Ahad, 23 Februari 2014

Mudahnya untuk Berjaya

Teks: Rozida Ismail

Selama ini kita tidak pernah diajar bagaimana hendak menyusun jadual kehidupan sebagai pelajar. Kalau ada pun dulu-dulu, kita diminta membuat jadual sendiri berdasarkan apa yang patut dibuat sebaik bangun tidur sehinggalah kita hendak tidur semula. Kita diajar membaca doa makan, doa sebelum belajar dan sebagainya. Tetapi kita tidak pernah diajar cara pemakanan terbaik dan bagaimana teknik mengingat dan belajar dengan betul. Apabila sudah dewasa kita mencari segala-galanya sendiri. Malah ada antara kita yang tidak tahu langsung amalan seharian seharusnya mengikut sunnah. Setiap orang diberi kelebihan tersendiri dan jika diasuh dengan cara yang betul nescaya lebih ramai personaliti terbilang dapat dilahirkan.
Buku Mudahnya Untuk Berjaya merupakan modul amalan belajar SBP yang ditulis oleh
guru kaunseling SBP dan pensyarah UPSI.
Buku Personaliti Terbilang: Mudahnya Untuk Berjaya merupakan Modul Amalan Kemahiran Belajar yang diamalkan oleh pelajar SBP dan diolah semula menjadi sebuah buku oleh panel penulis SBP dan UPSI. Pelbagai aspek digariskan sebagai panduan pelajar untuk diamalkan dalam kehidupan seharian. Antara aspek yang disentuh ialah pengurusan diri, masa dan stres. Pelajar juga diperkenalkan dengan karakter diri yang berbeza dan cara belajar yang sesuai mengikut karakter diri masing-masing. Seterusnya pelajar juga diajar bagaimana untuk berkomunikasi sama ada secara formal atau pun tidak formal. Teknik belajar, mengambil nota dan mengingat juga diperincikan dalam buku ini. Akhir sekali, pelajar juga didedahkan dengan cara pembelajaran berkesan, yang dilengkapi dengan peta pemikiran i-think dan kemahiran berfikir aras tinggi seperti mana yang ditekankan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.

Saya berasakan buku ini amat penting dimiliki oleh setiap pelajar sebagai panduan mereka menjalani kehidupan seharian. Apatah lagi pada masa kini ibu bapa kebanyakannya bekerja dan tidak sempat melihat atau mengajar cara terbaik untuk anak-anak belajar. Malahan kita juga sebagai ibu bapa mungkin tidak pernah terfikir untuk mencari kaedah yang sesuai sebagai panduan kepada mereka. Buku ini bukanlah sebuah buku motivasi tetapi lebih kepada peraturan yang ideal untuk dilalui oleh seorang pelajar mengikut karakter dan personaliti masing-masing.

Buku setebal 160 muka surat ini disampaikan dalam format yang ringkas, santai dan sarat visual berwarna warni. Ia amat sesuai dengan gaya pembacaan remaja yang lebih menekankan visual berbanding teks yang sarat. Harganya cuma RM15 senaskhah dan hanya boleh didapati dari Cerdik Publications Sdn Bhd (Tel: 03-56379044 atau email inquiry@cerdik.com.my).










Sabtu, 8 Februari 2014

Prosedur Mendapatkan Rawatan di Hospital Kerajaan


Teks: Rozida Ismail

Jika anda mahu berurusan dengan hospital kerajaan, fikir dahulu banyak kali kerana anda perlu memperuntukkan sekurang-kurangnya 3 - 4 jam bagi menemui doktor. Semak dahulu adakah masalah yang dihidapi memerlukan rawatan di hospital kerajaan atau memadai merujuk pada klinik swasta sahaja. Biasanya caj klinik swasta antara RM30 - RM40 untuk rawatan biasa.  Jika tidak ada bajet, bolehlah mencari Klinik 1Malaysia. Saya amat menyokong inisiatif mengadakan klinik kerajaan seperti ini kerana ia menjimatkan masa golongan yang tidak mampu untuk mendapatkan rawatan tanpa perlu ke hospital. Maklum sahaja, hospital pastinya terletak di bandar. Seandainya anda perlu juga ke hospital kerajaan, semak dahulu sama ada kes anda ini kritikal atau tidak berdasarkan senarai yang berikut:

Okey, sekarang anda pasti yang kes anda memang berat dan anda terpaksa juga ke hospital kerajaan. Sebaik sampai di perkarangan hospital, teruslah menuju ke Jabatan Kecemasan dan Trauma. Di sini anda perlu mendaftar di Kaunter Saringan. Mereka akan menentukan anda berada di zon mana, sama ada zon merah/kritikal, zon kuning/separa kritikal atau zon hijau/bukan kritikal.  Pesakit zon kritikal akan dirawat serta-merta. Pesakit separa kritikal dirawat dalam masa 15 minit manakala yang tidak kritikal perlu menunggu giliran.


Saya puji sikap seorang kakitangan di Hospital Ampang yang bertugas di kaunter saringan hari ini. Md Hishamri namanya. Beliau bertugas penuh mesra dan senyuman terukir di bibir. Pesakit yang agak kronik diberikan kerusi roda dengan segera. Rasa skeptikal tentang petugas di hospital kerajaan terlerai di hati. Terima kasih Saudara Hishamri. Bertugaslah dengan gembira dan jadi orang yang cemerlang. InsyaAllah, rezeki saudara akan mudah masuk. Saya doakan.


Selepas disaring, anda perlu ke kaunter pendaftaran. Anda akan diberi nombor giliran. Bayaran pendaftaran dikenakan sebanyak RM1 (warganegara) atau RM50 (warga asing). Manakala untuk UNHCR (United Nations High Commissioner for Refugees) adalah RM25. Selepas mendaftar, anda diberi nombor giliran dan diminta menyerahkan nota pesakit ke dalam bakul merah. Nota ini akan dihantar kepada doktor yang akan memeriksa anda. Jangan disimpan pula!


Selepas itu anda akan dipanggil untuk diperiksa (pemeriksaan suhu badan,  tekanan darah, denyutan nadi dan sedikit soalan. Jika perlu, sampel darah akan diambil). Anda akan disuruh tunggu lagi sehingga nombor dipanggil kembali. Pada ketika ini saya nasihatkan anda bersedia dengan bekalan makanan, bahan bacaan dan sebagainya yang boleh dimanfaatkan ketika menunggu giliran. Masanya memang lama. Jika anda kurang sabar, belajarlah mengawal kemarahan. Alihkan rasa kurang sabar atau kurang senang itu dengan perkara lain seperti apa yang saya sedang buat sekarang. Sekurang-kurangnya anda memberi manfaat pada orang lain. Giliran kali ini adalah untuk menentukan langkah seterusnya, mengenal pasti jenis penyakit yang dihidapi dan rawatan yang perlu diberikan. Selepas berjumpa doktor, anda perlu menunggu giliran untuk mendapatkan ubat. Jika perlu ditahan di wad, anda kenalah melalui proses pendaftaran masuk wad pula.

Apa yang saya bentangkan adalah pengalaman saya menghantar pembantu rumah saya ke hospital. Jika anda masih kurang faham atau ingin lebih kepastian, bolehlah merujuk prosedur yang dinyatakan dalam carta alir yang berikut atau telefon hospital untuk maklumat lanjut.

Apa yang penting, jaga kesihatan. Jika inginkan antibodi kuat, bolehlah pesan Transfer Factor dari saya. InsyaAllah anda tidak mudah diserang selesema, demam dan seumpamanya.

Jumaat, 7 Februari 2014

Alahai .. Teksi Kuala Perlis!

Teks: Rozida Ismail

Selasa baru-baru ini saya bertolak ke Perlis kerana ada tugasan di Kangar dan Arau. Selepas check in, saya dan teman sekerja yang lain (kami berempat) meminta staf hotel memanggil teksi untuk ke Kuala Perlis. Hajat di hati ingin menikmati laksa Kuala Perlis yang dikatakan sangat sedap.

Sebaik teksi sampai, kami pun mengambil tempat masing-masing. Pemandunya seorang tua, tidak dapat dijangka umurnya kerana saya tidak mengamatinya sangat. Mungkin dalam usia 50-an. Masuk sahaja ke dalam teksi, kedengaran radio dipasang kuat, melebihi had kelunakan. Kami yang duduk di belakang terasa sedikit terganggu kerana speaker terlalu dekat dengan kami. Namun seorang pun tidak berani bersuara. Kami memilih untuk berdiam diri sepanjang perjalanan sambil menikmati pemandangan hijau sawah padi di kiri kanan jalan.

Di pertengahan jalan teksi tiba-tiba mati enjin. Ketika itu lagi 3 km akan sampai ke pekan Kuala Perlis. Saya baru sahaja ternampak batu penunjuk arah di tepi jalan. Hendak dikatakan masalah bateri, radio masih terpasang. Hendak dikatakan tiada minyak, kami lihat meter minyak melebihi paras minimum. Tanpa sepatah kata, pemandu teksi keluar dari teksinya dan terus ke boot. Dia mengambil tong minyak dan bergegas meninggalkan kami, menuju ke sebuah restoran. Di situ kami lihat dia meminjam motosikal seseorang dan terus pergi.

Kami ditinggalkan di tepi jalan ... 
Memandangkan kedudukan teksi agak ke tengah, kami memutuskan untuk keluar dari teksi. Ada dua buah teksi yang berhenti, tetapi mereka tidak mengenali pemandu teksi kami. Buntu juga memikirkan sampai bila kami harus menunggu. Akhirnya kami meminta pemandu teksi lain membawa kami ke kedai yang menghidangkan laksa paling sedap di Kuala Perlis. Kami tinggalkan sedikit duit bayaran tambang kepada teksi pertama setelah bertanyakan pendapat tentang kadar tambang sepatutnya.

Rupa-rupanya pemandu teksi ini juga tidak mengetahui di mana letaknya kedai laksa tersebut. Kebetulan sewaktu berhenti di suatu simpang, pemandu itu ditegur oleh seorang penunggang motosikal. Kata pemandu teksi itu, penunggang motosikal itu adalah anak saudaranya. Lantas dia meminta anak saudaranya itu menunjukkan kedai laksa yang dikatakan sedap. Dekat sahaja, letaknya di belakang Kompleks Kastam Diraja. Nama kedai itu Restoran Nelayan. Laksanya boleh tahan. Cucoq udangnya sedap. Pasembur juga mengancam!

Jika ke sini, mesti cuba laksa, cucuq udang dan pasemburnya. 


Saya bukanlah hendak mempromosi kedai laksa itu tetapi apa yang saya risaukan ialah sikap pemandu teksi kita. Tahun ini tahun melawat Malaysia. Jika pemandu teksi kita ambil sikap sambil lewa sahaja pastilah memalukan.


Selasa, 4 Februari 2014

Kebangkitan Anak Muda Melayu

Teks: Rozida Ismail

Semasa mengikuti program 'leadership' baru-baru ini saya melihat ramai anak muda Melayu yang sudah ada perniagaan sendiri walaupun mereka masih menuntut. Saya sangat gembira melihat fenomena ini. Sudah ramai anak Melayu yang tidak mengharap pada pekerjaan makan gaji lagi. Dari peringkat universiti lagi mereka sudah pandai berdikari. Ada beberapa contoh yang saya mahu ketengahkan. Semoga kegigihan mereka ini dapat menjadi inspirasi kepada anak muda lain.

Kes 1:
Gadis ini baru sahaja menamatkan pengajian di peringkat diploma. Beliau anak tunggal. Gadis kecil molek yang lemah lembut ini mempunyai kekuatan dalaman yang sangat tinggi. Beliau sudah mempunyai perniagaan sendiri walaupun memasarkan produk orang lain. Pendapatan bersihnya mencecah RM3000 sebulan. Dengan itu beliau mampu memiliki dua buah kereta (satu dijadikan kereta sewa). Beliau hanya fokus berniaga melalui instagram sahaja.

Kes 2:
Seorang ibu muda yang hafizah. Beliau hanya belajar menyolek secara sambilan. Sedikit demi sedikit, atas permintaan pengantin yang disoleknya beliau membuka butik pengantin. Pendapatannya pada hujung minggu boleh mencecah RM5000. Bayangkan, dengan bekerja pada hujung minggu sahaja beliau mampu menjana pendapatan RM20,000 sebulan.

Kes 3:
Gadis ini baru berusia 26 tahun. Selepas tamat universiti beliau dihantar oleh bapanya untuk mengurus syarikat milik keluarga yang mempunyai hutang mencecah RM3 juta. Tanpa pengalaman, beliau terpaksa menghadapi tekanan daripada pembekal untuk mendapatkan bayaran. "Hari-hari saya menangis ..." rintihnya. Setelah 3 tahun menerajui syarikat jual beli kelapa sawit, beliau berjaya mengurangkan bebanan hutang sedikit demi sedikit dan kini hanya tinggal 10 peratus sahaja lagi yang perlu diselesaikan. Di samping itu juga beliau berjaya menubuhkan satu syarikat miliknya sendiri yang mempunyai kaitan bisnes yang dijalankan oleh syarikat keluarganya.

Banyak lagi kisah-kisah kejayaan anak muda yang saya peroleh ketika mengikuti program tersebut. Ramai juga yang sudah bergelar jutawan. Namun mereka ini kelihatan seperti biasa-biasa sahaja. Insya-Allah, jika ada peluang saya ingin membukukan kisah kejayaan mereka sebagai sumber inspirasi orang lain. Pastinya mereka mempunyai pengalaman suka-duka dalam mengendalikan perniagaan.

Isnin, 3 Februari 2014

Leadership

Teks: Rozida Ismail

Hampir seminggu saya terpaksa menyepikan diri kerana menghadiri satu program Leadership di Kuantan. Program ini amat memerlukan komitmen dan disiplin yang tinggi, ketahanan fizikal dan mental. Difahamkan ada yang tidak dapat bertahan dan menarik diri daripada menyertainya. Saya amat bersyukur kerana diberikan peluang dan kekuatan oleh Allah SWT untuk memulakan dan menamatkan program ini dengan jayanya. Alhamdulillah. Banyak yang saya pelajari daripada program ini. Uniknya, dalam program ini peserta dipaksa melalui pelbagai cabaran secara berkumpulan (teamwork). Inilah yang paling memberi cabaran. Apabila bekerja secara teamwork, kesilapan orang lain terpaksa ditanggung oleh semua. Ibarat mengurus sebuah syarikat, jika salah seorang yang membuat silap, semua orang terpaksa menanggungnya walaupun dirasakan kita telah memberi yang terbaik. Itulah pelajaran yang paling berharga. Peserta juga dimestikan melakukan perkara yang tidak pernah mereka lakukan di khalayak ramai. Nak tahu apa dia? Hmm .. biarlah rahsia. Tetapi saya sangat teruja melakukannya kerana ia menambah keyakinan diri saya.

Apa yang boleh saya rumuskan daripada program ini, seorang pemimpin yang berjaya perlu mempunyai disiplin yang sangat tinggi, tunduk kepada penciptanya, memulakan kerja awal pagi dan ambil tahu semua perkara secara detail. Sesuatu kejayaan tidak akan datang dengan mudah. Kesilapan memang boleh berlaku di mana-mana dan tidak terjangka. Kerana itu seorang pemimpin perlu bersedia pada bila-bila masa. Dalam sesetengah keadaan, kita memang sudah bersedia tetapi faktor luaran pula yang mengganggu kelancaran kerja. Sebelum menuding jari mencari kesilapan orang lain, semak diri kita dulu. Apabila bekerja dalam satu pasukan, setiap orang perlu memberikan komitmen dan hasil terbaik. Bukan biasa-biasa. Apabila memulakan sesuatu, perlu dihabiskan sehingga jaya.

Suatu yang sangat menghairankan, walaupun program bermula seawal jam 5 pagi (.. dan secara konsistennya saya bangun pada pukul 4 pagi!) dan tamat hampir jam 12 tengah malam selama 5 hari berturut-turut, saya mempunyai tenaga yang cukup banyak untuk melakukan semua tugasan dengan gembira. Alhamdulillah. Semoga energy seperti ini kekal dalam diri saya selama-lamanya. Terima kasih banyak-banyak untuk guru saya. Semoga Allah SWT membalas budi baik tuan dengan ganjaran syurga. Amin.