Agak jarang orang memberi tips bagaimana hendak menghabiskan cuti 3 hari 2 malam di Pulau Pangkor. Sebelum bercuti, saya google juga untuk mencari tip untuk bercuti di sana. Maklum sahaja, selama ini saya pernah dua kali ke Pangkor. Pertama kali hanya buat trip balik hari sahaja. Itupun sehelai sepinggang kerana tidak pernah merancang untuk bercuti ke sana. Rasanya trip yang pertama hampir 13 tahun lepas. Ketika itu bot yang membawa kami lebih kurang seperti bot nelayan. Kali kedua cuba bercuti ialah ketika cuti Raya Cina 4 tahun lepas. Malang sekali ketika itu kami tidak lepas hendak naik bot kerana terlalu ramai orang. Hendak mencari parkir kereta pun sukar. Sudahnya kami membeli-belah di Lumut sahaja. Mujur di situ banyak kedai untuk membeli-belah. Dan ketika itu Lumut sudah membangun. Ada kompleks jeti yang selesa. Bot juga sudah bertukar seperti di Langkawi. Siap dengan hawa dingin. Kali ketiga adalah tahun ini, tetapi atas urusan kerja. Jadi tidak sempat hendak island hopping atau melawat kawasan. Teruja dengan suasana hotel dan resort di Pangkor maka saya mengajak keluarga bercuti di sana setelah anak-anak menghabiskan peperiksaan penting mereka.
Kami memulakan perjalanan seawal jam 7.30 pagi dari KL. Itupun sudah terlewat setengah jam dari itinerari awal. GPS kata exit ikut Gopeng, tetapi sampai di persimpangan Bidor, terdapat papan tanda yang menunjukkan Pulau Pangkor. Jadi kami ikut saja papan tanda. Oleh sebab terlepas kawasan rehat Rawang, kami terpaksa cari restoran untuk minum pagi. Cari punya cari, sampailah di food court berhampiran simpang ke bandar Teluk Intan, Bazar Nanas namanya. Kami minum pagi di situ. Kemudian meneruskan perjalanan ke Lumut, hanya lebih kurang 40 km sahaja lagi. Sampai di Lumut, kami terus menuju ke parkir bertingkat. Kereta banyak, sukar juga mencari parkir. Di bumbung juga parkir penuh, jadi kami berpatah balik ke bawah. Tidak lama mencari, seorang wanita keluar parkir. Dapatlah juga kami parkir berbumbung. Kami terus menghala ke kaunter tiket. Tiket berharga RM10 untuk dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak. Bot membuat perjalanan tanpa menetapkan waktu ketika musim cuti kerana orang ramai. Memikirkan check in pukul 3 petang maka kami makan tengah hari terlebih dahulu.
Ingat!! Simpan tiket ini kerana ia adalah untuk perjalanan dua hala. |
Sudah lumrah musim cuti sekolah, permintaan untuk pengangkutan terlalu banyak. Kami terpaksa menunggu juga untuk mendapatkan teksi ke hotel. Teksi yang berupa van berwarna merah jambu itu hanya RM10 untuk 1 trip. Kami berkongsi teksi dengan keluarga dari Jepun. Harga RM10 itu memang standard di sana.
Selepas berehat dan solat asar, saya menemani anak-anak mandi kolam dan mandi laut. Sebelah malamnya kami makan di sebuah gerai seafood berhampiran hotel. Hanya berjalan kaki sahaja. Gerai seafood itu terletak di sebelah Coral Bay Resort. Di situ juga banyak gerai yang menjual barangan runcit dan pakaian. Agak meriah malam di hotel kami kerana ada hari keluarga dan mereka berkaraoke sehingga jam 11 malam!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan