Selasa, 19 Ogos 2014

Sajak: Setelah Maid Tiada

Teks: Rozida Ismail


Setelah Maid Tiada

Dulu...
Bangun lewat pagi
Subuh meninggi
Pulang lewat-lewat
Terus berehat
Badan pun sudah penat
Kerja memang sarat

Kini...
Bangun awal pagi
Tunggu Subuh lewat lagi
Pulang waktu tepat
Mana boleh berehat
Tugasan rumah lebih berat
Tapi masih larat

Dulu...
Ada masa main piano
Ada masa baca novel
Ada masa tulis novel
Ada masa tonton movie
Ada masa banyak lagi

Kini...
Tiada masa untuk santai
Tiada masa untuk belayar ke pulau kapuk
Tiada masa untuk sendiri
Hanya masa untuk famili.

Nikmatnya
Hikmahnya
Hanya Allah yang tahu.


Bukit Permai
190814

Sabtu, 2 Ogos 2014

Salam Aidilfitri 2014


Teks: Rozida Ismail

Hari ini sudah hari raya kelima. Masih belum terlambat untuk mengucapkan selamat hari raya aidilfitri kepada sahabat dan pembaca sekalian. Mohon maaf zahir dan batin andai tulisan saya ada yang tidak kena atau menyinggung hati sesiapa.

Sudah agak lama saya tidak menulis di ruangan ini. Sememangnya bulan Ramadan agak sibuk dengan urusan seharian. Masa juga terasa begitu singkat. Namun alhamdulillah, persiapan hari raya saya buat ala kadar. Tahun ini semua baju raya sedondon kami sekeluarga sempat ditempah dan nampaknya semua berpuas hati. Tidak ada komplen atau perlu diubah suai. Sudah hampir 14 tahun tinggal di kawasan ini, baru saya berjumpa dengan tukang jahit yang menawarkan khidmat dan upah yang berpatutan. Meskipun begitu, pakaian raya tahun ini memang terhad. Cukup untuk beraya empat hari sahaja dan semuanya dibeli pada saat-saat akhir. Mujurlah saiz mudah didapati di pasaran.

Raya tahun ini seperti raya sebelumnya memang segala-galanya ala kadar. Tapi kemeriahannya tetap terasa kerana pada raya kali ini saya berpeluang bertemu dengan kaum keluarga yang sudah lama tidak bertemu. Pastilah hati akan tersentuh kerana sebaik sahaja bersua muka, nama saya sentiasa di bibir  ibu saudara jauh. Mana tidaknya, ketika kecil saya dijaga oleh mereka dan menjadi peneman ke sana-sini. Tidak dinafikan saya memang rapat dengan ibu-ibu saudara sepupu emak dan ayah saya. Kini hanya ada beberapa orang sahaja yang tinggal dan sudah berusia semuanya. Jika tidak diziarah, maka tidaklah kami dapat bertemu.

Pada hari raya ini juga saya berpeluang bertemu dengan rakan-rakan di bangku sekolah. Sesekali meluangkan masa yang agak lama di kampung halaman, maka kebarangkalian untuk bertemu agak tinggi. Di kedai, di bank atau berselisih jalan...

Itulah definisi kemeriahan hari raya bagi saya, silaturahim di kalangan keluarga dan sahabat handai.

Salam aidilfitri...