Sabtu, 17 Mei 2014

Buku Bergambar Kanak-kanak Tanpa Teks

Teks: Rozida Ismail

Kanak-kanak memang suka meniru gaya ibu bapa atau adik beradiknya yang lebih besar. Sekarang musim peperiksaan di sekolah. Sudah tentu anak atau adik anda sentiasa memegang buku untuk menelaah pelajarannya. Perhatikan adiknya yang masih belum mengerti tentang peperiksaan juga akan sibuk membaca buku dengan caranya tersendiri. Daripada dia mengganggu abang atau kakaknya yang ingin menelaah pelajaran, apa kata berikan dia buku untuk dibaca. Anak-anak kecil berasa tertekan dengan teks yang banyak jika diminta membaca. Anda boleh bacakan untuknya tetapi lebih baik biarkan si kecil membaca sendiri. Bagaimana?

Buku tanpa teks adalah jawapannya. Pernahkah anda melihat buku bergambar kanak-kanak tanpa teks? Di Malaysia sudah banyak penerbit yang mengeluarkan buku bergambar tanpa teks. Sebenarnya membuat buku tanpa teks adalah lebih sukar berbanding dengan menulis novel. Sudah tentu buku tanpa teks ditujukan khusus buat kanak-kanak yang belum pandai membaca mahupun yang belum mengenal huruf sekali pun. Kanak-kanak akan leka bercerita melalui apa yang dilihatnya dalam gambar. Apatah lagi jika subjek yang diketengahkan menjadi minatnya. Perlakuan ini akan menggalakkan penguasaan bahasa dalam kalangan kanak-kanak. Mereka juga bebas berimaginasi dalam bahasa mereka sendiri. Kadang-kadang apa yang diceritakan tidak terjangkau oleh fikiran kita. Jika anda ingin melihat keajaibannya, cubalah belikan buku tersebut.

Amin dan Bobo ~ kisah Amin yang tidak sukakan kucing. Bagaimana kesudahannya?
Buku ini adalah yang paling laris jualannya. 
Pak Sawa ~ kisah ular sawa yang terpaksa keluar dari habitatnya kerana ancaman pencemaran.
Jika anda ingin memiliki buku ini, bolehlah hubungi saya. Banyak lagi buku tanpa teks dalam siri ini. Buku ini amat sesuai digunakan dalam bentuk bercerita (storytelling).





Selasa, 13 Mei 2014

Bangkit Menulis!

Teks: Rozida Ismail

Sekian lama tidak melaporkan apa-apa (walaupun telah bersusun draf yang hendak diterbitkan), akhirnya saya akan menerbitkan cerita ini ... ya tentang program Bangkit Menulis yang saya anjurkan bersama sahabat saya, June Writer. Kolaborasi itu terjadi hanya tiba-tiba. Saya melihat tulisan-tulisannya di facebook agak berlainan dan menarik. Kebetulan kami sama-sama berguru dengan Dato Roslan Abd Hamid dalam Speaker's Academy dan NLP & Persuasion bawah Azzam Sabtu. Sebelum itu, kami menyertai Train The Trainer Dr Azizan Osman. Sebegitu banyak ilmu dicari dan wang dilaburkan, maka sudah sampai masanya saya mempraktikkan segala ilmu yang dipelajari. Akhirnya kami sepakat untuk menjalankan program Bangkit Menulis pada Sabtu 10 Mei 2014 yang lepas.

Asalnya hanya 9 item ingin dikongsi dalam masa lebih kurang 7 jam. Namun, dengan semangat yang ditunjukkan oleh peserta, banyak lagi ilmu yang telah dikongsi termasuk pemasaran karya.
Pada mulanya 20 peserta mendaftar dan 20 lagi dalam senarai menunggu. Pada hari yang sama juga sekolah ganti diadakan. Ini adalah cabaran untuk kami kerana ada antara peserta adalah guru dan pelajar sekolah. Alhamdulillah, seramai 16 peserta dapat hadir dan masing-masing begitu bersemangat untuk menulis. Antara yang hadir ialah profesional seperti doktor, pakar IT, ahli muzik, engineer dan sebagainya.

Apa yang boleh saya katakan, Bangkit Menulis memberi satu pendekatan berlainan untuk menjadi penulis luar biasa melalui teknik obsesi. Keupayaan peserta menukar stail penulisan dapat dilihat dalam status facebook masing-masing dengan ayat-ayat avant garde.

Yang pasti, sehingga hari ini masih banyak pertanyaan untuk menyertai program ini bukan sahaja dari Malaysia malahan kami turut mendapat undangan dari Singapura juga. InsyaAllah, Bangkit Menulis II akan kembali tidak lama lagi dengan tambahan ilmu baru kerana setiap hari adalah hari untuk belajar.