Khamis, 26 Disember 2013

Baju kurung bercekak

Teks: Rozida Ismail

Akhirnya apa yang diimpikan oleh anak ketiga saya, Nisa menjadi kenyataan. Khamis lepas Nisa menerima surat tawaran dari Maahad Hamidiah Kajang untuk meneruskan pelajaran di situ. Tarikh pendaftaran hanya tinggal 10 hari. Isnin lepas suami saya ke sekolah tersebut untuk mengambil borang dan senarai barang keperluan untuk tinggal di asrama. Dalam senarai tertulis baju kurung bercekak. Memang selama ini tidak pernah saya mendengar bahawa ada uniform sekolah sebegitu. Apabila bertanya dengan rakan adik saya yang anaknya juga belajar di situ, katanya boleh dibeli di kedai Mubarak di Kajang. Hendak membuat atau menempah baju sebegitu memang tidak sempat.

Akhirnya saya mencari kedai Mubarak di Kajang yang katanya terletak berhampiran Parkson Kajang. Memang agak mudah mencarinya tetapi hendak mencari parkir agak susah. Dahulu saya belajar di UKM dan sering ke Kajang. Tetapi kini Kajang sudah banyak berubah. Cuma saya berasa seperti berada di Medan Indonesia pula kerana keadaannya yang agak sesak. Selepas satu pusingan kami memilih untuk parkir di bangunan Metro Kajang. Untuk ke Mubarak Store hanya perlu melintas jalan sahaja.
Promosi percuma untuk Mubarak Store Kajang.

Ketika itu tidak ada saiz baju yang sesuai untuk Nisa. Saya terpaksa mengambil satu saiz lebih besar. Bimbang nanti tidak ada baju hendak dipakai ketika mendaftar. Ketika membayar saya ternampak satu lagi cawangan Mubarak di Precint Diplomatik Putrajaya. Kami memutuskan untuk ke sana bagi mencari sehelai lagi baju kurung bercekak.

Alhamdulillah, di Precint Diplomatik ada baju yang sesuai dengan badannya.
Beginilah rupanya baju kurung lengan bercekak. Potongan kurung pesak tetapi berlengan kemeja. 

Jumaat, 20 Disember 2013

11.12.13

Teks: Rozida Ismail

Tarikh yang cantik seperti ini sering menjadi rebutan untuk pasangan melangsungkan pertunangan atau perkahwinan. Bagi saya, ia juga agak istimewa kerana hari itu cuti umum negeri Selangor, maka tidak perlu bekerja. Walau bagaimana pun saya terpaksa bangun seawal jam 4 pagi untuk  bertolak ke MRSM Gemencheh, Negeri Sembilan. Anak ketiga saya mendapat tawaran temuduga di sana pada pukul 9.30 pagi. Apabila di google, memerlukan lebih 2 jam untuk sampai ke sana. Jadi kami bertolak awal kerana memikirkan temuduga bermula seawal jam 8 pagi. Kami tidak mahu bersesak dan berkemungkinan terlepas waktu pula. Tempat ini tidak pernah kami jejakkan kaki.

Sewaktu tiba di pekan Gemencheh, kami berhenti di sebuah stesen Petronas untuk solat subuh. Di situ saya nampak ada satu keluarga juga seperti kami, anak mereka memakai seragam sekolah. Saya bertanya, adakah mereka juga hendak menghadiri temu duga yang sama? Ibunya ramah bercerita tentang perjalanan mereka. Rupa-rupanya mereka sudah membuat recce dahulu. Jadi mudahlah kami ikut sahaja di belakang mereka.

Apabila anak saya sudah memasuki bilik untuk dikuarantin (untuk menghafaz ayat al-Quran) ibu bapa diminta ke dewan untuk mendengar taklimat tentang program ulul albab dan kejayaan sekolah. Program ini sebenarnya sangat bagus kerana menyediakan profesional hafiz/hafizah. Jika menjadi doktor, pastilah doktor yang menghafaz al-Quran. Sayangnya hanya ada tiga sahaja MRSM Ulul Albab, iaitu di Besut, Gemencheh dan di Kepala Batas. Saya sempat berbual dengan pegawai Mara Negeri yang hadir hari itu, katanya tidak ada rancangan untuk membuka lebih banyak lagi walaupun permintaan begitu tinggi. Salah satu sebabnya ialah kerana kekurangan guru. Bilangan pengambilan pelajar kurang dari 200 orang untuk setiap MRSM Ulul Albab.


Pengetua MRSM Gemencheh sedang memberi penerangan.
Bagi yang tertanya-tanya apa makna ulul albab, definisinya ialah "satu golongan yang mempunyai asas yang kukuh dalam al-Quran, ilmu pengetahuan yang luas dan pelbagai, mampu berfikir dan memerhati kejadian Allah melalui mata hati dan akal yang tajam serta mengambil iktibar darinya."

Sebagai tip (saya memang suka berkongsi tip ;)) jika anak anda berminat untuk menyertai program ini, dia mestilah berupaya menghafaz ayat yang diberikan (ada 8 baris ayat yang diberi untuk dihafaz selama 25 minit). Selain itu ada juga ujian sains dan matematik serta temuduga. Persaingan memang sangat sengit kerana dikhabarkan setiap sekolah mendapat lebih 3,800 permohonan. 

Satu perkara lagi yang ingin saya kongsi, sekolah ini sangat menggalakkan sumbangan/sedekah rehal kerana pelajar menggunakannya secara intensif. Pada rehal akan ditulis nama penyumbang dan anak-anak ini akan menyedekahkan pahala kepada penyumbang tersebut.

Sesi ujian dan temuduga anak saya berakhir jam 1 tengah hari. Saya sempat menggoogle untuk mencari tempat makan yang sedap. Ada satu blog  adisarahberkisah.blogspot.com menyarankan
Restoran nasi ayam Nagemas (nasi ayam Gemas). OK juga, ada kelainan yang dihidangkan.


Kelainan nasi ayam ini adalah pada supnya. 
Semoga anak saya berjaya terpilih ke sekolah ini. Bolehlah merasa nasi ayam ini lagi.

Isnin, 16 Disember 2013

Pangkor 3 hari 2 malam (hari ketiga)

Teks: Rozida Ismail

Setelah 4 hari 3 malam 'dikuarantin' hari inilah saya dapat mengemaskini blog dengan pengalaman hari ketiga di Pulau Pangkor. Sebenarnya semangat untuk menulis berkobar-kobar, tetapi masa amat terhad. Berbalik pada kisah di Pangkor, selepas bersarapan di hotel, kami terus ke pantai kerana anak-anak ingin bermain sukan air (water sport). Hanya yang besar-besar sahaja dibenarkan bermain kerana Puteri masih kecil, bimbang juga dengan aktiviti lasak di tengah laut. Dia juga tidak meminta untuk ikut bermain, lebih seronok bermain pasir di pantai dan mandi laut sahaja. Ketiga-tiga anak remaja saya memilih untuk bermain banana boat, marble boat dan sejenis lagi boat yang saya lupa namanya (oh.. airhead). Tetapi boat yang ketiga ini agak mencabar kerana ketiga-tiganya meniarap di atas bot dan hanya memegang tali utk bertahan. Bot ditarik laju oleh speed boat dan dilambung ombak. Inilah cabarannya sehingga pegangan anak ketiga saya hampir terlucut. Untuk ketiga-tiga pakej ini  dikenakan bayaran sebanyak RM50 seorang. Selepas aktiviti ini, mereka bermain jet ski pula. Mujurlah abang pandai membawa motosikal, maka dia menjadi 'driver' kami. Permainan ini dikenakan RM120 untuk setengah jam, tetapi kami sekeluarga bergilir-gilir naik. Gerun juga bila anak muda speed dan bot melambung melawan arus. Saya dan suami sempat berbual dengan pengusaha sukan air ini sementara menunggu anak-anak. Menurut pengusaha ini, cuti sekolah kali ini agak suram. Kunjungan pelancong tidak begitu ramai. Keluhan tentang kemerosotan pendapatan seperti ini sebenarnya bukan pertama kali saya dengar. Ramai peniaga mengeluh tentang kemerosotan pendapatan sejak selepas hari raya yang lalu.

Guna teknik photo stitch untuk tunjukkan aktiviti ni kesemuanya sekali gus. 
Kesemua aktiviti ini berlangsung dalam jangkamasa satu jam sahaja. Jadi sempatlah kami balik ke bilik, mandi dan kemudian terus check out. Kami terus ke Batu Bersurat dan Kota Belanda dengan menaiki kereta yang disewa. Kedudukan tempat ini berdekatan antara satu sama lain. Selepas merakam kenangan di situ, kami bertolak ke jeti untuk makan tengah hari dan menaiki bot menuju ke Lumut.


Batu bersurat dan Kota Belanda.
Saya menemui sesuatu yang agak memalukan di kawasan Kota Belanda ini. Dalam hati tertanya-tanya, kenapa kesilapan seperti ini dibiarkan. Tentulah mengelirukan terutamanya kepada anak-anak sekolah. Kenapa tidak diambil tindakan untuk membetulkannya? Apatah lagi ini adalah kawasan Menteri Besar Perak pula. Adakah kontraktor ini dibayar penuh untuk kerja yang tidak sempurna seperti ini? Cuba lihat gambar di bawah dan cari kesilapannya..

Jika tiada terjemahan dalam bahasa Inggeris, informasi ini amat mengelirukan.  Abaikan contengan pen biru oleh kanak-kanak nakal ini. 


Rabu, 11 Disember 2013

Pangkor 3 Hari 2 Malam (Hari Kedua)

Teks: Rozida Ismail

Nama pun bercuti ke pulau, maka aktiviti hari kedua tentulah island hopping dan snorkeling. Sebenarnya aktiviti snorkeling ini merupakan pertama kali dalam hidup saya. Jadi memang saya tiada idea langsung bagaimana hendak memulakannya. Semasa di jeti Lumut, kami telah menempah bot untuk aktiviti island hopping (melompat dari pulau ke pulau) dan snorkeling. Harganya RM15 untuk dewasa dan RM10 untuk kanak-kanak. Kami dinasihatkan pergi ke Teluk Nipah  seawal jam 9 untuk ke tempat snorkeling. Ini kerana menjelang tengahari air akan surut. Cuma hari itu kami menjangkakan kereta yang disewa akan dapat sebelah pagi, rupa-rupanya masih belum sedia kerana penyewa sebelumnya mahu menggunakan kereta tersebut untuk check out. Jadi terpaksalah kami menyewa teksi dengan kos RM20 untuk ke Teluk Nipah. Alasannya kerana kami berenam maka harga dikira untuk 2 buah teksi biasa. Sebenarnya bot untuk aktiviti snorkeling boleh juga didapati di Pasir Bogak, tempat kami menginap. Tetapi disebabkan sudah booking awal maka terpaksalah 'mencari' pengusaha yang kami tempah itu.

Sebelum menaiki bot, kami diminta memakai selipar. Kosnya RM5 sepasang. Ini bertujuan untuk melindungi tapak kaki daripada terpijak batu karang. Jadi sebagai tip, eloklah mencari selipar seperti ini jika hendak ke pantai. Saya tengok hanya pengusaha bot ini sahaja yang menyediakan kemudahan sewa selipar. Alat snorkel diberi pinjam percuma. Kami juga dimestikan memakai jaket keselamatan untuk mengapungkan diri ketika melakukan aktiviti snorkel.
Jika hendak melakukan aktiviti snorkeling, terus pakai selipar jenis ini untuk melindungi kaki.
Kami dibawa menaiki sebuah speed bot yang cukup untuk memuatkan kami berenam. Tempat untuk snorkeling tidak jauh. Hanya lebih kurang 10 minit menaiki bot. Sampai di sana, orang sudah ramai. Bukan sahaja dewasa, malah bayi pun dibawa bersama. Pengunjung akan ditinggalkan di sini sehingga mereka puas dan berasa ingin pulang.


Keseronokan bermula! 


Jika anda tidak takutkan air, aktiviti ini memang seronok!
Selepas hampir 2 jam berendam melihat batu karang dan ikan daripada pelbagai spesies, kami memanggil bot. Kemudian barulah kami dibawa melihat batuan yang beruoa penyu, buaya, dan ikan paus. Sayangnya pemandu bot kami tidak membawa kami melihat batu berbentuk kaki. Mungkin dia terlupa. Maklum saja dia masih awal remaja dan tidak berpengalaman.
Junaidi, berusia 13 tahun menumpang di rumah datuknya untuk mencari rezeki pada musim cuti sekolah. Bapa saudaranya juga menjadi pengemudi bot pelancong.
Untunglah saya teringat bahawa ada beberapa batu lagi yang belum ditunjukkan maka Junaidi berpatah balik dan membawa kami melihat timun laut dan landak laut 
berhampiran batu berupa ikan paus itu. 


Saya cuba memegang timun laut itu. Rasanya kenyal dan ia mengeluarkan sejenis cecair pekat dan likat bewarna putih. Kata Junaidi, jika cecair itu lekat di tangan, susah hendak dikeluarkan. Duri landak laut itu pula sangat berbisa dan hanya yang mahir sahaja boleh memegangnya. Sebenarnya itulah cara haiwan ini melindungi diri masing-masing dari ancaman bahaya.

Ekspedisi kami di lautan berakhir hampir jam 1.30 tengah hari dan kami terus pulang ke hotel untuk membersihkan diri. Pada sebelah petang kami keluar mengelilingi pulau  dan berjaya menamatkan satu pusingan dalam tempoh sejam. Itupun kami sempat singgah di kilang ikan kering dan Galeri Pangkor.

Al Quran bertulisan tangan ini ditemui dalam misi menyelamat khazanah Acheh selepas peristiwa Tsunami 2005. Sekarang disimpan di Galeri Pangkor. 

Isnin, 9 Disember 2013

Pangkor 3 Hari 2 Malam (Hari Pertama)

Teks: Rozida Ismail

Agak jarang orang memberi tips bagaimana hendak menghabiskan cuti 3 hari 2 malam di Pulau Pangkor. Sebelum bercuti, saya google juga untuk mencari tip untuk bercuti di sana. Maklum sahaja, selama ini saya pernah dua kali ke Pangkor. Pertama kali hanya buat trip balik hari sahaja. Itupun sehelai sepinggang kerana tidak pernah merancang untuk bercuti ke sana. Rasanya trip yang pertama hampir 13 tahun lepas. Ketika itu bot yang membawa kami lebih kurang seperti bot nelayan. Kali kedua cuba bercuti ialah ketika cuti Raya Cina 4 tahun lepas. Malang sekali ketika itu kami tidak lepas hendak naik bot kerana terlalu ramai orang. Hendak mencari parkir kereta pun sukar. Sudahnya kami membeli-belah di Lumut sahaja. Mujur di situ banyak kedai untuk membeli-belah. Dan ketika itu Lumut sudah membangun. Ada kompleks jeti yang selesa. Bot juga sudah bertukar seperti di Langkawi. Siap dengan hawa dingin. Kali ketiga adalah tahun ini, tetapi atas urusan kerja. Jadi tidak sempat hendak island hopping atau melawat kawasan. Teruja dengan suasana hotel dan resort di Pangkor maka saya mengajak keluarga bercuti di sana setelah anak-anak menghabiskan peperiksaan penting mereka.

Kami memulakan perjalanan seawal jam 7.30 pagi dari KL. Itupun sudah terlewat setengah jam dari itinerari awal. GPS kata exit ikut Gopeng, tetapi sampai di persimpangan Bidor, terdapat papan tanda yang menunjukkan Pulau Pangkor. Jadi kami ikut saja papan tanda. Oleh sebab terlepas kawasan rehat Rawang, kami terpaksa cari restoran untuk minum pagi. Cari punya cari, sampailah di food court berhampiran simpang ke bandar Teluk Intan, Bazar Nanas namanya. Kami minum pagi di situ. Kemudian meneruskan perjalanan ke Lumut, hanya lebih kurang 40 km sahaja lagi. Sampai di Lumut, kami terus menuju ke parkir bertingkat. Kereta banyak, sukar juga mencari parkir. Di bumbung juga parkir penuh, jadi kami berpatah balik ke bawah. Tidak lama mencari, seorang wanita keluar parkir. Dapatlah juga kami parkir berbumbung. Kami terus menghala ke kaunter tiket. Tiket berharga RM10 untuk dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak. Bot membuat perjalanan tanpa menetapkan waktu ketika musim cuti kerana orang ramai. Memikirkan check in pukul 3 petang maka kami makan tengah hari terlebih dahulu.

Ingat!! Simpan tiket ini kerana ia adalah untuk perjalanan dua hala.
Perjalanan bot ke Pangkor memakan masa selama hampir 40 minit. Ia akan berhenti di dua tempat. Jika hotel anda di Pasir Bogak atau di Teluk Nipah, berhenti di perhentian kedua. Jika anda tinggal di Teluk Dalam, bolehlah berhenti di perhentian pertama. Sebagai tip memilih hotel, jika hendakkan suasana yang happening, cari di Teluk Nipah. Di Pasir Bogak, banyak juga kemudahan makan dan gerai serbanika tetapi kurang happening berbanding di Teluk Nipah. Tetapi jika anda hendakkan ketenangan dan privasi, bolehlah ke Teluk Dalam.

Sudah lumrah musim cuti sekolah, permintaan untuk pengangkutan terlalu banyak. Kami terpaksa menunggu juga untuk mendapatkan teksi ke hotel. Teksi yang berupa van berwarna merah jambu itu hanya RM10 untuk 1 trip. Kami berkongsi teksi dengan keluarga dari Jepun.  Harga RM10 itu memang standard di sana.

Selepas berehat dan solat asar, saya menemani anak-anak mandi kolam dan mandi laut. Sebelah malamnya kami makan di sebuah gerai seafood berhampiran hotel. Hanya berjalan kaki sahaja. Gerai seafood itu terletak di sebelah Coral Bay Resort. Di situ juga banyak gerai yang menjual barangan runcit dan pakaian. Agak meriah malam di hotel kami kerana ada hari keluarga dan mereka berkaraoke sehingga jam 11 malam!

Jumaat, 6 Disember 2013

Jangka hayat

Teks: Rozida Ismail

Rasanya baru sangat saya mengemas kini blog ini dengan cerita terbaru. Namun sedar tak sedar rupa-rupanya sudah  lima hari berlalu. Memang begitu cepat masa beredar, apatah lagi jika kita sentiasa sibukkan diri dengan bekerja. Dan tanpa sedar juga kita sudah memasuki bulan terakhir dalam tahun  2013. Ya .. kita sudah di penghujung tahun!

Mari kita berfikir sejenak, usia semakin bertambah. Jangka hayat penduduk lelaki di Malaysia secara puratanya 74 tahun, manakala yang wanitanya pula 76 tahun. Lihat di sekeliling kita, siapakah yang berjaya melepasi umur tersebut? Ibu bapa kita? Alhamdulillah, syukur kerana mereka dipanjangkan umur. Kita pula bagaimana? Berapa tahunkah lagi agaknya kita akan menghampiri umur tersebut? Selama ini kita sering merasakan bahawa masa terlalu cepat berlalu. Sedar tak sedar kita sudah habis sekolah menengah, sedar tak sedar kita sudah tamat pengajian universiti dengan master atau PhD sekali .. dalam tak sedar juga anak-anak sudah besar. Jadi sebelum kita tak sedar lagi, eloklah mempersiap diri untuk menghampiri umur tersebut.

Persiapan yang bagaimanakah harus kita lakukan? Terpulanglah pada individu itu sendiri. Ia juga bergantung pada matlamat hidup yang ingin dicapai. Pertengahan umur bagi jangka hayat purata itu ialah 38 tahun (perempuan). Jika anda sudah melepasi umur tersebut, maka anda ada lagi separuh usia yang perlu dilalui secara teorinya. Jadi, selama ini apa yang telah kita buat dalam separuh usia itu? Tanya pada diri sendiri dan perbaiki kelemahan itu. Sebenarnya masa untuk kita memang tidak banyak ..

Sabtu, 30 November 2013

Tapai Pulut

Teks: Rozida Ismail



Sekali ini teringin pula berkongsi resipi tradisional. Saya tidak pasti adakah orang zaman sekarang masih sukakan tapai pulut. Di kampung saya, permintaannya masih ada. Emak saya seorang yang pakar dalam penyediaan tapai pulut. Setiap kali ada majlis kenduri atau perkahwinan, emak akan sibuk menyiapkan tempahan tapai pulut. Ini kerana tapai pulutnya memang manis dan sedap. Tetapi emak tidak berniaga, hanya suka-suka membantu jiran-jiran. Jadi dia hanya mengambil modal dan upahnya terserah kepada pelanggan. Ipar saya mempelajari resipinya dari emak dan berniaga secara kecil-kecilan. Sambutannya memang menggalakkan.

Walau bagaimanapun, membuat tapai bukanlah semudah resipinya. Kadang-kadang tidak menjadi, yakni pulutnya keras, tapai masam atau rasanya tidak manis. Pernah juga cubaan emak tidak menjadi, mungkin kerana raginya tidak bagus. Emak memilih ragi seketul-seketul, bukan yis yang dijual di kedai. Selalunya dia mendapatkan bekalannya di pasar tani. Di sini saya sertakan resipi emak, jika anda mahu mencuba.

Resipi Tapai Pulut

Bahan-bahannya:
1 kg beras pulut
Ragi sebesar ibu jari

Cara-caranya:
1. Tanakkan pulut. Kaut ke dalam dulang, ratakan dan sejukkan.
2. Hancurkan ragi dalam penapis teh, dan tabur pada pulut.
3. Kaup dan balikkan pulut. Taburkan ragi sekali lagi. Ulangi proses yang sama hingga ragi habis.
4. Pindahkan pulut ke dalam bekas bertutup dan peram selama 3 hari dalam suhu bilik.
5. Apabila tapai telah menjadi, bolehlah dipindahkan dalam peti sejuk.
Tapai ini saya nikmati di sebuah restoran. Sedap! Kerana itu saya teringatkan air tangan emak dan bila balik kampung, terus bertanyakan tentang rahsia tapainya. 
Teringin pula nak berniaga tapai emak. Jika anda ingin mengadakan majlis dan mahu menempahnya, bolehlah hubungi saya ya.. tetapi di sekitar Lembah Klang sahaja.

Isnin, 25 November 2013

Urumqi

Teks: Rozida Ismail

Urumqi ialah ibu negara Xinjiang, salah satu wilayah di utara China. Memang nama wilayah ini terasa begitu asing di telinga walaupun saya dahulunya editor Geografi. Bahkan juga tidak pernah terlintas untuk ke sana satu hari nanti. Namun siapa pun tidak berdaya melawan suratan takdir. Selepas melahirkan permata keempat, saya dipelawa untuk ke sana selama lima hari. Itulah rezeki anak namanya.

Apa yang menarik tentang Urumqi ialah populasinya terdiri daripada sebahagian besar orang Islam. Wilayah Xinjiang bersempadan dengan Kazakhstan.  Oleh itu tidak hairanlah cara berpakaian, makanan dan berbahasa serta budaya orang Islam Urumqi adalah ala-ala Timur Tengah. Pertama kali tayar kapal terbang yang saya naiki mendarat di bumi Urumqi, saya terpandang tulisan Urumqi dalam tulisan jawi. Satu kelainan apabila berada di negara China. Semasa di ruang menunggu airport juga wajah-wajah yang kelihatan adalah cantik-cantik belaka (gadis-gadisnya). Mereka memandang saya dan rakan penuh curiga kerana bahasa yang kami gunakan ketika berbual adalaah bahasa Melayu. Mungkin begitu asing di pendengaran telinga mereka.

Sepanjang perjalanan ke hotel, kelihatan banyak peniaga roti naan dan kambing panggang. Ramai peniaga adalah Islam dan kami mudah mencari makanan halal. Malah pemandu kami juga Islam, bernama Ismail. Malangnya Ismail ini kurang menghayati Islam. Apabila ditanya waktu solat di situ, dia terpaksa menelefon ibunya. Menu kambing panggang menjadi hidangan harian kami sepanjang berada di situ kerana rasanya sedap dan tidak hamis. Dagingnya putih kerana ia kambing hawa sederhana.

Saya juga berkesempatan menonton persembahan kebudayaan di Urumqi. Jika tidak silap, tiket menonton di ruang terbuka dan buffet dinner berharga 138 yuan. Lebih kurang RM70. Seperti biasa, penonton akan dipertunjukkan dengan persembahan akrobatik terlebih dahulu. Persembahan bermula jam 7 malam. Tetapi oleh sebab ketika itu bulan Jun, jam 7 malam adalah seperti pukul 5 petang. Matahari merangkak senja hampir jam 10 malam.


Saya juga berjalan ke kaki banjaran Tianshan. Pemandangan sungguh menarik, cuacanya dingin dan nyaman. Walaupun jaraknya agak jauh, tetapi ia sangat menyeronokkan. Kami singgah makan tengahari di sebuah khemah Mongolia. Begitu banyak menu tempatan dihidangkan. Tetapi bayar apa yang dimakan sahaja.


Persembahan kebudayaan dari Urumqi. Jam sudah melebihi 8 malam, tetapi matahari masih menyinar.


Sabtu, 23 November 2013

Kamishibai

Teks: Rozida Ismail

Pernah dengar perkataan ini? Apa agaknya yang terlintas di hati anda ketika membaca perkataan tersebut buat pertama kalinya? Ya... ia memang perkataan Jepun yang membawa maksud "menunjukkan gambar sambil bercerita".

Jika di negara kita orang dulu-dulu menggunakan wayang kulit untuk bercerita tetapi di Jepun mereka menggunakan kotak yang dimasukkan kad-kad gambar. Gambar ini ditarik satu persatu untuk menunjukkan jalan cerita. Di Jepun, pencerita membawa kotak yang dipanggil butai ini dengan basikal memasuki kampung-kampung. Tujuannya ialah untuk berniaga gula-gula. Kamishibai digunakan untuk menarik perhatian kanak-kanak.

Saya berkesempatan melihat persembahan kamishibai oleh wakil dari IKAJA (The International Kamishibai Association of Japan). Persembahannya ringkas tetapi menarik. Jika kita yang dewasa ini tertarik dengan cerita yang disampaikan, apatah lagi kanak-kanak. Meskipun kanak-kanak dewasa ini lebih melekat dengan gajet seperti telefon pintar, komputer dan tablet, tetapi saya yakin jika mereka diberi peluang menonton persembahan kamishibai, pasti mereka juga akan sukakannya. Yang penting interaksi dan komunikasi antara pencerita dengan penonton dapat diwujudkan. Pencerita juga berperanan memainkan emosi kanak-kanak.


Yang sedang memegang buku ialah Kyoko manakala di sebelah kanan, Etsuko yang menterjemahkan apa yang diperkatakan Kyoko dalam bahasa Jepun ke bahasa Inggeris. Kyoko tidak mahir berbahasa Inggeris. Beliau sedang menerangkan perbezaan bercerita menggunakan buku dengan menggunakan kamishibai. Di tengah-tengah itu ialah butai.
Bukan hendak mengagung-agungkan budaya luar, tetapi yang baik elok diambil sebagai pengajaran. IKAJA sangat aktif mempromosi budaya mereka ke mata dunia. Selain memperkenalkan kamishibai, peserta bengkel juga diajar untuk menulis cerita kamishibai berdasarkan cerita dongeng Malaysia. Mungkin teknik penceritaan seperti ini boleh diguna pakai untuk mengeratkan hubungan manusia-manusia dan meregangkan sedikit keeratan antara kanak-kanak dengan gajet pintar.

Isnin, 18 November 2013

Cara Menguruskan Pertukaran Sekolah

Teks: Rozida Ismail

Pengalaman ini mungkin berguna bagi ibu bapa yang hendak mendaftarkan anaknya untuk memasuki sekolah menengah. Sebelum cuti sekolah bermula, anak-anak yang berada di Tahun 6 diberikan oleh guru masing-masing borang penempatan sekolah menengah. Ibu bapa perlu mengisi borang tersebut, memilih sekolah yang berdekatan dengan rumah atau mengikut keutamaan masing-masing, dan mengembalikan borang tersebut kepada pihak sekolah. Kemudian, surat tawaran penempatan akan diberikan kepada ibu bapa, juga melalui anak-anak. Ibu bapa perlu mendaftarkan penempatan sekolah menengah di sekolah yang dipilih dalam tempoh 2 minggu, iaitu seminggu sebelum dan selepas sekolah mula bercuti. Tempoh ini mungkin berbeza mengikut daerah atau negeri. Perkara yang perlu dibawa (dinyatakan dalam surat) ialah salinan surat beranak atau kad pengenalan murid serta salinan slip menduduki peperiksaan UPSR atau slip keputusan UPSR. Murid juga perlu hadir dengan pakaian sekolah. Walau bagaimanapun, ketika hadir untuk mendaftar anak saya tidak memakai seragam sekolah, malahan jika tidak membawa anak pun tidak mengapa. Saya musykil juga sebenarnya dengan tujuan meminta anak hadir dengan pakaian sekolah. Pendaftaran begitu mudah, tidak sampai 5 minit. Yang diambil cuma salinan keputusan UPSR (berguna untuk penempatan kelas). Salinan surat beranak dikembalikan semula. Kemudian, kerani akan memberi surat makluman panggilan untuk pendaftaran Tingkatan 1 ketika sekolah hampir dibuka kelak. Selesailah sudah pendaftaran tersebut.

Saya kemudiannya bergerak ke sekolah rendah agama anak saya untuk mengambil sijil-sijil berkaitan. Ketika berbual dengan guru agama anak saya, dimaklumkan bahawa sekolah menengah yang saya pilih tidak mempunyai aliran agama (untuk Kelas Rancangan Khas). Sebaliknya, ada sekolah menengah kebangsaan yang berhampiran menawarkan kelas tersebut. Oleh sebab keputusan UPSR dan peperiksaan kelas agama anak saya sangat baik dan kecenderungannya adalah dalam bidang agama, maka saya membuat keputusan untuk menukarkan sekolahnya pada hari yang sama. Saya kembali ke sekolah menengah tersebut untuk memaklumkan tentang pertukaran yang ingin dibuat. Saya diminta mengisi borang dan menyatakan sebabnya.         Kerani menaip segala butiran dan borang dicetak 3 salinan. Selepas ditandatangani oleh Pengetua dan saya, saya diminta ke Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) untuk menghantar permohonan tersebut. Bergegaslah pula saya mencari PPD yang tidak dapat dikesan oleh GPS kereta saya (mungkin sebab GPS tidak diupdate...). Selepas hampir 40 minit mencari (dengan bantuan peta di handphone) akhirnya saya berjumpa dengan PPD tersebut. Baru sahaja hendak memasuki perkarangan PPD, saya dihubungi kerani sekolah memaklumkan bahawa saya tidak perlu ke PPD, tetapi hanya menghantar semula borang tersebut dengan salinan-salinan dokumen yang dikehendaki ke sekolah. Sekolah akan menguruskan penghantaran permohonan pertukaran secara berkelompok. Hmm ... tak apalah, kena berfikiran positif! Sekurang-kurangnya selepas ini saya tahu di mana duduknya PPD di tempat saya ini :)

Nasihat saya, jika anda ingin mendaftarkan anak di sekolah menengah, semak dahulu aliran yang ditawarkan di sekolah tersebut. Ini memudahkan anda untuk membuat pendaftaran tanpa perlu menguruskan pertukaran sekolah seperti saya. Jika terpaksa menukar sekolah, sediakan dokumen-dokumen sokongan yang berikut:
Maaf, visual kurang jelas.

Sabtu, 16 November 2013

Tahniah Anak-anak UPSR!

Teks: Rozida Ismail

Pada 14 November lalu berakhirlah penantian anak-anak yang menduduki peperiksaan UPSR. Keputusan telah pun diumumkan. Tiada apa lagi yang harus ditangiskan, terimalah hakikat seadanya. Mungkin yang beria-ia menangis itu kerana tidak mempercayai keputusan sebegitu yang akan didapati. Sudah bersungguh-sungguh berusaha tetapi masih tidak berjaya mendapat 5A. Tidak mengapa sebenarnya anak-anak kerana jika sudah berusaha, pastilah ada sebab-sebabnya mengapa Tuhan menganugerahkan sedemikian.

Saya ingin berpesan pada anak-anak khususnya yang tidak berjaya merangkul 5A. Keputusan itu bukanlah segala-galanya. Tidak perlu terlalu bersedih. Yang penting, kuatkan tekad untuk terus berusaha menggapai apa yang dicita-citakan. Ini baru permulaan. Sesungguhnya perjalanan anak-anak masih jauh. Banyak lagi laluan dan rintangan yang perlu dilalui.

Sebenarnya saya lebih suka sistem PBS sekarang yang menilai keupayaan pelbagai aspek pelajar. Kadang-kadang sesetengah pelajar tidak suka membaca. Daya tumpuan seseorang memang berbeza. Ada yang tidak boleh duduk diam lama-lama mendengar penerangan guru. Ada yang lebih mudah menangkap sesuatu pengajaran melalui praktikal. Ada yang tahu, tetapi tidak cekap meluahkannya di atas sekeping kertas. Ada yang gugup apabila berkejar dengan masa. Ada yang hanya pandai di atas kertas, tetapi tidak mahir bercakap. Macam-macam kelebihan yang dimiliki oleh anak-anak kita. Bukan untuk memperkecilkan anak-anak yang dapat 5A, mereka sudah tentunya pandai. Yang saya maksudkan ialah tidak semestinya tidak mendapat 5A anak-anak tidak pandai. Jadi, janganlah berasa rendah diri apabila anak-anak tidak mendapat 5A. Berusahalah lagi dengan cara anak-anak sendiri untuk menjadi terbaik dalam bidang yang diminati. Suka bermain bola, jadilah pemain bola yang handal seperti Rudie Ramli . Suka memasak, jadilah chef hebat seperti Chef Wan. Tidak seperti dulu, asal menyebut tentang cita-cita pastilah anak-anak akan menyebut untuk menjadi guru, doktor, polis dan sebagainya yang hanya dekat di persekitaran anak-anak. Sebaiknya kenali minat dan kecenderungan sejak dari kecil dan terus tujui apa yang dicita-citakan dari kecil lagi.  Tidak salah jika sukakan sesuatu yang nampak mudah seperti suka memancing. Jika suka sangat, pelajari sedalam-dalamnya minat itu dan apabila sudah dewasa nanti bukalah kedai menjual peralatan memancing. Anak boleh menjadi penasihat yang baik kepada kaki pancing. Kesimpulannya, teruskan minat dan  jadikan minat itu sebagai profesion.
Tahniah untuk anak-anak dari SKTM yang mendapat 5A! 

Selasa, 12 November 2013

Dato' Lat

Teks: Rozida Ismail

Gaya seorang kartunis yang sentiasa ceria. Gambar koleksi MyIPO
Siapa boleh cam orang dalam gambar di atas? Mungkin hari-hari anda tengok kartunnya di surat khabar, di TV (dalam rancangan kartun 'Kampung Boy'), di bill board dan sebagainya. Tapi wajahnya amat jarang dilihat. Sudah berpuluh tahun Dato' Lat melukis kartun. Katanya sejak tahun 1964 lagi (hampir 50 tahun!). Ketika itu beliau masih di bangku sekolah. Kartunnya yang pertama keluar di majalah dan dia mendapat bayaran RM25. Bayaran itu sangat banyak untuk zaman itu. Ceritanya, dia menunaikan cek di bank bersama ibu dan adiknya dan kemudian menggunakan duit itu untuk menonton wayang. Tetapi yang menimbulkan kelucuan ketika bercerita ialah bagaimana dia ditahan oleh jaga dan office boy bank ketika menunaikan cek tersebut. Untuk membaca kisah Dato Lat, bolehlah rujuk pada wikipedia.

Dato Lat ialah seorang kartunis yang amat berjaya di Malaysia. Bayangkan, lukisan kartunnya yang unik mudah dikenali dan tidak ditiru sesiapa. Hebatnya Dato Lat kerana lukisannya mampu terjual menjadi suatu jenama yang cukup popular sehingga dibawa terbang ke Manchester!
Nampak tak lukisan kartun Dato' Lat pada kapal terbang Air Asia ini? Gambar ini diambil dari wikipedia, oleh sebab terlalu kecil maka saya besarkan saiznya. Kerana itu, ia agak kurang jelas.
Kehebatan kartun Dato' Lat ialah kerana ia menampilkan jati dirinya sendiri. Kisah-kisah yang dipaparkan dalam kartunnya ialah situasi semasa yang boleh diterima oleh semua golongan masyarakat. Inilah sebab sebenar mengapa kartun Dato' Lat sentiasa melekat di hati semua orang. Dia menyentuh isu semua bangsa membuatkan kita saling mengenali antara satu sama lain. Selain anugerah tertinggi dengan gelaran Dato' daripada Sultan Perak, saya rasa Dato' Lat sesuai dijadikan icon 1Malaysia. 

Kenapa saya bercerita tentang Dato' Lat? kerana baru-baru ini saya berpeluang mendengar ceramahnya. Sebenarnya ini bukanlah kali pertama saya mendengar ceramah daripada Dato' Lat, malah saya pernah berbincang secara berhadapan dalam satu mesyuarat. Apa yang saya dapat rumuskan tentang individu yang berjaya di peringkat antarabangsa ialah kecekapan mereka menggunakan bahasa Inggeris. Jika kemahiran berbahasa ada pada seseorang maka akan mudahlah dia dibawa ke peringkat yang lebih jauh. Fikir-fikirkan ..

Ahad, 10 November 2013

Sehari bersama M. Nasir

Teks: Rozida Ismail

Gambar terkini M. Nasir yang dipetik dari website MyIPO ketika konferens tersebut.
Baru-baru ini saya berpeluang menghadiri konferens tentang harta intelek di Kuala Lumpur. Konferens dua hari ini membincangkan bagaimana hendak menilai harta intelek dan menjadikan ianya sebagai satu daripada aset yang boleh dicagarkan jika membuat pinjaman bank. Menarik, bukan? Jadi, kepada pengkarya atau penulis janganlah jemu berkarya kerana itu adalah satu daripada harta anda.

M. Nasir dijemput sebagai seorang penceramah yang menyampaikan ceramahnya secara santai. Beliau dijemput berceramah ketika semua peserta makan tengah hari. Sambil-sambil makan, sambil mendengar celotehnya tentang bagaimana beliau menggunakan kreativitinya sebagai harta intelek. Tidak dinafikan bahawa M. Nasir seorang budayawan yang hebat, beliau pandai melukis, bermain muzik, mencipta lagu, menulis lirik dan menyanyi. Beliau juga seorang pelakon tetapi setakat yang saya tahu masih belum pernah mengarah drama atau filem. Sewaktu saya masih di bangku sekolah, M. Nasir sudah mula menghasilkan album dan saya masih ingat lagi kulit albumnya menggunakan nama Mohamad M. N. Tidak pula saya pasti kenapa dia menggunakan nama tersebut. Tetapi ketika itu beliau tidak begitu dikenali. Namanya melonjak apabila menggunakan nama M. Nasir. Kadang-kadang nama juga membawa tuah. Mungkin kerana huruf singkatan di hujung tidak digunakan oleh mana-mana artis sebelum ini. Lihat sahaja artis dulu, P. Ramlee, A. Ramlee, L. Ramli (punyalah ramai artis bernama Ramli ...) semuanya menggunakan singkatan huruf di pangkal nama. Malahan sudah menjadi trend pada zaman itu. M. Nasir cuba menongkah arus dengan meletakkan singkatan di hujung, tetapi nampaknya tidak menjadi.

Sebagai penyanyi, M. Nasir pandai melontarkan suara tetapi sebagai penceramah beliau agak sangkut-sangkut. Bukan semua orang pandai berceramah dengan lancar. Yang membuat saya tergelak (dalam hati) ialah ketika beliau berceramah, kedengaran bunyi sudu garfu berlaga kelentung kelentang seperti background music pula. Isi ceramahnya bagus, menceritakan bagaimana dia bermula dan di mana dia sekarang. 

Menurut M. Nasir, beliau bermula dengan menulis lirik lagu untuk Alleycats. Untuk lirik itu beliau dibayar RM30 sahaja. Ketika itu beliau tidak menjangka yang lagu Alleycats itu akan menjadi hit kerana asalnya lagu itu hanya dianggap sebagai filler sahaja, bermaksud setakat mencukupkan lagu dalam satu album. Jika dia mengambil royalti sudah pastilah beliau akan mendapat lebih banyak lagi kerana lagu itu juga turut dinyanyikan oleh Jamal Abdillah. Biarpun M. Nasir tidak menyatakan tajuk lagu itu, tetapi saya agak lagu itu ialah "Senandung Semalam". Kerana baik Alleycats mahupun Jamal, kedua-duanya menyanyikan dengan amat baik sekali. Lagu ini juga dinyanyikan oleh Teresa Teng, seorang penyanyi Taiwan. Kemudian beliau mencipta lagu untuk kumpulan Flybaits pula, dan dibayar royalti sebanyak 6% daripada harga sebuah album. Tetapi royalti ini perlu dibahagi-bahagikan dengan semua penyumbang lagu dalam album tersebut. Tidak banyak yang diperolehnya kerana terpaksa berkongsi dengan penerbit pula. Akhirnya beliau menubuhkan syarikat sendiri iaitu Luncai Emas Production. 

Apa yang menarik tentang M. Nasir bagi saya ialah kerana dia berkongsi tarikh lahir yang sama dengan saya (tarikh 4 Julai). Tarikh ini juga merupakan hari kebangsaan Amerika Syarikat. Kebetulan pada hari itu saya duduk bersebelahan meja dengan M. Nasir. Selepas memberi ceramah, beliau kembali ke meja makan dan bersalaman dengan peserta yang berada di meja saya. Saya berdiri untuk mengambil gambar bersamanya. Dia juga sudah bersedia untuk bergambar. Tetapi ...

Sebaik sahaja rakan saya cuba menekan touch screen, tiba-tiba bateri habis ... :(
Hanya gambar ini yang sempat dirakam oleh kamera telefon saya sebelum bateri habis.


Khamis, 7 November 2013

Salam Maal Hijrah 1435

Teks: Rozida Ismail

Begitu cepat masa berlalu. Masuk hari ini sudah tiga hari kita memasuki fasa baharu dalam kalender Islam. Tidak begitu lambat untuk mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru Hijrah 1435. Semoga dengan kedatangan tahun baru ini kita membaharui dan memperkuat lagi azam untuk menjadi insan yang lebih baik daripada sebelumnya.

Sempena kedatangan tahun baru Hijrah, pejabat kami menjemput Ustaz Haslin aka Ustaz Bollywood untuk menyampaikan ceramah motivasi dan tahun baru kepada kakitangan. Saya titipkan di sini intipati ceramahnya untuk perkongsian bersama. Antara yang melekat di hati ialah tentang disiplin. Disiplin adalah amanah. Jika kita amanah menjalankan tugas, rezeki akan mudah masuk. Kata ustaz, jika ingin berhijrah menjadi baik, janganlah bertangguh-tangguh. Terus lakukan. Selain itu, hendaklah selalu bersedekah. Jangan lupa memberi kepada ibu bapa. Setiap apa yang dilakukan mestilah istiqomah, iaitu konsisten. Termasuklah dalam hubungan suami isteri. Jika dahulu semasa awal berkahwin, kita romantik dengan suami atau isteri, lakukanlah juga sekarang dan akan datang. Memang betul kata ustaz, kadang-kadang dalam mana-mana perkahwinan, hubungan suami isteri semakin hambar. Jika beristiqomah, pastinya hubungan suami isteri akan terasa hangatnya seperti mana pada awal perkahwinan.

Dalam banyak-banyak pesanan ustaz, saya ingin menyentuh tentang berbuat baik pada ibu bapa. Ustaz kata, kenapa sesetengah orang terlalu kedekut untuk menghulur wang kepada ibu bapa. Mengapa tidak boleh memberi walau pun sedikit daripada pendapatan sendiri walaupun pendapatan kita kecil? Walhal, ibu bapalah yang paling banyak berdoa untuk kita. Tidak pernah seorang ibu akan mendoakan yang tidak baik kepada anaknya sejak dalam kandungan hinggalah dewasa. Betul, perhatikan jika seseorang itu sering memberi pada ibu bapanya, selalu memuliakan ibu bapanya, akan murah rezekinya. Namun, ustaz mengingatkan jika kita tergolong dalam kalangan yang murah rezeki dan ibu bapa sering merujuk pada kita jika memerlukan duit, jangan pula kita menjadi ego dan sombong dengan adik-beradik yang lain. Tidak dinafikan kadang-kadang ada ibu bapa akan 'terlebih'  sayang pada anak yang lebih berada dan yang selalu menolong mereka. Jangan pula kita berasa dengki dengan mereka. Mereka ada kelebihan dan kita pun ada kelebihan. Kita ada kelemahan dan mereka pun ada kelemahan. Sentiasalah bersyukur dengan kelebihan yang kita miliki dan memperbaik kelemahan diri.

Satu lagi pesanan ustaz yang ingin saya sampaikan ialah tentang perniagaan. Ustaz mengingatkan bahawa nabi kita Muhammad SAW ialah peniaga dan sahabat-sahabatnya adalah peniaga. Jadi kita seharusnya mencontohi Rasulullah dengan menjadi seorang peniaga. Jika kita kaya raya, kongsilah kesenangan itu dengan orang lain. Bantulah fakir miskin yang memerlukan. Sentiasa positifkan diri, barulah rezeki senang masuk.

Sebenarnya banyak lagi pesanan ustaz dalam ceramahnya. Saya menulis sedikit sahaja sebagai ingatan untuk diri sendiri dan berkongsi dengan pembaca yang saya sayangi. Oleh sebab saya terkesan dengan pesanan ini maka saya juga ingin menjadi seorang peniaga. Jika inginkan suplemen kesihatan seperti apa yang saya amalkan, bolehlah klik di sini. Jumpa lagi!

Rabu, 6 November 2013

Perhatian, penulis novel!

Teks: Rozida Ismail

Sejak kebelakangan ini sudah menjadi trend novel diadaptasi menjadi drama bersiri TV. Mungkin kerana novel sudah ada pengikutnya tersendiri maka lebih mudah untuk menarik penonton mengikuti drama pula. Ditambah pula semakin ramai pelakon muda jelita dan handsome memainkan watak utama, jadi drama ini sudah menjadi kegilaan ramai pula. Tajuk drama pula sedikit berlainan, kurang nilai seni bahasanya, kadang-kadang menggunakan bahasa Inggeris. Tidak dinafikan itulah kemahuan orang zaman sekarang jadi terpaksalah diikut oleh penerbit dan pengarah drama. Mungkin pada aspek bahasa, seninya kurang tetapi dari sudut sinematografi atau teknik penceritaan seninya ada kemajuan. Seni orang dulu tinggi pada bahasanya tetapi kurang pada sudut penggambarannya. Itu pendapat saya.

Trend mengadaptasi novel ke drama/ filem ini merupakan sesuatu yang harus diterima baik kerana ianya meluaskan pasaran harta intelek penulis. Namun, harus diingat bahawa setiap penulis mempunyai hak mereka sendiri. Jangan pula satu hari penulis merasakan karyanya diciplak oleh orang lain. Sebenarnya ada tiga cara bagaimana hendak melindungi harta intelek seseorang penulis sekiranya  diciplak. Perkara ini harus dilakukan sebaik sahaja anda habis menulis dan ingin menghantar karya untuk diterbitkan. Pertama, bawa karya anda menemui Pesuruhjaya Sumpah dan buat akuan bersumpah. Kedua, pos karya anda menggunakan pos berdaftar ke alamat amda sendiri. Jangan sesekali dibuka bungkusan itu. Ketiga, daftar karya di pemberitahuan sukarela MyIPO. Pendaftaran boleh dibuat atas talian dengan bayaran serendah RM45. Layari website MyIPO untuk mendapatkan keterangan lanjut. Ketiga-tiga cara ini nerupakan bahan bukti sah di mahkamah dan karya anda akan dilindungi. Pilihlah mana-mana cara yang anda rasakan mudah.

Ahad, 3 November 2013

Home Expo

Teks: Rozida Ismail

Hari ini saya berkesempatan melawat Home Renovation Expo di PWTC. Oleh sebab saya bercadang hendak pindah ke rumah baharu, jadi saya perlu mendapatkan sebanyak mana maklumat dan sebut harga untuk kabinet dapur, wardrobe, dan sebagainya. Di samping itu bolehlah juga menjamu mata dengan inovasi terbaru hiasan dalaman.

Setiap tahun saya memang akan ke PWTC kerana di situlah pesta buku terbesar di Malaysia diadakan. Ia memang destinasi wajib bagi mereka yang berkecimpung dalam dunia pebukuan. Sudah berbelas tahun saya ke sana pada setiap kali pesta buku, PWTC akan dipenuhi dengan pengunjung Melayu hampir 90%, sedikit kaum Cina, dan sangat jarang kelihatan kaum India. Mungkin disebabkan komposisi penduduk negara kita yang lebih 60% terdiri daripada bangsa Melayu. Atau mungkin juga disebabkan kedudukan PWTC dan sifat PWTC sendiri yang dimiliki oleh UMNO, maka pengunjung bangsa lain kurang datang. Namun, sebaliknya di pesta buku Mines dan Popular di KLCC misalnya, bangsa Melayu akan menjadi kumpulan minoriti pula. Pada ekspo kali ini keadaan sebaliknya berlaku. Ekspo dibuka pukul 11 pagi hingga ke 9 malam, bermula 1 November 2013 dan berakhir pada 3 November 2013. Saya datang seawal jam 11 pagi, sebaik sahaja ekspo dibuka untuk hari kedua. Pengunjung boleh tahan ramainya, tetapi tidaklah seramai pengunjung pesta buku. Jika pesta buku, jam  11 pagi orang sudah berpusu-pusu datang, terutamanya hujung minggu. Pengunjung pula kebanyakannya Cina, boleh dikatakan 90%. Tidak kelihatan orang India di pandangan mata saya kerana mungkin mereka sibuk dengan sambutan Deepavali.

Pengunjung Home Expo di pintu masuk. 
Pameran ini dibuat dua aras. Pengunjung dibenarkan masuk melalui aras 4 dan turun ke aras 3 menggunakan eskalator dalam dewan pameran. Pelbagai barangan rumah tangga dipamerkan seperti dapur, lampu, langsir, perabot, kabinet dapur, wardrobe, hiasan taman dan macam-macam lagi.

Saya memang mencari set dapur elektrik dan hood untuk rumah baru. Terpegun juga dengan penerangan salesgirl yang bersungguh-sungguh dan nampak ikhlas. Mereka juga mengetahui kelemahan pesaing untuk dijadikan senjata jualan mereka. Saya berhenti di dua buah booth yang menjual dapur. Di situ sahaja banyak masa dihabiskan untuk melihat demo penggunaan dapur dan hood. Memang banyak perkara baru yang dipelajari. Maklum sahaja, sudah bertahun-tahun tidak menukar dapur.

Selepas ke booth dapur, saya bergerak ke booth yang menawarkan kabinet dapur dan wardrobe pula. Di situ juga saya 'berkenalan' dengan material baru untuk kabinet dapur seperti 3G dan 4G serta aluminium yang dibentuk seperti nyatoh. Pelbagai teknik terkini terdapat dalam pembinaan kabinet. Pilihlah mengikut citarasa dan budget. Jika rasa tidak banyak budget, pilihlah yang biasa tetapi dengan design terkini. Selepas beberapa tahun nanti kita boleh menukar pada design terbaru dengan material baru tanpa rasa bersalah. Di bahagian ini saya dilayan oleh salesman Melayu. Bukan untuk merendahkan bangsa, saya lihat mereka tiada kesungguhan. Jika bertanya lebih sedikit, jawapan mereka seperti hendak marah. Apa salahnya menjawab dengan bersungguh-sungguh, jadi pelanggan akan rasa selesa dan seronok. Ada juga sales person yang tidak menyapa potential buyer. Perlu diingat, pengunjung yang datang pasti mencari sesuatu, terutamanya yang datang tanpa membawa anak-anak. Itu bermakna mereka serius untuk membuat pilihan, bukan setakat jalan-jalan sahaja. Jangan hanya berdiri umpama patung memperagakan flyers atau brosur.

Selepas empat jam berjalan-jalan, kami pulang membawa flyers sahaja :)

Jumaat, 1 November 2013

Kau yang Satu

Teks: Rozida Ismail


Sekadar ingin berkongsi. Ini adalah cover novel terbaru saya yang diterbitkan di blog Ilham Karangkraf. Novel ini merupakan sambungan novel Rela Kupujuk (ada dijual dalam bentuk naskhah bercetak). Untuk pelajar yang bakal bercuti panjang November - Disember ini, bolehlah baca novel ini secara percuma di Ilham Karangkraf. Novel yang dipaparkan di blog ini hanyalah versi ringkas, iaitu versi draf sahaja. Jika ingin membaca versi panjang lebar yang telah saya murnikan, bolehlah baca di http://dinda-novel2u.blogspot.com/ Ini merupakan antara blog awal saya sebelum belajar membina blog dari Akademi Bekerja Dari Rumah.

Dalam novel Rela Kupujuk, Nadirah dan Saiful (watak hero dan heroin) masih di bangku sekolah menengah. Manakala  Kau yang Satu mengisahkan kedua-dua remaja ini telah melanjutkan pelajaran ke universiti. Sebenarnya saya merancang trilogi untuk kisah Nadirah dan Saiful ini, iaitu dalam novel ketiga, mereka telah dewasa dan bekerja. Semua plot ada dalam kepala saya, tetapi belum dicurahkan di atas skrin komputer. InsyaAllah, saya cuba menyiapkan novel ini kerana inilah antara cita-cita besar saya. Saya sangat mengalu-alukan kritikan yang membina untuk menjadikan impian saya ini suatu kenyataan.

Khamis, 31 Oktober 2013

Kuatkan pertahanan badan!

Teks: RoZida IsmAiL

Saya jarang mendapat demam. Boleh dikatakan dalam setahun, mungkin hanya sekali sahaja saya demam. Tetapi selesema dan batuk mudah menyerang. Saya tidak suka batuk kerana selalunya ia berpanjangan. Jika mengambil ubat batuk pun, masalah batuk sangat payah untuk reda.  Saya tidak suka makan ubat batuk! Rasanya ramai yang tak sukakan ubat batuk. Tetapi agak pelik kerana ada juga yang ketagihan ubat batuk sehingga ia menjadi ubat kawalan dan tidak boleh dibeli di kaunter.

Baru-baru ini ketika outstation tiba-tiba tekak saya terasa perit, tanda-tanda awal untuk mendapat batuk. Saya mesti banyakkan minum air suam dan tidak mengambil air gas atau minuman sejuk berais. Saya juga membeli gula-gula untuk melegakan kerongkong. Alhamdulillah, batuk tidak ketara walaupun ada sikit-sikit. Saya selalunya mengambil supplemen Transfer Factor, 3 biji TF Advance dan 5 biji TF Plus setiap hari bagi meningkatkan daya imunisasi badan. Tetapi semasa outstation saya sengaja tidak membawanya. Pulang dari outstation, badan saya terasa agak lemah, mungkin keletihan. Hingus meleleh dan saya bersin bertalu-talu ketika mahu turun dari kapal terbang. Esoknya saya banyak berehat, tidur dan tidur kerana saya juga terpaksa makan pil selesema yang membuatkan saya begitu mengantuk.  Saya juga terus mengambil Transfer Factor kerana yakin supplemen ini boleh meningkatkan imunisasi diri. Hanya dua kali makan ubat selesema dan beberapa kali menghisap gula-gula pelega kerongkong, Alhamdulillah dengan izin-Nya selesema dan batuk saya terus baik. Selalunya tidak begitu. Jika selesema, pastinya berhari-hari sehingga habis ubat yang diberi doktor dan jika batuk pula boleh makan minggu... Saya betul-betul yakin dan dapat rasakan bahawa Transfer Factor merupakan agen untuk meningkatkan daya imunisasi diri.

Dikhabarkan bahawa di Rusia, hospitalnya menggunakan Transfer Factor untuk merawat penyakit biasa seperti demam, selesema atau batuk. Mereka tidak memberikan pesakit terutamanya kanak-kanak dengan antibiotik kerana ia memberi kesan sampingan untuk jangkamasa yang panjang. Keburukan tentang antibiotik juga pernah saya dengar daripada doktor sendiri. InsyaAllah, saya akan cuba berikan anak-anak saya Transfer Factor menggantikan antibiotic. Jika anda ada pengalaman sendiri menggunakan Transfer Factor ini, bolehlah berkongsi di sini.

Selasa, 29 Oktober 2013

Lagi tentang hobi

Teks: Rozida Ismail

Hari ini saya masih ingin bercerita tentang hobi. Kadang-kadang orang mempunyai hobi yang sama seperti orang lain, tetapi cara mereka mengapresiasi hobi itu yang berlainan. Di situlah timbul keunikan dan keistimewaannya. Baru-baru ini saya ke Kuala Terengganu. Ketika menaiki teksi dari lapangan terbang ke hotel, saya ternampak puluhan duit syiling pada cermin teksi tersebut. Pemandu teksi mengatakan bahawa duit syiling itu dari pelbagai negara. Bagus juga cara pak cik itu mengapresiasi hobinya mengumpul duit syiling dengan melekatkannya pada cermin kereta. Mudah dilihat oleh penumpangnya. Jika penumpangnya warga asing, pastinya mereka dengan rela hati memberikan duit syiling negara mereka pada pak cik itu.
Pelbagai jenis duit syiling pada cermin teksi ini menarik perhatian saya.
Saya perhatikan pada sesetengah bahagian, ada ruang kosong. Mungkin duit syiling itu jatuh, pada fikiran saya. Tetapi pak cik itu menjelaskan bahawa ruang itu sengaja dibiarkan kosong. Jika penuh, nanti tiadalah pelawat ingin memberi lagi, terang pak cik itu. Pandai juga pak cik ini main psikologi.

Sepanjang perjalanan, sempat juga saya berbual dengan pak cik itu tentang Air Terjun Sekayu yang popular di Kuala Terengganu suatu ketika dahulu kini sudah kurang dikunjungi kerana adanya virus kencing tikus. Katanya mungkin kencing tikus terkena pada tin minuman yang dijual kerana kita tidak sedar apa yang melekat padanya. Dia menasihati supaya membasuh semua tin minuman atau makanan sebelum dibuka supaya makanan itu benar-benar bersih luar dalamnya. Betul juga kata pak cik .. Nasihat yang sangat berguna untuk diamalkan oleh semua ..

Ahad, 27 Oktober 2013

Sutera untuk dijual

Teks: Rozida Ismail

Sejak kecil saya sangat suka bergaya. Siapa yang tidak ingin kelihatan cantik? Kita tidak perlu barang berjenama atau pakaian mahal untuk bergaya. Apa yang perlu ialah gaya itu kena pada tempatnya. Jika ingin bergaya, bolehlah suai padan pakaian yang ada supaya kita tidak kelihatan sama hari-hari. Begitulah yang terjadi ketika saya masih bersekolah dahulu. Saya tidak suka mengenakan pakaian yang sama setiap hari (kecuali baju sekolah). Pernah ketika pergi kelas tambahan, saya menggayakan baju yang bertali halus. Keesokan harinya ramai kawan perempuan sekelas memakai baju sedemikian. Pada hari yang lain pula saya mengenakan baju kurung dengan kain batik. Esoknya ramai yang ikut memakai baju kurung. Tidak pula saya sangka cara saya berfesyen akan menjadi ikutan ketika itu.

Perasankah anda apabila membeli pakaian, kita sering memilih warna yang sama iaitu warna kegemaran kita. Cuba buka wardrobe, adakah pakaian anda pelbagai warna atau warna yang hampir sama sahaja? Memilih warna kegemaran sering terjadi pada saya. Sebab itu saya tiada masalah jika membeli tudung tanpa membawa baju baru. Saya boleh mengagak warna yang bagaimana kena dengan baju kerana saya akan memilih warna kegemaran yang sedap dipandang mata.  Untunglah zaman sekarang ada dijual tudung tiga lapisan warna. Lebih mudah untuk suai padan dengan lebih banyak baju.

Tentang pakaian, saya sangat obses pada sutera. Saya sangat sukakan sutera crepe kerana kainnya sejuk dan berkualiti. Lebih-lebih lagi sekarang bunga pada sutera dilekatkan batu-batu swaroski bagi menaikkan serinya dan menambah elegan pada si pemakai. Sutera sesuai digayakan di majlis-majlis rasmi kerana nampak eksklusif. Ada orang tidak suka memakai sutera kerana malas hendak menggosok. Sebenarnya menjaga sutera tidak susah. Saya mencuci sutera dengan sabun yang sesuai dengan fabrik sutera. Kemudian dijemur dalam bilik air sahaja kerana cahaya terik boleh cepat memudarkan warnanya. Lagipun sutera cepat kering. Apabila menggosok, renjis sedikit dengan air supaya kedutannya mudah diluruskan. Oleh sebab sutera ialah pakaian eksklusif, maka kita hanya memakai sekali-sekala. Jadi apa salahnya beri sedikit masa untuk pencucian.

Ini adalah sutera pilihan saya. Designnya memang cantik..

Khamis, 24 Oktober 2013

Mekap Kereta

Teks: Rozida Ismail

Pernah tengok kereta yang dimekap beria-ia seperti di atas? Pada yang pertama kali melihatnya pasti akan menoleh berkali-kali kerana seakan tidak percaya kereta sebegini wujud di atas jalan raya. Ketika ke bengkel aksesori kereta baru-baru ini, saya berkesempatan melihat secara dekat kereta yang dihias dengan penuh imaginasi oleh tuannya. Interior pula dipenuhi oleh peralatan senjata api pelbagai jenis pistol dan seumpamanya. Mulanya saya takut untuk mendekatinya kerana kereta itu kelihatan menggerunkan bagi jiwa saya yang sentimental ini.. tetapi keramahan tuan punyanya yang mengusahakan spa kereta membuatkan saya berani mengambil gambar secara dekat dan menemubual tuannya secara santai.
Inilah Colin, tuan punya Nissan Grand Livina yang diubah suai. 
Colin Au Kong Wen, berusia 40 tahun sedang tekun membelek gajet yang tidak dapat dipastikan apa sebenarnya ketika saya mengintai-intai keretanya itu. Dia sangat fasih berbahasa Melayu. Katanya minat yang mendalam membuatkan dia tidak sayang untuk berhabis ribuan ringgit untuk menghiasi keretanya itu. Sudah RM40,000 dihabiskan untuk menambah aksesori kereta. Dia juga memasuki banyak pertandingan dan saya lihat banyak piala kemenangannya dipamerkan di spa kereta miliknya itu. Namun jika dibandingkan hadiah tunai yang dimenangi, sangatlah tidak berbaloi kerana hadiahnya hanyalah ratusan ringgit sahaja.
Barisan piala kemenangan dan keratan akhbar tentang pencapaian Colin.
Jika sudah menjadi minat, berapa pun sanggup dibelanja dan apa pun boleh dilakukan. Bagusnya minat ini ialah ia menanam daya imaginasi seseorang dan mengajak kita berfikir di luar kotak. Saya juga melihat sebuah kereta Kancil diubah suai dan memiliki enam tayar seperti lori. Banyak lagi kereta-kereta pelik yang dapat disaksikan kelainannya.
Cerita tentang kemenangan Colin.
Saya pasti sangat ramai orang yang memiliki hobi yang luar biasa,  tidak seperti orang lain. Jika anda mempunyai kenalan yang mempunyai hobi-hobi pelik, bolehlah dikongsi bersama.

Sabtu, 19 Oktober 2013

Teknik Cross Selling

Teks: Rozida Ismail

Malam semalam saya perlu pergi ke sebuah hotel untuk menyerahkan barang kepada seorang kenalan. Sebaik sahaja memasuki parkir hotel tersebut, saya membuka tingkap cermin auto kereta untuk mengambil tiket parking. Tiba-tiba terdengar bunyi 'menggelegak' pada tingkap itu dan cermin yang diturunkan tidak mengikut paksinya. Sudah .. hati saya berdetik bahawa duit perlu keluar untuk membaiki motor cermin auto yang pastinya memakan ratusan ringgit. Saya tidak jadi meninggalkan kereta kerana cermin gagal dinaikkan akibat kerosakan dalaman. Akhirnya saya terpaksa keluar dari parkir dan berjumpa dengan rakan saya itu di tepi hotel sahaja. Mujur juga apabila sampai di rumah, saya cuba menarik cermin perlahan-lahan dan berjaya menutup tingkap kereta sepenuhnya.

Hari ini saya terpaksa membawa kereta ke kedai aksesori kereta untuk membaiki motor cermin kereta itu. Risau juga jika harganya melampau-lampau atau tiada alat ganti. Susah juga jika cermin kereta tidak boleh diturunkan terutama ketika mengambil tiket parking. Selepas diperiksa saya diberitahu bahawa hanya gamnya sahaja yang sudah cair. Kos mengganti gam bersama upahnya hanyalah RM15. Tetapi pekedai menegur cermin lampu kereta yang kelihatan kusam. Katanya ada bahan yang boleh mencuci hingga kelihatan bersinar dan kemudian cermin lampu itu dilapisi sejenis plastik agar sinarnya kekal beberapa tahun. Kosnya RM80. Memikirkan yang lampu itu mesti kerap dicuci, suami memutuskan untuk mendapatkan khidmat cucian itu. Jadi kos keseluruhan hari itu ialah RM95.

Sebenarnya apa yang ditawarkan oleh pekedai itu ialah teknik cross selling. Jika dia tidak cekap mata, hari itu dia hanya dapat RM15 sahaja daripada saya. Kerana kepekaannya, maka dia dapat lagi RM80. Mungkin margin keuntungannya RM40. Setiap aktiviti jualan elok disertai cross selling. Cara ini banyak dipraktikkan oleh bank. Perasankah anda jika memohon pinjaman perumahan misalnya, anda juga akan ditawarkan insurans, kad kredit, dan mungkin juga pinjaman ASB. Ini kerana semua dokumen telah ada, jadi anda hanya perlu tandatangan sahaja pada borang berkaitan. Bukankah ini memudahkan pelanggan?

Jangan lupa untuk praktikkan teknik cross selling semasa bertemu atau berbual dengan pelanggan. Sentiasa tawarkan apa yang anda ada kerana jika anda tidak menyatakannya, mana mungkin pelanggan tahu apa yang anda jual.

Khamis, 17 Oktober 2013

Selamat hari jadi, emak! al-Fatihah untuk abah

Teks: Rozida Ismail

10.10.13 merupakan hari jadi emak saya yang ke-77. Ini tahun kedua emak menyambut hari jadi tanpa abah di sisi. Setelah dikira-kira rupa-rupanya hampir 54 tahun emak hidup di samping abah. Tapi kecekalan emak tidak menampakkan dia 'kehilangan' abah. Jauh di sudut hati, saya tahu dia memang sentiasa mengingati abah. Hari raya haji baru-baru ini emak meminta rakannya buatkan wajik. Sebenarnya itulah makanan kegemaran abah ketika hari raya.

Saya tahu susah senang emak dan abah mengharungi kehidupan sejak kami kecil-kecil lagi hingga abah bersara. Malah kehidupan abah sejak dari kecil lebih susah daripada itu. Abah seorang yang yatim piatu sejak kecil lagi. Abah selalu menceritakan kisah hidupnya semasa kecil kepada kami. Tetapi di penghujung usianya abah dikurniai kehidupan yang senang. Hari-hari tua emak dan abah dihabiskan bersama-sama tanpa banyak masalah. Mungkin kerana semasa hayatnya abah seorang yang sangat suka membantu orang. Pernah suatu ketika abah membawa balik seorang pengemis untuk diberi makan dan menumpangkan seorang bekas banduan di rumah kami buat beberapa hari.

Emak pula seorang yang sangat prihatin dan mengambil berat tentang jiran tetangganya. Sifatnya yang ramah sangat disenangi oleh jiran dan kenalannya baik Melayu, Cina mahupun India. Kerana itu emak mempunyai ramai anak angkat. Pernah suatu ketika jiran kami, seorang warga emas berbangsa Cina yang tinggal bersendirian tidak kelihatan sejak pagi. Menjelang malam rumahnya gelap gelita. Emak yang prihatin meminta seorang jiran berbangsa Cina yang lain menelefon anak warga emas tersebut. Rupa-rupanya emak ada menyimpan nombor telefon anak warga emas itu kerana kata emak, "senang jika apa-apa hal berlaku kerana apek itu tinggal seorang." Betullah telahan emak kerana apabila anak warga emas itu datang, dia mendapati bapanya sudah meninggal dunia di bilik air! Jika tidak kerana keprihatinan emak, pasti mayat orang tua itu terbiar lama. Emak sebenarnya ikon 1Malaysia yang sejati.

Saya sentiasa mendoakan kesejahteraan emak dan abah. Semoga budi baik mereka diberikan ganjaran syurga oleh Allah SWT.
Selamat hari jadi emak, al-Fatihah untuk abah.


Isnin, 14 Oktober 2013

Kisah KL Gangster dan barang tiruan

Teks: Rozida Ismail

Baru-baru ini Syamsul Yusof, penerbit dan pengarah filem muda di negara kita berang kerana filemnya diedarkan sebelum masuk skim wajib tayang. Memanglah dia akan mengamuk kerana setelah berpenat lelah dan berhempas pulas untuk menghasilkan filem yang dinanti-nantikan oleh peminat filem Malaysia, tiba-tiba ada pula yang membuat onar dengan menyebarkannya secara percuma di internet. Bukan sedikit wang, masa dan tenaga yang telah dicurahkan untuk menghasilkan filem ini. Tentulah sebagai pengeluar filem, beliau akan berasa kecewa yang teramat sangat. Dia buat filem kerana dia terlibat dalam industri perniagaan hiburan. Bukan dia buat untuk suka-suka atau kerana minat semata-mata. Orang berniaga mestilah untuk mendapatkan keuntungan. Saya harap dalang di sebalik angkara ini dapat ditangkap dan dihukum kerana dia tidak menghormati harta intelek orang lain. Saya sebenarnya suka tengok kelainan filem sekuel KL Gangster ini kerana ia tidak menggunakan heroin (jadi tiada manipulasi pelakon wanita dalam filem ini).

Itu kisah filem. Pastilah orang suka dapat menonton tanpa bayaran. Filem baru yang belum pun keluar di pawagam, siapa tak nak dan siapa kisah kalau pengeluarnya rugi berjuta-juta? Sedangkan barang-barang pengguna yang popular orang tiru dan jual dengan harga lebih kurang sama  pun ada pembelinya. Persoalannya, kenapa dengan orang kita? Kenapa begitu ramai yang menyokong aktiviti tidak bermoral seperti ini?

Sebenarnya kajian menunjukkan ada tiga kategori utama mengapa orang membeli barang tiruan di pasaran. Pertama kerana orang ingin menggunakan barang berjenama, tetapi tidak mampu untuk membelinya. Kedua, mereka tidak kenal adakah itu barang asli atau tiruan. Dalam bahasa mudahnya, mereka tertipu. Ketiga, barang-barang tiruan ini sangat mudah didapati di mana-mana. Jadi, bagaimana kita hendak mengekang budaya membeli barang tiruan ini dalam masyarakat kita dan seterusnya mengajar masyarakat menghormati hak cipta dan harta intelek seseorang? Adakah dengan cara menangkap pembuat barang tiruan ini dan juga penjualnya? Saya berkesempatan berbual dengan pihak penguasa yang mengawal pengedaran barang tiruan ini. Khabarnya mereka diugut dan keselamatan diancam. Kesian juga mendengar cerita mereka, terpaksa menggadai nyawa demi sesuap nasi.

Ada cara mudah untuk kita sama-sama membantu membanteras kewujudan barang tiruan di pasaran. Kita pasti sakit hati jika tertipu dengan pembelian barang tiruan ini. Lebih memburukkan keadaan lagi jika kita termakan barang tiruan yang boleh mengancam nyawa pula. Jadi, sama-samalah kita boikot penggunaan barang tiruan, berasa malu menggunakan jenama tiruan, dan hormati pemilik harta intelektual yang telah mengeluarkan belanja yang banyak untuk memastikan kualiti barangnya terpelihara untuk kebaikan pengguna. Lebih baik menggunakan jenama tempatan yang nyata memang original, murah dan diyakini halal lagi baik (halalan toyyiban).

Pernah tengok jenama ini? Tengok betul-betul..


Sabtu, 12 Oktober 2013

Tip Membeli-belah

Teks: Rozida Ismail

Lagi dua hari kita akan menyambut Aidiladha. Pastinya suri rumah bertambah sibuk untuk membuat persiapan. Nama pun menyambut hari raya, pastilah ada sedikit juadah yang perlu disiapkan untuk keluarga. Sesuai dengan musim membeli-belah, hari ini saya ingin berkongsi sedikit tip membeli-belah secara berhemah. Tip ini sebenarnya adalah apa yang saya amalkan.

Untuk barang-barang keperluan harian seperti sabun basuh, susu, dan sebagainya selalunya kita membeli secara bulanan. Iaitu menyimpan stok untuk sebulan, barulah membuat belian ulangan. Oleh sebab rumah saya berdekatan dengan banyak pasaraya besar, maka saya sering perhatikan apa dan bila barang dijual murah barulah saya beli dalam kuantiti yang banyak. Misalnya sabun basuh Breeze 4.4 liter biasanya dijual dengan harga runcit RM27.90. Begitu juga Dynamo 4.4 liter, anggaran harganya lebih kurang. Dulu saya tidak menggunakan sabun ini kerana harganya memang mahal. Tetapi ada masa-masanya pasaraya akan membuat jualan murah untuk barang-barang keperluan harian ini, maka ketika itulah saya akan membeli dan menyimpan stok untuk 3 bulan. Menjelang masa sabun ini habis digunapakai, maka akan ada lagi jualan murah yang dibuat. Selalunya perbezaan harga mencapai RM8 sebotol. Contohnya minggu lepas, di pasaraya Giant, Breeze dijual pada harga RM19.90. Minggu ini pula Tesco menjual Dynamo pada harga 19.98. Jadi saya tidak melepaskan peluang untuk membeli dan menyimpan stok.

Begitu juga untuk barang pengguna lain seperti susu segar Dutch Lady 1 liter (kerana anak saya hanya gemarkan susu ini), pasaraya besar ini selalu memberi tawaran RM12.00 untuk tiga kotak.  Pada hari-hari biasa, susu ini dijual pada harga RM5.40 sekotak. Bagi teh Lipton pula saya selalu membeli di 99 Speedmart kerana harganya sentiasa murah. Tetapi di sini selalunya barang dijual dalam pek kecil. Walaupun murah, anda kena hati-hati kerana barang di sini selalu dalam keadaan tidak sempurna seperti tinnya kemek. Saya juga pernah melihat susu yang luput tarikh masih dijual. Jika ingin membeli di sini, eloklah memilih dengan teliti terutama tentang bungkusan barang dan tarikh luput. Pasaraya yang sering menjual teh uncang Lipton 80 uncang dengan harga lebih murah berbanding pasaraya lain ialah Econsave. Barang yang sering saya beli di 99 Speedmart ialah sabun mandi Dettol dan syampu kerana harganya lebih murah dari yang lain-lain.

Oleh sebab selalu membanding-bandingkan harga maka saya selalu singgah di semua pasaraya untuk mendapatkan harga terbaik bagi setiap belian saya. Tetapi mujurlah kesemua pasaraya ini terletak berdekatan dengan rumah.

Jumaat, 11 Oktober 2013

Awas! Penipuan ubatan boleh membunuh

Teks: Rozida Ismail

Baru-baru ini saya berkesempatan mengikuti satu bengkel tentang harta intelek yang dikendalikan oleh badan antarabangsa. Banyak ilmu yang didapati dan mahu saya kongsikan di sini. Nama pun bengkel ini tentang kesedaran harta intelek. Maka, eloklah apa yang didapati itu disampaikan pada semua orang. Salah satu cabang yang hangat diperkatakan dalam bengkel ini ialah tentang barang-barang palsu.

Apa yang  mengejutkan ialah ubat-ubatan palsu merupakan bahan yang paling banyak diniagakan di internet.  Ini termasuklah pil kurus. Berdasarkan dapatan oleh pihak penguasa, ada sejenis kopi untuk kurus mengandungi hanya 5% sibutramine (ubat kurus) dan selebihnya sildenafil (ubat seks). Sibutramine ialah dadah yang merangsang otak untuk merasa kenyang dan hanya boleh diambil dalam kuantiti sedikit dengan preskripsi doktor. Jadi, jangan ambil/ beli pil kurus sembarangan kerana bimbang mendapat sakit lain pula. Pernahkah anda dengar berita tentang seorang warga Singapura meninggal dunia kerana mengambil viagra sedikit masa dahulu? Sebenarnya viagra yang diambilnya ialah pil tiruan dan mengandungi dadah untuk penyakit kencing manis. Mangsa ini koma kerana biasanya ubat kencing manis akan menurunkan paras gula dalam badan.

Sebenarnya ada cara untuk mengenal pasti sama ada ubat-ubatan yang dijual di farmasi adalah palsu atau tulen. Pastikan label berikut terdapat pada ubat tersebut:
MAL20022544A - ubat di bawah kawalan Kerajaan
MAL20030080X - ubat yang dijual di kaunter
MAL20024420T - ubat tradisional
Hanya ubat yang tulen sahaja mempunyai label ini. Namun, label ini juga kadang-kadang dipalsukan. Untuk itu, Kementerian Kesihatan memperkenalkan hologram bagi memastikan ketulenan sesuatu produk ubatan. Juga, hologram ini dipalsukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Di farmasi, terdapat alat untuk membaca hologram ini iaitu Meditag. Anda boleh menyemak ketulenan hologram menggunakan Meditag. Hologram yang sah akan mengeluarkan logo kepala harimau dan huruf KKM.

Ingat, gunakan kuasa pengguna sepenuhnya ketika membeli ubat. Jangan tertipu dengan ubat yang hampir sama tetapi dijual dengan harga yang lebih murah. Antara ubat yang dipalsukan ialah panadol, eyemo, minyak cap kapak, dan ubat batuk cap ibu dan anak. Sememangnya kita payah mengenali barang tulen atau palsu kerana ia seakan-akan sama. Tetapi dengan adanya hologram tersebut, sekurang-kurangnya kita dapat menyemak ketulenan sesuatu produk.

Khamis, 10 Oktober 2013

Tip Menjaga Kesihatan Mata

Teks: Rozida Ismail

Baru-baru ini anak gadis saya mengadu kehilangan cermin mata di sekolahnya ketika menukar pakaian sukan. Hairan juga bagaimana cermin mata pun boleh hilang! Saya memberi tempoh seminggu untuk dia mencari cermin mata yang hilang itu melalui bantuan guru dan rakan-rakannya, tetapi nyata tidak ditemui. Oleh sebab 'power' cermin matanya sama dengan saya, maka saya memahami tahap kesukarannya melihat. Tetapi mujurlah kehilangan itu berlaku selepas dia mengambil peperiksaan.

Mahu tidak mahu, terpaksalah saya membawa dia ke optometrist untuk membuat cermin mata baharu. Biasanya saya membawa ke kedai cermin mata franchise terkemuka di negara kita tetapi mendengar nasihat teman saya yang berbangsa Cina, saya menukar ke kedai yang tidak ada rangkaian. Khabarnya lebih murah lagi. Benarlah, optometrist di kedai itu memang seorang pak cik tua, hampir 60 tahun umurnya. Layanannya seperti seorang bapa. Kata anak saya, cara pak cik itu menegur dan memberi nasihat persis arwah atuk (walaupun dia berbangsa Cina!). Rupa-rupanya 'power' penglihatan jarak jauh anak saya meningkat dari 350 ke 500! Jika tidak kerana cermin matanya hilang, pasti saya tidak tahu yang power matanya sudah bertambah. Cermin mata lama memang tidak sesuai digunakan lagi. Pak cik optometrist itu juga terkejut bagaimana pertambahannya begitu drastik kerana cermin mata lama dibuat awal tahun ini. Mungkin kerana habit anak saya yang suka membaca secara dekat. Saya kongsikan di sini bagaimana menjaga kesihatan mata mengikut optometrist ini.

Pertama, jarakkan mata dari bahan bacaan sekurang-kurangnya 1.5 - 2 kaki (lebih kurang 30 - 50 cm). Kedua, baca di tempat yang terang dan cukup pencahayaan. Ketiga, makan banyak sayur-sayuran. Dia juga menasihatkan untuk makan herba Cina iaitu gou qi zi sejenis red berry atau dikenali sebagai goji berry. Apabila saya google, sememangnya goji berry merupakan buah yang baik untuk memulihkan penglihatan yang kabur, rabun malam serta melambatkan berlakunya glaukoma dan katarak (selalu berlaku pada orang tua). Dalam perubatan Cina, penglihatan juga berkait dengan hati. Dengan memakan herba goji berry, secara tidak langsung turut menjaga kesihatan hati. Goji berry mengandungi kadar antioksida, lemak tak tepu dan asid amino yang tinggi. Rasa buah ini manis. Biasanya ia diletak dalam sup, di dalam bubur nasi atau boleh diminum dengan merendamnya dalam air panas selama setengah jam terlebih dahulu.
Goji berry baik untuk kesihatan mata. Gambar dari carian Google. 
Goji berry dijual di kedai ubat Cina dengan harga antara RM15 - RM50 sekilogram bergantung pada kualitinya. Buah ini juga boleh didapati dalam bentuk jus. Sangat penting bagi kita menjaga kesihatan mata kerana ia adalah pancaindera yang sangat berharga.






Selasa, 8 Oktober 2013

Simpan Kira

Teks: Rozida Ismail

Ini pun salah satu istilah dalam perakaunan. Pernah dengar? Dalam bahasa Inggerisnya disebut book keeping. Ilmu simpan kira memang perlu ada dalam diri setiap usahawan, tidak kira sama ada usahawan kecil, sambilan atau yang baru-baru mencuba untuk berbisnes. Berapa ramai agaknya usahawan SOHO, WAHM, SAHM, mempunyai ilmu ini? Atau tidak ramai yang betul-betul mencatat apa sahaja yang dibelanjakan atau pendapatan mereka dalam satu buku?

Jika anda belum pernah berbuat demikian, mulakanlah hari ini juga. Catat semua perbelanjaan yang keluar untuk berbisnes, simpan semua resit belian dalam satu fail, rekodkan wang masuk dari mana-mana sumber. Selalunya usahawan mempunyai lebih daripada satu bisnes. Siapkan satu jurnal untuk merekodkan pendapatan setiap hari. Pendek kata, hasilkan satu rekod yang sistematik untuk bisnes kita.

Cara membuat simpan kira tidaklah begitu sukar. Anda tidak perlukan seorang akauntan untuk menyediakannya. Anda cuma perlu ada empat rekod setiap hari iaitu rekod belian, jualan, resit, dan pembayaran. Semua transaksi ini mesti dikemas kini setiap hari supaya mudah untuk anda mengesan bisnes mana yang paling menguntungkan dan mempunyai banyak permintaan. Kadang-kadang sesuatu bisnes memang nampak banyak permintaan berbanding yang satu lagi. Tetapi margin keuntungan kedua-duanya mungkin berbeza. Jadi berikan lebih fokus untuk mempromosi bisnes yang mempunyai margin lebih besar. Work smart, do not work hard!

Jumaat, 4 Oktober 2013

Susut nilai

Teks: Rozida Ismail

Pernah dengar perkataan susut nilai? Istilah ini biasa digunakan dalam ilmu perakaunan. Jika ke kedai emas pun, perkataan ini akan selalu disebut. Peratus susut nilai emas biasanya 15 - 20%. Bermakna jika anda membeli emas hari ini pada harga RM160 segram, dua tahun selepas itu jika anda ingin menjualnya maka susut nilai akan dikira sebanyak 15% kurang daripada harga semasa. Contohnya dengan harga  emas hari ini RM160 segram, selepas ditolak susut nilai 15% harga yang anda dapat ialah RM136.00 segram.

Ketiga-tiga aset ini mempunyai susut nilai.
Saya tidak bercadang untuk mengulas tentang urus niaga emas sebenarnya. Saya mahu berbicara tentang susut nilai. Banyak barang yang kita beli mempunyai susut nilai, terutamanya aset. Contohnya kereta, komputer, telefon, sekadar menyebut beberapa contoh. Barang-barang ini mempunyai kadar susut nilai yang tinggi. Ini disebabkan perubahan teknologi untuk barangan seperti ini berlaku dengan cepat. Telefon canggih yang kita beli hari ini akan turun harga dengan cepat dalam tempoh 3 bulan lagi. Jika kita rajin melayan gajet seperti ini, memanglah tidak berbaloi rasanya. Baru 3 bulan pakai, sudah hendak menukar dan terpaksa tambah dalam RM500 - RM1000 untuk mendapatkan telefon baru. Bagi saya, sama ada kereta, telefon atau komputer, sebaik-baiknya digunakan selama 3 tahun barulah diganti. Puas memakai, harga pulang modal, barulah ditukar. Walaupun kereta dibeli secara ansuran, lebih baik jika ansuran dibuat dalam tempoh 5 tahun sahaja jika mampu. Ini kerana teknologi biasanya bertukar setiap 3 tahun dan anda akan mendapat enjin baru yang lebih tinggi teknologinya dengan penggunaan minyak yang lebih ekonomik. Biasanya kereta selepas digunakan selama 2 tahun akan mula memberi masalah. Banyak yang perlu ditukar seperti tayar, brake pad, bateri dan benda-benda tersembunyi yang lain. Lainlah jika kereta jarang digunakan dan hanya digunakan sekali-sekala. Kadang-kadang kita memang terasa sayang hendak menukar kepada kereta baharu, tetapi cuba tetapkan hati bahawa kepuasan memandu akan bertukar apabila memiliki kereta baru. Barulah semangat untuk keluar bekerja tersuntik kembali. Lagipun kita bukan orang kaya untuk memiliki beberapa kereta sekali gus. Jadi, pilihan yang kita ada ialah selalu menukar kereta yang satu itu supaya kita dapat merasa memandu lebih banyak kereta daripada pelbagai jenama. Siapa bersetuju dengan pendapat saya, angkat tangan!

Selasa, 1 Oktober 2013

Drama bersiri Cina vs Drama bersiri Melayu

Teks: Rozida Ismail

Awal 90an semasa masih menuntut di universiti dan ketika mula bekerja, saya memang suka mengikuti drama bersiri Cina dari Hong Kong. Dulu memang drama bersiri Cina menjadi kegilaan ramai sebelum diganti dengan kegilaan pada drama Amerika Latin, kemudian beralih ke Korea. Drama yang disiarkan setiap petang ini memang berhantu dan membuatkan kita tidak sabar hendak menonton episod seterusnya. Ada sebuah drama yang saya tidak ingat tajuknya meninggalkan kesan sehingga kini. Cerita tentang seorang gadis kampung yatim piatu yang diambil tinggal bersama saudara sepupunya. Memanglah gadis ini sering dibuli tahap gaban. Penerbit memang sengaja hendak bagi penonton geram pada saudara gadis ini dan sangat-sangat bersimpati pada si gadis. Dalam pada itu, dia bercinta pula dengan seorang teman sepupunya itu. Dan si hero pula dicintai oleh anak bongsu tuan rumah. Seperti biasa, latar keluarga ialah peniaga restoran. Si hero pula berniaga kuih bulan. Banyaklah konflik yang timbul, sama ada dalam perhubungan mahu pun dalam perniagaan. Seronok juga tengok bagaimana hasad dengki dalam perniagaan timbul di kalangan orang-orang Cina dan bagaimana mereka mengatasinya. Entah betul entah tidak berlaku macam tu, wallahualam. Dipendekkan cerita, gadis ini akhirnya menerima tawaran kerja oleh salah seorang pelanggan restoran yang seterusnya mengubah kehidupannya 360 darjah. Tetapi niat itu tidak disukai teman lelakinya, maka putuslah hubungan mereka seketika. Yang geramnya, si hero pula akhirnya berkahwin dengan anak bongsu tuan rumah yang gedik itu. Lagilah penonton tidak puas hati. Si gadis kampung menjadi pelayan kelab, bertukar imej kampung menjadi diva dan berlagak sombong pula kerana sudah kaya. Geram juga! Dia kembali semula ke rumah itu untuk membantu keluarga itu yang ditimpa kesusahan. Cuma, kali ini dia datang dengan angkuh. Kekayaannya bukanlah dari pekerjaan sebagai pelayan semata-mata, tapi sebenarnya dia juga melabur dalam pasaran saham. Dia akhirnya jatuh bangkrap kerana pasaran saham dunia jatuh merudum. Malang bertimpa-timpa baginya.

Lain pula drama bersiri Melayu. Kita sering disogokkan dengan cerita berkisar pada konflik kekeluargaan semata-mata. Tiada elemen perniagaan atau keusahawanan. Memanglah ada unsur perniagaan, tetapi tidak diketengahkan sebarang konflik yang nyata. Kalau kaya, kaya sangat-sangat, tetapi tidak jelas apa perniagaannya. Macam mudah sangat menjadi kaya. Si datin pula, semestinya sombong dan menunjuk-nunjuk. Jarang sekali datin low profile. Agaknya memang itulah lumrah masyarakat kita. Akhir-akhir ini pula sudah menjadi trend baik dalam drama mahupun dalam novel, teruna dan dara disatukan tanpa bercinta terlebih dahulu. Maknanya mereka berkahwin atas pilihan keluarga. Dalam konflik mencari keserasian itulah timbul keseronokan dan kegilaan pada penonton untuk menonton drama atau membaca novel. Mungkin penulis skrip drama kita tidak banyak ilmu perniagaan yang hendak dikongsi bersama penonton. Atau cerita begini tidak diterima oleh peminat drama Melayu.

Isnin, 30 September 2013

Redah Indonesia: Surabaya - Mount Bromo

Teks: Rozida Ismail

Antara kenangan yang tidak mungkin dilupakan dalam misi meredah Indonesia pastinya destinasi Surabaya. Sebenarnya ketika menempah tiket penerbangan, kami langsung tidak ada idea tentang apa yang ada di Surabaya. Dengan RM350, kami dapat membeli dua tiket pergi balik ke destinasi sejauh itu yang memakan masa selama 3 jam tempoh penerbangan. Selepas menempah tiket, barulah kami mencari maklumat tentang Surabaya dan menempah pula ejen pelancongan. Oleh sebab tidak tahu menahu tentang selok belok di Surabaya, berjalan menggunakan ejen adalah lebih mudah dan selamat. Semuanya teratur dan tersedia.

Antara yang menarik di sini ialah Gunung Bromo dan Ladang Epal. Bagaimana pun kami tidak pergi ke ladang epal kerana ladangnya sedikit menyimpang dari laluan kami. Dari Surabaya untuk ke Bromo memakan masa 6 jam. Turun sahaja kapal terbang kami terus dibawa ke sana kerana laluannya menggunakan jalan kampung yang tidak mempunyai lampu jalan. Memang tidak terjangka bahawa kami akan sampai ke kawasan gunung berapi yang masih hidup! Kami bangun seawal jam 4 pagi dan berkuda menaiki gunung. Memang tidak pernah dibuat menunggang kuda sendirian, tetapi mujurlah setiap kuda ada pengiringnya. Pemandu pelancong menasihatkan membawa sekali selimut kerana cuaca sungguh sejuk. Oleh sebab tidak ada kelengkapan pakaian sejuk, malam itu kami terpaksa membeli topi dan sarung tangan. Terasa pula seperti berada di pekan koboi.

Cubaan mendaki kawah gunung berapi buat kali pertama ternyata gagal kerana tiba-tiba angin menerbangkan partikel belerang panas. Keadaan berkabus mengehadkan jarak penglihatan. Kami terpaksa menutup hidung kerana bimbang sesak nafas pula dengan baunya yang menyesakkan. Jika anda ada penyakit lelah, tak perlulah ke sini. Ada sebanyak lebih 200 mata tangga yang perlu didaki untuk meninjau ke dalam kawah gunung berapi. Apabila tiupan asap belerang telah berhenti, kami terus cuba mendaki. Alhamdulillah berjaya sampai dan menjengah ke dalam kawah. Terdapat juga beberapa orang pekerja yang masuk ke dalam kawah. Mereka benar-benar berani menyabung nyawa! Jika tergelincir, pastilah terus menjadi mayat. Saya lihat tidak ada langkah keselamatan yang digunapakai. Pemandangan di sekitar amat indah. Subhanallah, begitu agungnya ciptaan Ilahi. Sebaik turun sahaja dari gunung tersebut, kami diserbu oleh penjaja yang menjual pelbagai cenderamata, termasuklah bunga-bungaan yang digunakan oleh orang Hindu untuk bersembahyang. Sememangnya ramai penduduk Indonesia di Jawa Timur beragama Hindu. Bromo pula bermaksud Brahma, salah satu tuhan agama Hindu.
Pemandangan berlatar belakangkan kawah gunung berapi. Gambar asal sebenarnya jauh lebih cantik.
Selepas satu malam di sini, kami ke Taman Safari. Di sini, haiwan buas dilepaskan dan kami memasuki kawasan safari menggunakan pengangkutan yang sama untuk kami ke mana-mana. Dalam perjalanan pulang ke Surabaya kami melalui kawasan banjir lumpur Sidoarjo. Pemandangan di sini sungguh menyedihkan. Sebanyak 16 buah kampung ditenggelami banjir lumpur yang beracun. Dikatakan puncanya ialah penggalian telaga minyak oleh sebuah syarikat cari gali. Penyemburan banjir lumpur ini memakan masa bertahun-tahun menyebabkan penduduk kehilangan mata pencarian. Ketika kami berhenti seketika untuk melawat kawasan ini, beberapa anak muda menawarkan perkhidmatan membawa pelancong menaiki motosikal dengan bayaran RM3 ke kawasan tersebut. Masih terdapat semburan banjir setinggi 5 meter di kawasan berhampiran. Anak-anak muda ini nyata mengeluh kerana sukarnya mencari rezeki. Bantuan yang diharapkan tidak kesampaian. Selain perkhidmatan membawa pelancong, mereka juga menjual CD tentang bencana ini. Sungguh menyayat hati kerana paparan bencana dalam CD tersebut diiringi dengan lagu nyanyian Ebiet G. Ade bertajuk 'Berita Kepada Kawan'. Saya paparkan di sini sedikit bait-baitnya:

Barangkali di sana
ada jawabnya
Mengapa di tanahku terjadi bencana
Mungkin Tuhan mulai bosan
Melihat tingkah kita
Yang selalu kalah dan bangga
dengan dosa-dosa
atau alam mulai enggan
Bersahabat dengan kita
Cuba kita bertanya pada
Rumput yang bergoyang
Semburan banjir lumpur di hadapan mata.
Bersyukurlah kerana  negara kita bebas daripada bencana alam. Betul juga kata Ebiet, lihatlah apa yang kita sumbangkan pada alam, jika merosakkan, maka rosaklah alam ini.