Persiapan raya kali ini macam biasa, ala kadar sahaja. Seperti tahun-tahun sebelumnya, tahun ini kami beraya di kampung halaman. Disebabkan cuti sekolah bermula awal, kami memilih untuk pulang ke kampung pada hari Selasa. Sempatlah untuk berbuka puasa dua kali dengan keluarga di kampung. Bila tiba di kampung, acara mengemas rumah bonda pun bermula. Bab-bab mengemas ini memang saya suka. Dari situlah baru tahu mana yang tidak cukup, barulah dibeli. Langsir pula memang sudah dua tahun dipakai, berselang-seli dengan langsir tahun lepas-lepas. Mungkin tahun hadapan bolehlah buat langsir baru bersesuaian dengan warna dinding yang baru. Adik saya melakukan projek 'ad-hoc' dengan menukar cat dinding ruang tamu sehari sebelum raya. Mungkin tahun depan boleh 'make-over' ruang tamu untuk dapatkan
mood baru. Tetapi kenalah bermula lebih awal lagi supaya kerja penambahbaikan lebih lengkap dan semenggah.
Pagi Rabu mak mula bising kerana kami lambat bergerak untuk ke pasar. Dia bimbang tidak mendapat bekalan ayam kerana menurut jiran-jiran, di pasar orang sudah berbaris panjang untuk membeli daging ayam. Alhamdulillah, nampaknya harga ayam masih terkawal, RM7.70 sekilo. Tetapi pada awalnya mak nampak kecewa kerana dimaklumkan oleh peniaga bahawa ayam sudah kehabisan stok. Kami beralih ke gerai lain pula dan alhamdulillah stok masih banyak tetapi terpaksa menunggu dalam setengah jam kerana dikhabarkan stok ayam dalam proses. Lagi baik sebenarnya, dapat ayam segar!
|
Nak beli ayam? Berbaris dulu, tau! |
Di luar bangunan pasar pula, banyak jualan lemang, dodol dan kuih muih tradisional. Sambil menunggu emak yang memilih barang-barang, saya meninjau-ninjau di luar. Seronok juga melihat aktiviti di pasar. Dalam pada itu, tersua pula kawan sekolah yang hampir 30 tahun tidak berjumpa secara 'live'. Selama ini bertegur sapa di facebook sahaja.
|
Sekadar nak tunjuk suasana di luar pasar. Ini bukan kawan saya. |
Malam raya kami terpaksa keluar untuk mencari bunga bagi menghias rumah. Sebaik sampai di rumah, rombongan takbir sudah sampai. Memang aktiviti ini sudah menjadi rutin di kawasan kejiranan kami. Tuan rumah digalakkan mengetuai acara takbir di rumah masing-masing. Dengan adanya acara ini, barulah terasa kedatangan Syawal.
Hari raya pertama saya bangun jam 5.00 pagi. Mungkin kerana telah terbiasa bersahur waktu seperti itu. Kenalah bangun awal untuk mandi kerana kalau tidak terpaksa berbaris pula di hadapan bilik air. Begitulah biasanya apabila keluarga semua berkumpul. Kami bersolat sunat aidilfitri di masjid bandar. Masjid penuh sesak dengan jemaah.
|
Jemaah wanita memenuhi ruang solat. Boleh dikatakan semua saf penuh. |
Dari masjid, kami bertolak terus ke pusara ayahanda. Ini tahun kedua beraya tanpanya. Begitu pun, tahun ini adalah tahun pertama ke pusaranya pada hari raya. Pada tahun lepas kami berkumpul di pusaranya sehari sebelum Syawal menjelang.
Sesudah membaca yasin dan bertahlil, kami pulang ke rumah untuk acara bergambar (acara wajib tahunan) sebelum masing-masing membawa haluan sendiri untuk berhari raya bersama teman dan sanak saudara.
Salam aidilfitri semua pengunjung blog saya dan maaf zahir batin andai kata ada antara tulisan saya tidak disenangi oleh mana-mana pihak.
(Sebenarnya catatan ini telah dibuat pada hari raya pertama lagi. Tetapi kerana line internet terlalu lembap, catatan ini hanya dapat diterbitkan hari ini, setelah kembali ke KL.)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan