Setiap hari adalah hari untuk belajar. Guru ada di mana-mana. Lihat, pelajari dan amalkan.
Rabu, 24 Julai 2013
Tip menjalani temuduga
Sekarang musim pelajar yang meninggalkan kolej/ universiti mencari pekerjaan. Di sini saya ingin memberi sedikit tip bagaimana menghadapi temuduga. Saya merupakan panel penemuduga dan membuat pemilihan untuk menentukan calon yang paling layak diambil bekerja. Pertama, apabila melihat senarai calon, saya akan menapis dahulu mengikut pengalaman yang berkaitan dan gaji yang dipohon. Benar, calon yang ada pengalaman pasti akan disenarai pendek. Jika anda tidak ada pengalaman langsung, seeloknya carilah kerja sambilan ketika cuti semester. Kerja sebagai pelayan restoran misalnya memerlukan kesabaran ketika melayan pelanggan. Sekurang-kurangnya semasa ditemuduga anda boleh berkongsi pengalaman ketika menyelesaikan masalah bersama pelanggan. Ketengahkan pencapaian anda semasa menangani masalah pelanggan. Dari situ panel penemuduga akan dapat menilai keyakinan dan kematangan seseorang. Kedua, saya suka memilih pelajar yang cemerlang dalam pelajaran. Bagi saya, mereka yang rajin belajar juga akan rajin bekerja. Ini menunjukkan kesungguhan seseorang. Sesetengah orang berfikiran, tidak semestinya orang yang bijak belajar juga akan pandai bekerja. Untuk menjawab persoalan ini, bolehlah pula dirujuk pada aktiviti atau persatuan yang disertai ketika belajar. Selalunya calon yang pasif sesuai untuk jawatan tertentu yang menuntut ketekunan. Ketiga, jika tidak mempunyai pengalaman kerja, usahlah meletak gaji yang begitu tinggi. Sebaiknya hubungi dahulu jabatan sumber manusia atau perjawatan sesebuah syarikat untuk mengetahui gaji yang ditawarkan kepada calon yang tiada pengalaman. Kadar gaji pasaran juga boleh dirujuk pada syarikat pencari kerja atau Jabatan Tenaga Kerja. Selain itu, anda juga berhak untuk bertanya skop kerja bagi jawatan yang dipohon. Kadang-kadang nama jawatan adalah sama di dua syarikat yang berbeza tetapi skop kerjanya berlainan. Maka di situ juga wujud sebab mengapa Syarikat A menawarkan gaji lebih tinggi dari Syarikat B. Jika panel penemuduga mengizinkan anda bertanya soalan, tanyalah faedah-faedah lain yang ditawarkan selain gaji pokok seperti cuti tahunan, kemudahan perubatan, tingkat kenaikan pangkat, dan seumpamanya. Anda juga seharusnya bersedia dengan soalan cepu emas panel penemuduga, iaitu apa yang anda boleh sumbangkan untuk kami? Jumpa lagi ...
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan