Dalam sesi perkongsian oleh AJK MBBY tempoh hari, Pak Yusof Gajah tampil memberi tips bagaimana karyanya diterima di peringkat antarabangsa. Beliau juga berkongsi pengalamannya menjadi juri di The Nami Island International Illustration Concours (NiiC), satu pertandingan ilustrasi bertaraf antarabangsa yang diadakan di Nami Island, Korea.
Gaya seorang ilustrator, Pak Yusof Gajah. Nama Yusof Gajah diperoleh kerana beliau sangat gemar mengetengahkan subjek gajah dalam ilustrasinya. |
Kata Pak Yusof, yang dipentingkan di peringkat antarabangsa ialah bukan cantiknya lukisan itu, tetapi jati diri yang diterapkan dalam lukisan. Misalnya lukislah orang Melayu yang betul-betul Melayu dan menggambarkan situasi sebenar dalam kehidupan harian. Seseorang pelukis perlulah bersungguh-sungguh menghasilkan karyanya. Pak Yusof juga berpesan agar tidak lokek untuk membeli bahan untuk dijadikan rujukan dan banyakkan membuat latihan. Kebanyakan pelukis kurang membuat kajian dan kurang bersungguh-sungguh dalam penghasilan karya.
Pak Yusof juga berkongsi cerita bahawa ketika beliau memasuki pertandingan ini satu masa dahulu, beliau menghasilkan lukisan ala keanak-anakan. Isterinya mahukan dia menghantar lukisan yang dilukis sempurna. Sehingga ketika mendapat surat memaklumkan tentang kemenangannya, isterinya melihat senarai nama yang terkebawah kerana tidak menjangkakan bahawa dia akan menjadi pemenang utama. Beliau juga memaklumkan bahawa beliau pernah berbelanja sebanyak RM3,000 untuk menghasilkan sebuah lukisan sedangkan hadiah kemenangan tidak sampai sebanyak itu. Segala pengalaman Pak Yusof ini sebenarnya membuktikan bahawa betapa seorang ilustrator ini perlu bersungguh-sungguh dalam menghasilkan karya dan tidak melakukan kerja ala kadar sahaja.
Memang benar, saya juga melihat ada antara pelukis buku kanak-kanak yang hendak menyiapkan karya dengan cepat. Mereka tidak sabar hendak melihat hasil lukisan mereka dibukukan. Walhal banyak perkara yang perlu diberi penekanan dan jika fasilitator mengkritik karya, perlulah diterima dengan hati terbuka bagi mendapatkan hasil terbaik. Banyak sebenarnya yang perlu dipelajari dan diambil iktibar daripada orang yang berjaya. Sesungguhnya kejayaan itu tidak akan datang dengan mudah. Orang yang berjaya selalunya membuat pengorbanan yang besar dari segi masa, tenaga dan wang ringgit. Barulah hasilnya juga setimpal dengan usaha.
Pada akhir bicaranya, Pak Yusof memberi sedikit tip bagaimana karya mudah menarik perhatian juri. Pertama, lukislah subjek dengan besar supaya jelas kelihatan di mata juri. Kedua, pastikan karya ada unsur tempatan. Antara pertandingan lukisan buku kanak-kanak di peringkat antarabangsa yang boleh disertai selain NiiC ialah The Biennial of Illustration Bratislava (BIB) dan Hans Christian Anderson Award. Jika anda ingin menguji sejauh mana minat anda dalam bidang seni boleh diketengahkan, maka cubalah sertai pertandingan tersebut. Ingat, aplikasikan segala pesanan Pak Yusof. Sebaik-baiknya, pergilah berguru dengan orang yang telah berjaya. Insya-Allah, dengan ilmu, mentor dan kesungguhan, semua orang pun boleh berjaya.
As salam Pn Rozida, baru tahu yang Pn Rozida juga seorang penulis. Insya Allah, semangat masih berkobar-kobar nak menulis dan melukis. Ilmu yang dicurah oleh Pak Yusof dan Pn Izzah sangat berharga . Semoga saya lebih tabah dan berusaha!
BalasPadamWaalaikumussalam.
BalasPadamTeruskan berusaha.
Ingin sekali melihat banyak karya Malaysia dalam IBBY Honour List .. :)