Khamis, 29 Ogos 2013

Raya sana sini

Teks: Rozida Ismail
29 Ogos 2013

Assalamualaikum,
Cepat sungguh masa berlalu. Sedar tak sedar sudah beberapa hari blog tidak dikemaskini dengan entri terbaru. Minggu ini agak sibuk dengan rumah terbuka. Walaupun bukan sendiri yang menaja, tetapi menjadi wakil tuan rumah pastilah sibuk juga untuk melayan tetamu. Boleh dikatakan seminggu selepas raya, ramai orang mengadakan majlis rumah terbuka dan kenduri kawin. Maklum sahaja, cuti raya kali ini jatuh pada musim cuti sekolah. Jadi idea 2-dalam-1 dipraktikkan kebanyakan tuan rumah, iaitu majlis kawin bersama rumah terbuka. Menu pun lebih kurang sahaja ~ nasi minyak, sate, laksa, mi kari. Sudah menjadi trend di majlis perkahwinan sekarang menu yang dihidangkan bukan sekadar nasi minyak/ beriani. Bagi persatuan atau pejabat, jika mengadakan rumah terbuka pada minggu ini maka akan disekalikan pula dengan sambutan merdeka. Ada yang menamakan majlis Merdeka Raya, ada juga yang menamakannya majlis Raya Merdeka. Pendek kata, walau apa pun sambutannya, tidak sah kalau tidak ada jamuan makan. Sudah menjadi budaya orang kita meraikan sesuatu dengan makan-makan. Kerana itulah jika membuka bisnes katering, masa-masa beginilah bisnes bertambah kencang. Bulan puasa dan bulan raya memang pesta makan. Dua bulan berturut-turut. Masuk bulan September, mungkin bisnes makan berkurangan sedikit. Tetapi jangan lupa, musim haji pula akan tiba. Kenduri lagi! Walaupun tidak besar-besaran seperti kenduri kawin. Tiba bulan Oktober, hari raya Haji pula. Kemudian, bisnes makan semakin rancak sekitar November dan Disember dengan majlis kahwin semula.

Satu perkara yang saya perasan sejak kebelakangan ini radio hanya rancak memainkan lagu-lagu raya pada minggu terakhir berpuasa. Eloklah begitu kerana klimaks lagu raya ialah pada hari raya sendiri. Tahun ini saya tidak perasan pula sama ada, ada lagu raya terbaru diketengahkan. Mungkin ada tetapi tidak 'menangkap' di telinga. Lagu raya yang betul-betul menjadi kebanyakannya dari artis era 70-an dan 80-an. Manakala bagi artis baru, sukar hendak dinamakan lagu raya siapa yang popular. Siti Nurhaliza sendiri ada 3 buah lagu raya yang popular, jika tidak silap. Selalunya lagu-lagu raya bernada syahdu dan sedih. Jarang ada yang berbentuk 'happy' kecuali lagu Hail Amir dan Uji Rashid, kumpulan Senario dan kumpulan Carefree dengan 'Lenggang Mak Limah'nya. Yuna juga ada membuat lagu raya dengan mood happy tetapi mungkin lebih sesuai dengan kehendak remaja sekarang.

Nampaknya entri ini menggambarkan mood raya saya masih berkobar-kobar. Mana tidaknya, hari-hari ada sahaja jemputan rumah terbuka. Hujung minggu pula bersusun-susun undangan majlis kahwin dan rumah terbuka. Alhamdulillah, rezeki orang Malaysia cukup murah. Bertuah kita tinggal di negara ini.

Selamat berkunjung ke rumah terbuka. Hati-hati di jalan raya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan