Sabtu, 20 September 2014

Cara Tukar Sekolah Rendah

Text: Rozida Ismail
Gambar: Dari carian google

Awal tahun dahulu saya pernah menulis tentang proses untuk menukar sekolah menengah. Saya lihat entri itulah yang paling banyak hit. Ramai rupanya orang yang ingin membuat proses pertukaran sekolah. Maklum sahaja kita mempunyai seramai 5 juta pelajar di seluruh Malaysia, baik di sekolah rendah mahu pun di sekolah menengah. Namun, bagi saya proses menukar sekolah menengah lebih rumit, tidak seperti sekolah rendah yang agak mudah. Saya kongsikan di sini bagaimana menguruskan pertukaran sekolah rendah pula kerana hal ini saya alami sendiri.

Paling penting, sebelum mengisi borang pertukaran sekolah anda perlulah tahu sekolah mana yang mahu dipilih. Pertimbangkan sebijak-bijaknya dan selidiklah sekolah yang paling sesuai untuk anak anda. Saya memilih berdasarkan jarak yang dekat dengan rumah dan prestasi sekolah tersebut. Saya hanya memilih satu sekolah sahaja walaupun anda dibenarkan membuat 3 pilihan dalam borang pertukaran sekolah. Ini kerana saya hanya mahukan sekolah tersebut dan saya akan pastikan anak saya dapat memasuki sekolah tersebut walau apa cara sekali pun. Ingat, anda perlu berusaha sedaya upaya untuk memastikan apa yang dicita-citakan tercapai. Jangan patah semangat dan  carilah jalan dan mohon daripada Allah SWT supaya dipermudahkan urusan. Bak kata pepatah, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih. Jika anda benar-benar mahu, maka Allah SWT akan tunjukkan jalannya.

Kebetulan sekolah yang dipilih memang tersangat dekat, hanya perlu berjalan kaki sahaja, sampailah ke pintu belakang. Dan kebetulan sekali lagi, sekolah itu bertaraf SBT (Sekolah Berprestasi Tinggi). Memang saya pernah dengar bahawa sekolah ini telah penuh dan sukar untuk memasukinya. Untuk makluman, SBT mengehadkan hanya 30 murid dalam satu kelas. Saya sudah maklum tentang hal itu, tetapi saya tetap mahukan anak saya bersekolah di situ.

Setelah menetapkan sekolah pilihan, saya ke sekolah anak saya. Di situ, anda perlu mengisi borang. Antara butir-butir yang diperlukan ialah nama anak, no surat beranak/MyKid, alamat rumah baru, alamat sekolah yang dipilih, tarikh yang dikehendaki untuk anak memulakan persekolahan di sekolah baharu dan sebab pertukaran sekolah. Kerani akan menaipkan segala butiran dan menyerahkan 4 salinan borang tersebut. Satu untuk PPD (Pejabat Pelajaran Daerah), satu untuk sekolah baharu, satu untuk sekolah lama dan satu untuk salinan ibu bapa. Borang tersebut perlu diserahkan ke PPD untuk kelulusan. Saya menulis sebab pertukaran sekolah ialah kerana berpindah. Saya telah bersedia dengan bil elektrik yang ada alamat rumah baharu, tetapi tidak diminta sebagai bukti. Sesetengah sekolah/PPD memerlukan bil tersebut untuk bukti sokongan.

Perkara pertama yang perlu dibuat ialah menyerahkan borang tersebut ke PPD. Urusan agak mudah kerana sekolah lama dan sekolah baharu berada bawah pentadbiran PPD yang sama. (Alhamdulillah, sekali ini saya tidak sesat kerana pernah ke PPD sebelum ini.. kan itu hikmahnya!). Namun apabila disemak oleh PPD, sekolah yang dipohon telah penuh. Saya perlu mendapatkan sokongan Guru Besar  sekolah baharu untuk membolehkan permohonan saya diluluskan. Ketika saya menelefon sekolah baharu, PK HEM yang menguruskan pertukaran sekolah tidak dapat menerima permohonan saya atas alasan kelas telah penuh. Namun saya tidak berputus asa, saya cuba menemui Guru Besar untuk mendapatkan tempat. Mereka meneliti laporan pelajaran anak saya dan berpuas hati dengan pencapaian gred A. Nasihat saya, bawalah apa sahaja laporan sekolah, sijil-sijil anak untuk dipertimbangkan. Jika anak anda ada potensi mengharumkan nama sekolah, pastinya ada tempat untuknya di situ. Atas perbincangan, anak saya diterima masuk dengan syarat saya juga memberi sumbangan kepada sekolah dengan menjadi anggota PIBG sekolah tersebut. Itu memang bukan satu masalah kerana saya juga anggota PIBG sekolah. (Tip di sini: jangan  kedekut beri sumbangan kepada sekolah! Barulah orang akan nampak anda). Alhamdulillah, Guru Besar meluluskan permohonan saya dan saya terus ke PPD untuk menyerahkan borang tersebut. PPD menandatangani borang-borang tersebut dan setiap borang perlu dihantar ke sekolah-sekolah terlibat untuk rekod. Saya juga diminta menulis rekod anak ke dalam 'Buku Besar' sekolah baharu, bermakna anak telah didaftarkan ke sekolah baharu.

Sebenarnya, jika tidak kerana sekolah baharu yang dipilih telah penuh, urusan pertukaran antara sekolah bawah PPD yang sama sangat mudah. Mungkin dalam satu hari sahaja boleh selesai. Tahun depan bermulalah tugas saya sebagai AJK PIBG sekolah rendah pula .. :)


Psst:  bagi mereka yang ingin merujuk proses pertukaran sekolah menengah, sila klik di sini.


Selasa, 2 September 2014

Cara Menyunting Buku Bergambar Kanak-kanak

Teks: Rozida Ismail

Entri kali ini mungkin dinanti-nantikan oleh mereka yang berminat dalam dunia penerbitan buku bergambar kanak-kanak. Suka saya mengumumkan bahawa buat julung kalinya Majlis Buku Kanak-kanak dan Remaja Malaysia (MBBY) akan mengadakan Kursus Penyuntingan Buku Bergambar Kanak-kanak. Mengapa kursus seumpama ini penting?

Pernahkah anda, ketika membaca atau membacakan buku cerita bergambar kepada anak-anak atau adik-adik, merasakan sangat mudah untuk membuat buku itu? Jika buku yang dibaca memberi kesan, anak atau adik anda suka membaca berkali-kali atau minta dibacakan buku yang sama sekali lagi, pastilah ada sesuatu pada buku itu, sama ada ceritanya atau ilustrasinya yang menarik perhatian. Mungkin juga gaya penceritaan anda yang mengesankan, siapa tahu!
Buku ini nampak mudah. Tetapi  penulis telah diminta membuat pembetulan storyboard-nya berkali-kali supaya ada cerita yang memberi kesan di hati kanak-kanak.
Menghasilkan buku cerita kanak-kanak nampak mudah, teksnya sedikit dan banyak gambar. Hakikat sebenarnya bukanlah semudah yang disangkakan. Banyak aspek yang perlu diambil berat. Jika mahu buku diterima di peringkat antarabangsa, menyediakannya juga perlulah dengan teliti. Banyak perkara tersirat yang tidak nampak dek mata kasar perlu diberi perhatian semasa menyunting buku kanak-kanak. Pemilihan bahasa, ilustrasi, font, design ... semuanya ada sebab dan musababnya. Bukan sekadar main letak atau agak-agak sahaja. Juga, bukan setakat tiru meniru dari buku yang diterbitkan di Amerika, Jepun atau Iran. Karyawan mereka memang terkenal dengan penerbitan buku kanak-kanak tetapi tidak semestinya buku mereka boleh dijadikan sebagai acuan kandungan kita.


Jika anda seorang penggiat dalam penerbitan buku kanak-kanak, datanglah ke kursus ini. Anda tidak perlu khuatir kerana para pembimbing adalah mereka yang sangat berpengalaman dalam penghasilan buku kanak-kanak dan banyak kali dijemput menjadi juri dalam pemilihan buku kanak-kanak peringkat antarabangsa. Saya sertakan di sini flyers untuk anda baca dan buat keputusan segera. Tempat terhad kepada 20 peserta sahaja.