Teks oleh: Rozida Ismail
30.8.13
Lebih kurang sejam sahaja lagi jam akan berdenting 12 kali menandakan detik ulang tahun kemerdekaan sudah bermula. Apa perasaan anda menghadapi detik kemerdekaan? Jawapan mungkin seperti yang berikut:
A. Seronok ~ kerana besok cuti
B. Tak seronok sebab besok memang cuti. Jika jatuh pada hari bekerja, sudah tentu dapat cuti tambahan.
C. Entah, biasa saja ..
Jika antara ketiga-tiga itu pilihan jawapan anda, sudah pasti anda merupakan anak merdeka. Anda tidak dapat menghayati kenikmatan merdeka sepenuhnya kerana anda lahir ketika negara sudah merdeka. Bukan salah anda, saya juga merasakan begitu. Anak kecil saya berasa seronok menanti detik kemerdekaan kerana dapat melihat bunga api (dari rumah kami, KLCC amat jelas!).
Namun, bagi orang yang lebih tua dan hidup sebelum merdeka, ulang tahun kemerdekaan amatlah bermakna. Saya adalah penyunting buku "500 Tahun Melayu Menghadapi Cabaran" tulisan Prof Kamarudin M. Said dari UKM. Buku itu amat ringkas, boleh dikatakan himpunan salinan slaid. Sedikit sahaja teks tetapi dipenuhi gambar-gambar sebelum negara mencapai kemerdekaan. Sebagai pembaca, saya dapat menyelami perasaan orang dahulu yang hidup pada era sebelum merdeka. Apatah lagi 500 tahun sebelumnya, tatkala Portugis mula bertapak ke negara ini. Pastinya hidup mereka dalam serba kedaifan, tidak mewah makan dan pakai, juga tidak berasa selamat. Daripada gambar-gambar yang dipaparkan (hitam putih sahaja) saya melihat begitu gigihnya nenek moyang kita berjuang untuk mempertahankan tanah air daripada cengkaman penjajah. Kaum wanita turut mengangkat senjata walaupun memakai baju kurung dan berselendang. Yang pasti, semuanya memainkan peranan agar negara ini tidak jatuh pada tangan orang lain. Mahukah kita hidup di bawah telunjuk bangsa lain di tanah air sendiri? Ini tanah air kita, kitalah yang patut mencorakkannya.
Kerana itulah kita yang hidup pada era siber ini perlu bersyukur dan nikmati kemerdekaan yang dikecapi sepuas-puasnya. Inilah hasil perjuangan orang dahulu. Mereka mempertaruhkan nyawa sendiri demi melihat anak bangsa kemudiannya hidup aman dan damai. Sesudah mereka berhempas pulas memastikan kuasa di tangan sendiri, tibalah masanya anak cucu pula bertungkus lumus supaya kuasa ekonomi juga berada di genggaman kita. Inilah kemerdekaan yang sebenar-benarnya. Jika ekonomi kita tidak kuat, nescaya suatu masa nanti kita pula menjadi hamba kepada orang lain. Di manalah erti kemerdekaan ketika itu?
Kepada adik-adik, belajarlah sukakan subjek Sejarah. Saya pasti, ramai yang mengatakan bahawa subjek itu membosankan. Saya juga begitu. Mana tidaknya, kita dibawa ke zaman lampau yang tidak tercapai oleh jangkauan fikiran dan kemudian diasak dengan nama-nama klasik panjang berjela dan lebih kurang sama. Ditambah pula perlu mengingati tahun dan peristiwa. Pastilah semua itu membosankan. Saya juga dulu tertanya-tanya, apa kaitan belajar Sejarah dengan pekerjaan kita masa hadapan? Kini, saya faham kenapa kita perlu belajar Sejarah. Belajar dan ambil tahu apa yang dialami oleh orang dahulu. Jangan diulangi kesilapan mereka. Belajar mensyukuri dan berterima kasih kepada nenek moyang kita. Tanpa perjuangan dan keputusan bijak yang dibuat oleh mereka, mungkin hidup kita tidak semewah sekarang.
Selamat menyambut hari kemerdekaan yang ke-56!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan