya kerja menjahit ni mula diperkenalkan oleh cikgu-cikgu saya sejak di sekolah rendah lagi. Tetapi saya terlupa pula nama cikgu tu, cuma yang saya ingat salah seorang daripadanya Cikgu Aminah Rohana (sebab namanya sedap, itu yang ingat). Mula-mula mereka ajar jahit sulam, silang pangkah dan macam-macam lagi. Entah kenapa saya suka pulak pada kerja-kerja tangan yang selalunya orang anggap sukar. Minat melahirkan bakat. Masuk sekolah menengah, ada pula kelas jahitan dalam subjek Ekonomi Rumah Tangga. Menjahit ok, tapi memasak saya kurang pandai sebab tidak expose sangat dengan kerja-kerja dapur. Mengait pun saya belajar. Tapi dalam banyak-banyak seni jahitan, saya memang suka membuat baju. Seni jahitan lain saya kurang minat sebab lambat nak siap. Cross-stitch saya yang berukuran 2.5 x 3 kaki memakan masa tiga tahun untuk disiapkan. Itupun sebab adik saya campur tangan. Kalau tidak mungkin hingga kinilah projek tu terbengkalai.
Inilsh cross stitch yang bertahun nak siap tu ..
Seperti yang saya katakan, saya suka menjahit baju. Mungkin bakat warisan dari emak saya yang pandai menjahit. Tapi emak pandai jahit sulam goyang mesin, ala-ala sulaman Rosmah yang dekat Bukit Tinggi, Sumatera tu .. Bab sulaman tu memang saya surrender. Tak pandai langsung walaupun pernah cuba-cuba belajar dengan emak.

Bab menjahit baju ni bolehlah dikatakan saya pakar juga. Lebih-lebih lagi memmbuat baju kurung pesak dan baju kurung moden. Masa menunggu keputusan SPM saya masuk kelas menjahit. Dalam tempoh sebulan saya belajar banyak patern baju ~ kurung moden, kebaya, kemeja. Silibusnya saya yang tentukan sendiri. Kakak yang mengajar tu menyerahkan kepada saya, nak belajar buat baju apa? Yurannya sangat murah, cuma RM10 (masa tu ... lama dulu!). Tetapi saya cuma sempat belajar sebulan sahaja. Banyak juga baju yang saya hasilkan. Itu yang seronok, belajar buat baju boleh pakai baju baru selalu! Bila masuk ITM, saya memang ada banyak koleksi baju sebab boleh reka dan jahit sendiri. Bila sudah bekerja, saya sudah boleh mengambil upah menjahit untuk rakan-rakan sepejabat. Banyak juga tempahan yang diterima kerana upahnya murah saja, cuma RM20 sepasang untuk dewasa dan RM10 untuk kanak-kanak. Saya tak pro, sebab tu upahnya murah padahal dah boleh letak harga RM30. Tetapi dari situlah saya membina kemahiran menjahit. Pernah saya tidur hanya 2 jam kerana menyiapkan tempahan untuk raya dan besoknya bangun untuk bekerja. Dan menjahit pada malam raya memang sudah menjadi lumrah ketika bujang. Selalunya baju saya sendirilah yang siap last minute tu ...;)

Isnin, 8 Julai 2013

Ceramah Kerjaya di SMK Seri Tasik, Kuala Lumpur

Baru-baru ini SMK Seri Tasik menjemput syarikat tempat saya bekerja untuk mengadakan 'Editorial Workshop'. Tetapi selepas berbincang dengan gurunya, mereka bersetuju untuk menukar kepada ceramah kerjaya sahaja. Saya dengan rela hati menawarkan diri untuk menyampaikan ilmu dalam bidang penerbitan kerana saya yakin, berdasarkan pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang ini dan melihat dunia penerbitan secara keseluruhannya, saya layak menyampaikan ceramah itu kepada pelajar sekolah. Saya tahu mereka mungkin tak tahu apa-apa berkaitan dunia penerbitan. Yang pasti, mereka 'dipilih' untuk menghadiri ceramah tersebut. Juga, sejak kebelakangan ini saya memang suka membuat kerja-kerja sosial. Berkongsi ilmu satu daripadanya. Apatah lagi pelajar di situ menurut gurunya 98% Melayu. Bangsa saya juga.

Pelajar yang mengikuti ceramah saya. Tahniah & terima kasih kerana hadir.

Saya dulu pun memang tak ada idea langsung dengan kerjaya dalam bidang penerbitan ni. Apabila sudah terlibat dalam bidang ini, saya tidak menoleh ke belakang lagi. Saya bersyukur kerana Allah memberi laluan terus kepada saya.

Apa yang saya kongsikan dengan pelajar itu ialah tentang tugas editor, jenis-jenis editor, sifat-sifat yang mesti ada dalam diri seorang editor serta jawatan dan jabatan dalam  sesebuah rumah penerbitan. Saya mengupas secara teori berdasarkan tesis Masters saya dan secara praktikalnya dari apa yang saya buat. Saya tidak memberi begitu banyak kerana rasanya apa yang saya berikan sudah cukup banyak untuk seorang pelajar yang baru hendak mengenali kerjaya dalam bidang penerbitan ini. Itupun belum masuk bab kerjaya dalam sebuah syarikat percetakan. Kadang-kadang orang terkeliru antara penerbit dan pencetak. Beruntunglah pelajar ini kerana mendapat pendedahan awal. Harap-harap ada yang berminat untuk berkecimpung dalam dunia penerbitan ini.

Yang saya terlupa hendak nyatakan ialah sebenarnya saya sukakan kerjaya ini dan kerana itu saya masih dalam dunia ini. Jika bersara pun, saya ingin terus menyumbang dalam bidang penerbitan.

Menerima penghargaan daripada Puan Pengetua. Terima kasih banyak-banyak.
Jika ada yang berminat hendak mengetahui tentang kerjaya dalam bidang penerbitan, bolehlah panggil saya ;)


Isnin, 1 Julai 2013

Kursus Penulisan Kreatif Pelajar SBP Zon Selatan, Cyberjaya dan Putrajaya



Sekadar membuat catatan walaupun peristiwa ini telah lebih 6 bulan berlalu. Pada 4 - 6 Nov 2012, Majlis Pengetua SBP Kebangsaan telah menganjurkan Bengkel Penulisan Kreatif untuk pelajar SBP Zon Selatan, Cyberjaya dan Putrajaya bertempat di SMS Batu Pahat. Seramai 45 pelajar mendapat manfaat dan pendedahan penulisan cerpen, novel dan puisi daripada sifu bidang penulisan kreatif iaitu Prof Madya Dr Lim Swee Tin dan Hajah Mahaya Mohd Yassin.

Pada hari terakhir pelajar dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan setiap kumpulan bekerjasama untuk menghasilkan puisi dan cerpen mereka sendiri.




Persembahan kumpulan Meskipun sederhana, majlis perasmian penutup berjalan dengan meriah. Walaupun SMS Batu Pahat baru sahaja beberapa bulan dibuka, namun pelajarnya mampu mempersembahkan permainan gamelan dan tarian Jepun. Tahniah kepada para pelajarnya dan semua pelajar SBP yang terpilih untuk menghadiri bengkel ini. Semoga terus kreatif berkarya.