Selasa, 13 Ogos 2013

Tip sihat

Semalam saya berjumpa dengan seorang novelis wanita terkemuka tanah air. Kami berbual tentang projek, kerja dan sebagainya. Agak lama juga berdiskusi dan bersembang, rasanya hampir 2 jam. Tetapi yang paling berkesan di hati ini ialah tentang pesanan yang diberikannya sebelum kami berpisah petang itu. Ada tiga pesanan tertambat di sanubari yang ingin saya kongsi dengan pengunjung blog ini. Katanya, ini adalah amalan sehariannya. Terpulanglah kepada individu itu untuk mengamalkan perkara yang sama atau sebaliknya.

Pertama, sentiasa sibukkan diri dengan membaca,  berfikir dan bekerja. Sekiranya otak sentiasa ligat berfikir, diri akan menjadi muda. Selalu amalkan fikiran positif. Sememangnya beliau sudah berusia, tetapi saya nampak penglihatannya masih baik. Beliau menulis atau membaca tanpa menggunakan kaca mata. Beliau juga masih gagah mendaki bangunan pejabatnya setinggi tiga tingkat. Jika wanita lain seusia dengannya, pastinya sudah terduduk beberapa kali kerana sakit lutut. Beliau juga jarang makan tengah hari. Sekiranya dia mengambil sarapan yang agak berat, dia hanya makan buah sahaja pada waktu tengah hari sekadar mengalas perut.

Kedua, amalkan membaca al-Quran setiap hari selepas waktu solat. Beliau memiliki naskhah al-Quran yang dijilid mengikut juzuk. Al-Quran mengikut juzuk silih berganti di atas mejanya untuk dibaca. Ketika kita masih ada wuduk, bacalah al-Quran, pesannya.

Ketiga, amalkan bersedekah setiap hari. Sedekahlah apa sahaja untuk dikongsi oleh orang lain, seperti duit, makanan dan sebagainya. Setidak-tidaknya bersedekahlah kepada burung dengan memberi mereka makan.

Hari ini saya ke pejabat pos untuk menghantar dokumen melalui pos laju. Saya sudah lama tidak menggunakan perkhidmatan ini, jadi saya terlupa cara-caranya. Alhamdulillah ada seorang wanita Cina yang amat mesra memberitahu saya prosedur yang perlu diikuti. Sementara menunggu giliran, saya terpandang banner tentang waqaf tanah tapak Kolej Teknologi Bestari di Terengganu. Kita boleh membeli sebidang tanah bermula dengan harga RM30 (untuk 1 meter persegi) untuk diwaqafkan kepada pertubuhan anak yatim bagi membina kolej ini. Dalam banner ini dipaparkan tentang keajaiban sedekah dan derma waqaf seperti berikut:

  • Membawa berkat, menebus dosa dan membuka pintu syurga
  • Memudahkan datangnya rezeki dengan banyak
  • Menghindari dan menolak bala daripada menimpa
  • Merungkai kerumitan dan kesusahan dalam kehidupan
  • Menyembuh penyakit dan menyihatkan tubuh badan


    Semalam saya terfikir-fikir akan semua pesanan tersebut dan ingin mengamalkannya. Tiba-tiba hari ini saya terjumpa sesuatu yang mendorong saya untuk beramal seperti yang disarankan dan fadilatnya. Sungguh mudah untuk bersedekah. Betapa hebatnya perancangan Allah SWT. 

    Semoga apa yang saya kongsi hari ini memberi manfaat untuk semua. Assalamualaikum!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan