Teks: Rozida Ismail
Pernah tengok kereta yang dimekap beria-ia seperti di atas? Pada yang pertama kali melihatnya pasti akan menoleh berkali-kali kerana seakan tidak percaya kereta sebegini wujud di atas jalan raya. Ketika ke bengkel aksesori kereta baru-baru ini, saya berkesempatan melihat secara dekat kereta yang dihias dengan penuh imaginasi oleh tuannya. Interior pula dipenuhi oleh peralatan senjata api pelbagai jenis pistol dan seumpamanya. Mulanya saya takut untuk mendekatinya kerana kereta itu kelihatan menggerunkan bagi jiwa saya yang sentimental ini.. tetapi keramahan tuan punyanya yang mengusahakan spa kereta membuatkan saya berani mengambil gambar secara dekat dan menemubual tuannya secara santai.
|
Inilah Colin, tuan punya Nissan Grand Livina yang diubah suai. |
Colin Au Kong Wen, berusia 40 tahun sedang tekun membelek gajet yang tidak dapat dipastikan apa sebenarnya ketika saya mengintai-intai keretanya itu. Dia sangat fasih berbahasa Melayu. Katanya minat yang mendalam membuatkan dia tidak sayang untuk berhabis ribuan ringgit untuk menghiasi keretanya itu. Sudah RM40,000 dihabiskan untuk menambah aksesori kereta. Dia juga memasuki banyak pertandingan dan saya lihat banyak piala kemenangannya dipamerkan di spa kereta miliknya itu. Namun jika dibandingkan hadiah tunai yang dimenangi, sangatlah tidak berbaloi kerana hadiahnya hanyalah ratusan ringgit sahaja.
|
Barisan piala kemenangan dan keratan akhbar tentang pencapaian Colin. |
Jika sudah menjadi minat, berapa pun sanggup dibelanja dan apa pun boleh dilakukan. Bagusnya minat ini ialah ia menanam daya imaginasi seseorang dan mengajak kita berfikir di luar kotak. Saya juga melihat sebuah kereta Kancil diubah suai dan memiliki enam tayar seperti lori. Banyak lagi kereta-kereta pelik yang dapat disaksikan kelainannya.
|
Cerita tentang kemenangan Colin. |
Saya pasti sangat ramai orang yang memiliki hobi yang luar biasa, tidak seperti orang lain. Jika anda mempunyai kenalan yang mempunyai hobi-hobi pelik, bolehlah dikongsi bersama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan