Isnin, 24 Mac 2014

Tip Panjang Umur Murah Rezeki

Teks: Rozida Ismail
Gambar: carian google

Hari ini kita sambung lagi sesi bercerita tentang tip panjang umur. Bukanlah bermaksud jika anda memiliki segala tip ini usia anda pasti panjang hingga ratusan tahun. Tetapi tip ini lebih kepada hendak mengenal pasti potensi umur sama ada panjang atau pendek. Segala yang dipaparkan adalah berdasarkan kajian Barat. Pokoknya panjang atau pendeknya umur seseorang telah pun ditetapkan oleh Allah SWT sejak azali lagi. Berdoalah semoga umur kita dipanjangkan dan kita mempunyai lebih banyak masa untuk beribadah kepadaNya.

Tip kelima ini sangat disukai oleh wanita. Kajian menunjukkan umur wanita lebih panjang daripada lelaki. Jangka hayat wanita atau lelaki di setiap negara berubah, berdasarkan gaya hidup mereka. Di Malaysia, jangka hayat lelaki ialah sehingga 74 tahun manakala bagi wanita mencapai 76 tahun. Namun dikatakan jurang ini semakin berkurang dan mungkin satu hari nanti jangka hayat lelaki dan wanita adalah sama sahaja. Jika dikaitkan dengan tip ketiga, andaian ini mungkin benar kerana lelaki selalunya keluar bekerja dan mempunyai stres yang tinggi berbanding dengan wanita yang menjadi suri rumah. Gaya hidup sekarang telah berubah, wanita juga sama sibuknya dengan lelaki dan stres yang dialami mungkin juga lebih. Maka, dengan itu jurang jangka hayat antara mereka semakin rapat.


Jangka hayat wanita lebih panjang daripada lelaki!

Tip keenam pula ialah jika seorang wanita itu melahirkan anak ketika usianya melebihi 35 tahun maka dikatakan mereka mempunyai 4 kali peluang untuk hidup lama berbanding wanita yang tidak melahirkan anak selepas usia tersebut. Andaian ini berdasarkan teori bahawa wanita yang melahirkan anak pada usia sebegini mempunyai sistem pembiakan yang baik dan usia tuanya bergerak perlahan.

Tip ketujuh adalah berkaitan berat badan. Satu kajian telah dikendalikan oleh Kolej Perubatan Albert Einstein pada tahun 2011 kepada kumpulan orang-orang tua berusia antara 95 - 112 tahun. Kajian ini mendapati bahawa kumpulan yang kekal pada usia ini adalah mereka yang mempunyai berat badan ideal berbanding sekumpulan mereka seusia yang obes dan lahir pada tahun yang sama. Kajian yang lain juga mempunyai dapatan yang sama.

Akhir sekali, jika anda mempunyai 'telomere' yang panjang. Fakta ini agak saintifik. Telomere ialah sejenis penutup yang melindungi hujung kromosom. Apabila sel berbahagi, telomere menjadi lebih pendek sehingga mencapai ke satu poin yang tidak mungkin boleh berbahagi lagi. Bukti menunjukkan lebih panjang telomere anda, usia akan semakin panjang. Dalam sesetengah kes, orang yang berusia panjang mempunyai enzim yang sangat aktif yang membina telomere. Walau bagaimanapun, kajian lain pula mengaitkan faktor tidak merokok, menghindari stres yang kronik dan mengekalkan diet yang kaya dengan asid lemak omega-3 boleh membantu meningkatkan kepanjangan telomere.

Kita belajar sains hari ini. Yang berwarna kelabu adalah kromosom manakala titik putih yang
kelihatan ialah penutup kromosom atau telomere.

Alhamdulillah jika dikurniakan umur panjang. Bersedekahlah banyak-banyak untuk bekalan akhirat nanti. Insya Allah, rezeki turut akan mengikut. Amin.



Sabtu, 15 Mac 2014

Tip Panjang Umur

Teks: Rozida Ismail
Sumber gambar: carian google

Artikel ini saya dapati ketika membaca sebuah majalah perubatan di sebuah hospital. Sambil menunggu giliran bertemu doktor, saya terbaca artikel yang bertajuk "Will you live to 100?". Ramai orang (atau lebih tepat, semua orang!) inginkan umur panjang. Setiap selepas solat, pasti kita berdoa agar Allah SWT panjangkan umur kita, supaya kita lebih banyak masa untuk bertaubat dan melakukan amal ibadah sebagai bekal ketika di alam akhirat kelak. Berdoa untuk panjang umur bukanlah bermakna kita seronok sangat hidup di dunia ini. Jika panjang umur tetapi banyak melakukan dosa pun tidak bagus juga. Bagi saya, bersyukur dengan nikmat hidup di dunia dan pada masa yang sama bersedia untuk hijrah yang pasti.

Okey, berbalik pada tip panjang umur itu, berdasarkan kaji selidik yang dijalankan oleh pengkaji Barat terdapat lapan faktor untuk seseorang itu panjang umur. Lebih menarik lagi, dikatakan 1 daripada 10,000 orang mempunyai peluang untuk panjang umur berdasarkan faktor-faktor tersebut.

Pertama, jika anda mempunyai saudara yang panjang umur. Mengikut New England Centenerian Study yang dijalankan oleh Boston University School of Medicine sekurang-kurangnya separuh daripada mereka yang mempunyai ibu bapa atau nenek moyang yang hidup melebihi umur 90-an juga akan hidup lama. Selepas ini bolehlah balik kampung,  tengok ada atau tidak datuk nenek kita yang panjang umurnya. Jika mereka panjang umur mintalah tip-tip bagaimana mereka mengekalkan kesihatan. Pasti ada tip berguna yang boleh dikongsi.
Biar tua, tetapi gembira ....
Kedua, jika anda dikelilingi oleh kelompok sosial yang kuat anda akan panjang umur. Banyak kajian menunjukkan bahawa kesepian merupakan penyebab kesihatan yang tidak baik (sumber dari majalah itu). Ini bermaksud jika mahu umur panjang, selalulah bergaul dengan kaum keluarga, saudara mara dan sahabat handai. Orang yang selalu buat kerja kebajikan dan aktif dalam komuniti kemasyarakatan sering hidup lama. Dalam Islam pun kita dituntut mengimarahkan masjid dan membuat kerja kebajikan. Jika hendak panjang umur, janganlah mengasingkan diri. Bagus juga tip ini...
Ketawa juga membuatkan hati sentiasa muda ..
Ketiga, orang yang kurang risau boleh hidup lama. Orang yang kurang mempunyai perasaan risau selalunya kurang mengambil risiko. Mereka ini mempunyai 50% sahaja risiko pendek umur berbanding orang yang risau di tahap kronik. Banyak perkara yang membuatkan seseorang itu risau. Risau tak ada duit, risau gagal periksa, risau dibuang kerja ... Namun jika kita pandai meletakkan kerisauan di tempat yang sepatutnya, Insya Allah ia tidak membawa mudarat. Risau adalah satu perasaan semula jadi, dan jika perasaan itu terlalu diikutkan sangat maka ia mendatangkan tekanan. Akhirnya tekanan ini membawa kemurungan.
Kerisauan boleh mendatangkan penyakit ..
Keempat, jika seseorang itu mampu berjalan jauh dengan cepat, risiko kematiannya adalah rendah. Kajian Universiti Pittsburgh terhadap 35,000 warga emas berusia 65 tahun ke atas mendapati bahawa kadar kematian berkurang 12 peratus setiap kali pecutan meningkat 0.1 meter per saat. Kajian oleh Journal of the American Medical Association pula mendapati individu berusia 70 - 79 tahun mampu berjalan suku batu atau lebih kurang menghadapi risiko penyakit dan mampu hidup hingga 6 tahun lagi. 

Amalkan berjalan pantas untuk panjang umur.
Untuk tip ke-5 hingga 8 memang sesuatu yang agak menarik juga untuk diketahui, terutamanya jika anda seorang perempuan. Walau bagaimanapun saya akan kongsikan dalam entri yang akan datang.
Selamat berhujung minggu ..

Dapatkan Transfer Factor Plus yang berupaya meningkatkan daya imun sebanyak 437 kali ganda. Daya imun yang tinggi mampu mencegah jangkitan penyakit. Untuk maklumat lanjut dan tempahan klik di sini.

Ahad, 9 Mac 2014

Science Girl School

Teks: Rozida Ismail

Science Girl School (SGS). Pernahkah anda mendengar nama sekolah ini? Sememangnya sekolah ini adalah sekolah baharu tetapi bangunannya adalah bekas Kolej Tuanku Khursiah (TKC), Seremban. TKC sudah beroperasi di lokasi baharu, iaitu Bandar Enstek lebih setahun yang lalu. Bangunan yang ditinggalkan itu telah diperbaiki dan kini menempatkan 169 pelajar Tingkatan 4, kesemuanya perempuan. Jika dahulu, Sekolah Dato' Abdul Razak Seremban berpindah ke bangunan baharu dan kemudian namanya digantikan dengan Sekolah Sains Seremban (Saser), kini SGS juga mengikut jejaknya. Bezanya Saser dihuni pelajar lelaki manakala SGS menempatkan pelajar perempuan sahaja. Kedua-duanya mengambil pelajar yang cemerlang ketika PMR. Maka tidak hairanlah jika Saser muncul sebagai sekolah terbaik peringkat SPM buat beberapa tahun. Harapan SGS juga ingin muncul sebagai sekolah terbaik, berentap dengan Saser. Siapa yang akan menandingi siapa, kita tunggu keputusannya dua tahun akan datang.

SGS menerima pelajar puteri sulungnya pada 25 Februari 2014. Sememangnya ia mencatat sejarah dalam bidang pendidikan. Diketuai oleh Puan Azizah Binti Musa, khabarnya juga bekas guru di TKC. Buat masa sekarang, SGS hanya mempunyai 18 orang guru sahaja.

Pada hari pendaftaran, turut diadakan juga mesyuarat PIBG yang pertama. Oleh sebab para ibu bapa baru pertama kali hadir, pemilihan wakil ibu bapa dibuat secara sukarela sahaja. Ini memudahkan perjalanan mesyuarat. Lagipun ramai ibu bapa yang tinggal jauh sama ada di utara atau selatan Semenanjung, maka tidaklah dapat memberikan komitmen untuk selalu hadir. Bahkan hendak melawat anak di asrama juga mungkin tidak kesampaian.

Dalam taklimat yang disampaikan oleh Puan Pengetua, dimaklumkan sebanyak RM3 juta telah diperuntukkan untuk membaik pulih sekolah ini. Asrama telah siap dipasang tiles. Untunglah pelajar-pelajar ini kerana kebanyakan asrama hanya berlantaikan simen biasa sahaja. Walau bagaimanapun, masih terdapat kekurangan di sana sini dan akan diperbaiki dari semasa ke semasa. Maklumlah, sekolah baharu tetapi bangunan lama.

Semoga anak-anak ini selesa belajar di situasi yang baharu, terutamanya bagi yang belum pernah tinggal di asrama. Bak kata pepatah, alah bisa tegal biasa. Pastinya untuk menggapai impian yang tinggi bukanlah sesuatu yang mudah. Banyak pengorbanan yang terpaksa dilakukan.

Selamat belajar pelajar SGS! Doa saya mengiringi kalian sentiasa, semoga berjaya.