Isnin, 19 Ogos 2013

Musim demam?

Sejak meninggalkan Ramadan, nampaknya semakin ramai orang jatuh sakit. Mana tidaknya, hari pertama beraya sahaja macam-macam makanan disumbat ke mulut kita. Alasannya, nama pun beraya .. Perut yanig sudah terbiasa kosong pada siang hari agak 'terkejut' menerima makanan tanpa henti. Kebanyakannya pula berlemak, berempah dan berminyak. Minuman pula pastinya manis dan kadang-kadang bergas. Hendak lebih sedap, tambah pula ais. Ahh .. betapa nikmatnya menghirup air sejuk ke tekak yang kering tika panas terik.

Mewahnya makanan di negara kita. Ingat, makan berlebihan membawa penyakit!
Apabila malam menjelma, mulalah perut meragam. Sakitnya menyucuk-nyucuk menjelang subuh. Hendak tak hendak, terpaksalah 'bermalam' di bilik kecil pula. Rasanya sudah lebih tiga empat kali raya saya mengalami cirit-birit pada hari raya. Semuanya kerana main belasah sahaja. Raya kali ini tidak terkecuali. Walaupun cuba kawal makan tetapi apabila berkunjung ke rumah sanak saudara, tidak sampai hati pula untuk tidak menyentuh makanan yang dihidangkan. Hari raya kedua saya mencari klinik untuk mendapatkan ubat sakit perut. Klinik tidak banyak dibuka. Maklumlah doktor dan pembantu klinik juga mahu berhari raya. Klinik yang dimiliki doktor bukan Islam juga penuh sesak dengan pesakit yang ingin mendapatkan rawatan. Saya cuba membeli ubat sahaja di kaunter, tetapi dimaklumkan tidak boleh berbuat demikian kerana saya tidak pernah datang ke klinik itu.Maka, saya mencari klinik lain kerana tidak sabar hendak menunggu lama. Klinik kedua yang dikunjungi membenarkan saya membeli ubat tanpa berjumpa doktor. Malangnya ubat sakit perut dan cirit-birit kehabisan stok. Khabarnya pada hari sebelumnya terlalu ramai pesakit yang datang untuk mendapatkan ubat yang sama. Akhirnya saya memutuskan untuk membeli ubat di farmasi sahaja. Seperti tahu sahaja, pekerja di situ terus menghulurkan ubat sakit perut dan cirit-birit yang sudah dipreskripsikan. Pastinya saya bukan orang yang pertama meminta ubat itu!

Setelah balik bekerja pula, dimaklumkan ramai staf yang mengambil cuti sakit. Pastinya penangan jamuan raya atau keletihan akibat membuat perjalanan jauh. Atau masih lagi dalam mood raya. Terikut-ikut dengan keseronokan cikgu dan murid sekolah yang masih bercuti sakan. Hari ini pula hari pertama persekolahan. Anak saya pula demam dan seorang lagi sakit perut. Jadi saya terpaksa bawa mereka ke klinik. Wah, begitu ramai sekali orang yang jatuh sakit. Rasanya kalau menunggu, mahu mengambil masa 2 jam. Selain demam, saya lihat di pejabat sudah ada yang hilang suara kerana batuk dan sakit tekak. Minggu ini kebanyakan rumah,  pejabat atau persatuan mengadakan rumah terbuka. Harap-harapnya tidak ramailah yang jatuh sakit. Pelik juga orang kita, ramai yang sakit kerana banyak makan atau terlebih makan. Sedangkan di luar negara, orang jatuh sakit kerana kurang makanan atau tidak dapat makan. Syukur alhamdulillah kerana kita berada dalam negara Malaysia yang makmur.
Di luar negara, orang sakit kerana tidak makan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan