Isnin, 24 Mac 2014

Tip Panjang Umur Murah Rezeki

Teks: Rozida Ismail
Gambar: carian google

Hari ini kita sambung lagi sesi bercerita tentang tip panjang umur. Bukanlah bermaksud jika anda memiliki segala tip ini usia anda pasti panjang hingga ratusan tahun. Tetapi tip ini lebih kepada hendak mengenal pasti potensi umur sama ada panjang atau pendek. Segala yang dipaparkan adalah berdasarkan kajian Barat. Pokoknya panjang atau pendeknya umur seseorang telah pun ditetapkan oleh Allah SWT sejak azali lagi. Berdoalah semoga umur kita dipanjangkan dan kita mempunyai lebih banyak masa untuk beribadah kepadaNya.

Tip kelima ini sangat disukai oleh wanita. Kajian menunjukkan umur wanita lebih panjang daripada lelaki. Jangka hayat wanita atau lelaki di setiap negara berubah, berdasarkan gaya hidup mereka. Di Malaysia, jangka hayat lelaki ialah sehingga 74 tahun manakala bagi wanita mencapai 76 tahun. Namun dikatakan jurang ini semakin berkurang dan mungkin satu hari nanti jangka hayat lelaki dan wanita adalah sama sahaja. Jika dikaitkan dengan tip ketiga, andaian ini mungkin benar kerana lelaki selalunya keluar bekerja dan mempunyai stres yang tinggi berbanding dengan wanita yang menjadi suri rumah. Gaya hidup sekarang telah berubah, wanita juga sama sibuknya dengan lelaki dan stres yang dialami mungkin juga lebih. Maka, dengan itu jurang jangka hayat antara mereka semakin rapat.


Jangka hayat wanita lebih panjang daripada lelaki!

Tip keenam pula ialah jika seorang wanita itu melahirkan anak ketika usianya melebihi 35 tahun maka dikatakan mereka mempunyai 4 kali peluang untuk hidup lama berbanding wanita yang tidak melahirkan anak selepas usia tersebut. Andaian ini berdasarkan teori bahawa wanita yang melahirkan anak pada usia sebegini mempunyai sistem pembiakan yang baik dan usia tuanya bergerak perlahan.

Tip ketujuh adalah berkaitan berat badan. Satu kajian telah dikendalikan oleh Kolej Perubatan Albert Einstein pada tahun 2011 kepada kumpulan orang-orang tua berusia antara 95 - 112 tahun. Kajian ini mendapati bahawa kumpulan yang kekal pada usia ini adalah mereka yang mempunyai berat badan ideal berbanding sekumpulan mereka seusia yang obes dan lahir pada tahun yang sama. Kajian yang lain juga mempunyai dapatan yang sama.

Akhir sekali, jika anda mempunyai 'telomere' yang panjang. Fakta ini agak saintifik. Telomere ialah sejenis penutup yang melindungi hujung kromosom. Apabila sel berbahagi, telomere menjadi lebih pendek sehingga mencapai ke satu poin yang tidak mungkin boleh berbahagi lagi. Bukti menunjukkan lebih panjang telomere anda, usia akan semakin panjang. Dalam sesetengah kes, orang yang berusia panjang mempunyai enzim yang sangat aktif yang membina telomere. Walau bagaimanapun, kajian lain pula mengaitkan faktor tidak merokok, menghindari stres yang kronik dan mengekalkan diet yang kaya dengan asid lemak omega-3 boleh membantu meningkatkan kepanjangan telomere.

Kita belajar sains hari ini. Yang berwarna kelabu adalah kromosom manakala titik putih yang
kelihatan ialah penutup kromosom atau telomere.

Alhamdulillah jika dikurniakan umur panjang. Bersedekahlah banyak-banyak untuk bekalan akhirat nanti. Insya Allah, rezeki turut akan mengikut. Amin.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan