Isnin, 19 Ogos 2013

Ahlil muzik?

Saya memang suka muzik. Rasanya kalau bertanya pada mana-mana orang sekali pun, semuanya akan menjawab sukakan muzik. Tetapi berapa ramai pula yang sukakan alat muzik? Sejak di bangku sekolah rendah lagi murid didedahkan dengan subjek muzik. Tidak dinafikan selain subjek Seni Lukisan, subjek muziklah paling menyeronokkan. Pada zaman saya bersekolah dahulu, kami diajar pelbagai lagu. Guru muzik kami bermain akordion. Seronok bernyanyi beramai-ramai baik lagu Melayu mahupun lagu Inggeris. Rasanya ini antara cara terbaik untuk mengajar bahasa Inggeris kepada kanak-kanak. Ketika itu not muzik yang diperkenalkan hanyalah dalam bentuk A, B, C dan do re mi fa so la ti do. Alat muzik yang dapat dimainkan hanyalah rekoder. Murid sekarang sangat beruntung kerana diajar membaca not muzik yang macam taugeh. Dahulu ketika ayah saya bertanya, hendak hadiah apa jika dapat 5A dalam peperiksaan Penilaian Darjah 5 (sekarang UPSR), saya dengan yakin menjawab, hendak piano! Ketika itu sudah terbayang di rumah saya akan ada sebuah piano hitam yang tersergam di ruang tamu rumah. Jika difikirkan logik, memang tidak padan langsung sebuah grand piano memasuki rumah kami yang hanyalah kuarters kerajaan ketika itu. Tetapi itulah saya, sejak kecil memang suka berangan-angan. Mungkin bukan rezeki saya, piano yang diidamkan tidak menjadi kenyataan.
Grand piano yang terbayang-bayang berada di ruang tamu rumah saya. 
Namun setelah bekerja, saya berusaha untuk menjadikan impian saya suatu kenyataan. Saya sudah memiliki sebuah piano hitam, walaupun bukan grand piano. Saya masih lagi mempelajari selok belok bermain piano dan kini sudah di Gred 4. Guru piano saya berkata, untuk pelajar dewasa cukuplah sampai Gred 5, sudah boleh memainkan lagu. Saya rasa sayalah pelajar tertua di sekolah muzik itu.

Sebenarnya saya suka banyak alat muzik. Tetapi, cukuplah bermain piano sahaja. Saya suka melihat orang pandai memetik gitar. Malah, saya kagum melihat kecekapan orang bermain alat muzik, apatah lagi mencipta lagu. Bagi saya mereka adalah orang yang genius. P. Ramlee misalnya, bukanlah lahir dari golongan bangsawan yang sudah memiliki piano sejak kecil. Tetapi beliau bijak memainkan alat-alat muzik dan pintar mencipta lagu. Tentunya beliau seorang yang gigih berusaha.

P. Ramlee seorang yang genius.
Apabila mempelajari not muzik, kebanyakan istilah adalah dalam bahasa Itali. Secara tidak langsung, kita juga mempelajari bahasa Itali. Piano sendiri ertinya soft (lembut). Lebih banyak yang dipelajari, lebih kagum rasanya pada pemuzik dahulu yang mencipta dan menyusun silibus muzik. Terlalu banyak rahsia di sebalik not-not seperti taugeh itu. Pastinya berkurun lamanya mereka mencipta silibus muzik yang lengkap sehingga dapat menjadikannya ianya satu peperiksaan. Tidak sabar pula hendak menghabiskan kursus muzik saya.

Allegro!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan