Teks: Rozida Ismail
Gambar: Koleksi peribadi
Cuti sekolah yang lepas berlalu begitu sahaja tanpa perancangan jalan-jalan. Namun ada dua peristiwa penting berlaku dalam tempoh cuti sekolah itu sebenarnya, iaitu reunion bekas pelajar sekolah menengah rendah yang lebih 30 tahun tidak bersua dan juga sambutan ulang tahun perkahwinan saya ketika orang lain menyambut Krismas. Tetapi disebabkan masalah kesihatan, maka tidaklah dapat kami merancang perjalanan jauh yakni bermalam kecuali mengatur makan-makan sebagai acara "get-together". Reunion kecil-kecilan itu berlaku di Janda Baik manakala sambutan anniversary kami hanyalah hi-tea di KL Tower dan jalan-jalan di sekitarnya. Cukuplah, sekadar memberi makna kepada sebuah 'sambutan'.
Nov 22 - 23
Apabila bersua kembali setelah puluhan tahun tidak bertemu, yang pastinya masing-masing sudah berubah fizikal. Tetapi perangai zaman remaja masing-masing masih terserlah dan tidak berubah. Kerana itu apabila bersua kembali terasa seperti masih berada di zaman remaja lagi.
Dis 28
Untungnya ketika sambutan anniversary kali ini semua anak ada bersama. Jadi perancangan untuk makan di restoran berputar KL Tower yang sekian lama dihasratkan itu menjadi kenyataan. Selain makan-makan, di sekelilingnya terdapat beberapa tarikan lain seperti 6D movie, Aquaria dan Mini Malaysia. Sempena kedatangan tahun baru, pihak pengurusan KL Tower menawarkan pakej
add on RM10 sahaja untuk setiap aktiviti tambahan selain naik ke KL Tower. Jadi, rancangan asal untuk makan-makan itu akhirnya bertambah-tambah.
|
Menikmati sajian di Atmosphere 360, KL Tower dari ketinggian 282 meter dari aras laut! |
|
Mini Malaysia.. hanyalah replika rumah kampung saja. |
|
Menunggu anak-anak merasai pengalaman 6D.. |
Namun bagi tidak membiarkan anak-anak menghabiskan cuti sekolah hanya di rumah sahaja (di samping mengikuti
tuition di rumah)... sebenarnya ada satu lagi pengalaman yang menyeronokkan... iaitu..
IOI City Mall baru sahaja dibuka. Kebetulan ia sangat berdekatan dengan rumah maka ketika suami terpaksa bertugas di MAHA, kami mengambil peluang untuk menghabiskan masa di sini untuk melihat sendiri tarikan di mall baru tersebut. Ketika kali pertama anak-anak mencuba
ice skating di Sunway Pyramid saya lihat mereka agak ketakutan dan hanya berpaut di dinding. Alangkah ruginya tidak betul-betul merasai pengalaman bermain
ice skating. Tak apalah, kali ini saya akan sertai mereka supaya semangat mereka kuat. Dan akhirnya ...
|
Salah satu impian masa kecil saya yang kini tertunai sudah.. ice skating! |
Alhamdulillah, mereka kini boleh bermain
ice skating dengan berani dan yakin. Kini semua anak-anak sudah mendapat semangat saya.
Okey, saya nak beri sedikit tip jika anda juga ingin bermain
ice-skating dan jika inilah juga pengalaman pertama anda.
Tip 1: jika ingin bermain
ice-skating, jangan lupa bawa stoking dan sarung tangan sendiri (jika ada). Jika tidak, perlulah membelinya di kaunter. Kedua-duanya wajib dipakai. Boleh juga pakai sweater sebab persekitaran agak dingin.
Tip 2: pilih hari bekerja, kurang sedikit saingannya. Kerana pada hujung minggu atau cuti umum orang tersangat ramai. Anda mungkin dilanggar oleh mereka yang sudah profesional atau yang sudah biasa bermain. Selalunya mereka akan meluncur dengan laju. Lagipun harga tiket lebih murah RM5 dari hujung minggu.
Tip 3: ikat tali kasut ketat-ketat (tetapi jangan sampai memudaratkan). Ini akan memudahkan anda menyeimbangkan badan, berdiri dan bergerak.
Tip 4: yakin dan relaks sahaja. Jangan takut-takut. Keyakinan akan membuatkan anda tidak jatuh kerana sebab yang remeh-temeh.
Tip 5: jika rasa nak terjatuh, itu bermaksud badan anda berada pada posisi tidak seimbang. Bongkokkan badan dan kangkang sedikit, insya Allah anda tidak akan jatuh.
Tip 6: meluncur, bukan mengangkat kaki seperti berjalan! Gerakan sedikit membuatkan kita bergerak laju kerana kita berada di atas ais yang licin.
Tip 7: jangan pegang orang lain jika terasa hendak jatuh kerana anda boleh mencederakan orang lain juga. Jatuhlah sorang-sorang kerana anda yang teringin sangat hendak bermain jadi kenalah berani mengambil risiko (he.. he..)
Cukuplah dahulu dengan 7 tip bermain
ice-skating itu. Perkara paling penting ialah keinginan untuk cuba bermain. Ia sangat menyeronokkan dan boleh membakar kalori dengan cepat. Cubalah!