Teks: Rozida Ismail
Begitu cepat masa berlalu. Masuk hari ini sudah tiga hari kita memasuki fasa baharu dalam kalender Islam. Tidak begitu lambat untuk mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru Hijrah 1435. Semoga dengan kedatangan tahun baru ini kita membaharui dan memperkuat lagi azam untuk menjadi insan yang lebih baik daripada sebelumnya.
Sempena kedatangan tahun baru Hijrah, pejabat kami menjemput Ustaz Haslin aka Ustaz Bollywood untuk menyampaikan ceramah motivasi dan tahun baru kepada kakitangan. Saya titipkan di sini intipati ceramahnya untuk perkongsian bersama. Antara yang melekat di hati ialah tentang disiplin. Disiplin adalah amanah. Jika kita amanah menjalankan tugas, rezeki akan mudah masuk. Kata ustaz, jika ingin berhijrah menjadi baik, janganlah bertangguh-tangguh. Terus lakukan. Selain itu, hendaklah selalu bersedekah. Jangan lupa memberi kepada ibu bapa. Setiap apa yang dilakukan mestilah istiqomah, iaitu konsisten. Termasuklah dalam hubungan suami isteri. Jika dahulu semasa awal berkahwin, kita romantik dengan suami atau isteri, lakukanlah juga sekarang dan akan datang. Memang betul kata ustaz, kadang-kadang dalam mana-mana perkahwinan, hubungan suami isteri semakin hambar. Jika beristiqomah, pastinya hubungan suami isteri akan terasa hangatnya seperti mana pada awal perkahwinan.
Dalam banyak-banyak pesanan ustaz, saya ingin menyentuh tentang berbuat baik pada ibu bapa. Ustaz kata, kenapa sesetengah orang terlalu kedekut untuk menghulur wang kepada ibu bapa. Mengapa tidak boleh memberi walau pun sedikit daripada pendapatan sendiri walaupun pendapatan kita kecil? Walhal, ibu bapalah yang paling banyak berdoa untuk kita. Tidak pernah seorang ibu akan mendoakan yang tidak baik kepada anaknya sejak dalam kandungan hinggalah dewasa. Betul, perhatikan jika seseorang itu sering memberi pada ibu bapanya, selalu memuliakan ibu bapanya, akan murah rezekinya. Namun, ustaz mengingatkan jika kita tergolong dalam kalangan yang murah rezeki dan ibu bapa sering merujuk pada kita jika memerlukan duit, jangan pula kita menjadi ego dan sombong dengan adik-beradik yang lain. Tidak dinafikan kadang-kadang ada ibu bapa akan 'terlebih' sayang pada anak yang lebih berada dan yang selalu menolong mereka. Jangan pula kita berasa dengki dengan mereka. Mereka ada kelebihan dan kita pun ada kelebihan. Kita ada kelemahan dan mereka pun ada kelemahan. Sentiasalah bersyukur dengan kelebihan yang kita miliki dan memperbaik kelemahan diri.
Satu lagi pesanan ustaz yang ingin saya sampaikan ialah tentang perniagaan. Ustaz mengingatkan bahawa nabi kita Muhammad SAW ialah peniaga dan sahabat-sahabatnya adalah peniaga. Jadi kita seharusnya mencontohi Rasulullah dengan menjadi seorang peniaga. Jika kita kaya raya, kongsilah kesenangan itu dengan orang lain. Bantulah fakir miskin yang memerlukan. Sentiasa positifkan diri, barulah rezeki senang masuk.
Sebenarnya banyak lagi pesanan ustaz dalam ceramahnya. Saya menulis sedikit sahaja sebagai ingatan untuk diri sendiri dan berkongsi dengan pembaca yang saya sayangi. Oleh sebab saya terkesan dengan pesanan ini maka saya juga ingin menjadi seorang peniaga. Jika inginkan suplemen kesihatan seperti apa yang saya amalkan, bolehlah klik di sini. Jumpa lagi!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan