Teks: Rozida Ismail
Pernah dengar perkataan susut nilai? Istilah ini biasa digunakan dalam ilmu perakaunan. Jika ke kedai emas pun, perkataan ini akan selalu disebut. Peratus susut nilai emas biasanya 15 - 20%. Bermakna jika anda membeli emas hari ini pada harga RM160 segram, dua tahun selepas itu jika anda ingin menjualnya maka susut nilai akan dikira sebanyak 15% kurang daripada harga semasa. Contohnya dengan harga emas hari ini RM160 segram, selepas ditolak susut nilai 15% harga yang anda dapat ialah RM136.00 segram.
|
Ketiga-tiga aset ini mempunyai susut nilai. |
Saya tidak bercadang untuk mengulas tentang urus niaga emas sebenarnya. Saya mahu berbicara tentang susut nilai. Banyak barang yang kita beli mempunyai susut nilai, terutamanya aset. Contohnya kereta, komputer, telefon, sekadar menyebut beberapa contoh. Barang-barang ini mempunyai kadar susut nilai yang tinggi. Ini disebabkan perubahan teknologi untuk barangan seperti ini berlaku dengan cepat. Telefon canggih yang kita beli hari ini akan turun harga dengan cepat dalam tempoh 3 bulan lagi. Jika kita rajin melayan gajet seperti ini, memanglah tidak berbaloi rasanya. Baru 3 bulan pakai, sudah hendak menukar dan terpaksa tambah dalam RM500 - RM1000 untuk mendapatkan telefon baru. Bagi saya, sama ada kereta, telefon atau komputer, sebaik-baiknya digunakan selama 3 tahun barulah diganti. Puas memakai, harga pulang modal, barulah ditukar. Walaupun kereta dibeli secara ansuran, lebih baik jika ansuran dibuat dalam tempoh 5 tahun sahaja jika mampu. Ini kerana teknologi biasanya bertukar setiap 3 tahun dan anda akan mendapat enjin baru yang lebih tinggi teknologinya dengan penggunaan minyak yang lebih ekonomik. Biasanya kereta selepas digunakan selama 2 tahun akan mula memberi masalah. Banyak yang perlu ditukar seperti tayar, brake pad, bateri dan benda-benda tersembunyi yang lain. Lainlah jika kereta jarang digunakan dan hanya digunakan sekali-sekala. Kadang-kadang kita memang terasa sayang hendak menukar kepada kereta baharu, tetapi cuba tetapkan hati bahawa kepuasan memandu akan bertukar apabila memiliki kereta baru. Barulah semangat untuk keluar bekerja tersuntik kembali. Lagipun kita bukan orang kaya untuk memiliki beberapa kereta sekali gus. Jadi, pilihan yang kita ada ialah selalu menukar kereta yang satu itu supaya kita dapat merasa memandu lebih banyak kereta daripada pelbagai jenama. Siapa bersetuju dengan pendapat saya, angkat tangan!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan