Setelah berminggu-minggu memulakan blog baharu, maka hari ini barulah tergerak hendak memperkenalkan diri sendiri. Mohon maaf saudara-saudari, saya sebenarnya amat pemalu orangnya. Saya akur bahawa langkah ini merupakan cara terbaik untuk memastikan pembaca mempercayai apa yang kita tulis. Oleh itu, hari ini saya mengucapkan salam perkenalan buat semua.
Saya mulakan dengan latar belakang kerjaya saya. Tamat belajar di universiti, saya bekerja sebagai editor. Kerjaya saya makin meningkat sehinggalah kini saya memegang jawatan pengurusan peringkat tertinggi di sebuah syarikat penerbitan (kerana saya juga melanjutkan pelajaran yang lebih tinggi dalam bidang ini). Walau bagaimanapun, tidak lama lagi saya akan menamatkan kerjaya ini dan berehat buat seketika. Memang berat hendak meninggalkan kerjaya yang saya sayangi, tetapi saya perlu memikirkan dan memberi peluang kepada diri sendiri untuk mengerjakan apa yang saya minat dan juga memberi masa untuk diri sendiri. Banyak skil dan hobi saya terpaksa dilupakan kerana kesibukan bekerja.
Syukur alhamdulillah, Tuhan telah menetapkan jalan yang mudah buat saya. Saya memang tidak tersilap memilih kerjaya. Kerana itu saya tidak pernah bertukar bidang sejak memulakan kerjaya ini. Minat yang mendalam dalam bidang penulisan telah dibuktikan dengan kelahiran sebuah novel, 'Rela Kupujuk'. Bertahun-tahun saya mencuri masa untuk menulis dan seingat saya telah tiga buah laptop dan satu PC digunakan untuk menyiapkan novel tersebut. Selepas tujuh tahun, barulah saya berjaya menyiapkannya dan menerbitkannya sendiri. Itupun kerana ada sebab tertentu. Jika anda hendak tahu mengapa saya menerbitkan novel ini, bolehlah layari newsletter saya yang dipelajari daripada Saudara Irfan Khairi di sini.
Selain menulis, hobi saya juga ialah melukis dan menjahit. InsyaAllah saya akan paparkan hasil lukisan saya di blog ini nanti. Mungkin saya perlu membuat label Lukisan pula. Jika berminat, bolehlah membuat tempahan ;). Hobi menjahit pula boleh dilihat bawah label Dunia Jahitan. Saya juga suka melancong dan melaporkan apa yang saya lihat dalam perjalanan. InsyaAllah, jika ada rezeki saya berjalan-jalan lagi, akan saya kongsikan tip dan pengalaman saya untuk semua pembaca.
Jumpa lagi dalam entri lain!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan