Teks: Rozida Ismail
Lagi dua hari kita akan menyambut Aidiladha. Pastinya suri rumah bertambah sibuk untuk membuat persiapan. Nama pun menyambut hari raya, pastilah ada sedikit juadah yang perlu disiapkan untuk keluarga. Sesuai dengan musim membeli-belah, hari ini saya ingin berkongsi sedikit tip membeli-belah secara berhemah. Tip ini sebenarnya adalah apa yang saya amalkan.
Untuk barang-barang keperluan harian seperti sabun basuh, susu, dan sebagainya selalunya kita membeli secara bulanan. Iaitu menyimpan stok untuk sebulan, barulah membuat belian ulangan. Oleh sebab rumah saya berdekatan dengan banyak pasaraya besar, maka saya sering perhatikan apa dan bila barang dijual murah barulah saya beli dalam kuantiti yang banyak. Misalnya sabun basuh Breeze 4.4 liter biasanya dijual dengan harga runcit RM27.90. Begitu juga Dynamo 4.4 liter, anggaran harganya lebih kurang. Dulu saya tidak menggunakan sabun ini kerana harganya memang mahal. Tetapi ada masa-masanya pasaraya akan membuat jualan murah untuk barang-barang keperluan harian ini, maka ketika itulah saya akan membeli dan menyimpan stok untuk 3 bulan. Menjelang masa sabun ini habis digunapakai, maka akan ada lagi jualan murah yang dibuat. Selalunya perbezaan harga mencapai RM8 sebotol. Contohnya minggu lepas, di pasaraya Giant, Breeze dijual pada harga RM19.90. Minggu ini pula Tesco menjual Dynamo pada harga 19.98. Jadi saya tidak melepaskan peluang untuk membeli dan menyimpan stok.
Begitu juga untuk barang pengguna lain seperti susu segar Dutch Lady 1 liter (kerana anak saya hanya gemarkan susu ini), pasaraya besar ini selalu memberi tawaran RM12.00 untuk tiga kotak. Pada hari-hari biasa, susu ini dijual pada harga RM5.40 sekotak. Bagi teh Lipton pula saya selalu membeli di 99 Speedmart kerana harganya sentiasa murah. Tetapi di sini selalunya barang dijual dalam pek kecil. Walaupun murah, anda kena hati-hati kerana barang di sini selalu dalam keadaan tidak sempurna seperti tinnya kemek. Saya juga pernah melihat susu yang luput tarikh masih dijual. Jika ingin membeli di sini, eloklah memilih dengan teliti terutama tentang bungkusan barang dan tarikh luput. Pasaraya yang sering menjual teh uncang Lipton 80 uncang dengan harga lebih murah berbanding pasaraya lain ialah Econsave. Barang yang sering saya beli di 99 Speedmart ialah sabun mandi Dettol dan syampu kerana harganya lebih murah dari yang lain-lain.
Oleh sebab selalu membanding-bandingkan harga maka saya selalu singgah di semua pasaraya untuk mendapatkan harga terbaik bagi setiap belian saya. Tetapi mujurlah kesemua pasaraya ini terletak berdekatan dengan rumah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan