Selasa, 6 Ogos 2013

Ramadan terakhir di Kuala Lumpur

Begitu cepat masa berlalu. Sekejap sahaja kita sudah memasuki hari ke-27 pada bulan Ramadan. Lagi dua hari kita akan menyambut hari raya. Besok saya akan pulang ke kampung halaman. Hari ini hari terakhir berpuasa di Kuala Lumpur.  Kebetulan pula hari ini hari jadi anak sulung saya maka kami sekeluarga mengambil kesempatan menyambutnya dengan berbuka puasa di luar. Rasanya sudah dua kali hari jadinya jatuh pada bulan Ramadan. Jika dikira, tarikh lahirnya yang sebenar ialah pada 21 Rabiul Awal. Mudah diingat kerana hari kelahiran Rasulullah SAW pula pada 12 Rabiul Awal. Selesai solat maghrib kami berangkat ke restoran Santai. Makanan sudah ditempah melalui panggilan telefon. Restoran ini merupakan kegemaran suami. Anak-anak hanya menurut. Kelihatan pekerja restoran agak kelam kabut melayan pelanggan. Hinggakan nasi kami lupa dihantar walaupun lauk sudah lama terhidang. Air yang dipesan juga tidak semuanya dihantar. Ada lauk yang telah dipesan terpaksa dibatalkan kerana kehabisan stok. Sungguh kencang bisnes restoran ini dalam bulan puasa. Alhamdulillah,  rezeki mereka.

Sebaik habis menjamu selera, papan kenyataan CLOSED dipamerkan. Tetapi masih ada pelanggan yang belum habis menjamu selera. Ada juga hidangan yang tersedia untuk dua orang masih belum disentuh. Mungkin yang menempah masih belum datang atau mungkin tidak akan datang terus. Kesian   juga pada peniaga kerana seolah-olah kena 'kapur'. Sebaiknya jika tidak jadi datang, eloklah dimaklumkan kepada tuan punya restoran.

Kami bercadang untuk berjalan-jalan di Jalan Tuanku Abdul Rahman untuk melihat suasana malam-malam terakhir sebelum cuti hari raya. Khabarnya peniaga selalunya akan mengadakan jualan penutupan. Kami memilih untuk menyusuri Jalan Ampang, kemudian masuk ke Jalan Tun Abdul Razak, masuk Jalan Raja Muda Abdul Aziz (menjengah rumah lama yang diduduki sebelum ini) dan terus ke Jalan Tuanku Abdul Rahman. Banyak perubahan yang telah berlaku sepanjang jalan. Sudah lama kami tidak jalan-jalan di sekitar KL. Malam-malam bolehlah kerana pastinya kurang kenderaan. Malangnya sangkaan kami meleset. Sampai ke penghujung Jalan Raja Muda Abdul Aziz atau lebih dikenali sebagai kawasan Chow Kit, kenderaan mula berensot-ensot. Sebaik memasuki Jalan Tuanku Abdul Rahman di kiri kanan jalan raya terdapat banyak gerai yang menjual pelbagai jenis barangan. Sungguh meriah suasana di sini. Patutlah jalan menjadi sesak.


Yang menariknya, ada juga gerai yang menjual kuih raya secara 'drive-thru'. Cuma saya tidak sempat pula mengambil gambarnya sebagai eviden. Mungkin ini juga menambahkan kesesakan. Tetapi saya hormati idea kreatif para peniaga seperti ini.


Sampai di persimpangan dekat Maju Junction, kesesakan tambah menjadi-jadi. Walau pun beberapa kali lampu isyarat bertukar hijau, kenderaan masih tidak bergerak. Akhirnya kami terpaksa menyimpang ke Jalan Kuching dan terus pulang ke rumah. Pastinya jalan di hadapan Sogo ditutup  untuk memberi kemudahan pada pejalan kaki. Sayangnya kami tidak berpeluang untuk melihat keadaan di sini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan