Teks: Rozida Ismail
Rasanya baru sangat saya mengemas kini blog ini dengan cerita terbaru. Namun sedar tak sedar rupa-rupanya sudah lima hari berlalu. Memang begitu cepat masa beredar, apatah lagi jika kita sentiasa sibukkan diri dengan bekerja. Dan tanpa sedar juga kita sudah memasuki bulan terakhir dalam tahun 2013. Ya .. kita sudah di penghujung tahun!
Mari kita berfikir sejenak, usia semakin bertambah. Jangka hayat penduduk lelaki di Malaysia secara puratanya 74 tahun, manakala yang wanitanya pula 76 tahun. Lihat di sekeliling kita, siapakah yang berjaya melepasi umur tersebut? Ibu bapa kita? Alhamdulillah, syukur kerana mereka dipanjangkan umur. Kita pula bagaimana? Berapa tahunkah lagi agaknya kita akan menghampiri umur tersebut? Selama ini kita sering merasakan bahawa masa terlalu cepat berlalu. Sedar tak sedar kita sudah habis sekolah menengah, sedar tak sedar kita sudah tamat pengajian universiti dengan master atau PhD sekali .. dalam tak sedar juga anak-anak sudah besar. Jadi sebelum kita tak sedar lagi, eloklah mempersiap diri untuk menghampiri umur tersebut.
Persiapan yang bagaimanakah harus kita lakukan? Terpulanglah pada individu itu sendiri. Ia juga bergantung pada matlamat hidup yang ingin dicapai. Pertengahan umur bagi jangka hayat purata itu ialah 38 tahun (perempuan). Jika anda sudah melepasi umur tersebut, maka anda ada lagi separuh usia yang perlu dilalui secara teorinya. Jadi, selama ini apa yang telah kita buat dalam separuh usia itu? Tanya pada diri sendiri dan perbaiki kelemahan itu. Sebenarnya masa untuk kita memang tidak banyak ..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan