Teks: Rozida Ismail
Baru-baru ini saya berkesempatan mengikuti satu bengkel tentang harta intelek yang dikendalikan oleh badan antarabangsa. Banyak ilmu yang didapati dan mahu saya kongsikan di sini. Nama pun bengkel ini tentang kesedaran harta intelek. Maka, eloklah apa yang didapati itu disampaikan pada semua orang. Salah satu cabang yang hangat diperkatakan dalam bengkel ini ialah tentang barang-barang palsu.
Apa yang mengejutkan ialah ubat-ubatan palsu merupakan bahan yang paling banyak diniagakan di internet. Ini termasuklah pil kurus. Berdasarkan dapatan oleh pihak penguasa, ada sejenis kopi untuk kurus mengandungi hanya 5% sibutramine (ubat kurus) dan selebihnya sildenafil (ubat seks). Sibutramine ialah dadah yang merangsang otak untuk merasa kenyang dan hanya boleh diambil dalam kuantiti sedikit dengan preskripsi doktor. Jadi, jangan ambil/ beli pil kurus sembarangan kerana bimbang mendapat sakit lain pula. Pernahkah anda dengar berita tentang seorang warga Singapura meninggal dunia kerana mengambil viagra sedikit masa dahulu? Sebenarnya viagra yang diambilnya ialah pil tiruan dan mengandungi dadah untuk penyakit kencing manis. Mangsa ini koma kerana biasanya ubat kencing manis akan menurunkan paras gula dalam badan.
Sebenarnya ada cara untuk mengenal pasti sama ada ubat-ubatan yang dijual di farmasi adalah palsu atau tulen. Pastikan label berikut terdapat pada ubat tersebut:
MAL20022544A - ubat di bawah kawalan Kerajaan
MAL20030080X - ubat yang dijual di kaunter
MAL20024420T - ubat tradisional
Hanya ubat yang tulen sahaja mempunyai label ini. Namun, label ini juga kadang-kadang dipalsukan. Untuk itu, Kementerian Kesihatan memperkenalkan hologram bagi memastikan ketulenan sesuatu produk ubatan. Juga, hologram ini dipalsukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Di farmasi, terdapat alat untuk membaca hologram ini iaitu Meditag. Anda boleh menyemak ketulenan hologram menggunakan Meditag. Hologram yang sah akan mengeluarkan logo kepala harimau dan huruf KKM.
Ingat, gunakan kuasa pengguna sepenuhnya ketika membeli ubat. Jangan tertipu dengan ubat yang hampir sama tetapi dijual dengan harga yang lebih murah. Antara ubat yang dipalsukan ialah panadol, eyemo, minyak cap kapak, dan ubat batuk cap ibu dan anak. Sememangnya kita payah mengenali barang tulen atau palsu kerana ia seakan-akan sama. Tetapi dengan adanya hologram tersebut, sekurang-kurangnya kita dapat menyemak ketulenan sesuatu produk.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan