Salam. Hanya beberapa hari sahaja lagi kita akan menyambut hari raya Aidil Fitri. Teringat pada zaman kanak-kanak, betapa seronok dan tidak sabarnya untuk menyambut hari raya. Ketika itu tahap keseronokan paling atas adalah kerana tidak perlu berpuasa lagi. Kita akan bebas untuk makan dan minum bila suka. Semuanya kerana ketika zaman kanak-kanak kita banyak bermain. Apabila bermain, kita keletihan dan mahu minum. Dan setelah banyak tenaga dikeluarkan untuk bermain, memanglah akan terasa lapar. Rasanya itu sahaja sebabnya. Selain itu, keseronokan yang jatuh pada nombor dua ialah kerana dapat menggayakan baju dan kasut baharu. Tetapi rasanya kanak-kanak sekarang pasti meletak duit raya pada tempat teratas. Pada zaman saya, mendapat RM1 sudah dikira cukup besar. Rata-rata tuan rumah yang dikunjungi akan menghulur duit syiling sahaja. Tidak perlu sampul raya. Tetapi sekarang nilai minimum duit raya adalah RM1. Itupun belum tentu. Kalau di Kuala Lumpur biasanya tuan rumah akan menghulur RM2 atau RM3. Jika hubungan lebih rapat mungkin mencapai RM5 - RM10 seorang! Untungnya budak-budak sekarang. Duit koleksi raya boleh dibuat modal untuk membeli gajet terkini seperti hand phone atau game atau sekurang-kurangnya 'top up'.
Pada orang dewasa pula, selalunya hari raya yang menjelang tidaklah seseronok mana. Ini kerana kedatangan Syawal bermakna berakhirnya Ramadan. Bulan Ramadanlah sebenarnya paling istimewa berbanding Syawal kerana bulan ini merupakan bulan beribadat. Kita digalakkan membanyakkan ibadah kerana bulan ini boleh dikatakan bulan pesta ibadat. Pahala yang dijanjikan Allah berlipat kali ganda. Sayangnya kalau meninggalkan solat sunat terawih kerana solat ini hanya ada pada bulan Ramadan sahaja. Jadi, pandai-pandailah kita mengadakan masa untuk bersolat walau sesibuk mana pun kita. Hanya ada tiga malam sahaja lagi.
Tahun ini hari raya jatuh pada musim cuti sekolah. Jadi sangat banyak masa yang boleh dihabiskan di kampung halaman. Gunakanlah masa tersebut untuk menziarahi saudara mara dan teman sekampung. Sekurang-kurangnya anak-anak kita mengenali teman rapat dan saudara mara ibu bapanya. Jangan hanya menghabiskan masa di hadapan TV sahaja walaupun program istimewa raya sudah bermula malam raya lagi! Kalau zaman saya dulu hanya ada 3 saluran TV, tetapi sekarang sudah berpuluh saluran yang tersedia. Saluran percuma juga sudah lebih dari 5! Program raya pula memang hebat-hebat menyebabkan kita melekap di hadapan TV. Apatah lagi sekarang sudah ada Smart TV dan TV 3D, seolah-olah panggung wayang dalam rumah. Bukan seperti zaman kanak-kanak saya, asal hari raya sahaja akan ditayangkan rancangan sarkis. Agaknya ketika itu RTM tidak ada budget untuk menyediakan program sendiri dan rancangan import pula, itulah yang paling murah.
Bagi yang sudah memulakan perjalanan pulang, pandulah dengan cermat dan hati-hati. Jangan memandu mengikut emosi. Takkan lari kampung dikejar. Sekarang terlalu banyak kereta di jalan raya. Sudah tiba masanya kita mempunyai sistem pengangkutan awam yang canggih dan efisien supaya orang memilih pengangkutan awam untuk pulang ke kampung. Apa kata di kampung pula ada tren percuma yang disediakan untuk berziarah keliling kampung! Hanya pada hari raya sahaja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan