Memaparkan catatan dengan label penerbitan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label penerbitan. Papar semua catatan

Selasa, 2 September 2014

Cara Menyunting Buku Bergambar Kanak-kanak

Teks: Rozida Ismail

Entri kali ini mungkin dinanti-nantikan oleh mereka yang berminat dalam dunia penerbitan buku bergambar kanak-kanak. Suka saya mengumumkan bahawa buat julung kalinya Majlis Buku Kanak-kanak dan Remaja Malaysia (MBBY) akan mengadakan Kursus Penyuntingan Buku Bergambar Kanak-kanak. Mengapa kursus seumpama ini penting?

Pernahkah anda, ketika membaca atau membacakan buku cerita bergambar kepada anak-anak atau adik-adik, merasakan sangat mudah untuk membuat buku itu? Jika buku yang dibaca memberi kesan, anak atau adik anda suka membaca berkali-kali atau minta dibacakan buku yang sama sekali lagi, pastilah ada sesuatu pada buku itu, sama ada ceritanya atau ilustrasinya yang menarik perhatian. Mungkin juga gaya penceritaan anda yang mengesankan, siapa tahu!
Buku ini nampak mudah. Tetapi  penulis telah diminta membuat pembetulan storyboard-nya berkali-kali supaya ada cerita yang memberi kesan di hati kanak-kanak.
Menghasilkan buku cerita kanak-kanak nampak mudah, teksnya sedikit dan banyak gambar. Hakikat sebenarnya bukanlah semudah yang disangkakan. Banyak aspek yang perlu diambil berat. Jika mahu buku diterima di peringkat antarabangsa, menyediakannya juga perlulah dengan teliti. Banyak perkara tersirat yang tidak nampak dek mata kasar perlu diberi perhatian semasa menyunting buku kanak-kanak. Pemilihan bahasa, ilustrasi, font, design ... semuanya ada sebab dan musababnya. Bukan sekadar main letak atau agak-agak sahaja. Juga, bukan setakat tiru meniru dari buku yang diterbitkan di Amerika, Jepun atau Iran. Karyawan mereka memang terkenal dengan penerbitan buku kanak-kanak tetapi tidak semestinya buku mereka boleh dijadikan sebagai acuan kandungan kita.


Jika anda seorang penggiat dalam penerbitan buku kanak-kanak, datanglah ke kursus ini. Anda tidak perlu khuatir kerana para pembimbing adalah mereka yang sangat berpengalaman dalam penghasilan buku kanak-kanak dan banyak kali dijemput menjadi juri dalam pemilihan buku kanak-kanak peringkat antarabangsa. Saya sertakan di sini flyers untuk anda baca dan buat keputusan segera. Tempat terhad kepada 20 peserta sahaja.



Selasa, 13 Mei 2014

Bangkit Menulis!

Teks: Rozida Ismail

Sekian lama tidak melaporkan apa-apa (walaupun telah bersusun draf yang hendak diterbitkan), akhirnya saya akan menerbitkan cerita ini ... ya tentang program Bangkit Menulis yang saya anjurkan bersama sahabat saya, June Writer. Kolaborasi itu terjadi hanya tiba-tiba. Saya melihat tulisan-tulisannya di facebook agak berlainan dan menarik. Kebetulan kami sama-sama berguru dengan Dato Roslan Abd Hamid dalam Speaker's Academy dan NLP & Persuasion bawah Azzam Sabtu. Sebelum itu, kami menyertai Train The Trainer Dr Azizan Osman. Sebegitu banyak ilmu dicari dan wang dilaburkan, maka sudah sampai masanya saya mempraktikkan segala ilmu yang dipelajari. Akhirnya kami sepakat untuk menjalankan program Bangkit Menulis pada Sabtu 10 Mei 2014 yang lepas.

Asalnya hanya 9 item ingin dikongsi dalam masa lebih kurang 7 jam. Namun, dengan semangat yang ditunjukkan oleh peserta, banyak lagi ilmu yang telah dikongsi termasuk pemasaran karya.
Pada mulanya 20 peserta mendaftar dan 20 lagi dalam senarai menunggu. Pada hari yang sama juga sekolah ganti diadakan. Ini adalah cabaran untuk kami kerana ada antara peserta adalah guru dan pelajar sekolah. Alhamdulillah, seramai 16 peserta dapat hadir dan masing-masing begitu bersemangat untuk menulis. Antara yang hadir ialah profesional seperti doktor, pakar IT, ahli muzik, engineer dan sebagainya.

Apa yang boleh saya katakan, Bangkit Menulis memberi satu pendekatan berlainan untuk menjadi penulis luar biasa melalui teknik obsesi. Keupayaan peserta menukar stail penulisan dapat dilihat dalam status facebook masing-masing dengan ayat-ayat avant garde.

Yang pasti, sehingga hari ini masih banyak pertanyaan untuk menyertai program ini bukan sahaja dari Malaysia malahan kami turut mendapat undangan dari Singapura juga. InsyaAllah, Bangkit Menulis II akan kembali tidak lama lagi dengan tambahan ilmu baru kerana setiap hari adalah hari untuk belajar.

Selasa, 14 Januari 2014

Bagaimana Mengangkat Karya Seni ke Peringkat Antarabangsa - Tips oleh Pak Yusof Gajah

Teks: Rozida Ismail

Dalam sesi perkongsian oleh AJK MBBY tempoh hari, Pak Yusof Gajah tampil memberi tips bagaimana karyanya diterima di peringkat antarabangsa. Beliau juga berkongsi pengalamannya menjadi juri di The Nami Island International Illustration Concours (NiiC), satu pertandingan ilustrasi bertaraf antarabangsa yang diadakan di Nami Island, Korea.
Gaya seorang ilustrator, Pak Yusof Gajah. Nama Yusof Gajah diperoleh kerana
beliau sangat gemar mengetengahkan subjek gajah dalam ilustrasinya.

Kata Pak Yusof, yang dipentingkan di peringkat antarabangsa ialah bukan cantiknya lukisan itu, tetapi jati diri yang diterapkan dalam lukisan. Misalnya lukislah orang Melayu yang betul-betul Melayu dan menggambarkan situasi sebenar dalam kehidupan harian. Seseorang pelukis perlulah bersungguh-sungguh menghasilkan karyanya. Pak Yusof juga berpesan agar tidak lokek untuk membeli bahan untuk dijadikan rujukan dan banyakkan membuat latihan. Kebanyakan pelukis kurang membuat kajian dan kurang bersungguh-sungguh dalam penghasilan karya.

Pak Yusof juga berkongsi cerita bahawa ketika beliau memasuki pertandingan ini satu masa dahulu, beliau menghasilkan lukisan ala keanak-anakan. Isterinya mahukan dia menghantar lukisan yang dilukis sempurna. Sehingga ketika mendapat surat memaklumkan tentang kemenangannya, isterinya melihat senarai nama yang terkebawah kerana tidak menjangkakan bahawa dia akan menjadi pemenang utama. Beliau juga memaklumkan bahawa beliau pernah berbelanja sebanyak RM3,000 untuk menghasilkan sebuah lukisan sedangkan hadiah kemenangan tidak sampai sebanyak itu. Segala pengalaman Pak Yusof ini sebenarnya membuktikan bahawa betapa seorang ilustrator ini perlu bersungguh-sungguh dalam menghasilkan karya dan tidak melakukan kerja ala kadar sahaja.

Memang benar, saya juga melihat ada antara pelukis buku kanak-kanak yang hendak menyiapkan karya dengan cepat. Mereka tidak sabar hendak melihat hasil lukisan mereka dibukukan. Walhal banyak perkara yang perlu diberi penekanan dan jika fasilitator mengkritik karya, perlulah diterima dengan hati terbuka bagi mendapatkan hasil terbaik. Banyak sebenarnya yang perlu dipelajari dan diambil iktibar daripada orang yang berjaya. Sesungguhnya kejayaan itu tidak akan datang dengan mudah. Orang yang berjaya selalunya membuat pengorbanan yang besar dari segi masa, tenaga dan wang ringgit. Barulah hasilnya juga setimpal dengan usaha.

Pada akhir bicaranya, Pak Yusof memberi sedikit tip bagaimana  karya mudah menarik perhatian juri. Pertama, lukislah subjek dengan besar supaya jelas kelihatan di mata juri. Kedua, pastikan karya ada unsur tempatan. Antara pertandingan lukisan buku kanak-kanak di peringkat antarabangsa yang boleh disertai selain NiiC ialah The Biennial of Illustration Bratislava (BIB) dan Hans Christian Anderson Award. Jika anda ingin menguji sejauh mana minat anda dalam bidang seni boleh diketengahkan, maka cubalah sertai pertandingan tersebut. Ingat, aplikasikan segala pesanan Pak Yusof. Sebaik-baiknya, pergilah berguru dengan orang yang telah berjaya. Insya-Allah, dengan ilmu, mentor dan kesungguhan, semua orang pun boleh berjaya.

Rabu, 6 November 2013

Perhatian, penulis novel!

Teks: Rozida Ismail

Sejak kebelakangan ini sudah menjadi trend novel diadaptasi menjadi drama bersiri TV. Mungkin kerana novel sudah ada pengikutnya tersendiri maka lebih mudah untuk menarik penonton mengikuti drama pula. Ditambah pula semakin ramai pelakon muda jelita dan handsome memainkan watak utama, jadi drama ini sudah menjadi kegilaan ramai pula. Tajuk drama pula sedikit berlainan, kurang nilai seni bahasanya, kadang-kadang menggunakan bahasa Inggeris. Tidak dinafikan itulah kemahuan orang zaman sekarang jadi terpaksalah diikut oleh penerbit dan pengarah drama. Mungkin pada aspek bahasa, seninya kurang tetapi dari sudut sinematografi atau teknik penceritaan seninya ada kemajuan. Seni orang dulu tinggi pada bahasanya tetapi kurang pada sudut penggambarannya. Itu pendapat saya.

Trend mengadaptasi novel ke drama/ filem ini merupakan sesuatu yang harus diterima baik kerana ianya meluaskan pasaran harta intelek penulis. Namun, harus diingat bahawa setiap penulis mempunyai hak mereka sendiri. Jangan pula satu hari penulis merasakan karyanya diciplak oleh orang lain. Sebenarnya ada tiga cara bagaimana hendak melindungi harta intelek seseorang penulis sekiranya  diciplak. Perkara ini harus dilakukan sebaik sahaja anda habis menulis dan ingin menghantar karya untuk diterbitkan. Pertama, bawa karya anda menemui Pesuruhjaya Sumpah dan buat akuan bersumpah. Kedua, pos karya anda menggunakan pos berdaftar ke alamat amda sendiri. Jangan sesekali dibuka bungkusan itu. Ketiga, daftar karya di pemberitahuan sukarela MyIPO. Pendaftaran boleh dibuat atas talian dengan bayaran serendah RM45. Layari website MyIPO untuk mendapatkan keterangan lanjut. Ketiga-tiga cara ini nerupakan bahan bukti sah di mahkamah dan karya anda akan dilindungi. Pilihlah mana-mana cara yang anda rasakan mudah.

Khamis, 5 September 2013

Harta Intelek - paten, trademark atau hak cipta?

Teks oleh: Rozida Ismail

Jika bercakap tentang harta intelek, mungkin ramai yang tidak dapat menggambarkan bagaimana sebenarnya dikatakan harta intelek atau selalu disebut sebagai IP (intellectual property) sahaja. Tetapi pastinya kita pernah mendengar tentang hak cipta, trademark, dan paten. Apakah beza ketiga-tiganya?


Hak Cipta


Hak cipta melindungi pengkarya ke atas pengkaryaan asal. Karya ini termasuklah karya sastera, drama, muzik, seni dan kerja-kerja intelektual lain sama ada yang telah diterbitkan atau belum. Akta Hak Cipta 1987 pindaan 2012 melindungi pengkarya dan memberi hak eksklusif untuk menerbitkan semula karya, melakukan kerja-kerja penerbitan dan mengedarkannya, serta menyiarkannya kepada awam. Hak cipta melindungi sesuatu karya dalam bentuk ekspresi. Contohnya, hak cipta sebuah novel hanya melindungi kandungan novel tersebut. Tetapi hak ini tidak menghalang orang lain untuk membuat ulasan tentang novel tersebut atau membacanya.
Hak cipta penulisan buku ini dipegang oleh Margaret, manakala
hak cipta ilustrasi adalah kepunyaan anaknya, Su Jen.

Trademark (cap dagangan)
Trademark ialah satu perkataan, nama, simbol atau alat yang digunakan dalam perniagaan untuk menunjukkan sumber barangan tersebut dan membezakannya daripada barangan lain. Hak trademark menghalang seseorang untuk menggunakannya untuk tujuan mengelirukan pengguna. Bagaimanapun ia tidak menghalang orang lain untuk menjual barangan atau perkhidmatan yang sama bawah trademark lain.
Logo ini adalah cap dagangan perniagaan saya. Tetapi masih belum didaftarkan sebagai trademark.

Paten 
Paten ialah hak eksklusif untuk sesebuah ciptaan baru sama ada berbentuk barangan atau proses yang memberi cara terbaru untuk menghasilkan sesuatu barangan atau menyelesaikan sesuatu masalah. Paten memberi hak kepada pencipta untuk menghalang orang lain daripada membuat, menggunakan, menjual ciptaan tersebut. Contohnya jika anda berjaya membuat inovasi baru dalam teknik penyelesaian masalah matematik dengan cepat dan tepat, anda boleh mempatenkan kaedah anda itu supaya tidak ditiru oleh orang lain.   Walau bagaimana pun hak paten hanya terhad kepada 20 tahun sahaja.

Ahad, 1 September 2013

Persidangan atau konferens?

Teks: Rozida Ismail

Assalamualaikum,
Pagi ini kita berbincang masalah penggunaan bahasa pula. Mungkin bukan masalah bagi anda, tetapi kadang-kadang saya terkeliru perkataan mana yang lebih tepat untuk digunakan. Saya telah menyusun perkataan yang menggambarkan aktiviti hampir sama dan mencari maknanya dengan merujuk Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) Dewan Bahasa dan Pustaka. Berikut adalah perkara yang telah saya usahakan:

Bil
Perkataan
Makna
1.
Mesyuarat
rundingan utk membincangkan sesuatu atau utk mencari sesuatu ketetapan
2.
Bengkel
mesyuarat (perbincangan dsb) secara berkelompok utk mengkaji sesuatu atau bertukar-tukar pendapat (idea dsb) tentang sesuatu
3.
Seminar
perjumpaan utk menyelidik dan membahaskan sesuatu masalah di bawah pimpinan orang-orang yg ahli dlm hal itu.
4.
Persidangan/konferens
perjumpaan utk membincangkan sesuatu
5.
Kongres
mesyuarat besar antara wakil-wakil pertubuhan (politik, sosial, budaya, dsb) utk membincangkan sesuatu isu dsb
6.
Muzakarah (Arab)
perbincangan atau pertukaran pendapat ttg sesuatu masalah, kemusykilan dsb.
7.
Muktamar (Arab)
persidangan besar; kongres
8.
Nadwah (Arab)
mesyuarat, perhimpunan, majlis
9.
Syura (Arab)
mesyuarat (utk mencapai keputusan menurut suara terbanyak)
10.
Konvensyen
1. persidangan ahli-ahli pertubuhan politik (perniagaan dll) utk membincangkan sesuatu perkara
2. perjanjian antarabangsa (antara negara, pemerintah, dsb)
11.
Simposium
pertemuan antara para cendekiawan, pakar, dsb utk membincangkan sesuatu persoalan, perkara, dsb
12.
Kolokium
perjumpaan, seminar atau persidangan utk membincangkan perkara yg bersifat ilmiah.
13.
(Majlis) dialog
pertukaran pendapat dan soal jawab mengenai sesuatu
14.
Ceramah
ucapan ttg sesuatu perkara, ilmu pengetahuan dll
15.
Tazkirah
Ceramah ringkas
16.
Pidato
ucapan atau syarahan yg diberikan di hadapan orang ramai
17.
Syarahan
ucapan yg diberikan
18.
Kuliah
1. pelajaran yg disampaikan secara bersyarah (berpidato) oleh mahaguru atau pensyarah di universiti atau maktab, syarahan;
2. ceramah agama

Persidangan atau konferens adalah dua perkara yang sama. PRPM menggunakan perkataan persidangan kerana konferens diambil daripada perkataan bahasa Inggeris, Conference. Dalam PRPM tidak ada istilah konferens. Mungkin istilah ini diambil daripada bahasa Indonesia.

Jadi sekarang, sekiranya anda menulis, pilihlah penggunaan istilah yang tepat untuk menggambarkan suatu perbincangan sama ada yang berskala besar atau kecil.

Isnin, 22 Julai 2013

Tip Menjalankan Kerja Lapangan

Sering kali sesebuah institusi pendidikan akan meminta pelajar mereka menjalankan kerja lapangan dan kemudian melaporkan dapatan mereka untuk salah satu subjek yang ditawarkan. Organisasi yang saya uruskan sering mendapat perhatian pelajar untuk menjalankan kerja projek mereka. Selalunya pelajar akan datang secara berkumpulan. Saya bersikap positif dalam hal ini. Demi melihat pelajar kita terdedah kepada perjalanan sebuah syarikat penerbitan sebenar, saya izinkan mereka datang dan melihat sendiri. Saya juga membenarkan sesi temu bual dijalankan untuk mereka memahami dengan lebih jelas tentang prosedur dan fungsi sesebuah jabatan dalam syarikat penerbitan. Namun, rata-rata saya dapati pelajar ini datang dalam keadaan mendesak. Kadang-kadang meminta kami menerima mereka dalam dalam tempoh yang singkat. Hari ini telefon, besok sudah mahu datang. Wahai pelajar, pohon dimengerti bahawa jadual seorang pekerja sangat padat. Fahamilah bahawa syarikat sedang dalam urusan perniagaan. Masa sangatlah penting dan sesuatu 'deadline' tidak boleh dianjak sesuka hati. Ada kalanya kami terpaksa menolak permohonan pelajar. Bukan tidak mahu memberi kerjasama, tetapi masa yang tidak sesuai. Seperkara lagi, sebaiknya panggilan telefon perlu disertai dengan permohonan secara formal. Tulislah surat rasmi dengan bahasa standard supaya anda dilihat benar-benar serius. Ada juga yang menggunakan bahasa 'sms' untuk membuat permohonan (merujuk pada email). Sungguh menjengkelkan. Anda memohon, tetapi menganggap kami seperti kawan. Selalunya saya tidak melayan permohonan sebegini. Perlu diingat bahawa anda mahu menceburkan diri dalam bidang penerbitan, tetapi gagal menjaga bahasa persuratan. Keadaan ini dilihat seperti sesuatu yang sangat bertentangan. Selain itu, sertakan juga senarai soalan yang ingin ditanya supaya organisasi yang ingin dikaji maklum tentang skop kajian yang hendak dijalankan. Dengan cara itu, lebih mempercepat proses temu bual dan bahan sokongan seperti flyers atau seumpamanya dapat disediakan terlebih dahulu.

Ahad, 21 Julai 2013

Apa tugas Editor?

Ketika saya mula masuk kerja dahulu, yang saya tahu tugas editor ialah  mengesan kesilapan typo dan membetulkan ayat dalam buku. Apabila sudah memasuki alam pekerjaan sebagai editor, rupa-rupanya tugas editor lebih daripada menyunting. Suntingan menjadikan sesuatu bahan lebih sedap dan lancar dibaca. Yang penting, bahan yang disediakan oleh penulis perlu disunting untuk memudahkan pemahaman. Sesetengah penulis pandai dalam ilmunya, tetapi tidak tahu hendak menyampaikan idea dengan lancar. Kadang-kadang ayat yang disampaikan seperti ayat 'bercakap' yakni menggunakan bahasa pertuturan. Menjadi tugas editorlah untuk menyedapkan ayat dan memastikan ilmu yang hendak diberikan dapat disampaikan dengan jelas dan lancar. Ayat pula tidak boleh berjela-jela. Sesetengah buku, point hanya satu tetapi dikembangkan dengan penjelasan ayat yang panjang. Pusing-pusing, balik-balik sebenarnya point yang sama juga. Saya tidak faham kenapa semestinya demikian. Mungkin tujuannya hendak memperbanyak kandungan buku supaya buku lebih tebal. Atau mungkin juga untuk meningkatkan pemahaman pembaca. Jadi, editor sebenarnya ialah 'gatekeeper' sesebuah buku. Sebelum orang lain baca, editor baca dulu. Sekiranya anda ingin menerbitkan buku, sebelum menghantar ke mana-mana syarikat penerbitan, eloklah meminta seorang rakan membaca dulu karya anda. Mungkin dia akan perasan bahawa karya itu tidak lancar atau ayat anda sukar difahami.

Isnin, 8 Julai 2013

Ceramah Kerjaya di SMK Seri Tasik, Kuala Lumpur

Baru-baru ini SMK Seri Tasik menjemput syarikat tempat saya bekerja untuk mengadakan 'Editorial Workshop'. Tetapi selepas berbincang dengan gurunya, mereka bersetuju untuk menukar kepada ceramah kerjaya sahaja. Saya dengan rela hati menawarkan diri untuk menyampaikan ilmu dalam bidang penerbitan kerana saya yakin, berdasarkan pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang ini dan melihat dunia penerbitan secara keseluruhannya, saya layak menyampaikan ceramah itu kepada pelajar sekolah. Saya tahu mereka mungkin tak tahu apa-apa berkaitan dunia penerbitan. Yang pasti, mereka 'dipilih' untuk menghadiri ceramah tersebut. Juga, sejak kebelakangan ini saya memang suka membuat kerja-kerja sosial. Berkongsi ilmu satu daripadanya. Apatah lagi pelajar di situ menurut gurunya 98% Melayu. Bangsa saya juga.

Pelajar yang mengikuti ceramah saya. Tahniah & terima kasih kerana hadir.

Saya dulu pun memang tak ada idea langsung dengan kerjaya dalam bidang penerbitan ni. Apabila sudah terlibat dalam bidang ini, saya tidak menoleh ke belakang lagi. Saya bersyukur kerana Allah memberi laluan terus kepada saya.

Apa yang saya kongsikan dengan pelajar itu ialah tentang tugas editor, jenis-jenis editor, sifat-sifat yang mesti ada dalam diri seorang editor serta jawatan dan jabatan dalam  sesebuah rumah penerbitan. Saya mengupas secara teori berdasarkan tesis Masters saya dan secara praktikalnya dari apa yang saya buat. Saya tidak memberi begitu banyak kerana rasanya apa yang saya berikan sudah cukup banyak untuk seorang pelajar yang baru hendak mengenali kerjaya dalam bidang penerbitan ini. Itupun belum masuk bab kerjaya dalam sebuah syarikat percetakan. Kadang-kadang orang terkeliru antara penerbit dan pencetak. Beruntunglah pelajar ini kerana mendapat pendedahan awal. Harap-harap ada yang berminat untuk berkecimpung dalam dunia penerbitan ini.

Yang saya terlupa hendak nyatakan ialah sebenarnya saya sukakan kerjaya ini dan kerana itu saya masih dalam dunia ini. Jika bersara pun, saya ingin terus menyumbang dalam bidang penerbitan.

Menerima penghargaan daripada Puan Pengetua. Terima kasih banyak-banyak.
Jika ada yang berminat hendak mengetahui tentang kerjaya dalam bidang penerbitan, bolehlah panggil saya ;)


Isnin, 1 Julai 2013

Kursus Penulisan Kreatif Pelajar SBP Zon Selatan, Cyberjaya dan Putrajaya



Sekadar membuat catatan walaupun peristiwa ini telah lebih 6 bulan berlalu. Pada 4 - 6 Nov 2012, Majlis Pengetua SBP Kebangsaan telah menganjurkan Bengkel Penulisan Kreatif untuk pelajar SBP Zon Selatan, Cyberjaya dan Putrajaya bertempat di SMS Batu Pahat. Seramai 45 pelajar mendapat manfaat dan pendedahan penulisan cerpen, novel dan puisi daripada sifu bidang penulisan kreatif iaitu Prof Madya Dr Lim Swee Tin dan Hajah Mahaya Mohd Yassin.

Pada hari terakhir pelajar dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan setiap kumpulan bekerjasama untuk menghasilkan puisi dan cerpen mereka sendiri.




Persembahan kumpulan Meskipun sederhana, majlis perasmian penutup berjalan dengan meriah. Walaupun SMS Batu Pahat baru sahaja beberapa bulan dibuka, namun pelajarnya mampu mempersembahkan permainan gamelan dan tarian Jepun. Tahniah kepada para pelajarnya dan semua pelajar SBP yang terpilih untuk menghadiri bengkel ini. Semoga terus kreatif berkarya.