Teks: Rozida Ismail
Hampir seminggu saya terpaksa menyepikan diri kerana menghadiri satu program Leadership di Kuantan. Program ini amat memerlukan komitmen dan disiplin yang tinggi, ketahanan fizikal dan mental. Difahamkan ada yang tidak dapat bertahan dan menarik diri daripada menyertainya. Saya amat bersyukur kerana diberikan peluang dan kekuatan oleh Allah SWT untuk memulakan dan menamatkan program ini dengan jayanya. Alhamdulillah. Banyak yang saya pelajari daripada program ini. Uniknya, dalam program ini peserta dipaksa melalui pelbagai cabaran secara berkumpulan (teamwork). Inilah yang paling memberi cabaran. Apabila bekerja secara teamwork, kesilapan orang lain terpaksa ditanggung oleh semua. Ibarat mengurus sebuah syarikat, jika salah seorang yang membuat silap, semua orang terpaksa menanggungnya walaupun dirasakan kita telah memberi yang terbaik. Itulah pelajaran yang paling berharga. Peserta juga dimestikan melakukan perkara yang tidak pernah mereka lakukan di khalayak ramai. Nak tahu apa dia? Hmm .. biarlah rahsia. Tetapi saya sangat teruja melakukannya kerana ia menambah keyakinan diri saya.
Apa yang boleh saya rumuskan daripada program ini, seorang pemimpin yang berjaya perlu mempunyai disiplin yang sangat tinggi, tunduk kepada penciptanya, memulakan kerja awal pagi dan ambil tahu semua perkara secara detail. Sesuatu kejayaan tidak akan datang dengan mudah. Kesilapan memang boleh berlaku di mana-mana dan tidak terjangka. Kerana itu seorang pemimpin perlu bersedia pada bila-bila masa. Dalam sesetengah keadaan, kita memang sudah bersedia tetapi faktor luaran pula yang mengganggu kelancaran kerja. Sebelum menuding jari mencari kesilapan orang lain, semak diri kita dulu. Apabila bekerja dalam satu pasukan, setiap orang perlu memberikan komitmen dan hasil terbaik. Bukan biasa-biasa. Apabila memulakan sesuatu, perlu dihabiskan sehingga jaya.
Suatu yang sangat menghairankan, walaupun program bermula seawal jam 5 pagi (.. dan secara konsistennya saya bangun pada pukul 4 pagi!) dan tamat hampir jam 12 tengah malam selama 5 hari berturut-turut, saya mempunyai tenaga yang cukup banyak untuk melakukan semua tugasan dengan gembira. Alhamdulillah. Semoga energy seperti ini kekal dalam diri saya selama-lamanya. Terima kasih banyak-banyak untuk guru saya. Semoga Allah SWT membalas budi baik tuan dengan ganjaran syurga. Amin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan