Hampir 2 minggu sekolah bercuti dan sejak 2 minggu itulah kami sekeluarga sibuk ke sana sini. Hujung minggu pertama cuti sekolah kami bertolak ke Kuala Terengganu, menghantar abang yang mendaftar sebagai mahasiswa UiTM Bukit Besi. Dalam banyak-banyak tawaran belajar yang diterima, dia memilih universiti ini. Alhamdulillah, anak bujang saya masuk universiti!
Oleh sebab Terengganu memulakan hari pertamanya Ahad, maka pendaftaran pelajar baru jatuh pada hari Ahad, 1 Jun 2014. Hari Isnin kami sudah mula bekerja semula, jadi kami bertolak pada hari Jumaat supaya sempat berehat satu hari di Kuala Terengganu dahulu sebelum meninggalkan abang di asrama. Mungkin disebabkan kawasan Bukit Besi tidak begitu sibuk maka semua homestay yang kami hubungi penuh pada tarikh yang dikehendaki. Akhirnya saya meminta pemilik homestay di Bukit Besi mencadangkan tempat tinggal yang berhampiran dengan UiTM. Ini kerana kami memang tidak pernah menjejakkan kaki ke sini dan tidak ada kenalan yang tinggal di sini. Pendaftaran pelajar baru pula bermula jam 8.00 pagi. Pemilik homestay mencadangkan kami menghubungi Bukit Besi Golf Resort (dahulunya Tasik Puteri Golf Resort). Alhamdulillah, kebetulan masih ada dua bilik yang kosong dan harganya juga berpatutan. Hanya RM100 satu malam untuk bilik superior (2 katil single) dan RM110 untuk bilik family (1 katil queen dan 1 katil single). Kedudukan UiTM hanya dalam jarak 10 minit perjalanan dari sini. Tidak ada sarapan pagi disediakan. Malahan kunci bilik juga mesti dituntut dari guard kerana pekerja akan pulang jam 6.00 petang. Jika anda menginap di sini, siap-siapkanlah terus makan malam untuk keluarga. Restoran memang sukar dicari apatah lagi pada waktu malam. Begitu juga dengan sarapan pagi. Jika lambat, alamat kenalah makan nasi berlauk sahaja. Kalau masih mahukan sarapan nasi lemak dan seumpamanya bolehlah berkereta ke Kawasan Rehat & Rawat Bukit Besi di tepi highway Jabor-KT yang terletak dalam 10 km dari kelab golf.
Udara segar dan nyaman pada waktu pagi di Bukit Besi Golf Resort. |
Gaya bakal mahasiswa. Masih sempat berselfie .. |
Kami antara orang yang paling awal mendaftar di UiTM pada hari itu. Rupa-rupanya pendaftaran memang bermula jam 8.00 pagi, tetapi aktiviti untuk pelajar hanya bermula pada jam 5.00 petang. Jadi selepas mendaftar kami bawa abang keluar semula kerana terpaksa mencari bantal yang tidak disediakan untuk pelajar dan juga tiket bas balik untuk abang selepas minggu orientasi. Bandar terdekat ialah Kuala Dungun, kira-kira 32 km. Selepas membeli tiket bas, kami mencari teksi prebet sapu untuk menyediakan pengangkutan untuk abang keluar dari Bukit Besi ke Dungun. Mereka mahukan RM60. Hanya sebagai alternatif kalau-kalau tiada bas UiTM hari itu.
Kampus baru ini menyediakan bilik yang selesa, lengkap dengan meja studi dan 2 soket setiap orang. Untunglah budak-budak sekarang.. |
Dikhabarkan kampus baru ini boleh memuatkan 600 pelajar. Hanya ada dua kursus sahaja ditawarkan di kampus ini, iaitu chemical dan mechanical engineering. Semoga semua pelajar Bumiputera di sini memanfaatkan setiap peluang yang diberi dan belajar bersungguh-sungguh demi memartabat ekonomi bangsa. Amin ..
Salam, nak tanya sikit. Iron and iron board dia sediakan or kena bwak sndiri mcm u lain ea? :)
BalasPadamWaalaikumussalam.
PadamSetahu saya tidak disediakan. Jika membawa peralatan elektrik akan dikenakan yuran sebanyak RM10 untuk satu peralatan per semester. Cuba hubungi Bhg HEP terus untuk maklumat yang lebih tepat.
Bilik tu pakai kipas dinding ke?
BalasPadamBp org sebilik?
BalasPadam