Pada 14 November lalu berakhirlah penantian anak-anak yang menduduki peperiksaan UPSR. Keputusan telah pun diumumkan. Tiada apa lagi yang harus ditangiskan, terimalah hakikat seadanya. Mungkin yang beria-ia menangis itu kerana tidak mempercayai keputusan sebegitu yang akan didapati. Sudah bersungguh-sungguh berusaha tetapi masih tidak berjaya mendapat 5A. Tidak mengapa sebenarnya anak-anak kerana jika sudah berusaha, pastilah ada sebab-sebabnya mengapa Tuhan menganugerahkan sedemikian.
Saya ingin berpesan pada anak-anak khususnya yang tidak berjaya merangkul 5A. Keputusan itu bukanlah segala-galanya. Tidak perlu terlalu bersedih. Yang penting, kuatkan tekad untuk terus berusaha menggapai apa yang dicita-citakan. Ini baru permulaan. Sesungguhnya perjalanan anak-anak masih jauh. Banyak lagi laluan dan rintangan yang perlu dilalui.
Sebenarnya saya lebih suka sistem PBS sekarang yang menilai keupayaan pelbagai aspek pelajar. Kadang-kadang sesetengah pelajar tidak suka membaca. Daya tumpuan seseorang memang berbeza. Ada yang tidak boleh duduk diam lama-lama mendengar penerangan guru. Ada yang lebih mudah menangkap sesuatu pengajaran melalui praktikal. Ada yang tahu, tetapi tidak cekap meluahkannya di atas sekeping kertas. Ada yang gugup apabila berkejar dengan masa. Ada yang hanya pandai di atas kertas, tetapi tidak mahir bercakap. Macam-macam kelebihan yang dimiliki oleh anak-anak kita. Bukan untuk memperkecilkan anak-anak yang dapat 5A, mereka sudah tentunya pandai. Yang saya maksudkan ialah tidak semestinya tidak mendapat 5A anak-anak tidak pandai. Jadi, janganlah berasa rendah diri apabila anak-anak tidak mendapat 5A. Berusahalah lagi dengan cara anak-anak sendiri untuk menjadi terbaik dalam bidang yang diminati. Suka bermain bola, jadilah pemain bola yang handal seperti Rudie Ramli . Suka memasak, jadilah chef hebat seperti Chef Wan. Tidak seperti dulu, asal menyebut tentang cita-cita pastilah anak-anak akan menyebut untuk menjadi guru, doktor, polis dan sebagainya yang hanya dekat di persekitaran anak-anak. Sebaiknya kenali minat dan kecenderungan sejak dari kecil dan terus tujui apa yang dicita-citakan dari kecil lagi. Tidak salah jika sukakan sesuatu yang nampak mudah seperti suka memancing. Jika suka sangat, pelajari sedalam-dalamnya minat itu dan apabila sudah dewasa nanti bukalah kedai menjual peralatan memancing. Anak boleh menjadi penasihat yang baik kepada kaki pancing. Kesimpulannya, teruskan minat dan jadikan minat itu sebagai profesion.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan