Selasa baru-baru ini saya bertolak ke Perlis kerana ada tugasan di Kangar dan Arau. Selepas check in, saya dan teman sekerja yang lain (kami berempat) meminta staf hotel memanggil teksi untuk ke Kuala Perlis. Hajat di hati ingin menikmati laksa Kuala Perlis yang dikatakan sangat sedap.
Sebaik teksi sampai, kami pun mengambil tempat masing-masing. Pemandunya seorang tua, tidak dapat dijangka umurnya kerana saya tidak mengamatinya sangat. Mungkin dalam usia 50-an. Masuk sahaja ke dalam teksi, kedengaran radio dipasang kuat, melebihi had kelunakan. Kami yang duduk di belakang terasa sedikit terganggu kerana speaker terlalu dekat dengan kami. Namun seorang pun tidak berani bersuara. Kami memilih untuk berdiam diri sepanjang perjalanan sambil menikmati pemandangan hijau sawah padi di kiri kanan jalan.
Di pertengahan jalan teksi tiba-tiba mati enjin. Ketika itu lagi 3 km akan sampai ke pekan Kuala Perlis. Saya baru sahaja ternampak batu penunjuk arah di tepi jalan. Hendak dikatakan masalah bateri, radio masih terpasang. Hendak dikatakan tiada minyak, kami lihat meter minyak melebihi paras minimum. Tanpa sepatah kata, pemandu teksi keluar dari teksinya dan terus ke boot. Dia mengambil tong minyak dan bergegas meninggalkan kami, menuju ke sebuah restoran. Di situ kami lihat dia meminjam motosikal seseorang dan terus pergi.
Kami ditinggalkan di tepi jalan ... |
Rupa-rupanya pemandu teksi ini juga tidak mengetahui di mana letaknya kedai laksa tersebut. Kebetulan sewaktu berhenti di suatu simpang, pemandu itu ditegur oleh seorang penunggang motosikal. Kata pemandu teksi itu, penunggang motosikal itu adalah anak saudaranya. Lantas dia meminta anak saudaranya itu menunjukkan kedai laksa yang dikatakan sedap. Dekat sahaja, letaknya di belakang Kompleks Kastam Diraja. Nama kedai itu Restoran Nelayan. Laksanya boleh tahan. Cucoq udangnya sedap. Pasembur juga mengancam!
Jika ke sini, mesti cuba laksa, cucuq udang dan pasemburnya. |
Saya bukanlah hendak mempromosi kedai laksa itu tetapi apa yang saya risaukan ialah sikap pemandu teksi kita. Tahun ini tahun melawat Malaysia. Jika pemandu teksi kita ambil sikap sambil lewa sahaja pastilah memalukan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan