Sabtu, 20 September 2014

Cara Tukar Sekolah Rendah

Text: Rozida Ismail
Gambar: Dari carian google

Awal tahun dahulu saya pernah menulis tentang proses untuk menukar sekolah menengah. Saya lihat entri itulah yang paling banyak hit. Ramai rupanya orang yang ingin membuat proses pertukaran sekolah. Maklum sahaja kita mempunyai seramai 5 juta pelajar di seluruh Malaysia, baik di sekolah rendah mahu pun di sekolah menengah. Namun, bagi saya proses menukar sekolah menengah lebih rumit, tidak seperti sekolah rendah yang agak mudah. Saya kongsikan di sini bagaimana menguruskan pertukaran sekolah rendah pula kerana hal ini saya alami sendiri.

Paling penting, sebelum mengisi borang pertukaran sekolah anda perlulah tahu sekolah mana yang mahu dipilih. Pertimbangkan sebijak-bijaknya dan selidiklah sekolah yang paling sesuai untuk anak anda. Saya memilih berdasarkan jarak yang dekat dengan rumah dan prestasi sekolah tersebut. Saya hanya memilih satu sekolah sahaja walaupun anda dibenarkan membuat 3 pilihan dalam borang pertukaran sekolah. Ini kerana saya hanya mahukan sekolah tersebut dan saya akan pastikan anak saya dapat memasuki sekolah tersebut walau apa cara sekali pun. Ingat, anda perlu berusaha sedaya upaya untuk memastikan apa yang dicita-citakan tercapai. Jangan patah semangat dan  carilah jalan dan mohon daripada Allah SWT supaya dipermudahkan urusan. Bak kata pepatah, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih. Jika anda benar-benar mahu, maka Allah SWT akan tunjukkan jalannya.

Kebetulan sekolah yang dipilih memang tersangat dekat, hanya perlu berjalan kaki sahaja, sampailah ke pintu belakang. Dan kebetulan sekali lagi, sekolah itu bertaraf SBT (Sekolah Berprestasi Tinggi). Memang saya pernah dengar bahawa sekolah ini telah penuh dan sukar untuk memasukinya. Untuk makluman, SBT mengehadkan hanya 30 murid dalam satu kelas. Saya sudah maklum tentang hal itu, tetapi saya tetap mahukan anak saya bersekolah di situ.

Setelah menetapkan sekolah pilihan, saya ke sekolah anak saya. Di situ, anda perlu mengisi borang. Antara butir-butir yang diperlukan ialah nama anak, no surat beranak/MyKid, alamat rumah baru, alamat sekolah yang dipilih, tarikh yang dikehendaki untuk anak memulakan persekolahan di sekolah baharu dan sebab pertukaran sekolah. Kerani akan menaipkan segala butiran dan menyerahkan 4 salinan borang tersebut. Satu untuk PPD (Pejabat Pelajaran Daerah), satu untuk sekolah baharu, satu untuk sekolah lama dan satu untuk salinan ibu bapa. Borang tersebut perlu diserahkan ke PPD untuk kelulusan. Saya menulis sebab pertukaran sekolah ialah kerana berpindah. Saya telah bersedia dengan bil elektrik yang ada alamat rumah baharu, tetapi tidak diminta sebagai bukti. Sesetengah sekolah/PPD memerlukan bil tersebut untuk bukti sokongan.

Perkara pertama yang perlu dibuat ialah menyerahkan borang tersebut ke PPD. Urusan agak mudah kerana sekolah lama dan sekolah baharu berada bawah pentadbiran PPD yang sama. (Alhamdulillah, sekali ini saya tidak sesat kerana pernah ke PPD sebelum ini.. kan itu hikmahnya!). Namun apabila disemak oleh PPD, sekolah yang dipohon telah penuh. Saya perlu mendapatkan sokongan Guru Besar  sekolah baharu untuk membolehkan permohonan saya diluluskan. Ketika saya menelefon sekolah baharu, PK HEM yang menguruskan pertukaran sekolah tidak dapat menerima permohonan saya atas alasan kelas telah penuh. Namun saya tidak berputus asa, saya cuba menemui Guru Besar untuk mendapatkan tempat. Mereka meneliti laporan pelajaran anak saya dan berpuas hati dengan pencapaian gred A. Nasihat saya, bawalah apa sahaja laporan sekolah, sijil-sijil anak untuk dipertimbangkan. Jika anak anda ada potensi mengharumkan nama sekolah, pastinya ada tempat untuknya di situ. Atas perbincangan, anak saya diterima masuk dengan syarat saya juga memberi sumbangan kepada sekolah dengan menjadi anggota PIBG sekolah tersebut. Itu memang bukan satu masalah kerana saya juga anggota PIBG sekolah. (Tip di sini: jangan  kedekut beri sumbangan kepada sekolah! Barulah orang akan nampak anda). Alhamdulillah, Guru Besar meluluskan permohonan saya dan saya terus ke PPD untuk menyerahkan borang tersebut. PPD menandatangani borang-borang tersebut dan setiap borang perlu dihantar ke sekolah-sekolah terlibat untuk rekod. Saya juga diminta menulis rekod anak ke dalam 'Buku Besar' sekolah baharu, bermakna anak telah didaftarkan ke sekolah baharu.

Sebenarnya, jika tidak kerana sekolah baharu yang dipilih telah penuh, urusan pertukaran antara sekolah bawah PPD yang sama sangat mudah. Mungkin dalam satu hari sahaja boleh selesai. Tahun depan bermulalah tugas saya sebagai AJK PIBG sekolah rendah pula .. :)


Psst:  bagi mereka yang ingin merujuk proses pertukaran sekolah menengah, sila klik di sini.


Selasa, 2 September 2014

Cara Menyunting Buku Bergambar Kanak-kanak

Teks: Rozida Ismail

Entri kali ini mungkin dinanti-nantikan oleh mereka yang berminat dalam dunia penerbitan buku bergambar kanak-kanak. Suka saya mengumumkan bahawa buat julung kalinya Majlis Buku Kanak-kanak dan Remaja Malaysia (MBBY) akan mengadakan Kursus Penyuntingan Buku Bergambar Kanak-kanak. Mengapa kursus seumpama ini penting?

Pernahkah anda, ketika membaca atau membacakan buku cerita bergambar kepada anak-anak atau adik-adik, merasakan sangat mudah untuk membuat buku itu? Jika buku yang dibaca memberi kesan, anak atau adik anda suka membaca berkali-kali atau minta dibacakan buku yang sama sekali lagi, pastilah ada sesuatu pada buku itu, sama ada ceritanya atau ilustrasinya yang menarik perhatian. Mungkin juga gaya penceritaan anda yang mengesankan, siapa tahu!
Buku ini nampak mudah. Tetapi  penulis telah diminta membuat pembetulan storyboard-nya berkali-kali supaya ada cerita yang memberi kesan di hati kanak-kanak.
Menghasilkan buku cerita kanak-kanak nampak mudah, teksnya sedikit dan banyak gambar. Hakikat sebenarnya bukanlah semudah yang disangkakan. Banyak aspek yang perlu diambil berat. Jika mahu buku diterima di peringkat antarabangsa, menyediakannya juga perlulah dengan teliti. Banyak perkara tersirat yang tidak nampak dek mata kasar perlu diberi perhatian semasa menyunting buku kanak-kanak. Pemilihan bahasa, ilustrasi, font, design ... semuanya ada sebab dan musababnya. Bukan sekadar main letak atau agak-agak sahaja. Juga, bukan setakat tiru meniru dari buku yang diterbitkan di Amerika, Jepun atau Iran. Karyawan mereka memang terkenal dengan penerbitan buku kanak-kanak tetapi tidak semestinya buku mereka boleh dijadikan sebagai acuan kandungan kita.


Jika anda seorang penggiat dalam penerbitan buku kanak-kanak, datanglah ke kursus ini. Anda tidak perlu khuatir kerana para pembimbing adalah mereka yang sangat berpengalaman dalam penghasilan buku kanak-kanak dan banyak kali dijemput menjadi juri dalam pemilihan buku kanak-kanak peringkat antarabangsa. Saya sertakan di sini flyers untuk anda baca dan buat keputusan segera. Tempat terhad kepada 20 peserta sahaja.



Selasa, 19 Ogos 2014

Sajak: Setelah Maid Tiada

Teks: Rozida Ismail


Setelah Maid Tiada

Dulu...
Bangun lewat pagi
Subuh meninggi
Pulang lewat-lewat
Terus berehat
Badan pun sudah penat
Kerja memang sarat

Kini...
Bangun awal pagi
Tunggu Subuh lewat lagi
Pulang waktu tepat
Mana boleh berehat
Tugasan rumah lebih berat
Tapi masih larat

Dulu...
Ada masa main piano
Ada masa baca novel
Ada masa tulis novel
Ada masa tonton movie
Ada masa banyak lagi

Kini...
Tiada masa untuk santai
Tiada masa untuk belayar ke pulau kapuk
Tiada masa untuk sendiri
Hanya masa untuk famili.

Nikmatnya
Hikmahnya
Hanya Allah yang tahu.


Bukit Permai
190814

Sabtu, 2 Ogos 2014

Salam Aidilfitri 2014


Teks: Rozida Ismail

Hari ini sudah hari raya kelima. Masih belum terlambat untuk mengucapkan selamat hari raya aidilfitri kepada sahabat dan pembaca sekalian. Mohon maaf zahir dan batin andai tulisan saya ada yang tidak kena atau menyinggung hati sesiapa.

Sudah agak lama saya tidak menulis di ruangan ini. Sememangnya bulan Ramadan agak sibuk dengan urusan seharian. Masa juga terasa begitu singkat. Namun alhamdulillah, persiapan hari raya saya buat ala kadar. Tahun ini semua baju raya sedondon kami sekeluarga sempat ditempah dan nampaknya semua berpuas hati. Tidak ada komplen atau perlu diubah suai. Sudah hampir 14 tahun tinggal di kawasan ini, baru saya berjumpa dengan tukang jahit yang menawarkan khidmat dan upah yang berpatutan. Meskipun begitu, pakaian raya tahun ini memang terhad. Cukup untuk beraya empat hari sahaja dan semuanya dibeli pada saat-saat akhir. Mujurlah saiz mudah didapati di pasaran.

Raya tahun ini seperti raya sebelumnya memang segala-galanya ala kadar. Tapi kemeriahannya tetap terasa kerana pada raya kali ini saya berpeluang bertemu dengan kaum keluarga yang sudah lama tidak bertemu. Pastilah hati akan tersentuh kerana sebaik sahaja bersua muka, nama saya sentiasa di bibir  ibu saudara jauh. Mana tidaknya, ketika kecil saya dijaga oleh mereka dan menjadi peneman ke sana-sini. Tidak dinafikan saya memang rapat dengan ibu-ibu saudara sepupu emak dan ayah saya. Kini hanya ada beberapa orang sahaja yang tinggal dan sudah berusia semuanya. Jika tidak diziarah, maka tidaklah kami dapat bertemu.

Pada hari raya ini juga saya berpeluang bertemu dengan rakan-rakan di bangku sekolah. Sesekali meluangkan masa yang agak lama di kampung halaman, maka kebarangkalian untuk bertemu agak tinggi. Di kedai, di bank atau berselisih jalan...

Itulah definisi kemeriahan hari raya bagi saya, silaturahim di kalangan keluarga dan sahabat handai.

Salam aidilfitri...

Selasa, 15 Julai 2014

Dawn of The Planet of The Apes

Teks: Rozida Ismail
Gambar: dari carian google

1 Hari 1 Malam di Bukit Besi
Sejak berpuasa, kami sekeluarga tidak pernah berpeluang untuk berkumpul dan berbuka puasa sama-sama. Abang menghantar mesej, bertanyakan bila kami akan melawat dia di Bukit Besi. Sementara itu banyak juga barang yang dipesan untuk dibawa. Sudah sebulan lebih abang di perantauan. Saya berkira-kira waktu. Cuti hanya ada di hujung minggu. Kakak pula akan balik setiap Jumaat. Jadi kami akan bertolak seawal jam 3 pagi ke Bukit Besi dan bersahur di Temerloh. Tetapi rancangan itu tidak menjadi apabila ada yang lewat bersiap. Saya sempat menggoreng nasi sebagai bekalan (psst... nasi goreng saya memang menjadi kegemaran keluarga!). Kami tiba di Bentong jam 4.30 pagi dan bersahur di sebuah restoran. Lebih kurang jam 5.15 pagi kami bertolak dan singgah di tol Temerloh untuk solat subuh. Di situ, dua orang anak saudara menyertai rombongan kami ke Bukit Besi. Alhamdulillah, kami memilih untuk melalui Jalan Jabor - Bukit Besi dan selamat tiba di sana lebih kurang jam 9.30 pagi. Perjalanan yang lancar dan tidak banyak kenderaan memudahkan perjalanan kami.

Lagi kisah dari filem...

Setelah mengambil abang di Bukit Besi, kami tidak ada apa yang hendak dibuat. Kami memilih untuk menginap di homestay di tepi pantai Dungun tetapi masih awal untuk check in. Jadi destinasi yang paling dekat untuk lepak-lepak ialah di Mesra Mall. Hendak lepak di tepi pantai Dungun, bulan puasa pula. Cuaca pun sangat panas sekarang.

