Hal ini kerana terlalu banyak kenderaan yang bertali arus ketika cuti perayaan. Masing-masing pula membuat perjalanan jauh dan ada kalanya tidak sabar-sabar untuk sampai ke destinasi. Banyak hal yang berlaku apabila sudah bersesak-sesak di jalan raya. Ada kenderaan yang pada mulanya tidak ada masalah tiba-tiba buat hal di pertengahan jalan. Lebih mencemaskan jika meter suhu tiba-tiba naik, enjin tiba-tiba berasap, brek tidak berfungsi atau tayar bocor. Sebenarnya semuanya boleh dielakkan jika kita memeriksa kenderaan terlebih dahulu sebelum membuat perjalanan jauh. Apabila membuat budget untuk kegunaan perayaan, masukkan juga budget untuk servis kereta. Peruntukkan sekurang-kurangnya RM1000 untuk servis besar-besaran (major service). Bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan. Pastinya kita tidak mahu bermalam di tengah jalan atau lebih berat lagi jika terpaksa beraya di tepi lebuh raya. Walau pun memang namanya jalan 'raya' atau lebuh 'raya' tetapi itu bukanlah tempat yang sesuai untuk berhari raya. Jika kenderaan rosak di pertengahan jalan terpaksa pula mengeluarkan upah yang lebih banyak untuk membawa kereta ke bengkel. Silap-silap kena 'ketuk' kerana pastinya ada yang mahu mengambil peluang dalam keadaan seseorang sedang terdesak.
Selain keadaan kenderaan, emosi dan keadaan pemandu juga merupakan faktor yang perlu diambil perhatian. Jika emosi pemandu tidak stabil, sedikit sebanyak akan menjejaskan cara pemanduannya. Katakan pemandu sedang marah (sama ada marah pada orang dalam kereta yang dipandunya atau pada kenderaan yang lain), emosi itu akan terbawa-bawa dalam cara dia mengendalikan kenderaannya seperti memecut dengan laju atau membrek tiba-tiba. Jika dia diprovokasi oleh pemandu lain, dia akan memecut tiba-tiba atau memperlahankan kenderaannya untuk 'mengajar' pemandu tersebut. Saya pernah menaiki bas yang dipandu oleh seorang pemandu yang sedang marah-marah. Tidaklah dapat dipastikan kenapa dia beria benar marah tetapi dapat dilihat bahawa emosinya sangat tidak stabil. Dia membawa bas tersebut seolah-olah hanya dia seorang dalam bas itu. Cara pemanduannya tidak lancar dan terburu-buru. Tidak lama selepas meninggalkan perhentian bas, bas ini melanggar kenderaan lain. Untunglah tidak begitu serius. Selain emosi, keadaan fizikal pemandu juga amat penting. Pemandu mestilah memastikan dirinya segar dan tidak mengantuk. Jika mengantuk, jangan paksa diri untuk berjaga. Berehatlah dahulu kerana terlelap sekejap boleh mengembalikan kesegaran. Jangan biarkan diri terlelap ketika memandu kerana pasti akan mengundang padah. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak memandu buruk padahnya ...
Walaupun penulisan seperti ini sudah banyak kali diulang-ulang, namun saya masih ingin menulisnya. Saya berpesan pada diri sendiri dan saya ingin berkongsi dengan semua orang. Malang memang tidak berbau. Jika hati sudah berdetik dengan perasaan tidak selesa dengan perjalanan tersebut, jangan teruskan perjalanan. Ambil masa dan berehatlah seketika. Tenangkan fikiran sebelum meneruskan perjalanan. Stabilkan emosi, kawal diri dan gembirakan perasaan. Jika ada rasa tenang, damai, dan seronok barulah mulakan perjalanan. InsyaAllah, segala-galanya akan selamat. Jangan lupa membaca doa naik kenderaan terlebih dahulu.
Maksudnya: Maha suci Tuhan yang memudahkan kenderaan ini bagi kami, sedangkan kami tiba dengan mudah dengannya, dan kepada Allah kami kembali. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan