Jumaat, 30 Ogos 2013

Merdeka! Merdeka! Merdeka

Teks oleh: Rozida Ismail
30.8.13

Lebih kurang sejam sahaja lagi jam akan berdenting 12 kali menandakan detik ulang tahun kemerdekaan sudah bermula. Apa perasaan anda menghadapi detik kemerdekaan? Jawapan mungkin seperti yang berikut:
A. Seronok ~ kerana besok cuti
B. Tak seronok sebab besok memang cuti. Jika jatuh pada hari bekerja, sudah tentu dapat cuti tambahan.
C. Entah, biasa saja ..

Jika antara ketiga-tiga itu pilihan jawapan anda, sudah pasti anda merupakan anak merdeka. Anda tidak dapat menghayati kenikmatan merdeka sepenuhnya kerana anda lahir ketika negara sudah merdeka. Bukan salah anda, saya juga merasakan begitu. Anak kecil saya berasa seronok menanti detik kemerdekaan kerana dapat melihat bunga api (dari rumah kami, KLCC amat jelas!).

Namun, bagi orang yang lebih tua dan hidup sebelum merdeka, ulang tahun kemerdekaan amatlah bermakna. Saya adalah penyunting buku "500 Tahun Melayu Menghadapi Cabaran" tulisan Prof Kamarudin M. Said dari UKM. Buku itu amat ringkas, boleh dikatakan himpunan salinan slaid. Sedikit sahaja teks tetapi dipenuhi gambar-gambar sebelum negara mencapai kemerdekaan. Sebagai pembaca, saya dapat menyelami perasaan orang dahulu yang hidup pada era sebelum merdeka. Apatah lagi 500 tahun sebelumnya, tatkala Portugis mula bertapak ke negara ini. Pastinya hidup mereka dalam serba kedaifan, tidak mewah makan dan pakai, juga tidak berasa selamat. Daripada gambar-gambar yang dipaparkan (hitam putih sahaja) saya melihat begitu gigihnya nenek moyang kita berjuang untuk mempertahankan tanah air daripada cengkaman penjajah. Kaum wanita turut mengangkat senjata walaupun memakai baju kurung dan berselendang. Yang pasti, semuanya memainkan peranan agar negara ini tidak jatuh pada tangan orang lain. Mahukah kita hidup di bawah telunjuk bangsa lain di tanah air sendiri? Ini tanah air kita, kitalah yang patut mencorakkannya.

Kerana itulah kita yang hidup pada era siber ini perlu bersyukur dan nikmati kemerdekaan yang dikecapi sepuas-puasnya. Inilah hasil perjuangan orang dahulu. Mereka mempertaruhkan nyawa sendiri demi melihat anak bangsa kemudiannya hidup aman dan damai. Sesudah mereka berhempas pulas memastikan kuasa di tangan sendiri, tibalah masanya anak cucu pula bertungkus lumus supaya kuasa ekonomi juga berada di genggaman kita. Inilah kemerdekaan yang sebenar-benarnya. Jika ekonomi kita tidak kuat, nescaya suatu masa nanti kita pula menjadi hamba kepada orang lain. Di manalah erti kemerdekaan ketika itu?

Kepada adik-adik, belajarlah sukakan subjek Sejarah. Saya pasti, ramai yang mengatakan bahawa subjek itu membosankan. Saya juga begitu. Mana tidaknya, kita dibawa ke zaman lampau yang tidak tercapai oleh jangkauan fikiran dan kemudian diasak dengan nama-nama klasik panjang berjela dan lebih kurang sama. Ditambah pula perlu mengingati tahun dan peristiwa. Pastilah semua itu membosankan. Saya juga dulu tertanya-tanya, apa kaitan belajar Sejarah dengan pekerjaan kita masa hadapan? Kini, saya faham kenapa kita perlu belajar Sejarah.  Belajar dan ambil tahu apa yang dialami oleh orang dahulu. Jangan diulangi kesilapan mereka. Belajar mensyukuri  dan berterima kasih kepada nenek moyang kita. Tanpa perjuangan dan keputusan bijak yang dibuat oleh mereka, mungkin hidup kita tidak semewah sekarang.



Selamat menyambut hari kemerdekaan yang ke-56!

Khamis, 29 Ogos 2013

Raya sana sini

Teks: Rozida Ismail
29 Ogos 2013

Assalamualaikum,
Cepat sungguh masa berlalu. Sedar tak sedar sudah beberapa hari blog tidak dikemaskini dengan entri terbaru. Minggu ini agak sibuk dengan rumah terbuka. Walaupun bukan sendiri yang menaja, tetapi menjadi wakil tuan rumah pastilah sibuk juga untuk melayan tetamu. Boleh dikatakan seminggu selepas raya, ramai orang mengadakan majlis rumah terbuka dan kenduri kawin. Maklum sahaja, cuti raya kali ini jatuh pada musim cuti sekolah. Jadi idea 2-dalam-1 dipraktikkan kebanyakan tuan rumah, iaitu majlis kawin bersama rumah terbuka. Menu pun lebih kurang sahaja ~ nasi minyak, sate, laksa, mi kari. Sudah menjadi trend di majlis perkahwinan sekarang menu yang dihidangkan bukan sekadar nasi minyak/ beriani. Bagi persatuan atau pejabat, jika mengadakan rumah terbuka pada minggu ini maka akan disekalikan pula dengan sambutan merdeka. Ada yang menamakan majlis Merdeka Raya, ada juga yang menamakannya majlis Raya Merdeka. Pendek kata, walau apa pun sambutannya, tidak sah kalau tidak ada jamuan makan. Sudah menjadi budaya orang kita meraikan sesuatu dengan makan-makan. Kerana itulah jika membuka bisnes katering, masa-masa beginilah bisnes bertambah kencang. Bulan puasa dan bulan raya memang pesta makan. Dua bulan berturut-turut. Masuk bulan September, mungkin bisnes makan berkurangan sedikit. Tetapi jangan lupa, musim haji pula akan tiba. Kenduri lagi! Walaupun tidak besar-besaran seperti kenduri kawin. Tiba bulan Oktober, hari raya Haji pula. Kemudian, bisnes makan semakin rancak sekitar November dan Disember dengan majlis kahwin semula.

Satu perkara yang saya perasan sejak kebelakangan ini radio hanya rancak memainkan lagu-lagu raya pada minggu terakhir berpuasa. Eloklah begitu kerana klimaks lagu raya ialah pada hari raya sendiri. Tahun ini saya tidak perasan pula sama ada, ada lagu raya terbaru diketengahkan. Mungkin ada tetapi tidak 'menangkap' di telinga. Lagu raya yang betul-betul menjadi kebanyakannya dari artis era 70-an dan 80-an. Manakala bagi artis baru, sukar hendak dinamakan lagu raya siapa yang popular. Siti Nurhaliza sendiri ada 3 buah lagu raya yang popular, jika tidak silap. Selalunya lagu-lagu raya bernada syahdu dan sedih. Jarang ada yang berbentuk 'happy' kecuali lagu Hail Amir dan Uji Rashid, kumpulan Senario dan kumpulan Carefree dengan 'Lenggang Mak Limah'nya. Yuna juga ada membuat lagu raya dengan mood happy tetapi mungkin lebih sesuai dengan kehendak remaja sekarang.

Nampaknya entri ini menggambarkan mood raya saya masih berkobar-kobar. Mana tidaknya, hari-hari ada sahaja jemputan rumah terbuka. Hujung minggu pula bersusun-susun undangan majlis kahwin dan rumah terbuka. Alhamdulillah, rezeki orang Malaysia cukup murah. Bertuah kita tinggal di negara ini.

Selamat berkunjung ke rumah terbuka. Hati-hati di jalan raya.

Sabtu, 24 Ogos 2013

Tomasina


Pernahkah anda melihat buku ini di pasaran?  Saya sangat pasti bahawa jawapannya tentu "tidak pernah". Memang buku seperti ini sukar memasuki pasaran walaupun ceritanya menarik dan ilustrasinya cantik. Mari saya perkenalkan buku ini kepada anda.

Buku ini dihasilkan oleh mendiang Margaret H.L.Lim, seorang anak jati Sarawak. Beliau seorang bekas pendidik dan berkahwin dengan seorang warga Jerman. Walaupun menetap di Jerman, beliau sering berulang-alik ke negeri kelahirannya. Buku Tomasina merupakan buku kelima yang ditulis olehnya. Namun, Margaret sebenarnya lebih dikenali melalui penulisan Siri Payah yang mengandungi 4 buah buku. Siri ini berlatar belakangkan kehidupan Payah, seorang kanak-kanak Iban di persekitaran Kepulauan Borneo tersebut. Dikatakan sebenarnya penulisan ini dikutip daripada pengalaman hidup Margaret sendiri sewaktu kecil.

Berbalik pada buku Tomasina, buku ini sebenarnya mengisahkan kehidupan haiwan yang hampir pupus di Kepulauan Borneo. Terdapat tiga watak utama dalam buku ini, iaitu spider-bird, Bilun dan Tomasina. Jika dilihat pada kulit buku ini, ketiga-tiga watak tertera di situ. Tetapi siapakah Tomasina yang menjadi tajuk utama buku ini? Kenapa Tomasina? Untuk mendapatkan jawapannya, bolehlah beli buku ini dan baca.  Buku ini ditulis dalam bahasa Inggeris dan sesuai untuk peringkat umur 9 hingga 12 tahun (dari sudut penguasaan bahasa). Ilustrasinya memang menarik dan jika anak anda mahu dibacakan, eloklah beli, baca dan terangkan pada mereka. Buku ini bertemakan persahabatan dan adab sopan.

Bagaimana hendak mendapatkannya? Mudah saja, boleh email saya atau tinggalkan email anda di ruang Order Form di sebelah kanan blog ini supaya saya boleh hubungi anda. Harganya cuma RM14.90 (USD4.50).

Menariknya, ilustrasi dalam buku-buku Margaret dihasilkan oleh anaknya sendiri Su-Jen Buchheim. Alangkan seronoknya jika kita boleh bekerjasama dengan anak atau suami untuk menghasilkan karya sebegini.

Jumaat, 23 Ogos 2013

Malang Tidak Berbau

Selalunya bila tiba musim perayaan, pihak berwajib akan mengetatkan undang-undang jalan raya bagi mengekang kemalangan. Paling biasa ialah dengan mengurangkan had laju di jalan raya. Contohnya baru-baru ini Kerajaan mengumumkan bahawa had laju di jalan raya Persekutuan hanyalah setakat 80 km/jam sahaja. Manakala di lebuh raya kekal antara 90 km/jam sehingga 110 km/jam.

Hal ini kerana terlalu banyak kenderaan yang bertali arus ketika cuti perayaan. Masing-masing pula membuat perjalanan jauh dan ada kalanya tidak sabar-sabar untuk sampai ke destinasi. Banyak hal yang berlaku apabila sudah bersesak-sesak di jalan raya. Ada kenderaan yang pada mulanya tidak ada masalah tiba-tiba buat hal di pertengahan jalan. Lebih mencemaskan jika meter suhu tiba-tiba naik, enjin tiba-tiba berasap, brek tidak berfungsi atau tayar bocor. Sebenarnya semuanya boleh dielakkan jika kita memeriksa kenderaan terlebih dahulu sebelum membuat perjalanan jauh. Apabila membuat budget untuk kegunaan perayaan, masukkan juga budget untuk servis kereta. Peruntukkan sekurang-kurangnya RM1000 untuk servis besar-besaran (major service). Bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan. Pastinya kita tidak mahu bermalam di tengah jalan atau lebih berat lagi jika terpaksa beraya di tepi lebuh raya. Walau pun memang namanya jalan 'raya' atau lebuh 'raya' tetapi itu bukanlah tempat yang sesuai untuk berhari raya. Jika kenderaan rosak di pertengahan jalan terpaksa pula mengeluarkan upah yang lebih banyak untuk membawa kereta ke bengkel. Silap-silap kena 'ketuk' kerana pastinya ada yang mahu mengambil peluang dalam keadaan seseorang sedang terdesak.

Selain keadaan kenderaan, emosi dan keadaan pemandu juga merupakan faktor yang perlu diambil perhatian. Jika emosi pemandu tidak stabil, sedikit sebanyak akan menjejaskan cara pemanduannya. Katakan pemandu sedang marah (sama ada marah pada orang dalam kereta yang dipandunya atau pada kenderaan yang lain), emosi itu akan terbawa-bawa dalam cara dia mengendalikan kenderaannya seperti memecut dengan laju atau membrek tiba-tiba. Jika dia diprovokasi oleh pemandu lain, dia akan memecut tiba-tiba atau memperlahankan kenderaannya untuk 'mengajar' pemandu tersebut. Saya pernah menaiki bas yang dipandu oleh seorang pemandu yang sedang marah-marah. Tidaklah dapat dipastikan kenapa dia beria benar marah tetapi dapat dilihat bahawa emosinya sangat tidak stabil. Dia membawa bas tersebut seolah-olah hanya dia seorang dalam bas itu. Cara pemanduannya tidak lancar dan terburu-buru. Tidak lama selepas meninggalkan perhentian bas, bas ini  melanggar kenderaan lain. Untunglah tidak begitu serius. Selain emosi, keadaan fizikal pemandu juga amat penting. Pemandu mestilah memastikan dirinya segar dan tidak mengantuk. Jika mengantuk, jangan paksa diri untuk berjaga. Berehatlah dahulu kerana terlelap sekejap boleh mengembalikan kesegaran. Jangan biarkan diri terlelap ketika memandu kerana pasti akan mengundang padah. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak memandu buruk padahnya ...

Walaupun penulisan seperti ini sudah banyak kali diulang-ulang, namun saya masih ingin menulisnya. Saya berpesan pada diri sendiri dan saya ingin berkongsi dengan semua orang. Malang memang tidak berbau. Jika hati sudah berdetik  dengan perasaan tidak selesa dengan perjalanan tersebut, jangan teruskan perjalanan. Ambil masa dan berehatlah seketika. Tenangkan fikiran sebelum meneruskan perjalanan. Stabilkan emosi, kawal diri dan gembirakan perasaan. Jika ada rasa tenang, damai, dan seronok barulah mulakan perjalanan. InsyaAllah, segala-galanya akan selamat. Jangan lupa membaca doa naik kenderaan terlebih dahulu.

Doa Naik Kenderaan
Maksudnya: Maha suci Tuhan yang memudahkan kenderaan ini bagi kami, sedangkan kami tiba dengan mudah dengannya, dan kepada Allah kami kembali. 


Rabu, 21 Ogos 2013

Transfer Factor

Pernahkah anda mendengar makanan tambahan (supplement) yang dinamakan Transfer Factor? Saya pernah mendengar cerita kebaikan Transfer Factor beberapa tahun lepas. Suplemen ini dikatakan sangat baik tetapi pada ketika itu sukar didapati. Ipar saya pernah membeli untuk bapanya yang menghidap kanser prostat daripada seorang doktor. Tetapi saya tidak berapa tahu tentang keberkesanannya. Bapa ipar saya itu meninggal dunia tidak lama kemudian kerana faktor usia yang telah lanjut. Saya pernah menemui doktor yang sama untuk mendapatkan Transfer Factor bagi mengubati penyakit saya. Tetapi sebaliknya doktor tersebut mengesyorkan saya mengambil Vitamin C dan beberapa vitamin dan supplemen lain yang harganya mencecah RM400 untuk bekalan selama sebulan. Saya hanya sempat mengamalkan untuk satu bulan sahaja.

Baru-baru ini saya terjumpa iklan transfer factor (TF) di facebook dan berhasrat untuk membelinya. Saya dihubungi oleh agen TF dan kami bertemu di sebuah pusat beli belah. Dari situ saya terus menjadi ahli dengan niat untuk mendapat bekalan suplemen dengan harga yang lebih murah.

Mengapa saya memerlukan TF? Seperti yang saya maklumkan dalam entri pengenalan diri,  saya masih menghadapi masalah kesihatan. Selepas berubat selama lebih 7 tahun, saya masih belum bebas daripada penyakit tersebut sepenuhnya. TF merupakan agen untuk meningkatkan imunisasi diri. Jadi walau pun saya menjalani rawatan, namun setiap rawatan itu melemahkan antibodi saya. Oleh itu, saya perlu mencari sesuatu suplemen bagi membaik pulih antibodi dan sistem imunisasi saya yang telah dirosakkan. Apatah lagi dikhabarkan bahawa dengan mengambil dos rawatan yang tinggi, saya berpotensi mendapat penyakit lain pula. Insya Allah, saya akan kongsikan apa yang telah saya lalui semenjak disahkan menghidapi masalah kesihatan tersebut untuk panduan semua orang. Setiap musibah yang menimpa ada hikmahnya. Kita perlu positif menangani segala masalah yang ada.

Setelah menjadi ahli, saya diminta hadir ke HQ untuk mendengar penerangan tentang kebaikan produk tersebut daripada yang pakar. Sementara menunggu kedatangan hadirin, saya sempat berbual dengan dua orang jejaka yang turut hadir pertama kali seperti saya. Daripada pengalaman mereka, TF sangat berkesan untuk resdung dan gout. Mereka telah mencubanya ke atas diri sendiri.

Sesi malam itu dimulakan oleh seorang peguam yang telah menjadi agen selama 3 tahun. Beliau menerangkan tentang kebaikan TF berdasarkan kajian saitifik. TF merupakan ekstrak kolestrum dari susu  awal lembu dan kolestrum kuning telur ayam (bagi haiwan yang tidak menyusukan anak). Kolestrum inilah yang meningkatkan daya imunisasi. Pengambilannya meningkatkan 700 kali ganda daya imun berbanding produk kesihatan yang lain. Apabila fakta-fakta yang diberikan disokong oleh kajian saintis dan pakar, produk ini nampak begitu meyakinkan. Saya akan mencuba sendiri dan melihat hasilnya. Pada malam itu juga, ada seorang mak cik berusia 68 tahun yang baru sebulan menjadi agen berkongsi pengalamannya dalam perniagaan ini. Beliau hanyalah seorang suri rumah. Pengalaman beliau membuktikan sesiapa sahaja boleh berjaya tanpa mengira usia, pendidikan dan kedudukan.

Bagi saya, apa pun produk yang hendak dijual eloklah mencubanya sendiri terlebih dahulu. Jika kita sendiri merasai akan keberkesanannya, bolehlah dikongsi dengan pelanggan kita dengan lebih yakin lagi.
Transfer Faktor merupakan supplemen yang membantu meningkatkan daya imunisasi.

Isnin, 19 Ogos 2013

Musim demam?

Sejak meninggalkan Ramadan, nampaknya semakin ramai orang jatuh sakit. Mana tidaknya, hari pertama beraya sahaja macam-macam makanan disumbat ke mulut kita. Alasannya, nama pun beraya .. Perut yanig sudah terbiasa kosong pada siang hari agak 'terkejut' menerima makanan tanpa henti. Kebanyakannya pula berlemak, berempah dan berminyak. Minuman pula pastinya manis dan kadang-kadang bergas. Hendak lebih sedap, tambah pula ais. Ahh .. betapa nikmatnya menghirup air sejuk ke tekak yang kering tika panas terik.

Mewahnya makanan di negara kita. Ingat, makan berlebihan membawa penyakit!
Apabila malam menjelma, mulalah perut meragam. Sakitnya menyucuk-nyucuk menjelang subuh. Hendak tak hendak, terpaksalah 'bermalam' di bilik kecil pula. Rasanya sudah lebih tiga empat kali raya saya mengalami cirit-birit pada hari raya. Semuanya kerana main belasah sahaja. Raya kali ini tidak terkecuali. Walaupun cuba kawal makan tetapi apabila berkunjung ke rumah sanak saudara, tidak sampai hati pula untuk tidak menyentuh makanan yang dihidangkan. Hari raya kedua saya mencari klinik untuk mendapatkan ubat sakit perut. Klinik tidak banyak dibuka. Maklumlah doktor dan pembantu klinik juga mahu berhari raya. Klinik yang dimiliki doktor bukan Islam juga penuh sesak dengan pesakit yang ingin mendapatkan rawatan. Saya cuba membeli ubat sahaja di kaunter, tetapi dimaklumkan tidak boleh berbuat demikian kerana saya tidak pernah datang ke klinik itu.Maka, saya mencari klinik lain kerana tidak sabar hendak menunggu lama. Klinik kedua yang dikunjungi membenarkan saya membeli ubat tanpa berjumpa doktor. Malangnya ubat sakit perut dan cirit-birit kehabisan stok. Khabarnya pada hari sebelumnya terlalu ramai pesakit yang datang untuk mendapatkan ubat yang sama. Akhirnya saya memutuskan untuk membeli ubat di farmasi sahaja. Seperti tahu sahaja, pekerja di situ terus menghulurkan ubat sakit perut dan cirit-birit yang sudah dipreskripsikan. Pastinya saya bukan orang yang pertama meminta ubat itu!

Setelah balik bekerja pula, dimaklumkan ramai staf yang mengambil cuti sakit. Pastinya penangan jamuan raya atau keletihan akibat membuat perjalanan jauh. Atau masih lagi dalam mood raya. Terikut-ikut dengan keseronokan cikgu dan murid sekolah yang masih bercuti sakan. Hari ini pula hari pertama persekolahan. Anak saya pula demam dan seorang lagi sakit perut. Jadi saya terpaksa bawa mereka ke klinik. Wah, begitu ramai sekali orang yang jatuh sakit. Rasanya kalau menunggu, mahu mengambil masa 2 jam. Selain demam, saya lihat di pejabat sudah ada yang hilang suara kerana batuk dan sakit tekak. Minggu ini kebanyakan rumah,  pejabat atau persatuan mengadakan rumah terbuka. Harap-harapnya tidak ramailah yang jatuh sakit. Pelik juga orang kita, ramai yang sakit kerana banyak makan atau terlebih makan. Sedangkan di luar negara, orang jatuh sakit kerana kurang makanan atau tidak dapat makan. Syukur alhamdulillah kerana kita berada dalam negara Malaysia yang makmur.
Di luar negara, orang sakit kerana tidak makan.


Ahlil muzik?

Saya memang suka muzik. Rasanya kalau bertanya pada mana-mana orang sekali pun, semuanya akan menjawab sukakan muzik. Tetapi berapa ramai pula yang sukakan alat muzik? Sejak di bangku sekolah rendah lagi murid didedahkan dengan subjek muzik. Tidak dinafikan selain subjek Seni Lukisan, subjek muziklah paling menyeronokkan. Pada zaman saya bersekolah dahulu, kami diajar pelbagai lagu. Guru muzik kami bermain akordion. Seronok bernyanyi beramai-ramai baik lagu Melayu mahupun lagu Inggeris. Rasanya ini antara cara terbaik untuk mengajar bahasa Inggeris kepada kanak-kanak. Ketika itu not muzik yang diperkenalkan hanyalah dalam bentuk A, B, C dan do re mi fa so la ti do. Alat muzik yang dapat dimainkan hanyalah rekoder. Murid sekarang sangat beruntung kerana diajar membaca not muzik yang macam taugeh. Dahulu ketika ayah saya bertanya, hendak hadiah apa jika dapat 5A dalam peperiksaan Penilaian Darjah 5 (sekarang UPSR), saya dengan yakin menjawab, hendak piano! Ketika itu sudah terbayang di rumah saya akan ada sebuah piano hitam yang tersergam di ruang tamu rumah. Jika difikirkan logik, memang tidak padan langsung sebuah grand piano memasuki rumah kami yang hanyalah kuarters kerajaan ketika itu. Tetapi itulah saya, sejak kecil memang suka berangan-angan. Mungkin bukan rezeki saya, piano yang diidamkan tidak menjadi kenyataan.
Grand piano yang terbayang-bayang berada di ruang tamu rumah saya. 
Namun setelah bekerja, saya berusaha untuk menjadikan impian saya suatu kenyataan. Saya sudah memiliki sebuah piano hitam, walaupun bukan grand piano. Saya masih lagi mempelajari selok belok bermain piano dan kini sudah di Gred 4. Guru piano saya berkata, untuk pelajar dewasa cukuplah sampai Gred 5, sudah boleh memainkan lagu. Saya rasa sayalah pelajar tertua di sekolah muzik itu.

Sebenarnya saya suka banyak alat muzik. Tetapi, cukuplah bermain piano sahaja. Saya suka melihat orang pandai memetik gitar. Malah, saya kagum melihat kecekapan orang bermain alat muzik, apatah lagi mencipta lagu. Bagi saya mereka adalah orang yang genius. P. Ramlee misalnya, bukanlah lahir dari golongan bangsawan yang sudah memiliki piano sejak kecil. Tetapi beliau bijak memainkan alat-alat muzik dan pintar mencipta lagu. Tentunya beliau seorang yang gigih berusaha.

P. Ramlee seorang yang genius.
Apabila mempelajari not muzik, kebanyakan istilah adalah dalam bahasa Itali. Secara tidak langsung, kita juga mempelajari bahasa Itali. Piano sendiri ertinya soft (lembut). Lebih banyak yang dipelajari, lebih kagum rasanya pada pemuzik dahulu yang mencipta dan menyusun silibus muzik. Terlalu banyak rahsia di sebalik not-not seperti taugeh itu. Pastinya berkurun lamanya mereka mencipta silibus muzik yang lengkap sehingga dapat menjadikannya ianya satu peperiksaan. Tidak sabar pula hendak menghabiskan kursus muzik saya.

Allegro!

Khamis, 15 Ogos 2013

Evolusi media hiburan


Hari ini saya ingin bercerita tentang evolusi media hiburan. Jika anda lahir pada zaman saya, pastinya masih kenal pada piring hitam. Ketika itu piring hitam hanya mengeluarkan suara sahaja, tidak boleh ditonton. Sebenarnya pada zaman P. Ramlee lagi piring hitam sudah popular. Cuma media untuk memainkannya saja yang berbeza. Orang dulu menggunakan gramophone. Untuk memainkannya, perlu memutar secara manual.
Gramophone. Yang di tengah itu ialah piring hitam.
Selepas gramophone, radiogram pula diperkenalkan. Saya masih ingat lagi, ketika berada dalam Darjah 3, jiran saya memang suka memainkan radiogramnya kuat-kuat. Memang boleh didengari jiran-jiran sekeliling. Lagu yang popular ketika itu ialah lagu Broery Marantika. Saya tumpang menikmati sahaja kerana di rumah saya hanya ada sebuah radio kecil. Suaranya pula tidaklah kuat, sekadar boleh didengari dalam rumah sahaja.

Contoh radiogram. Mempunyai satu radiogram merupakan kebanggaan
pemiliknya kerana harganya yang mahal. Radiogram masih menggunakan piring hitam.
Selepas itu, ada pula kaset. Saiznya kecil sahaja. Pemain kaset pula pelbagai jenis. Kaset masih ada sehingga kini walaupun sudah kurang digunakan.


Kaset TDK ini memang popular. Kaset mempunyai tempoh putaran sama ada 60 minit atau 90 minit.

Pemain kaset. Model ini boleh didapati dengan harga RM20 sahaja.

Jenis ini agak popular kerana kecil dan ringkas. 
Selain kaset, terdapat juga katrij. Saiznya memang besar dan untuk menyimpannya juga menjadi satu kemusykilan. 
Contoh katrij dan pemain katrij. Rakaman video perkahwinan saya disimpan dalam bentuk katrij.
Untunglah zaman sekarang telah diperkenalkan dengan CD dan DVD. Maka ruang penyimpanan bukan menjadi satu masalah lagi. Tetapi manusia memang tidak pernah berpuas hati. Untuk lebih mudah, diperkenalkan pula MP3 dan sekarang MP4 untuk menyimpan banyak lagu dalam satu peranti yang kecil. Selepas itu apa pula?




Selasa, 13 Ogos 2013

Tip sihat

Semalam saya berjumpa dengan seorang novelis wanita terkemuka tanah air. Kami berbual tentang projek, kerja dan sebagainya. Agak lama juga berdiskusi dan bersembang, rasanya hampir 2 jam. Tetapi yang paling berkesan di hati ini ialah tentang pesanan yang diberikannya sebelum kami berpisah petang itu. Ada tiga pesanan tertambat di sanubari yang ingin saya kongsi dengan pengunjung blog ini. Katanya, ini adalah amalan sehariannya. Terpulanglah kepada individu itu untuk mengamalkan perkara yang sama atau sebaliknya.

Pertama, sentiasa sibukkan diri dengan membaca,  berfikir dan bekerja. Sekiranya otak sentiasa ligat berfikir, diri akan menjadi muda. Selalu amalkan fikiran positif. Sememangnya beliau sudah berusia, tetapi saya nampak penglihatannya masih baik. Beliau menulis atau membaca tanpa menggunakan kaca mata. Beliau juga masih gagah mendaki bangunan pejabatnya setinggi tiga tingkat. Jika wanita lain seusia dengannya, pastinya sudah terduduk beberapa kali kerana sakit lutut. Beliau juga jarang makan tengah hari. Sekiranya dia mengambil sarapan yang agak berat, dia hanya makan buah sahaja pada waktu tengah hari sekadar mengalas perut.

Kedua, amalkan membaca al-Quran setiap hari selepas waktu solat. Beliau memiliki naskhah al-Quran yang dijilid mengikut juzuk. Al-Quran mengikut juzuk silih berganti di atas mejanya untuk dibaca. Ketika kita masih ada wuduk, bacalah al-Quran, pesannya.

Ketiga, amalkan bersedekah setiap hari. Sedekahlah apa sahaja untuk dikongsi oleh orang lain, seperti duit, makanan dan sebagainya. Setidak-tidaknya bersedekahlah kepada burung dengan memberi mereka makan.

Hari ini saya ke pejabat pos untuk menghantar dokumen melalui pos laju. Saya sudah lama tidak menggunakan perkhidmatan ini, jadi saya terlupa cara-caranya. Alhamdulillah ada seorang wanita Cina yang amat mesra memberitahu saya prosedur yang perlu diikuti. Sementara menunggu giliran, saya terpandang banner tentang waqaf tanah tapak Kolej Teknologi Bestari di Terengganu. Kita boleh membeli sebidang tanah bermula dengan harga RM30 (untuk 1 meter persegi) untuk diwaqafkan kepada pertubuhan anak yatim bagi membina kolej ini. Dalam banner ini dipaparkan tentang keajaiban sedekah dan derma waqaf seperti berikut:

  • Membawa berkat, menebus dosa dan membuka pintu syurga
  • Memudahkan datangnya rezeki dengan banyak
  • Menghindari dan menolak bala daripada menimpa
  • Merungkai kerumitan dan kesusahan dalam kehidupan
  • Menyembuh penyakit dan menyihatkan tubuh badan


    Semalam saya terfikir-fikir akan semua pesanan tersebut dan ingin mengamalkannya. Tiba-tiba hari ini saya terjumpa sesuatu yang mendorong saya untuk beramal seperti yang disarankan dan fadilatnya. Sungguh mudah untuk bersedekah. Betapa hebatnya perancangan Allah SWT. 

    Semoga apa yang saya kongsi hari ini memberi manfaat untuk semua. Assalamualaikum!

Ahad, 11 Ogos 2013

Selamat Hari Raya

Persiapan raya kali ini macam biasa, ala kadar sahaja. Seperti tahun-tahun sebelumnya, tahun ini kami beraya di kampung halaman. Disebabkan cuti sekolah bermula awal, kami memilih untuk pulang ke kampung pada hari Selasa. Sempatlah untuk berbuka puasa dua kali dengan keluarga di kampung. Bila tiba di kampung, acara mengemas rumah bonda pun bermula. Bab-bab mengemas ini memang saya suka. Dari situlah baru tahu mana yang tidak cukup, barulah dibeli. Langsir pula memang sudah dua tahun dipakai, berselang-seli dengan langsir tahun lepas-lepas. Mungkin tahun hadapan bolehlah buat langsir baru bersesuaian dengan warna dinding yang baru. Adik saya melakukan projek 'ad-hoc' dengan menukar cat dinding ruang tamu sehari sebelum raya. Mungkin tahun depan boleh 'make-over' ruang tamu untuk dapatkan mood baru. Tetapi kenalah bermula lebih awal lagi supaya kerja penambahbaikan lebih lengkap dan semenggah.

Pagi Rabu mak mula bising kerana kami lambat bergerak untuk ke pasar. Dia bimbang tidak mendapat bekalan ayam kerana menurut jiran-jiran, di pasar orang sudah berbaris panjang untuk membeli daging ayam. Alhamdulillah, nampaknya harga ayam masih terkawal, RM7.70 sekilo. Tetapi pada awalnya mak nampak kecewa kerana dimaklumkan oleh peniaga bahawa ayam sudah kehabisan stok. Kami beralih ke gerai lain pula dan alhamdulillah stok masih banyak tetapi terpaksa menunggu dalam setengah jam kerana dikhabarkan stok ayam dalam proses. Lagi baik sebenarnya, dapat ayam segar!
Nak beli ayam? Berbaris dulu, tau!
Di luar bangunan pasar pula, banyak jualan lemang, dodol dan kuih muih tradisional. Sambil menunggu emak yang memilih barang-barang, saya meninjau-ninjau di luar. Seronok juga melihat aktiviti di pasar. Dalam pada itu, tersua pula kawan sekolah yang hampir 30 tahun tidak berjumpa secara 'live'. Selama ini bertegur sapa di facebook sahaja.
Sekadar nak tunjuk suasana di luar pasar. Ini bukan kawan saya. 
Malam raya kami terpaksa keluar untuk mencari bunga bagi menghias rumah. Sebaik sampai di rumah, rombongan takbir sudah sampai. Memang aktiviti ini sudah menjadi rutin di kawasan kejiranan kami. Tuan rumah digalakkan mengetuai acara takbir di rumah masing-masing. Dengan adanya acara ini, barulah terasa kedatangan Syawal.

Hari raya pertama saya bangun jam 5.00 pagi. Mungkin kerana telah terbiasa bersahur waktu seperti itu. Kenalah bangun awal untuk mandi kerana kalau tidak terpaksa berbaris pula di hadapan bilik air. Begitulah biasanya apabila keluarga semua berkumpul. Kami bersolat sunat aidilfitri di masjid bandar. Masjid penuh sesak dengan jemaah.
Jemaah wanita memenuhi ruang solat. Boleh dikatakan semua saf penuh.
Dari masjid, kami bertolak terus ke pusara ayahanda. Ini tahun kedua beraya tanpanya. Begitu pun, tahun ini adalah tahun pertama ke pusaranya pada hari raya. Pada tahun lepas kami berkumpul di pusaranya sehari sebelum Syawal menjelang.

Sesudah membaca yasin dan bertahlil, kami pulang ke rumah untuk acara bergambar (acara wajib tahunan) sebelum masing-masing membawa haluan sendiri untuk berhari raya bersama teman dan sanak saudara.

Salam aidilfitri semua pengunjung blog saya dan maaf zahir batin andai kata ada antara tulisan saya tidak disenangi oleh mana-mana pihak.

(Sebenarnya catatan ini telah dibuat pada hari raya pertama lagi. Tetapi kerana line internet terlalu lembap, catatan ini hanya dapat diterbitkan hari ini, setelah kembali ke KL.)

Selasa, 6 Ogos 2013

Ramadan terakhir di Kuala Lumpur

Begitu cepat masa berlalu. Sekejap sahaja kita sudah memasuki hari ke-27 pada bulan Ramadan. Lagi dua hari kita akan menyambut hari raya. Besok saya akan pulang ke kampung halaman. Hari ini hari terakhir berpuasa di Kuala Lumpur.  Kebetulan pula hari ini hari jadi anak sulung saya maka kami sekeluarga mengambil kesempatan menyambutnya dengan berbuka puasa di luar. Rasanya sudah dua kali hari jadinya jatuh pada bulan Ramadan. Jika dikira, tarikh lahirnya yang sebenar ialah pada 21 Rabiul Awal. Mudah diingat kerana hari kelahiran Rasulullah SAW pula pada 12 Rabiul Awal. Selesai solat maghrib kami berangkat ke restoran Santai. Makanan sudah ditempah melalui panggilan telefon. Restoran ini merupakan kegemaran suami. Anak-anak hanya menurut. Kelihatan pekerja restoran agak kelam kabut melayan pelanggan. Hinggakan nasi kami lupa dihantar walaupun lauk sudah lama terhidang. Air yang dipesan juga tidak semuanya dihantar. Ada lauk yang telah dipesan terpaksa dibatalkan kerana kehabisan stok. Sungguh kencang bisnes restoran ini dalam bulan puasa. Alhamdulillah,  rezeki mereka.

Sebaik habis menjamu selera, papan kenyataan CLOSED dipamerkan. Tetapi masih ada pelanggan yang belum habis menjamu selera. Ada juga hidangan yang tersedia untuk dua orang masih belum disentuh. Mungkin yang menempah masih belum datang atau mungkin tidak akan datang terus. Kesian   juga pada peniaga kerana seolah-olah kena 'kapur'. Sebaiknya jika tidak jadi datang, eloklah dimaklumkan kepada tuan punya restoran.

Kami bercadang untuk berjalan-jalan di Jalan Tuanku Abdul Rahman untuk melihat suasana malam-malam terakhir sebelum cuti hari raya. Khabarnya peniaga selalunya akan mengadakan jualan penutupan. Kami memilih untuk menyusuri Jalan Ampang, kemudian masuk ke Jalan Tun Abdul Razak, masuk Jalan Raja Muda Abdul Aziz (menjengah rumah lama yang diduduki sebelum ini) dan terus ke Jalan Tuanku Abdul Rahman. Banyak perubahan yang telah berlaku sepanjang jalan. Sudah lama kami tidak jalan-jalan di sekitar KL. Malam-malam bolehlah kerana pastinya kurang kenderaan. Malangnya sangkaan kami meleset. Sampai ke penghujung Jalan Raja Muda Abdul Aziz atau lebih dikenali sebagai kawasan Chow Kit, kenderaan mula berensot-ensot. Sebaik memasuki Jalan Tuanku Abdul Rahman di kiri kanan jalan raya terdapat banyak gerai yang menjual pelbagai jenis barangan. Sungguh meriah suasana di sini. Patutlah jalan menjadi sesak.


Yang menariknya, ada juga gerai yang menjual kuih raya secara 'drive-thru'. Cuma saya tidak sempat pula mengambil gambarnya sebagai eviden. Mungkin ini juga menambahkan kesesakan. Tetapi saya hormati idea kreatif para peniaga seperti ini.


Sampai di persimpangan dekat Maju Junction, kesesakan tambah menjadi-jadi. Walau pun beberapa kali lampu isyarat bertukar hijau, kenderaan masih tidak bergerak. Akhirnya kami terpaksa menyimpang ke Jalan Kuching dan terus pulang ke rumah. Pastinya jalan di hadapan Sogo ditutup  untuk memberi kemudahan pada pejalan kaki. Sayangnya kami tidak berpeluang untuk melihat keadaan di sini.

Ahad, 4 Ogos 2013

Raya dulu raya sekarang

Salam. Hanya beberapa hari sahaja lagi kita akan menyambut hari raya Aidil Fitri. Teringat pada zaman kanak-kanak, betapa seronok dan tidak sabarnya untuk menyambut hari raya. Ketika itu tahap keseronokan paling atas adalah kerana tidak perlu berpuasa lagi. Kita akan bebas untuk makan dan minum bila suka. Semuanya kerana ketika zaman kanak-kanak kita banyak bermain. Apabila bermain, kita keletihan dan mahu minum. Dan setelah banyak tenaga dikeluarkan untuk bermain, memanglah akan terasa lapar. Rasanya itu sahaja sebabnya. Selain itu, keseronokan yang jatuh pada nombor dua ialah kerana dapat menggayakan baju dan kasut baharu. Tetapi rasanya kanak-kanak sekarang pasti meletak duit raya pada tempat teratas. Pada zaman saya, mendapat RM1 sudah dikira cukup besar. Rata-rata tuan rumah yang dikunjungi akan menghulur duit syiling sahaja. Tidak perlu sampul raya. Tetapi sekarang nilai minimum duit raya adalah RM1. Itupun belum tentu. Kalau di Kuala Lumpur biasanya tuan rumah akan  menghulur RM2 atau RM3. Jika hubungan lebih rapat mungkin mencapai RM5 - RM10 seorang! Untungnya budak-budak sekarang. Duit koleksi raya boleh dibuat modal untuk membeli gajet terkini seperti hand phone atau game atau sekurang-kurangnya 'top up'.

Pada orang dewasa pula, selalunya hari raya yang menjelang tidaklah seseronok mana. Ini kerana kedatangan Syawal bermakna berakhirnya Ramadan. Bulan Ramadanlah sebenarnya paling istimewa berbanding Syawal kerana bulan ini merupakan bulan beribadat. Kita digalakkan membanyakkan ibadah kerana bulan ini boleh dikatakan bulan pesta ibadat. Pahala yang dijanjikan Allah berlipat kali ganda. Sayangnya kalau meninggalkan solat sunat terawih kerana solat ini hanya ada pada bulan Ramadan sahaja. Jadi, pandai-pandailah kita mengadakan masa untuk bersolat walau sesibuk mana pun kita. Hanya ada tiga malam sahaja lagi.

Tahun ini hari raya jatuh pada musim cuti sekolah. Jadi sangat banyak masa yang boleh dihabiskan di kampung halaman. Gunakanlah masa tersebut untuk menziarahi saudara mara dan teman sekampung. Sekurang-kurangnya anak-anak kita mengenali teman rapat dan saudara mara ibu bapanya. Jangan hanya menghabiskan masa di hadapan TV sahaja walaupun program istimewa raya sudah bermula malam raya lagi! Kalau zaman saya dulu hanya ada 3 saluran TV, tetapi sekarang sudah berpuluh saluran yang tersedia. Saluran percuma juga sudah lebih dari 5! Program raya pula memang hebat-hebat menyebabkan kita melekap di hadapan TV. Apatah lagi sekarang sudah ada Smart TV dan TV 3D, seolah-olah panggung wayang dalam rumah. Bukan seperti zaman kanak-kanak saya, asal hari raya sahaja akan ditayangkan rancangan sarkis. Agaknya ketika itu RTM tidak ada budget untuk menyediakan program sendiri dan rancangan import pula, itulah yang paling murah.

Bagi yang sudah memulakan perjalanan pulang, pandulah dengan cermat dan hati-hati. Jangan memandu mengikut emosi. Takkan lari kampung dikejar.  Sekarang terlalu banyak kereta di jalan raya. Sudah tiba masanya kita mempunyai sistem pengangkutan awam yang canggih dan efisien supaya orang memilih pengangkutan awam untuk pulang ke kampung. Apa kata di kampung pula ada tren percuma yang disediakan untuk berziarah keliling kampung! Hanya pada hari raya sahaja.