Setelah pusing-pusing di Mesra Mall, masih ada banyak waktu lagi yang terluang. Abang yang sekian lama terpinggir di Bukit Besi mengajak kami menonton wayang. Tidak banyak filem yang boleh dipilih. Yang lelaki memilih Transformer, manakala saya dan anak-anak perempuan mahu menonton Dawn of the Planet of the Apes. Saya memang kurang gemar pada filem aksi futuristik.
Filem bermula dengan close up wajah Ceasar ... mungkin ada yang terkejut! 
Saya suka filem ini. Itu kesimpulannya. Waktu saya masih belajar dulu, cerita Planet of the Apes memang banyak mengarutnya. Tetapi yang ini lebih realistik. Ceasar, watak utama merupakan seekor beruk yang diajar oleh tuannya bercakap sejak kecil. Dia menjadi ketua puaknya dan berkomunikasi dengan bahasa isyarat. Kadang-kadang sahaja terkeluar dialog. Itupun sepatah-sepatah. 
Ini pula Koba, orang kanan Ceasar
Seperti mana-mana movie, pastinya ada watak antagonis. Filem ini juga tidak terkecuali. Baik watak manusia, mahu pun beruk. Kedua-duanya ada berwatak baik dan jahat. Koba menjadi saingan Ceasar. Dia sangat antikan manusia kerana pernah menjadi bahan uji kaji manusia sebelum diselamatkan oleh Ceasar. Logik juga alasannya. Filem ini agak adil. Sebijak-bijak manusia, dapat juga dibodohkan oleh beruk. Sebijak-bijak beruk, memang tetap bodoh berbanding manusia. Fitrah alam, manusia adalah makhluk paling bijak yang dijadikan Allah SWT. Dan hal ini diakui oleh Ceasar.

Malam yang padat

Sebaik filem tamat, kami terus ke Dungun untuk check in. Waktu berbuka juga sudah hampir jadi kami memilih untuk berbuka di rumah sahaja dengan teh O panas dan kurma. Ada sedikit rotiboy untuk dikongsi (kerana ketika membelinya stok habis terjual dan terpaksa beratur untuk menunggu. Laris betul rotiboy di Mesra Mall!). Selepas solat maghrib barulah kami keluar mencari restoran ikan bakar. Untunglah sepanjang Jalan Pantai Sura, berbaris restoran ikan bakar. Tinggal pilih sahaja. Selepas makan, abang perlu dihantar kembali ke asrama sebelum jam 11 malam.

Homestay yang kami pilih mempunyai kemudahan memasak. Jadi sekali lagi saya menyediakan nasi goreng, menu ringkas untuk sahur. Kami meninggalkan Dungun pukul 7 pagi dan sampai di KL lebih kurang jam 12 tengah hari. 

Percutian yang ringkas tetapi sangat padat dan mencapai matlamatnya.




Jumaat, 13 Jun 2014

Maleficent

Teks: Rozida Ismail

Seperti cuti-cuti yang lepas, aktiviti bersama keluarga kali ini ditutup dengan menonton wayang. Anak-anak yang membuat keputusan untuk menonton filem apa... dan filem ini yang mereka pilih:

Maleficent menjadi film box office ..
Pada mulanya saya menyangka kisah ini tentang ahli sihir seperti cerita Harry Porter, tetapi setelah menontonnya jangkaan saya meleset. Walaupun heboh diperkatakan tentang cerita ini tetapi saya langsung tak ambil pusing dan tidak juga mencari sinopsisnya. Begitupun saya tahu pelakon utamanya Angelina Jolie, tentu bukan calang-calang ceritanya. Sesudah dua minggu ditayangkan, Maleficent masih bertahan di panggung. Betapa tidak, ia sesuai untuk tontonan seisi keluarga kerana sekarang cuti sekolah.

Saya dapati trend filem-filem Barat sekarang mengangkat sisi lain daripada kisah klise dongeng mereka. Saya suka cara begini. Mencari kelainan daripada dongeng dahulu kala. Tidaklah kanak-kanak disogokkan cerita yang sama dari dulu hingga kini. Biarkanlah mereka berfikir sedikit daripada meneka apa yang berlaku berdasarkan cerita yang pernah mereka dengar atau baca. Mungkin cara ini juga boleh diaplikasi dalam kisah Bawang Putih Bawang Merah, Pak Pandir, Sang Kancil dan pelbagai lagi kisah dongeng kita yang banyak itu. Saya pernah juga menulis tentang The Journey 2: Mysterious Island yang menggarap 3 dongeng dalam satu kisah iaitu Mysterious Island, Gulliver's Travel dan Treasure Island.

Bagi yang masih belum menonton Maleficent, saya sediakan sedikit sinopsisnya. Maleficent bukan ahli sihir yang jahat. Dia adalah ketua pari-pari yang sangat penyayang. Namun karektornya bertukar menjadi pendendam disebabkan suatu peristiwa. Dia tidak percayakan bahawa cinta sejati itu wujud. Kerana itu sumpahannya ke atas Puteri Aurora hanya boleh dipadam dengan ciuman cinta sejati. Tetapi kali ini ciuman oleh Putera Philip tidak berjaya melepaskan Puteri Aurora daripada sumpahan Maleficent. Bukankah jalan ceritanya lari daripada klise? Malahan, penonton akan jatuh kasihan pula kepada Maleficent yang sepatutnya berwatak jahat.

InsyaAllah saya akan mula menulis cerita dongeng kita dengan mengangkat watak antogonist pula.




Khamis, 12 Jun 2014

UiTM Bukit Besi

Teks: Rozida Ismail

Hampir 2 minggu sekolah bercuti dan sejak 2 minggu itulah kami sekeluarga sibuk ke sana sini. Hujung minggu pertama cuti sekolah kami bertolak ke Kuala Terengganu, menghantar abang yang mendaftar sebagai mahasiswa UiTM Bukit Besi. Dalam banyak-banyak tawaran belajar yang diterima, dia memilih universiti ini. Alhamdulillah, anak bujang saya masuk universiti!

Oleh sebab Terengganu memulakan hari pertamanya Ahad, maka pendaftaran pelajar baru jatuh pada hari Ahad, 1 Jun 2014. Hari Isnin kami sudah mula bekerja semula, jadi kami bertolak pada hari Jumaat supaya sempat berehat satu hari di Kuala Terengganu dahulu sebelum meninggalkan abang di asrama. Mungkin disebabkan kawasan Bukit Besi tidak begitu sibuk maka semua homestay yang kami hubungi penuh pada tarikh yang dikehendaki. Akhirnya saya meminta pemilik homestay di Bukit Besi mencadangkan tempat tinggal yang berhampiran dengan UiTM. Ini kerana kami memang tidak pernah menjejakkan kaki ke sini dan tidak ada kenalan yang tinggal di sini. Pendaftaran pelajar baru pula bermula jam 8.00 pagi. Pemilik homestay mencadangkan kami menghubungi Bukit Besi Golf Resort (dahulunya Tasik Puteri Golf Resort). Alhamdulillah, kebetulan masih ada dua bilik yang kosong dan harganya juga berpatutan. Hanya RM100 satu malam untuk bilik superior (2 katil single) dan RM110 untuk bilik family (1 katil queen dan 1 katil single). Kedudukan UiTM hanya dalam jarak 10 minit perjalanan dari sini. Tidak ada sarapan pagi disediakan. Malahan kunci bilik juga mesti dituntut dari guard kerana pekerja akan pulang jam 6.00 petang. Jika anda menginap di sini, siap-siapkanlah terus makan malam untuk keluarga. Restoran memang sukar dicari apatah lagi pada waktu malam. Begitu juga dengan sarapan pagi. Jika lambat, alamat kenalah makan nasi berlauk sahaja. Kalau masih mahukan sarapan nasi lemak dan seumpamanya bolehlah berkereta ke Kawasan Rehat & Rawat Bukit Besi di tepi highway Jabor-KT yang terletak dalam 10 km dari kelab golf.
Udara segar dan nyaman pada waktu pagi di Bukit Besi Golf Resort.
Gaya bakal mahasiswa. Masih sempat berselfie ..

Kami antara orang yang paling awal mendaftar di UiTM pada hari itu. Rupa-rupanya pendaftaran memang bermula jam 8.00 pagi, tetapi aktiviti untuk pelajar hanya bermula pada jam 5.00 petang. Jadi selepas mendaftar kami bawa abang keluar semula kerana terpaksa mencari bantal yang tidak disediakan untuk pelajar dan juga tiket bas balik untuk abang selepas minggu orientasi. Bandar terdekat ialah Kuala Dungun, kira-kira 32 km. Selepas membeli tiket bas, kami mencari teksi prebet sapu untuk menyediakan pengangkutan untuk abang keluar dari Bukit Besi ke Dungun. Mereka mahukan RM60. Hanya sebagai alternatif kalau-kalau tiada bas UiTM hari itu.
Kampus baru ini menyediakan bilik yang selesa, lengkap dengan meja studi dan 2 soket setiap orang.
Untunglah budak-budak sekarang..

Dikhabarkan kampus baru ini boleh memuatkan 600 pelajar. Hanya ada dua kursus sahaja ditawarkan di kampus ini, iaitu chemical dan mechanical engineering. Semoga semua pelajar Bumiputera di sini memanfaatkan setiap peluang yang diberi dan belajar bersungguh-sungguh demi memartabat ekonomi bangsa. Amin ..