Selasa, 16 Julai 2013

Projek Raya 2013

Tahun ni beli baju raya last minute, macam tahun lepas jugak. Seminggu sebelum puasa barulah boleh mengadakan masa untuk cari kain pasang di Jln Tunku Abdul Rahman. Itupun masih dalam suasana jerebu yang tebal. Memakai baju yang sama dan sedondon dalam kalangan ahli keluarga sudah menjadi trend kami. Entahlah, tak seronok pulak kalau satu famili tidak menggayakan warna dan corak yang sama. Tahun lepas warna kelabu menjadi pilihan anak-anak. Tahun ini pula, masuk saja kedai kain, Mr Hubby terus jatuh cinta pandang pertama pada baju Melayu coklat pada patung. Terus dia tetapkan tema tahun ni coklat. Lagipun warna ni memang dah lama tidak dipakai, hampir 10 tahun lepas. Jadi terpaksalah saya memilih warna coklat bercorak untuk pihak perempuan pula.

Bila dah last minute, susah jugak hendak mencari tukang jahit. Nampaknya peristiwa tahun lepas berulang kembali. Jadi terpaksalah saya menjahit untuk kami anak beranak. Tak apalah, menggilap skil menjahit setahun sekali. Projek raya tahun ni saya nak buat kelainan sikit pada baju kurung. Walaupun masih mengekalkan ciri kurung pesak, tapi saya menggugurkan penggunaan kekek pada lengan. Saya lihat baju yang saya tempah pada tukang jahit dah beralih pada stail ini. Lebih mudah, ringkas dan yang penting selesa.

Hujung minggu lepas, sempat membuat pola dan menggunting 4 pasang baju kurung. Selalunya saya tak membuat pola, terus ukur kain, tandakan dengan kapur dan  gunting (confident level memang tinggi! Hehe ..). Lepas tu, ikat2 semua yang telah digunting mengikut pasangan masing-masing dan hantar jahit tepi. Kos jahit tepi untuk 4 pasang, benang, pengeras tali pinggang, cangkuk, butang, zip, getah hanyalah RM19.80.


Gulung/lipat baju sepasang. Ikat untuk pastikan potongan kain tidak bercampur-campur sebab semuanya kelihatan sama saja.



 Aksesori wajib untuk sepasang baju kurung.


Ini baju kurung Puteri yang dah dihantar jahit tepi. Perhatikan pada pesak, tiada kekek.
Untuk membuat kain lebih mudah kerana kain hanya dipotong 4 segi. Kemahiran hanya diperlukan ketika menyusun lipatan tepi dan gosok untuk mengekalkan lipatan. 

Bahagian kain. Potong ikut ukuran panjang kain.

 Pelapik leher. Saya akan jahit tulang belut (tinggi cita-cita!), kerana itu tidak digosok
 pada pelapik dan dijahit tepi.

Temukan pelapik leher pada badan baju dan jahit pada belah hadapan.

Jahitan tulang belut yang hampir siap. Baru 1 baju hampir siap. 
Ada 3 pasang lagi (huh !!)

Insya Allah, Projek Raya 2013 ini akan siap mengikut tarikh. Kebanyakan baju sudah siap dijahit. Hanya perlukan kemasan di hujung lengan, hujung baju, leher dan menjahit pinggang kain sahaja. Sebenarnya part inilah yang paling mencabar kerana perlukan jahitan tangan.  Tetapi, menjahit sendiri memberikan satu kepuasan. 





Tiada ulasan:

Catat Ulasan