Khamis, 17 Oktober 2013

Selamat hari jadi, emak! al-Fatihah untuk abah

Teks: Rozida Ismail

10.10.13 merupakan hari jadi emak saya yang ke-77. Ini tahun kedua emak menyambut hari jadi tanpa abah di sisi. Setelah dikira-kira rupa-rupanya hampir 54 tahun emak hidup di samping abah. Tapi kecekalan emak tidak menampakkan dia 'kehilangan' abah. Jauh di sudut hati, saya tahu dia memang sentiasa mengingati abah. Hari raya haji baru-baru ini emak meminta rakannya buatkan wajik. Sebenarnya itulah makanan kegemaran abah ketika hari raya.

Saya tahu susah senang emak dan abah mengharungi kehidupan sejak kami kecil-kecil lagi hingga abah bersara. Malah kehidupan abah sejak dari kecil lebih susah daripada itu. Abah seorang yang yatim piatu sejak kecil lagi. Abah selalu menceritakan kisah hidupnya semasa kecil kepada kami. Tetapi di penghujung usianya abah dikurniai kehidupan yang senang. Hari-hari tua emak dan abah dihabiskan bersama-sama tanpa banyak masalah. Mungkin kerana semasa hayatnya abah seorang yang sangat suka membantu orang. Pernah suatu ketika abah membawa balik seorang pengemis untuk diberi makan dan menumpangkan seorang bekas banduan di rumah kami buat beberapa hari.

Emak pula seorang yang sangat prihatin dan mengambil berat tentang jiran tetangganya. Sifatnya yang ramah sangat disenangi oleh jiran dan kenalannya baik Melayu, Cina mahupun India. Kerana itu emak mempunyai ramai anak angkat. Pernah suatu ketika jiran kami, seorang warga emas berbangsa Cina yang tinggal bersendirian tidak kelihatan sejak pagi. Menjelang malam rumahnya gelap gelita. Emak yang prihatin meminta seorang jiran berbangsa Cina yang lain menelefon anak warga emas tersebut. Rupa-rupanya emak ada menyimpan nombor telefon anak warga emas itu kerana kata emak, "senang jika apa-apa hal berlaku kerana apek itu tinggal seorang." Betullah telahan emak kerana apabila anak warga emas itu datang, dia mendapati bapanya sudah meninggal dunia di bilik air! Jika tidak kerana keprihatinan emak, pasti mayat orang tua itu terbiar lama. Emak sebenarnya ikon 1Malaysia yang sejati.

Saya sentiasa mendoakan kesejahteraan emak dan abah. Semoga budi baik mereka diberikan ganjaran syurga oleh Allah SWT.
Selamat hari jadi emak, al-Fatihah untuk abah.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan