Ahad, 28 Julai 2013

Shopping Raya

Pagi ini saya hendak berkongsi pengalaman tentang perjalanan saya ke Jalan Tuanku Abdul Rahman. Tujuan ke sana bukanlah untuk shopping sakan, tetapi hanyalah mencari tudung untuk dipadankan dengan baju raya yang sudah dan akan siap dijahit nanti. Tempat ini merupakan lokasi tumpuan ramai kerana banyak pilihan. Harga pun agak murah. Mengikut 'waze' jarak dari rumah ke Kompleks Sogo hanya 13 km. Jika kaki jogging, boleh saja berjalan kaki atau berbasikal ke sana. Tetapi tidaklah tergamak hendak berjalan kaki dalam bulan puasa ini. Lagipun kami akan tawaf di sekitar deretan kedai di Jalan TAR, itupun sudah dikira jogging. Bagi menjimatkan masa dan fokus pada tujuan, hanya kami bertiga yang perempuan sahaja pergi.

Kami keluar seawal jam 9 pagi bagi mengelakkan kesesakan dan mudah untuk mendapat parking. Selain memandu, boleh juga menaiki LRT sebagai alternatif. Tetapi memikirkan jarak agak dekat dan lebih ekonomik serta mudah, saya memutuskan untuk memandu sahaja. Ditolak setengah jam untuk mengisi minyak dan mengeluarkan duit di mesin ATM terlebih dahulu, maka kami memasuki Jalan Loke Yew lebih kurang jam 9.30 pagi. Di sini jalannya agak sesak. Kebetulan hari itu cuti umum untuk Selangor, hanya orang KL sahaja yang bekerja.



Tidaklah dapat dipastikan mengapa kesesakan berlaku. Mungkin ramai orang yang berfikiran seperti saya, keluar awal untuk mudah mendapatkan parking. Di pertengahan jalan DJ radio mengumumkan beberapa jalan ditutup kerana ada raptai sambutan hari pahlawan di Dataran Merdeka. Alamak, saya perlu melalui jalan itu! Nasib baik saya tidak mengubah laluan untuk memasuki Jalan Kuching dan seterusnya ke Jalan Sultan Ismail dan kemudian susur ke Jalan Tuanku Abdul Rahman. Alhamdulillah, jalan di Dataran Merdeka boleh  dilalui. Memudahkan laluan saya. Tetapi agak sesak di susur masuk ke kawasan parking berhadapan DBKL. Saya teruskan ke susur masuk sebelum bangunan KWSP. Syukur kerana jalan di sini lengang dan saya dengan mudah mendapat parking di belakang bangunan KWSP. Itupun parking sudah hampir penuh. Kami tiba dalam pukul 10 pagi. Kedai pun sudah banyak yang dibuka.

Saya jarang membeli belah di kawasan ini kecuali menjelang hari raya. Memang kami dapat apa yang dikehendaki dan harga pun berpatutan. Tidak begitu mahal. Walaupun mencari tudung dengan merujuk pada gambar di handphone sahaja tetapi bila balik, memang ternyata sangat kena. Selain tudung, kami membeli jubah dan brooch. Sedar tak sedar budget yang diperuntukkan hampir susut kerana semuanya dalam terma tunai. Hujan pula turun lebat. Kami terpaksa menyusur dalam kedai sahaja. Di Lorong TAR banyak juga gerai dibuka tetapi kerana hujan lebat, tidaklah sempat hendak membuat lawatan.

Ramai sungguh pengunjung hari itu, tetapi saya jangkakan akan lebih ramai lagi hujung minggu ini. Jalan TAR memang pusat tumpuan orang ramai untuk membeli belah terutamanya Melayu. Seronok melihat ramai peniaga Melayu dan pembelinya Melayu. Harap-harap pemilik kedai juga Melayu. Cuma, nampaknya semakin ramai Bangla yang menjadi jurujual.

Pemandangan di hadapan Sogo.

Apabila sudah terlebih budget, terpaksalah melintas ke Sogo untuk mendapatkan talian hayat! Tengoklah betapa ramainya orang yang memerlukan talian hayat...

Sesekali berbelanja memang seronok. Apatah lagi mendapat semua yang dihajati. Selepas menghabiskan 4 jam di sini, kami pun berangkat pulang. Mungkin minggu depan orang semakin ramai kerana sudah hujung bulan. Orang Kerajaan pula dapat bonus. Maka, tersenyun lebarlah para peniaga.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan