Menjelang cuti sekolah tidak lama lagi, akan banyaklah jemputan kahwin di sana-sini. Berkisah tentang jemputan kahwin ini, memanglah seronok kerana di majlis-majlis kahwinlah selalunya kita berpeluang bersua muka dengan saudara-mara dan sahabat handai yang sudah lama tidak ketemu. Sebaik-baiknya bawalah semua ahli keluarga bagi meraikan pengantin dan memperkenalkan anak-anak dengan saudara mereka atau kenalan kita. Jika anak-anak tidak dibawa bersama, sukar untuk mereka mengenali saudara-mara dan sahabat handai terdekat. Saya lebih suka jika satu keluarga datang bertandang daripada dijemput hanya pasangan suami isteri sahaja. Bertandang ke majlis kahwin bukan bermakna hendak makan percuma, tetapi yang lebih penting daripada itu ialah mengeratkan silaturahim antara sesama kita. Apatah lagi keluarga pengantin sedang bergembira menerima ahli keluarga baharu. Raikanlah kegembiraan mereka bersama-sama. Jika tidak dapat membantu, hulur-hulurkanlah sumbangan sedaya mampu untuk meringankan beban kewangan mereka.
Sudah menjadi kebiasaan di majlis kahwin, keluarga pengantin akan menyediakan buah tangan kepada tetamu. Selalunya tetamu tidak akan pulang dengan tangan kosong, setidak-tidaknya dibekalkan sebutir telur rebus atau gula-gula. Dahulu, telur rebus itu diletakkan dalam kotak kecil atau dibungkus dengan kertas yang direkabentuk dengan cantiknya. Sekarang, istilah bunga telur itu telah menjadi 'door gift' kerana dari kotak kecil ia telah berevolusi menjadi sebuah beg kecil yang dimuatkan berbagai-bagai barangan. Ada yang mengisi beg kecil itu dengan kerepek, kek, minuman, gula-gula, kipas tangan, kotak barangan kemas, sapu tangan dan sebagainya. Kadang-kadang dek kerana keseronokan, mereka berbelanja berlebih-lebihan. Semuanya atas alasan, 'kahwin hanya sekali, apa salahnya berbelanja besar'. Kealpaan dan alasan sebeginilah membuatkan pengantin atau keluarganya mula pening kepala apabila bajet sudah 'lari'. Kadang-kadang bakal pengantin membuat persiapan ala kadar sahaja berdasarkan kesediaan ekonomi mereka, tetapi desakan keluarga untuk menambah 'itu-ini' yang membuatkan bajet mereka 'lari'. Mungkin anda pernah dengar kata-kata sebegini, "sunyilah majlis kahwin kau kalau tak ada kompang." Maka pengantin pun terpaksa memanggil kumpulan kompang. Kos mungkin mencecah RM300- 400. "Takkan kau bagi bunga telur aje, orang sekarang beri door gift. Letak kipas tangan, senang diorang nak berkipas kalau panas. Tambah sikit air kotak, kalau dahaga boleh minum. Semua tu murah aje kalau beli kat Nilai 3." Sememangnya kos membeli satu barang mungkin kurang daripada RM1. Tetapi jika sudah 2,000 jemputan? Ingat ... bukan hanya satu barang untuk satu beg ya ...
Minta maaf, saya anggap door gift seperti ini membazir sahaja. Saya tidak kisah jika door gift itu berupa makanan ringan kerana ia boleh dimakan. Malangnya jika door gift itu berupa mangkuk kaca, kipas tangan, kotak barangan kemas, sapu tangan, saya kira ia agak membazir. Selama manalah tetamu akan menyimpan door gift tersebut. Jika tidak silap, semua barangan ini didapati dengan murah kerana diimport dari China, Vietnam atau Indonesia. Ada juga door gift buatan Malaysia seperti bekas dari tanah liat.
Pemberian door gift ini tidak hanya berlaku di majlis kahwin sahaja. Malah juga ketika majlis makan malam, mesyuarat agung persatuan atau seminar. Sudah menjadi lumrah orang kita yang suka memberi. Niat untuk memberi memang baik tetapi bimbang di akhirnya ia menjadi suatu pembaziran pula jika tidak digunakan. Ketika Mesyuarat Agung Tahunan persatuan Mabopa minggu lepas, Presiden Persatuan, Dato' Husamuddin menegaskan beliau tidak membenarkan door gift diberi kepada ahli. Hal ini dianggap membazir. Saya sangat menyokong pendirian beliau tentang door gift kerana memang sudah lama saya perhatikan pembaziran pada door gift yang kadang-kadang tidak memberi manfaat. Jika hendak memberi sesuatu, berilah yang ada kualitinya dan memang digunakan oleh penerima (bukan merujuk pada door gift Mabopa ya ...). Fikir-fikirkanlah ...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan