Selasa, 26 Mei 2015

WhatsApp Group

Teks: Rozida Ismail
Gambar: carian google

AMARAN: BAHASA YANG DIGUNAKAN BERCAMPUR-CAMPUR

Teknologi memang amat memudahkan kehidupan. Dengan kecemerlangan teknologi komunikasi, banyak aplikasi telah dibangunkan, dan salah satunya aplikasi WhatsApp. Sejak diwujudkan pada tahun 2009, aplikasi ini digunakan dengan begitu meluas sekali.

Siapa yang buat WhatsApp?
Saya bukanlah hendak mengajar sejarah di sini, tetapi eloklah juga kita ambil tahu siapa yang membina aplikasi ini. WhatsApp dibina oleh Jan Koum dan Brian Acton yang pernah bekerja di Yahoo! Ideanya ialah untuk berhubung tanpa kos.

Kelebihan WhatsApp ialah kita boleh berkomunikasi antara satu sama lain secara berkumpulan. Setiap individu yang mempunyai smartphone selalunya akan ada aplikasi ini. Kerana itulah kini wujud pelbagai grup WhatsApp terutamanya bagi mengumpul kenalan mengikut grup pilihan masing-masing. Kelebihannya ialah berkomunikasi di hujung jari dengan cepat.

Ternyata banyak kelebihan komunikasi berkumpulan seperti ini, namun di sebalik itu banyak juga kelemahannya. Saya mempunyai lebih dari satu grup dan kategori grup dan kelebihannya boleh dirumuskan begini...

1. Grup keluarga 
Keluarga sendiri, adik-beradik, keluarga sebelah suami/isteri, keluarga kembangan ... jika banyak hubungan kekeluargaan semakin banyaklah grup. Kelebihannya ialah mengumumkan semua peristiwa yang berlaku dalam keluarga dengan cepat. Cara ini lebih mengeratkan hubungan kekeluargaan.

2. Grup rakan sekerja
Tidak dinafikan kadang-kadang rakan sekerja lebih memahami permasalahan kita daripada pasangan atau adik-beradik sendiri. Pendek kata segala permasalahan di ofis boleh dikongsi dalam grup ini terutamanya yang berkait dengan emosi.

3. Grup ofis
Grup ini diwujudkan khas untuk golongan tertentu untuk makluman segera perkara/isu kepada mereka yang terlibat. Misalnya tentang mesyuarat dan sebagainya. Grup ini boleh dianggap sebagai agak official tetapi sedikit-sedikit melencong menjadi sosial.

4. Grup projek
Grup ini tidak semestinya mengandungi ahli daripada pejabat/institusi yang sama. Selalunya ia melibatkan individu dari pelbagai agensi yang mengendalikan projek yang sama. Selesai projek, grup ini pun dibubarkan.

5. Grup alumni sekolah, kolej, universiti
Lebih banyak sekolah, kolej atau universiti yang dimasuki lebih banyaklah grup yang akan anda sertai. Grup ini akan aktif jika ramai suri rumah yang menyertainya kerana mereka mempunyai banyak masa untuk berwhatsapp. Grup yang dianggotai oleh golongan profesional selalunya agak sepi dan hanya sesekali berbunyi.

6. Grup bantahan
Grup yang diwujudkan semata-mata untuk memperjuangkan suatu hak. Diadakan untuk makluman segera kepada ahli tentang tindakan yang akan dan telah diambil serta hasilnya. 

7. Grup perniagaan/ seminar
Grup yang diwujudkan kerana keterujaan kumpulan yang menyertai seminar atau kursus yang sama. Selalunya ia berkait dengan perniagaan. Grup ini akan hangat-hangat tahi ayam sahaja kerana ia rancak di permulaan tetapi menjadi beku akhirnya kerana kesibukan ahlinya dalam aktiviti harian. Grup yang ramai ahli akan 'left group' satu persatu.

8. Grup kejiranan
Pada zaman ini, perhubungan jiran tetangga mungkin agak longgar kerana kesibukan masing-masing. Kewujudan grup kejiranan akan merapatkan hubungan kejiranan terutamanya tentang permasalahan keselamatan di kawasan komuniti. Makluman tentang hasrat kenduri-kendara dan seumpamanya boleh disampaikan dengan cepat dan lebih tepat. Melalui cara ini juga, seseorang akan dapat mengenali jiran-jirannya dengan lebih cepat.

9. Grup persatuan
Grup ini diwujudkan untuk exco-exco persatuan. Semakin banyak persatuan yang disertai maka semakin banyaklah grup persatuan. Selalunya perbincangan akan menjurus pada hal-hal persatuan sahaja. Sesekali akan diselangi dengan post sosial. Jika presiden persatuan yang menghantar mesej bergambar atau teks, ahli yang lain akan cepat respons sekadar menghormati presiden yang selalunya jarang-jarang ke udara. Cara respons yang lazim adalah dengan menghantar simbol.

Menyentuh tentang kelemahan grup, apa pun fokus grup akan berkongsi kelemahan yang sama:
  • Post yang dihantar tidak ada kena mengena dengan grup. Daripada grup formal bertukar menjadi grup sosial. Post yang dihantar pastilah yang di forward dari grup lain.
  • Copy paste yang menjadi-jadi dalam kalangan ahli. Terutamanya dalam memberi ucapan hari jadi, takziah dan seumpamanya. Ini cara yang sangat mudah apabila ahli malas mencari imej berkaitan atau menaip ucapan.
  • Berkongsi video lucu atau menarik dalam beberapa grup. Ahli yang menganggotai grup berlainan akan letih memadam video yang sama dalam grup-grup lain atau video yang telah diterima dari  grup lain. Aktiviti memadam amat perlu kerana ia boleh memberatkan memori simpanan telefon bimbit.
  • Jangan terkejut jika anda dimasukkan ke dalam subgrup pula kerana kadang-kadang perbincangan yang hangat di sesuatu grup boleh menimbulkan keinginan perbincangan mendalam oleh sesetengah ahli. Maka lebih mudah dibawa berbincang dalam subgrup pula supaya tidak mengganggu ahli lain yang tidak berkenaan.
  • Perbincangan yang tiada kena mengena atau tidak langsung menarik perhatian sesetengah ahli. Ini mungkin terjadi dalam kumpulan yang sebahagian besar ahlinya mempunyai kerjaya yang sama. Jadi, ahli yang tidak berada dalam kumpulan kerjaya tersebut pasti memilih untuk berdiam diri. Kalau menyampuk pun, orang tak layan atau tidak perasan.
  • Aktiviti 'clear conversation' mungkin menjadi pilihan ahli yang tidak sempat mengikuti perbincangan. Ini lebih baik kerana anda tidak mungkin dapat menyampuk lagi dalam perbualan tersebut kerana topik cepat sahaja bertukar. 
Tanda ✅ pada mesej WhatsApp ini mempunyai maknanya yang tersendiri.

Begitulah fenomena WhatsApp pada masa kini. Kini WhatsApp mempunyai saingan terdekatnya seperti Telegram. Pastinya akan ada lagi aplikasi yang akan diwujudkan bagi menyaingi kelebihan WhatsApp. 


1 ulasan: