Baru-baru ini Syamsul Yusof, penerbit dan pengarah filem muda di negara kita berang kerana filemnya diedarkan sebelum masuk skim wajib tayang. Memanglah dia akan mengamuk kerana setelah berpenat lelah dan berhempas pulas untuk menghasilkan filem yang dinanti-nantikan oleh peminat filem Malaysia, tiba-tiba ada pula yang membuat onar dengan menyebarkannya secara percuma di internet. Bukan sedikit wang, masa dan tenaga yang telah dicurahkan untuk menghasilkan filem ini. Tentulah sebagai pengeluar filem, beliau akan berasa kecewa yang teramat sangat. Dia buat filem kerana dia terlibat dalam industri perniagaan hiburan. Bukan dia buat untuk suka-suka atau kerana minat semata-mata. Orang berniaga mestilah untuk mendapatkan keuntungan. Saya harap dalang di sebalik angkara ini dapat ditangkap dan dihukum kerana dia tidak menghormati harta intelek orang lain. Saya sebenarnya suka tengok kelainan filem sekuel KL Gangster ini kerana ia tidak menggunakan heroin (jadi tiada manipulasi pelakon wanita dalam filem ini).
Itu kisah filem. Pastilah orang suka dapat menonton tanpa bayaran. Filem baru yang belum pun keluar di pawagam, siapa tak nak dan siapa kisah kalau pengeluarnya rugi berjuta-juta? Sedangkan barang-barang pengguna yang popular orang tiru dan jual dengan harga lebih kurang sama pun ada pembelinya. Persoalannya, kenapa dengan orang kita? Kenapa begitu ramai yang menyokong aktiviti tidak bermoral seperti ini?
Sebenarnya kajian menunjukkan ada tiga kategori utama mengapa orang membeli barang tiruan di pasaran. Pertama kerana orang ingin menggunakan barang berjenama, tetapi tidak mampu untuk membelinya. Kedua, mereka tidak kenal adakah itu barang asli atau tiruan. Dalam bahasa mudahnya, mereka tertipu. Ketiga, barang-barang tiruan ini sangat mudah didapati di mana-mana. Jadi, bagaimana kita hendak mengekang budaya membeli barang tiruan ini dalam masyarakat kita dan seterusnya mengajar masyarakat menghormati hak cipta dan harta intelek seseorang? Adakah dengan cara menangkap pembuat barang tiruan ini dan juga penjualnya? Saya berkesempatan berbual dengan pihak penguasa yang mengawal pengedaran barang tiruan ini. Khabarnya mereka diugut dan keselamatan diancam. Kesian juga mendengar cerita mereka, terpaksa menggadai nyawa demi sesuap nasi.
Ada cara mudah untuk kita sama-sama membantu membanteras kewujudan barang tiruan di pasaran. Kita pasti sakit hati jika tertipu dengan pembelian barang tiruan ini. Lebih memburukkan keadaan lagi jika kita termakan barang tiruan yang boleh mengancam nyawa pula. Jadi, sama-samalah kita boikot penggunaan barang tiruan, berasa malu menggunakan jenama tiruan, dan hormati pemilik harta intelektual yang telah mengeluarkan belanja yang banyak untuk memastikan kualiti barangnya terpelihara untuk kebaikan pengguna. Lebih baik menggunakan jenama tempatan yang nyata memang original, murah dan diyakini halal lagi baik (halalan toyyiban).
Pernah tengok jenama ini? Tengok betul-betul.. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan