Jumaat, 13 Jun 2014

Maleficent

Teks: Rozida Ismail

Seperti cuti-cuti yang lepas, aktiviti bersama keluarga kali ini ditutup dengan menonton wayang. Anak-anak yang membuat keputusan untuk menonton filem apa... dan filem ini yang mereka pilih:

Maleficent menjadi film box office ..
Pada mulanya saya menyangka kisah ini tentang ahli sihir seperti cerita Harry Porter, tetapi setelah menontonnya jangkaan saya meleset. Walaupun heboh diperkatakan tentang cerita ini tetapi saya langsung tak ambil pusing dan tidak juga mencari sinopsisnya. Begitupun saya tahu pelakon utamanya Angelina Jolie, tentu bukan calang-calang ceritanya. Sesudah dua minggu ditayangkan, Maleficent masih bertahan di panggung. Betapa tidak, ia sesuai untuk tontonan seisi keluarga kerana sekarang cuti sekolah.

Saya dapati trend filem-filem Barat sekarang mengangkat sisi lain daripada kisah klise dongeng mereka. Saya suka cara begini. Mencari kelainan daripada dongeng dahulu kala. Tidaklah kanak-kanak disogokkan cerita yang sama dari dulu hingga kini. Biarkanlah mereka berfikir sedikit daripada meneka apa yang berlaku berdasarkan cerita yang pernah mereka dengar atau baca. Mungkin cara ini juga boleh diaplikasi dalam kisah Bawang Putih Bawang Merah, Pak Pandir, Sang Kancil dan pelbagai lagi kisah dongeng kita yang banyak itu. Saya pernah juga menulis tentang The Journey 2: Mysterious Island yang menggarap 3 dongeng dalam satu kisah iaitu Mysterious Island, Gulliver's Travel dan Treasure Island.

Bagi yang masih belum menonton Maleficent, saya sediakan sedikit sinopsisnya. Maleficent bukan ahli sihir yang jahat. Dia adalah ketua pari-pari yang sangat penyayang. Namun karektornya bertukar menjadi pendendam disebabkan suatu peristiwa. Dia tidak percayakan bahawa cinta sejati itu wujud. Kerana itu sumpahannya ke atas Puteri Aurora hanya boleh dipadam dengan ciuman cinta sejati. Tetapi kali ini ciuman oleh Putera Philip tidak berjaya melepaskan Puteri Aurora daripada sumpahan Maleficent. Bukankah jalan ceritanya lari daripada klise? Malahan, penonton akan jatuh kasihan pula kepada Maleficent yang sepatutnya berwatak jahat.

InsyaAllah saya akan mula menulis cerita dongeng kita dengan mengangkat watak antogonist pula.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan